Followers

diakah lelaki itu?

Friday, October 30, 2009
 
Aku merenung jam yang terpapar di telefon bimbitku. Sengaja aku melambatkan masa untuk menunggu di terminal bas. Hari ini, aku akan menaiki bas ke kuala terengganu. Ada program yang aku sertai yang menyebabkan aku kehilangan cuti dua mingguku di rumah. Aku menunggu di platfom satu di terminal makmur, kuantan. Kelihatan bas ke kota bharu sudah tiba. Aku mengeluarkan tiket bas transnasional dan kutunjukkan kepada pak cik bas itu. lantas pak cik itu menyuruhku naik namun dia menyuruhku duduk di mana-mana yang kosong. Aku pelik namun aku biarkan sahaja. Sempat juga aku bertanya kepada pak cik itu namun jawapannya bas yang sepatutnya aku naik itu tiada. Jadi dengan tanpa rasa bersalah dan musykil aku pun naik dan duduk di satu tempat yang kosong. Di sebelahku terdapat beg sandang. Mungkin pemiliknya turun sekejap. Aku pun duduk sambil membelek telefon bimbit. Kulihat ada tiga pesanan ringkas dan lima kali panggilan yang aku terlepas. Aku membacanya dan aku dapati rakanku masih belum menaiki bas. Kusangkakan dia sudah menaiki bas yang sama denganku. Bas sudah bergerak keluar dari terminal bas. Dan rakanku masih terpinga-pinga di terminal bas itu. perasaan bersalah mula menguasai aku. Melihatkan aku yang kelam kabut, lelaki yang duduk di sebelah aku menegurku. Aku pun dengan rela hati menceritakan segala yang berlaku dan lelaki itu hanya tersenyum. ceh kacak jugak lelaki ni. aku meneliti wajahnya, putih bersih, matanya redup dan anak matanya yang berwarna hitam. Pendek kata dia ni bolehlah aku golongkan dalam spesis yang kacak. Gatal juga aku ni.
" so, kawan awak tu macam mana?" tanyanya kepadaku. Aku memandangnya.
" dia kata tadi bas tu ada rupanya. Pak cik tu tipu saya. Geram betul." Aku lihat dia ketawa. boleh pula dia ketawa. tak menganggu orang lain ke?
" la.. kawan awak tu lelaki ke perempuan?" dia bertanya kepadaku. Aku mengangkat kening. Biar betul dia ni. mesti berminat denganku. Gatal betul aku ni. siap boleh perasan lagi.
"perempuan. Tak berani la nak janji dengan lelaki. Lagipun saya tak ramai kawan lelaki." Ujarku ikhlas. Biarlah dia hendak fikirkan apa tentang diriku. Aku senyap seketika sambil membuang pandang keluar. Dia jarang memandang ke arahku. Segan mungkin.
" so, awak ni student mana?" dia tahu aku ni student? Ajaib ..ajaib.siap boleh teka lagi aku ni belajar di mana. Lepas-lepas aku siasat, rupanya dia ni senior di universiti aku. Biar betul! Aku ingatkan dia ni penipu seperti lelaki-lelaki yang aku kenal dulu rupanya tidak. Dia siap boleh bercerita lagi mengenai keadaan di dalam kampus. Hebat betul dia ni.
" awak ni datang untuk event sukan tu juga ke?" tanyanya kepadaku. Aku menggangguk. Pelik betul aku ni. biasanya apabila di dalam bas aku akan mengantuk dan lebih tepat lagi aku akan mabuk. Jadi aku akan tidur kebiasaannya. Namun lain pula jadinya. Hee.. mentang-mentang ada mamat hensem di sebelah aku terus tak jadi tidur.
Bas berhenti rehat seketika. Aku melihat penumpang-penumpang lain turun untuk mengisi perut mereka dan ini termasuklah abang hensem di sebelahku. Aku hanya melihat lelaki itu turun. Cermin mataku, kubuka sebentar. Kain pengelap dikeluarkan dan aku mula mengelap kanta cermin mataku. Hish kenapalah susah sangat nak tanggal kesan ni? aku mencuba sedaya-upaya menanggalkan kesan kotoran itu. tiba-tiba aku lihat lelaki itu sudah naik dan duduk di sebelah aku. Aku memandangnya tanpa menggunakan cermin mata. Kelabu asap. Dia kelihatan terpaku.
" awak nampak comel la kalau tak pakai cermin mata." Ujarnya kepadaku. Aku yang sedang sibuk menanggalkan kesan itu tidak berapa mendengar kata-kata pujian itu. lambat betul otak aku memprosesnya sehinggakan bas berjalan baru aku tersedar dia baru sahaja memuji aku. Aku menyarungkan kembali cermin mataku dan tersenyum. dia mempelawaku sebotol air oren. Aku menolaknya dengan baik. Mama pesan jangan terima benda daripada orang yang kita tak kenal dan itu yang kau pegang sehingga ke hari ini.

