Aku hanya insan biasa yang tak mampu menyembunyikan wajah dukaku apabila kesedihan menjengah hatiku. Aku juga tak mampu berdiam diri apabila kau acuh tak acuh melayanku. Namun aku tabah jika itu takdirku. Sebuah kisah cinta tak semestinya berakhir dengan sempurna. Aku sedar hakikat itu. Salahkah aku kerana meminta kisah cinta kita juga berakhir dengan sempurna?
Aku hanya mampu memandang kau dari jauh. Tegarnya kau memilih dia. Mengapa dia? Mengapa adikku sendiri yang kau sunting buat menghiasi taman hatimu? Mengapa? Sedikit pun aku tak mengerti. Adakah aku yang salah?
" Kak, cantik tak baju Elin? Abang Khai yang pilih ni. Elin suka sangat. Tak sabar Elin nak hidup dengan abang Khai."
Elin menayangkan baju pengantin yang bakal disarung di badannya menjelang hari pernikahannya nanti.
Aku senyap. Tak mampu meneruskan kata-kata. Terfikir dek akalku untuk meraung dan merayu agar Elin tak meneruskan perkahwinannya dengan Khairul namun aku sedar, tak ada gunanya untuk berbuat demikian. Khairul sudah berubah hati. Apakan daya aku tak mampu menambat sekeping hati milik Khairul. Dalam hati, aku menangis.
Ya, aku tahu kumbang bukan seekor.Namun adakah yang sudi menghulurkan kasih kepadaku? Aku tak pasti.
*****
Aku memandang Khairul yang segak berbaju Melayu di hari pernikahannya. Ya, pasangannya adikku, Elin. Elin beria-iya ingin aku menjadi pengapitnya. Puas sudah aku menolak namun Elin degil dan mahu aku jadi pengapitnya. Sudah puas aku mencadangkan teman-teman rapatnya dan juga sepupu-sepupu kami namun dia tetap tak mahu. Atas pujukan emak, aku akur.
Dan aku di sini. Di atas pelamin yang indah namun aku bukanlah watak utama. Aku hanya pengapit. Alangkah indahnya jika aku yang bersanding. Wajah kelatku terselindung di sebalik senyumanku. Dapat kusaksikan Elin tersipu-sipu malu sambil menjeling ke arah Khairul. Aku sedih.
Dan di suatu sudut aku terpandangkan sesusuk tubuh yang aku amat kenali. Dia memandang aku tajam. Aku tahu dia marah kepadaku atas kebodohan aku yang terlalu mengikut telunjuk Khairul. Aku dipermainkan tanpa aku sedari. Betapa tak cerdiknya aku.
Usai majlis persandingan, aku terus menghilangkan diri di belakang rumah. Menolong apa yang patut. Tak sanggup melihat pasangan pengantin yang bahagia. Tahniah Khairul. Selamat pengantin baru.
*****
Aku menarik bagasi sebelum bersalaman dengan abah dan juga emak. Aku memandang ke arah jari-jemari adikku yang masih merah berinai. Di sisinya suami tercinta. Ya, aku juga harus menjauh dari cinta ini. Ini cinta terlarang.
" Cepatnya kakak nak balik KL. Mak ingat nak suruh kakak tolong adik siapkan barang untuk menyambut menantu nanti."
Emak sudah merungut kerana tiada yang sudi membantu apabila aku tiada nanti. Aku sekadar tersenyum. Abah menjeling aku. Aku tersenyum lagi.
" Tak menyempat-nyempat nak balik. Kalau iya pun, tunggu la sampai habis menyambut menantu dulu."
Abah sedikit terasa denganku. Aku hanya senyap.
" Maaflah abah, kakak memang ambil cuti sekejap je. Ni pun dah lama."
Aku terpaksa berbohong. Aku tak mahu berlama-lama di situ. Tak mahu sakit hati jika terus memandang pasangan pengantin.
Aku bersalaman dengan Elin dan berlalu ke arah kereta. Usai memasukkan bagasi ke dalam kereta, aku pun terus memandu pulang ke Kuala Lumpur.
'Selamat pengantin baru adik dan Khairul'
*****
Aku bekerja dan terus bekerja sehinggalah aku penat. Apabila aku menelefon ke rumah emak pasti akan bertanyakan mengenai jodohku. Aku runsing. Hati ini baru dikecewakan. Mana mungkin aku dapat menyembuhkannya dalam masa yang singkat ini. Lebih baik aku sendirian sahaja. Aku tak mampu mengutip cebisan hati yang sudah berkecai dek kerana Khairul. Biarlah aku sendiri. Aku lebih selesa begini.
