Set katil yang baru Izwan pesan pagi tadi sudahpun selamat tiba di rumah. Kerja-kerja pemasangan sudahpun selesai. Mujurlah bilik tidur itu tidak terlalu kecil untuk menempatkan katil baru itu. Izwan bertindak sebagai tuan rumah apabila pekerja-pekerja kedai perabot datang bertandang ke rumah untuk memasang katil baru. Emak hanya memerhatikan dari jauh. Mungkin emak berjauh hati dek kerana perabot di biliknya tak bertukar. Abah tidak membenarkan emak menukar set katil di dalam bilik kerana masih elok dan baru lagi. Emak memuncungkan bibir.
“Kalau tak ada duit tu, janganlah berjanji nak beli perabot baru.” Rungut emak.
Aku memandang Izwan yang sedikit tersentak. Apakah yang emak cuba sampaikan? Bukankah Izwan telah pun menunaikan janji dengan mengantikan katil usang yang kami patahkan dengan set katil baru yang lebih mahal? Apakah janji yang emak maksudkan?
“Eh, emak, apa yang emak cakap ni? Kan Abang Izwan dah ganti katil tu.” Aku menempelak emak.
“Kata nak ganti katil dalam bilik emak sekali. Alih-alih beli untuk bilik dia sahaja.”
Emak seakan tak berpuas hati. Aku memandang emak dengan muka berkerut. Emak dengan selamba berkata demikian. Tahukah emak yang bahawasanya tak baik menuduh sedemikian. Lagipun aku tak mendengar apa-apa janji yang terbit dari mulut Izwan mengenai penukaran perabot di bilik emak.
“Kakak tak dengar pun, abang Izwan berjanji. Emak salah dengar ni.”
Aku tersengih apabila emak mencebik. Aku pasti emak salah sangka. Emak pasti menyangka Izwan akan menurut segala kemahuannya kerana ingin mengambil hatinya. Telahan emak telah silap. Namun terbit juga perasaan kasihan di hatiku apabila melihat emak yang begitu beria-ria mengkhabarkan kepada jiran tetangga mengenai perabot baru yang bakal bertukar.
‘Emak…Emak… Bilalah emak nak insaf ini?’
*****
Usai mengemas apa yang patut aku kembali ke ruang tamu. Emak menjeling. Mungkin masih lagi tak berpuas hati dengan cerita perabot baru. Nampaknya tak bolehlah emak menunjuk-nunjuk dengan jiran tetangga. Aku menggeleng dalam senyum. Izwan sudahpun mengemaskan beg pakaian. Katanya mahu pulang ke rumah. Nampaknya tak dapatlah aku merasmikan katil baru. Izwan sudahpun mengangkat bagasi kami ke dalam kereta. Emak hanya diam.
Aku mendekati emak. Aku menghulurkan tangan tanda ingin menyalami emak namun huluran tanganku tidak emak endahkan. Lantas aku mencapai tangan emak dan menyalaminya. Emak sedikit tersentak. Izwan menyalami abah. Aku memandang sayu rumah itu sebelum kakiku melangkah masuk ke dalam kereta. Dapat aku lihat wajah emak yang masih kelat dan wajah abah yang serba salah. Mungkin abah berasa kesal dengan sikap emak barangkali. Aku sendiri tak pasti.
“Jom.”
Izwan mencuit bahuku. Lantas aku masuk ke dalam kereta.
“Abang rasa emak tu terasa sangat ke dengan kita?”
Aku bertanya perlahan. Izwan memandangku. Kemudian matanya beralih kepada pemanduannya. Dia mengeluh perlahan.
“Abang rasa emak tu terasa. Alah, nanti-nanti eloklah tu. Jangan risau.”
Izwan menepuk bahuku. Aku tersenyum. Mungkin ada hikmahnya. Sampai bilakah hidup aku hendak berterusan sebegini? Aku sangkakan perkahwinan aku dengan Izwan direstui lantaran emak yang beria-iya menjodohkan kami berdua, namun lain pula jadinya. Aku tak pasti apa yang emak mahukan dalam hidupku. Aku benar-benar tak pasti.
*****
Aku kembali lagi ke kediaman kecil kami. Lega rasanya dapat kembali ke rumah sendiri.Sekurang-kurangnya tak perlulah aku mengadap wajah Elin yang begitu takut aku merampas suaminya. Elin tak perlu takut. Aku kini bahagia bersama Izwan. Izwan adalah duniaku. Aku rasa tak perlulah aku kembali ke pangkuan lelaki yang menghancurluluhkan hatiku ini. Untuk apa kembali kepadanya sedangkan aku punya yang lebih baik.
Aku memerhatikan Izwan mengangkat bagasi. Lantas aku ke dapur mengambil air sejuk buat Izwan. Izwan tersenyum. Sudah aku tahu apa yang disukai Izwan. Dia agak manja. Kalau boleh dia tak mahu aku melayani orang lain selain dia. Dia sukakan perhatian dariku. Walaupun dia nampak tegas di luar, namun apabila kami berdua bersendirian, dia akan menjadi lebih manja. Aku hanya melayani kerenahnya.
“Abang penat ya?”
Aku memicit bahunya, apabila dia melentokkan kepala ke sofa di ruang tamu. Dia mengangguk perlahan. Matanya dipejam rapat. Mungkin mahu melepaskan penat sebentar. Aku membiarkan Izwan melepaskan lelah di sofa, aku menuju ke kamar mandi. Aku mahu menyegarkan badan setelah penat berjalan jauh.
Usai mandi aku menjengah Izwan yang masih lagi lentok di sofa. Penuh tertib, aku mengejutkannya. Dia masih begitu.
“Abang, bangun. Mandilah dulu. Kemudian, baru boleh tidur.” Pujuk aku.
Aku mulai risau apabila melihat Izwan yang masih tak sedar. Pengsankah dia? Wajahnya tenang. Aku menyentuh bahunya, namun tiada respon dari dia. Aku sudah mulai panik.
“Abang?”
*****
demam ke izwan ni?hope,izwan ok saje..