Aku membuka sampul surat yang emak berikan kepadaku sebelum emak berangkat pulang semalam. Perlahan gambar-gambar Izwan bersama seorang wanita yang berusia lingkungan 40-an menarik perhatianku. Apabila aku teliti dan aku tilik, baru aku sedar yang emak sudah salah sangka. Tergelak aku sendirian di ruang tamu rumah.
“Emak… Emak… apa nak jadi dengan emak ni?”
Aku berkata sendirian sambil mengelengkan kepala. Izwan yang baru lepas mandi mengambil tempat di sebelahku. Bau mandian yang digunakan Izwan menusuk hidungku. Segar dan maskulin.
“Sayang, kenapa gelak sorang-sorang ni?”
Mungkin Izwan pelik dengan tingkahku. Aku menyuakan gambar yang emak berikan kepadaku semalam. Perlahan Izwan mengambilnya. Gambar-gambar itu ditilik dengan serius dan kemudian Izwan turut menyambung tawa. Tawanya dan tawaku bersatu sehinnga membingitkan ruang rumah kami.
“Emak sayang ni pakai private investigator mana ni? Tak pandai langsung nak siasat.”
Aku tersenyum mendengarnya. Izwan memang periang orangnya. Aku sukakan humor yang dibuatnya. Tak perlu dengan gaya badan. Gaya bahasanya cukup membuatkan aku tergelak sendirian apabila aku mengingatinya kembali.
“Entahlah abang. Intan pun tak faham dengan mak. Abang rasa kita perlu berterus-terang ke?”
Aku tidak mahu emak berburuk sangka lagi dengan Izwan. Cukuplah setakat ini.Aku dan Izwan semakin bahagia namun aku tak mahu kebahagiaan itu dirosakkan oleh fitnah dan buruk sangka yang terbit dari emak.
“Mungkin dah tiba masanya kita berterus-terang dengan emak. Ada ke patut, emak abang dikatakan sugar mummy?”
Aku tersenyum mendengar bait-bait perkataan yang dikeluarkan oleh bibir Izwan. Ya, aku pasti ini jalan penyelesaiannya.
*****
Hujung minggu itu aku dan Izwan melangkah ke rumah emak. Cadangnya mahu bermalam di sana. Aku rasakan sudah lama tak bermalam di rumah emak. Setelah hampir dua jam perjalanan, aku dan Izwan turun dari kereta. Izwan hanya mahu membawa pulang Myvi hitam miliknya sahaja. Kereta mewah yang selalu dipakainya ke pejabat ditinggalkan di rumah keluarganya di Kuala Lumpur. Katanya tak mahu menunjuk-nunjuk. Aku hanya senyap.
Emak langsung tak menyambut kami. Aku dan Izwan dibiarkan terkontang-kanting di hadapan pagar rumah yang berkunci. Puas aku memberi salam namun salam aku tak bersambut. Sedih. Agak lama kami berdua menunggu di hadapan rumah sehinggalah Elin datang membukakan pintu pagar. Izwan sudah kelihatan kelat. Dapat aku rasakan maruahnya sebagai seorang lelaki sedikit tercalar.
Aku bersalaman dengan Elin yang sudah sarat benar nampaknya. Wajah kelat Elin mematikan senyuman yang ingin aku pamerkan untuknya.
“Kenapa kakak pulang?”
Satu pertanyaan yang menyentap naluriku. Salahkah aku pulang ke rumah sendiri? Aku tersenyum. Adakah Elin merasakan aku masih punya perasaan terhadap Khairul. Kalau Elin berfikir sedemikian sebegitu rupa, maknanya dia sudah silap. Lelaki sebaik Izwan takkan aku tinggalkan untuk orang seperti Khairul. Tidak sekali-kali.
“Dah lama tak pulang. Sekali-sekala kenalah pulang. Jenguk mak dan abah.”
Aku cuba memaniskan muka. Izwan kulihat sedang memunggah bagasi kami. Wajahnya sedikit muram namun dia sedaya upaya menyembunyikannya dari pandangan mataku. Terbit rasa bersalah dalam diriku ini. Kasihan Izwan kerana terpaksa melalui semua ini demi aku.
‘Maafkan Intan, abang.’
Kami melangkah masuk ke dalam rumah. Emak dan abah sedang asyik menonton televisyen. Elin sudahpun mengambil tempat di sisi emak. Namun, tidak kelihatan pula Khairul. Mungkin Khairul keluar. Aku bersalaman dengan emak dan abah. Dingin sambutan mereka. Izwan pun sama. Kami berdua mendapat layanan dingin umpama ais.
“Mak dan abah apa khabar?”
Izwan memulakan perbualan dengan soalan bertanya khabar. Mungkin mengharapkan suasana yang sedia ada dingin itu menjadi lebih mesra dan hangat. Namun, emak dan abah hanya membiarkan pertanyaan itu sekadar berlalu begitu sahaja. Tak dijawab. Izwan seakan mengerti kehadiran kami seperti tak dialu-alukan di sini.
“Mak, kakak ada bawa sedikit cenderahati.”
Aku membuka plastik yang mengandungi beberapa bungkusan yang sudah siap berbalut. Sudah kusediakan untuk semua termasuklah kepada Elin dan juga Khairul. Emak seakan berminat. Aku menghulurkan hadiah kepada emak, abah dan juga Elin. Aku memandang Izwan. Sengaja aku ingin memeriksa reaksi Izwan. Izwan tersenyum sinis. Mungkin dia merasakan emak seorang materialistik.
*****
Usai memberikan cenderahati, aku dan Izwan berlalu ke bilik kecil yang terletak berhampiran dapur rumah. Izwan sudah menyusun bagasi kami di hujung bilik. Perlahan Izwan mengambil tuala dan menuju ke bilik mandi. Aku sekadar memerhati.
Aku menyediakan pakaian Izwan. Pakaiannya aku letakkan di atas katil bujang yang sedia ada di dalam bilik itu. Terfikir juga olehku, bagaimana kami akan tidur malam ini. Katil bujang tak mampu menampung aku dengan Izwan untuk tidur. Izwan sudah pun selesai mandi. Dia terus menyarung baju yang sudah aku sediakan di atas katil.
“Malam ni, macam mana? Sayang nak tidur kat hotel ke? Boleh dapat katil besar dari yang ini.”
Izwan memandangku. Aku senyap. Ingin mengiyakan aku risau emak akan terasa hati. Namun jika aku menolak, malam ini berhimpitlah aku dengan Izwan di katil bujang yang hampir roboh itu.
“Tapi kan, abang rasa elok juga katil kecil macam ni. Boleh tidur peluk sayang.”
Belum sempat aku membalas, Izwan sudahpun menjawab sendiri. Perangai gatalnya semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Aku tergelak sedikit. Perasaan malu-malu masih ada walaupun sudah agak lama kami berkahwin. Malas melayan perangai gatal Izwan, aku berlalu ke dapur. Aku mahu menyediakan makan malam. Pasti emak akan menyerahkan tugas-tugas memasak kepadaku.
Sangkaan aku tak pernah silap. Emak sudah pun meninggalkan nota menyuruhkan menyediakan makan malam. Nota itu terletak elok di pintu peti ais. Aku tersenyum. Agaknya bilalah emak akan berubah menjadi seseorang yang lebih matang, seiring dengan usia? Semoga Allah bukakan pintu hati emak dan abah agar menerimaku dan Izwan seadanya.
*****
best,,sabar ea..izwan dan kakak..