 
Aku hampir sampai ke destinasiku iaitu kuala terengganu. Sedangkan dia perlu menyambung perjalanannya ke kota bharu. Aku senyap. Nama dia pun aku tak tahu. Aku tanya je lah.
" erm, kita ni dah cakap berjam-jam tapi nama pun tak tahu. Nama awak apa?" dengan selambanya aku bertanya kepadanya. Dia agak terkejut. Namun dia tersenyum.
" hisyam. Awak?" sedapnya nama dia.
" Diya." Jawabku ringkas. Kalau sebut nama penuh aku mesti dia susah nak sebut. Nama pendek cukup. Lantas aku meneruskan perbualan empat jam tanpa henti dengannya. Bas sudah memasuki bandar kuala terengganu dan tiba-tiba dia...
" erm kalau boleh lepas ni boleh tak kita still contact?" yes soalan yang aku tunggu-tunggu tu. Nak nombor telefon aku? Boleh..boleh... ambillah, aku sudi. Kalau nak email pun aku bagi. Hish.. aku ni makin menggatallah jawabnya..
" boleh, bagi nombor telefon awak. Saya missed call awak." Lantas penukaran nombor telefon pun berlaku. Aku puas hati. Bas sudah sampai di hentian bas baru kuala terengganu. Aku turun dengan berat hatinya. Eleh berat hati nak tinggalkan lelaki hensem atas bas tu. Aku duduk di bangku di terminal itu, menunggu kawanku yang sepatutnya bersama aku sekarang. Aku lihat kelibat rakanku turun bas. jadi kami pun terus ke kedai makan berhampiran mengisi perut kami yang sememangnya berkeroncong.

 
Kami menaiki teksi pulang ke universiti. Sesampainya di sana kami terus mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran dan mengambil kunci bilik masing-masing. Aku mendapat teman sebilik yang baru. Rakan-rakan sebilikku sudah lama sampai. Aku yang paling last. Bagasiku diletakkan di tepi katil. Aku mengeluarkan tuala dan menuju ke bilik air untuk mandi. Usai mandi, terus aku menunaikan solat zohor yang sudah hendak habis waktunya. Baru sahaja aku hendak bergolek-golek atas katil, telefon bimbitku berbunyi. Ada pesanan ringkas masuk. Tanganku mencapai telefon bimbit dan membaca pesanan ringkas itu.
'Hai... awk dah smpi hstel ke? Msti penatkn'
Aku tersenyum. pesanan ringkas dari Hisyam. Jari jemariku tangkas membalas mesej daripada Hisyam.
'dah smpi td. Ni tgh golek2 ats katil. Sape duk sbelah awk td?'
Saja aku bertanya. Perasaan ingin tahu menguasai diriku. Mesti perempuan lagi.
'pelncong dr france duk sbelah sy td.'
Hisyam membalas. Aku tersenyum lagi. Lega. Lega? Kenapa pula aku harus lega? Jatuh cintakah aku? Kronik ni.
'nnt dah smpi, bgtau sy tau. Take care.'
Sempat aku berpesan kepadanya. Ceh dah jadi macam awek dia la pulak. Perasan betul aku ni.

 
Aku meneruskan kehidupan aku di universiti. Sebenarnya aku menjadi seorang sukarelawan untuk program yang dianjurkan oleh pihak universiti. Program yang disertai oleh dua puluh satu institut pengajian tinggi awam di malaysia. Ia merupakan acara sukan yang mempertandingkan lapan belas acara. Sebagai sukarelawan yang bertugas di bahagian perubatan dan kecemasan, aku terpaksa bertugas sebagai paramedik. Banyak pengalaman yang aku timba sejak menjadi seorang paramedik. Yang paling seronoknya apabila melihat atlet yang kami rawat itu sembuh dan mengucapkan terima kasih kepada kami. Memang seronok dan rasa puas hati. Kepuasannya tak boleh diungkapkan dengan kata-kata. Sepanjang masa itu, aku masih lagi saling berhubung dengan Hisyam. Macam sudah menjadi satu rutin untuk menceritakan perkara yang berlaku dalam hidupku kepada dia. Hisyam sangat matang. Mungkin kerana usianya lebih tua daripadaku. Kadang kala aku rasa dianggap seperti adik olehnya. Rasa tak selesa. Tapi nasihatnya membuatkan aku sedikit berubah. Kadang kala pula aku dapat melihat diri aku di dalam dirinya. Dia bagaikan pantulan daripada diriku. Ego. Itu yang aku dapat simpulkan setakat ini.