Panggilan telefon dari emak membuatkan aku terkejut. Emak meminta aku pulang. Aku tak mahu jika emak ingin membincangkan perihal jodohku. Emak sebolehnya mahu aku segera keluar dari rumah itu barangkali.
" Mak, kakak tak sedia lagi. Biarlah kakak cari calon sendiri."
Aku beralasan dengan emak. Namun balasan dari mulut emak membuatkan aku terkedu.
" Ke kakak tunggu Khairul? Kakak kena ingat Khairul tu, suami Elin. Adik tu. Jangan nak malukan emak."
Bagaimana emak boleh mengetahui perihal aku dengan Khairul? Aku kurang pasti dari mana sumbernya.
" Mak, kakak takkan buat adik macam tu.Kakak sayangkan adik lebih dari diri kakak sendiri."
Aku menyangkal kata-kata emak. Tegarnya emak mengeluarkan kata-kata sebegitu kepadaku.
" Kalau macam tu, kenapa kakak tak nak kahwin lagi?"
Aku terdiam saat emak bertanya sedemikian kepadaku. Tak tahu apa jawapan yang harus aku berikan kepada emak.
"Kalau mak nak kakak balik, nanti kakak balik."
Aku mengalah akhirnya dengan emak. Kenapa aku sentiasa merasakan emak selalu membeza-bezakan kasih kepada aku dengan adikku? Seringkali aku terfikir, adakah tingkahku yang tak disenangi emak? Aku tak pasti.
*****
Aku pulang akhirnya ke rumah. Emak sudah bersiap sedia menyambutku dengan timbunan kerja rumah yang perlu aku langsaikan.
" Mak nak ke rumah sebelah. Kakak masak makan malam sekali ye."
Ujar emak tanpa mengambil kira perasaanku.
Bagasi yang baru aku letakkan di hadapan pintu rumah dikuis emak dengan kaki sehingga tergolek jatuh. Tersentap hatiku apabila melihat perbuatan emak. Namun aku cuba tidak mengambil hati dengan tingkah emak yang kadang-kala menyentap perasaanku. Tanpa aku sedari perbuatan emak tadi diperhati oleh Khairul. Aku jadi segan. Seburuk-buruk perangai emak, kalau boleh aku tak mahu ianya menjadi tatapan orang luar tak kiralah menantu atau jiran tetangga. Jadi aku diamkan sahaja dan berlalu masuk ke dalam rumah.
" Baru sampai?"
Khairul sekadar berbasa-basi denganku.
Aku mengangguk kecil. Tanganku ligat mengangkat barang-barang lain yang kubawa pulang dari Kuala Lumpur. Khairul ingin menghulurkan tangannya untuk membantu aku apa yang patut, namun aku tolak dengan baik. Tak sanggup aku menerima bantuannya lagi. Biarlah aku begini. Aku lebih rela.
Perlahan aku mengangkat bagasi ke bilik belakang yang berhampiran dengan dapur. Bilik yang aku diami dulu telah pun menjadi bilik Elin dan Khairul setiap kali mereka pulang ke rumah emak. Jadi aku tak punya pilihan selain berpindah ke bilik kecil yang dahulunya dihuni oleh pembantu rumah kami.
" Bersyukurlah selagi aku ada bilik. Jangan nak mengada-ngada."
Aku memberi amaran kepada diri sendiri.
Aku mandi dan bersiap untuk menyediakan makan malam. Tudung tetap kusarung ke kepalaku kerana kehadiran Khairul yang merupakan adik iparku. Pelik aku rasakan saat ini. Dulu aku berkasih dengannya dan kini, dia adik iparku. Memang pelik.
Lantas aku membuka peti sejuk dan mengeluarkan apa-apa yang patut untuk aku jadikan hidangan makan malam. Aku menjeling kalau-kalau Elin mahu menghulurkan bantuan namun kelibat Elin tetap tidak kelihatan. Aku hampa.
*****
Usai makan malam, aku membasuh pinggan-mangkuk yang ada. Emak sudah membuka cerita mengenai kisah lelaki yang datang merisikku. Aku diam. Malas menjawab. Bukan apa, aku masih tak berminat untuk menukar status kepada puan selepas peristiwa tragis yang melanda hidupku dulu. Peristiwa di mana adikku disunting oleh kekasihku sendiri. Amat pedih amat sakit.
