Malam itu aku dan Izwan terpaksa berhimpit di atas katil. Usai makan malam tadi Izwan mengajakku untuk tidur di hotel memandangkan kedaifan bilik yang kami diami ini. Izwan tak mahu aku sakit-sakit badan berhimpit dengannya di atas katil yang sudah bergoyang ini. Namun aku menolak. Aku rasa tak wajar untuk kami berdua tidur di hotel sedangkan niat asal kami untuk bermalam di rumah emak. Jadi atas alasan itu, aku tak menurut kata Izwan.
Kini aku berada dalam pelukan Izwan. Kami berbaringan di atas katil usang itu. Nasib baik badan aku tidaklah bersaiz XXL dan Izwan pula tidaklah sebesar mana. Cuma aku kasihankan kaki Izwan yang sedikit terkeluar dari hujung katil.
“Kaki abang panjang sangat sampai terkeluar katil. Kelakar.”
Aku tergelak apabila melihat kaki Izwan yang sedikit terkeluar dari katil. Izwan segera melemaskan aku dalam pelukannya. Aku tergelak sambil memukul-mukul dadanya. Izwan pun turut sama tergelak.
“Sayang tahu tak?”
Izwan memulakan bicara apala tawanya sedikit reda. Aku memandangnya. Pelik.
“Sayang bertuah tau sebab abang tinggi.”
Aku mengerutkan kening apabila mendengar bicara Izwan.
“Kenapa?”
Izwan tersenyum sambil mengeratkan pelukannya yang kian longgar. Aku hanya menurut.
“Nanti anak kita mesti tinggi macam abang. Sebab kalau abang rendah, mesti anak-anak kita rendah sebab sayang pun rendah juga.”
Izwan menyeringai. Aku kembali memukul dadanya apabila menyedari dia mengusikku dalam diam.
“Abang ni...”
Belum sempat aku menuturkan kata-kata seterusnya, terdengar bunyi sesuatu yang patah. Tak lama kemudian, katil yang kami duduki tadi runtuh. Aku dapat merasakan emak akan mengetuk pintu bilik kami selepas ini, kerana bunyi katil runtuh tadi agak kuat untuk waktu malam yang sunyi.
“Abang okay?”
Izwan tersenyum. Dia mengosokkan belakang badan menandakan sakit di situ. Mujurlah aku tak apa-apa. Izwan terlebih dahulu melindungi aku daripada terhentak kuat sewaktu katil runtuh. Aku membelek badan Izwan. Risau jika ada yang cedera.
“Abang okay. Sayang ada cedera mana-mana tak?”
Kini giliran Izwan membelek lengan dan tanganku. Setiap tempat diteliti, kerana takut aku tercedera dalam insiden katil runtuh itu. Kemudian aku dan dia berpaling ke arah katil yang runtuh itu.
“Alamatnya malam ni kena tidur bawahlah sayang.”
Aku tertawa senang dan tawanya terhenti apabila terdengar bunyi ketukan di pintu bilik. Kami saling berpandangan.
*****
Aku membuka pintu perlahan-lahan. Tepat sangkaan aku, emak tercegat di depan pintu dengan tompokan bedak sejuk di muka dan berbaju kelawar berwarna hijau. Rambut emak disepit dengan menggunakan penyepit. Mujur bukan Izwan yang membuka pintu. Kalau tak aku pasti Izwan akan menjerit melihat wajah emak di malam hari. Emak kulihat sedang marah. Mungkin lenanya terganggu dengan bunyi bising kala jam menginjak ke pukul satu pagi.
“Eh, emak. Selamat malam.”
Aku berbasa-basi dengan emak. Sebenarnya aku tak tahu hendak menuturkan apa kepada emak. Emak sudah menonong masuk ke dalam bilik kami. Mujurlah Izwan berpakaian lengkap. Kebiasaannya Izwan suka mengenakan seluar sahaja ketika tidur. Kali ini, Izwan lengkap dengan pijama biru yang aku hadiahkan kepadanya bulan lepas.
“Ya Allah. Kamu buat apa sampai katil ni runtuh hah? Mak tak tahulah dengan kamu berdua ni. Dah tahu katil tu sempit, tidurlah di lantai. Kan dah runtuh katil ni. Tak pasal-pasal kena beli yang baru.”
Emak terus membebel di tengah malam yang hening itu. Seketika kemudian, muncul Elin dan Khairul di muka pintu bilik kami. Aku segera menyarungkan tudung ke kepala tatkala melihat kelibat Khairul di hadapan bilik kami. Mujurlah baju tidur aku ini agak tertutup. Jadi aku tak perlulah mencari kardigan atau apa-apa sahaja untuk menutup auratku di hadapan Khairul.
“Mak, kenapa bising-bising malam ni?”