 
Malam sebelum aku berangkat pulang ke rumah, sempat aku bersembang dengan Hisyam di Yahoo Messenger. Dia nampaknya emosional waktu itu. Aku tak berhasrat hendak meneruskan perbualan lalu aku keluar daripada Yahoo Messenger. Memang dia macam aku. Keras kepala dan ego. Dan telefon bimbitku berbunyi. Pesanan ringkas lagi daripada Hisyam. Aku membacanya.
'awk x sudi nak kwn dgn sy ke?'
Aku membalas.
'bkn la. Sy nk tgu awk sejuk dulu. Br kite smbang lg. Awk tgh panas 2'
Alasan aku berikan supaya dia tidak kecil hati.
' esk awk blik, hati2 tau.'
Ujarnya kepadaku. Aku tersenyum lagi. rakanku yang berada di sebelahku hanya menggelengkan kepala melihat mimik mukaku apabila membaca mesej yang diberikan Hisyam.

 
Aku pulang dengan selamat. Sesampainya aku di rumah terus sahaja aku menaip mesej kepada Hisyam yang mengatakan aku sudah selamat sampai. Dan dia tidak membalas. Geram dan sakit hati bercampur baur dalam hatiku. Selepas itu aku pun sudah tidak bersembang dengannya lagi. sehinggalah suatu hari, pesanan ringkas memasuki telefon bimbitku. Aku membacanya. Daripada Hisyam. Biarlah dia. Aku malas melayannya. Dia buatkan aku seperti terhegeh-hegeh hendakkan dia. Suka hati dia sahaja. Aku membalas juga tapi tak semesra dulu.
Sedar tak sedar sudah tiga tahun aku berkawan dengan Hisyam. Biar betul. Dalam layan tak layan menjadi juga. Tiga tahun, bukan tempoh masa yang singkat tu. Tapi aku dengan Hisyam masih lagi tak ada apa-apa peningkatan. Macam tu jugaklah. Nak buat macam mana dah perangai kami ni lebih kurang sama. Cuma yang lainnya dia sukakan aktiviti seni dan aku pula sukakan aktiviti lasak. Itu sahaja yang membezakan kami berdua. Sehinggalah suatu hari, aku keluar dengan rakan baikku yang baru pulang ke Malaysia. Azlan namanya. Aku ke kedai buku bersamanya. Mulanya Azlan mengajakku bermain boling namun aku menolaknya apabila mengenangkan balingan aku selalu meredah longkang.
"Diya, kau nak cari buku ape ni?" Azlan bertanya kepadaku setelah melihat aku merayau-rayau di dalam kedai buku itu.
" nak cari novel la. Dah lama tak baca novel." Aku menjawab. Tanganku masih membelek-belek novel-novel yang disusun di atas rak. Mahal-mahal jugak novel ni. seingat aku novel terakhir yang aku beli adalah sewaktu aku berada di tingkatan tiga. Selepas itu, aku hanya meminjam di perpustakaan awam ataupun daripada rakan-rakanku. Aku membelek sebuah novel nukilan penulis kegemaranku, Ramlee Awang Murshid. Serta-merta aku teringatkan Hisyam. Dia juga meminati karya penulis itu. Tiba-tiba aku terlanggar seorang lelaki. Gedebuk.. habis jatuh novel yang aku pegang tadi. Azlan yang sedang membelek majalah meluru ke arah aku. Dia membantu aku bangun. Lelaki itu seperti aku kenal.
"Sorry, saya tak sengaja." Ujarnya perlahan. Aku hanya membetulkan bajuku. Azlan membantuku mengutip novel yang terjatuh. Lelaki itu pegun. Tak bergerak langsung. Eh, kenapa pulak mamat ni?
"awak ni Diya kan?" aku memandangnya tepat-tepat. Ya Allah, Hisyam. Dia masih ingat aku? Dulu sewaktu aku berjumpa dengan dia aku masih memakai cermin mata. Sekarang cermin mata sudah lama aku buang ke laut, dia masih boleh mengecam aku? Ajaib..ajaib.
" ya saya. Hisyam?" aku meminta kepastian. Azlan pula kulihat terpinga-pinga. Ye lah dapat tengok drama swasta percuma lagi. siaran langsung gitu. Tak ada siaran ulangan tau.
" saya tahu saya tak silap orang. Dah tiga tahun kan. Awak makin cantik." Pujinya kepadaku. Aku lihat dia melirik kepada Azlan. Mungkin ingin mengetahui siapa lelaki yang bersamaku tika itu.
" terima kasih. Kenalkan, ni Azlan. Kawan baik saya." Azlan tersenyum dan berjabat tangan dengan Hisyam.
" so awak la Hisyam. Not bad." Hish Azlan ni boleh pulak cakap macam tu. Apa la kurangnya Hisyam tu dengan dia. Mesti dia pandang rendah kat Hisyam. Al maklumlah Hisyam ni anak orang kampung dan Azlan ni pulak anak orang berada.
" erm kalau boleh kita lunch together hari ni?" Hisyam mempelawaku dan Azlan. Kami berdua hanya menurut. Kebetulan kedai buku itu berhampiran dengan sebuah restoran jadi kami bertiga terus menapak ke sana.