Kebisuan aku tak mampu menutup mulut emak dari bercerita mengenai mengenai lelaki itu. Aku rasakan diriku umpama anak dara tua yang terdesak hendak kahwin. Setiap kata-kata emak membuatkan aku terasa seperti diriku ini terdesak hendak berlaki. Sayu hati aku.
Khairul hanya memandangku dengan pandangan yang sukar aku mengerti. Aku sudah tekad, Khairul hanyalah masa silam. Haruskah aku terima sahaja sesiapa yang sudi memperisterikan diri ini?
" Jadi kakak setuju tak ni? Mak ingat nak terima je. Lagipun budak tu baik orangnya.Kalau kakak tolak, agaknya tak berlakilah kakak sampai ke sudah."
Kata-kata emak membuatkan aku buntu.
Dan akhirnya dengan berat hatinya aku terima pinangan itu walaupun hati ini berbelah bahagi. Biarlah mungkin kehadiran dia mampu meluputkan setiap kenangan aku dengan Khairul. Aku berserah.
Emak tersenyum. Abah juga sama. Bagai terlepas bebanan besar dalam hidup mereka. Akukah beban itu? Jika aku ini dianggap beban, biarlah aku melakukan sedikit pengorbanan bagi meringankan beban emak dan abah. Aku tekad.
*****
Majlis pernikahan aku dilakukan secara kecil-kecilan. Usai akad nikah hanya kenduri doa selamat sahaja diadakan. Ini semua atas permintaan emak. Emak tak mahu majlis besar-besaran. Aku akur. Namun jauh di sudut hatiku, perasaan terkilan itu tetap ada. Majlis perkahwinan Elin, emak sanggup berhabis sedangkan apabila tiba hari perkahwinan aku, emak mahu buat seringkas mungkin. Aku diam.
Aku lihat lelaki yang sudah pun sah menjadi suamiku. Ya. Dia yang merenung tajam aku di hari persandingan adikku. Dia tahu kisah aku dengan Khairul. Dia tahu segalanya. Adakah dia mahu menjadi penyelamat? Sehingga kini, aku tak pasti asal usul dia. Semuanya rahsia.
Yang aku tahu, dia bekerja sebagai dispatch di sebuah syarikat kecil di Kuala Lumpur. Aku tak pasti kerana perkenalan aku dengannya hanyalah kerana kebetulan. Dia berjanji menyimpan rahsia mengenai kisah silam aku dengan Khairul.
Usai kenduri doa selamat, suamiku, Izwan meminta diri untuk membawaku pulang ke Kuala Lumpur. Emak dengan senang hatinya membiarkan. Abah? Hanya diam. Dan baru aku tahu, emak tak kisah kalau keluarga Izwan tak membuat majlis menyambut menantu. Alangkah sedih hatiku apabila mengetahui hakikat itu.
Izwan membantuku mengemas pakaian yang patut kubawa ke rumahnya. Aku senyap. Aku memandang wajah Izwan. Dia lelaki yang misteri. Masih segar di ingatanku ketika aku berjumpa dengannya buat pertama kali. Saat itu, aku hampir dilanggar oleh sebuah kereta kerana mengejar Khairul yang sedang berjalan berdua-duaan dengan adikku ,Elin.
Dia menyelamatkan aku. Dan dia tahu semua kisah yang terjadi antara aku, elin dan khairul. Khairul hanya mendekati aku hanya kerana nak berkenalan dengan Elin. Tu yang pasti. Kadang kala aku terfikir adakah perasaan simpati membuatkan dia mengahwini diriku ini? Aku tak pasti.
*****
Bersambung….
Preview next entri
" mak dengan abah ingat nak tidur kat hotel je malam ni. Rumah kakak ni sempit sangat nak tidur."
Aku perhatikan riak wajah Izwan berubah. Tegarnya emak berkata demikian kepada rumah kami. Aku diam. Biarlah kalau emak tak sudi bermalam di sini. Aku rela.
" Oh, macam tu ke? Hotel mana mak duduk?"
Aku tak mahu menunjukkan rasa terkilanku di sini. Biarlah emak mahu menuturkan kata-kata sinis lagi sarcastic lagi.Aku tak mahu maruah suamiku dipijak-pijak. Sesungguhnya aku tak rela.
" Ala, hotel biasa-biasa saja. Tapi okay la dari rumah kecil kakak ni."
wahh,memg best la n3 kali ni tinta..update cepat2 taw..sian izwan..ntah2 izwan anak org kaya..haha,time tu padan muka diorg..sian kt kakak..sabar ye kakak..