Elin menenyeh matanya dengan jari-jemarinya untuk melihat dengan jelas apa yang berlaku. Aku rasa dia agak terkejut apabila melihat katil usang yang elok terletak di bilik itu telah runtuh. Emak pula masih tak habis berleter.
“Esok saya beli yang baru. Emak janganlah risau.”
Usai Izwan berkata demikian, leteran emak terus terhenti. Aku melihat Khairul sedikit terkejut dengan tindakan Izwan. Kemudian dia tersenyum. Aku pun tak pasti kenapa. Adakah dia menganggap hati emak mampu dibeli dengan wang ringgit?
“Kalau macam tu baguslah, boleh emak tengokkan barang-barang lain yang kena tukar. Katil kat bilik emak pun dah usang tu, bolehlah beli set yang baru.”
Aku mengerutkan kening. Kenapa pula aku harus menukarkan katil emak? Lagipun seingat aku, emak baru sahaja membeli katil itu pada tahun lepas. Tak mungkin katil yang diperbuat dari kayu jati cepat reputnya. Adakah emak mahu mengambil kesempatan atas kebaikan suamiku? Aku harap tidak.
“Abang dah agak.”
Aku mendengar Izwan bercakap sedemikian apabila kelibat emak, Elin dan Khairul beredar dari pintu bilik kami. Aku menuruti Izwan. Persoalan yang bermain di fikiranku aku biarkan ia bersemadi di situ.
*****
Izwan menunaikan janjinya apabila dia membawaku ke kedai perabot bagi menggantikan katil yang patah semalam. Sesekali aku melihat harga perabot di kedai itu. Ya, memang mahal. Izwan ingin menggantikan katil bujang semalam dengan katil bersaiz Queen agar kami berdua boleh tidur dengan selesa jika mahu bermalam di rumah emak nanti.
Setiap set katil yang dipilih Izwan sangat cantik, namun harganya juga membuatkan aku memaksanya berfikir dua tiga kali untuk membelinya. Aku tak mahu dia membazirkan duit. Namun Izwan berkeras. Jadi, set katil yang diperbuat dari kayu chengal dipilih bagi melengkapkan bilik tidur di rumah emak.
Izwan membayarnya dengan kad kredit. Dia tak mahu aku mengetahui berapa harga katil yang dibelinya. Katanya dia tak mahu aku rasa bersalah. Untuk menggantikan sebuah katil usang yang menunggu masa untuk roboh, dia menggunakan kad kreditnya. Sejujurnya aku malu dengan Izwan. Sudah terlalu banyak dia bersabar dengan tingkah emak. Aku malu dengannya.
“Kenapa senyap ni?”
Izwan menegurku apabila melihat aku tak seceria selalu.
“Tak, Intan rasa bersalah sebab dah susahkan abang.”
Izwan memandang ke arahku. Dia tersenyum. Aku tahu dia sayangkan aku, namun aku tak mahu dia selalu menurut kata emak demi aku.
“Abang cuma nak kita tidur lebih selesa malam nanti. Semalam, sayang dah sakit belakang sebab tidur atas lantai. Abang tak mahu sayang sakit-sakit macam ni.”
Izwan berhujah. Aku tahu kata-katanya ada benarnya. Memang aku sakit belakang setelah semalam tidur di atas lantai. Tambahan pula, semalam badanku terhentak disebabkan oleh insiden katil runtuh itu. Aku rasa Izwan turut mengalami nasib yang sama.
“Abang sakit belakang ke? Nak Intan urut?”
Aku menawarkan khidmat urut kepada Izwan. Itu lebih baik daripada dia mencari khidmat urutan di pusat-pusat urutan tradisional yang bersepah di luar sana. Aku cemburu.
“Boleh juga. Nasib baik sayang offer nak urut abang. Abang baru ingat nak singgah rumah urut kat depan kedai perabot ni.”
Pantas aku mencubit lengan Izwan. Dia tertawa senang.
“Patutlah dalam banyak-banyak kedai perabot, nak juga datang kedai kat sini. Rupanya ada rancangan lain.”
Izwan tertawa. Lelaki yang bertugas di situ turut ketawa. Usai berurusan, Izwan mengajakku ke spa. Katanya, sakit belakang yang kami hidapi ini perlu dirawat. Jadi, dia mahu aku memanjakan diri aku dengan urutan spa. Dia mengajakku ke spa yang berhampiran. Kami berdua menikmati urutan spa yang menyamankan dan tambah melegakan aku, Izwan diurut oleh tukang urut lelaki dan kami ditempatkan di bilik yang berasingan.
Aku senang dengan urutan spa yang diberikan. Aku harap emak tak menelefonku kala ini untuk bertanyakan perihal perabot barunya. Aku ingin berehat. Urutan yang nyaman ditambah pula dengan bau bunga-bungaan di bilik itu membangkitkan rasa tenang dan aku akhirnya terlelap.
*****
sambung lg..best2!!