 
Aku hanya berdiam diri melihat dua orang lelaki ini bersembang hal-hal lelaki. Aku bukan tunggul! Nak sahaja aku jerit macam tu kepada mereka berdua. Makanan di pinggan kukuis-kuis tanda protes. Azlan yang perasan akan sikapku terus menunjukkan sikap prihatin.
" kenapa Diya? Tak suka ke makanan ni? kalau tak suka Lan order yang lain." Prihatin betul si Azlan ni. apa hal pulak ni. Hisyam pula merenungku tajam. Cemburukah dia?
" okay je. Lepas ni Diya ingat nak balik rumah terus. Lan hantarkan ok?" aku meminta Azlan menghantarku pulang.
" okay." Azlan membalas pendek.
"Diya, if you don't mind can I send you home?" aiseh Hisyam cakap mat saleh la pulak. Biar betul. Azlan tersenyum. aku terkedu.
" tapi.." aku dah tergagap-gagap dan Azlan pula menyambung..
" okay you can send her home." Lan ni siap boleh kenyit mata lagi kepadaku. Biar betul ni. hisyam tersenyum.

 
Dan akhirnya aku berada dalam kereta Hisyam. Pelik. Hisyam ni bukan la anak orang berada tapi kereta dia bolehlah aku katakan kereta mewah. Kereta Porsche berwarna merah. Sangat bergaya. Dia pinjam daripada kawan mungkin.
" so, mana rumah awak?" tanyanya kepadaku. Aku masih lagi dalam keadaan terkejut.
" kenapa awak nak hantar saya balik?" soalannya aku jawab dengan soalan. Aku tak mahu mendatangkan persepsi buruk kepada jiran tetanggaku. Biasalah kawasan kejiranan yang aku tinggal tu memang sangat menjaga tepi kain orang.
" saya nak tahu rumah awak. Senang kerja saya nanti." dia mula menghidupkan enjin kereta.
" kerja apa? Awak ni buat kerja direct selling ke?" wah wah wah... soalan cari nahas tu. Dia menjeling. Huh takut aku. Jangan sakitkan hati dia nanti apa pula dia buat kat aku. Dah la berdua-duaan dalam kereta ni. hee takut aku.
" adalah.. baik awak tak payah nak ambil tahu." Dia tersenyum. bagai ada rancangan jahat yang berlegar-legar di mindanya. Aku hanya diam dan melayan perasaanku sendiri.

 
Sejak dia menghantarku pulang hari tu, seluruh keluargaku riuh-rendah. Mamaku mulalah mengorek cerita hangat dan sensasi dariku. Aku buat tak tahu. Tambahan pula, rajin pula Hisyam datang ke rumahku. Siap minta izin lagi hendak membawaku keluar. Abahku memang sudah berkenan habis. Mama pun sama. Hisyam ...Hisyam kau buat keluarga aku sukakan kau. Apa la motif sebenar kau?Dan suatu hari, selepas aku pulang dari kerja. Aku melihat cincin tanda sudah berada di atas katilku. Siap ada dulang hantaran. Eh siapa la nak kahwin ni? along ke? Aku langsung tak pedulikan semua itu dan terus menuju ke bilik air untuk menyejukkan badan.
" mama, siapa punya barang atas katil kakak ni?" tanyaku kepada mama. Mamaku tergelak. abah pun sama.
" la yang kakak punya la. Hisyam tak bagitau kakak ke? Dia datang pinang kakak tadi, mama dan abah pun dah berkenan dengan budak tu. Kerja baik, keluarga dia baik dan yang penting dia tahu hormat abah dan mama." Lancar sahaja kata-kata itu meluncur keluar dari mulut mamaku.
" mama terima ke?" teragak-agak aku menuturkan soalan itu. mama senyum melebar. Jadi, ni la kerja Hisyam. Lantas aku mencapai telefon bimbitku dan mendail nombor Hisyam.
" hai sayang.." kedengaran suara Hisyam di hujung talian. Aku tak jadi nak marah-marah.
" kenapa awak masuk meminang tak bagi tahu saya?" aku bertanya. Lemah bunyinya.Hisyam ketawa.
" kalau abang bagi tahu mesti sayang marah. Biarlah macam ni. surprise kan. Lagipun family sayang dah terima pinangan abang. Kita kahwin terus la. Tak payah nak tunang-tunang." Aik siap panggil aku sayang lagi. berbulu telinga aku.
"tak tahu la nak cakap apa lagi. nasi dah jadi bubur." Aku bagaikan sudah berputus asa dengan Hisyam. Tapi aku kan sukakan Hisyam. Kenapa sekarang aku rasa ragu-ragu.

 
Sudah seminggu majlis perkahwinan aku dan Hisyam berakhir. Sekarang aku berada di rumah Hisyam. Tak sangka Hisyam ni merupakan kerabat diraja. Aku sendiri tak tahu sehinggalah majlis perkahwinan kami dilangsungkan. Rupanya mama dan abah telah diberitahu terlebih dahulu mengenai keluarga Hisyam. Aku geram dengan Hisyam. Aku melancarkan perang dingin terhadapnya. Kasihan Hisyam, orang lain kahwin boleh tidur peluk isteri. Dia pula peluk bantal golek sahaja. Sedang asyik aku duduk termenung di hadapan tingkap, Hisyam memelukku dari belakang. Terkejut aku dibuatnya. Aku meronta tanda protes namun hisyam berpura-pura tak mengerti. Lama-kelamaan aku diam. Biarlah dia, aku malas nak melayan. Dah aku bagi peluang peluk aku ,tangan Hisyam mula merayap ke tempat lain. Aku menepis. Lagi galak dia merayap.
"Awak, jangan la macam ni. tak selesa tau." Aku memarahinya. Dia semakin galak lagi. lantas dia mengangkatku menuju ke katil. Diletakkanku perlahan-lahan ke atas katil. Aku diam.
" jangan marah sayang. Maafkan abang sebab tak bagi tahu sayang pasal keluarga abang." Tangan Hisyam menyentuh wajahku. Aku diam. Biarlah dia bercakap sendirian.
Hisyam menarik aku ke dalam pelukannya. Aku bungkam. Dia terus-terusan meminta maaf kepadaku. Alamak, aku pun dah rasa cair ni. nak maafkan ke sekarang. Kalau aku merajuk lagi, buatnya dia ceraikan aku macam mana? Terus masuk surat khabar muka surat depan lagi.
Aku meleraikan pelukan. Menjarakkan diri aku dengannya.
" saya boleh maafkan awak tapi..." ni yang seronok boleh kenakan syarat. Nak denda apa ye? Haaa apa kata berlian? Macam tak best je. Kalau kereta baru? Tak best jugak. Apa kata..
Hisyam masih lagi menungguku meneruskan kata-kata.
" saya nak awak bawa saya bercuti kat jepun. Boleh?" Hisyam tersenyum. dengan sesuka hati dia memeluk aku erat.
" maksud sayang honeymoon ke?" bisiknya di telingaku. Meremang bulu romaku. Seram sejuk.
" bukan la..bercuti sahaja." Memang itu yang aku maksudkan. Hisyam boleh pula fikir benda lain.
"abang tahu. Jangan malu-malu." Makin galak dia memelukku. Aku cuba meronta dan nasib baiklah kedengaran seseorang mengetuk pintu. Aku bingkas bangun dan membuka pintu.
" bonda." Aku membetulkan bajuku yang tak terurus. Bonda tersenyum.
" bonda nak ajak Diya jalan-jalan esok. Boleh?" segera aku mengangguk. Hisyam buat muka.
" boleh Syam?" Bonda berpaling ke arah Hisyam. Hisyam mengangguk sedikit. Kelat mukanya.
"kalau macam tu, pagi esok tau. Jangan lambat pula." Bonda memandangku dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Aku menutup pintu dan menutup lampu. Tangan Hisyam melingkari pinggangku dan aku lena dalam pelukannya. Aku tahu Hisyam adalah lelaki yang sudah ditakdirkan buatku. Dan mimpi-mimpi indah menghiasi tidurku malam itu.

 

 

 

 

1 comments:

  1. Hanna Iha said...:

    ending tak brape best sgt..tapi citer ni menarik juga laa