Followers

Tirai Ramadhan itu.

Saturday, August 13, 2011


Bulan Ramadhan menjelang lagi. Masih terngiang-ngiang ditelingaku rungutan kawan-kawanku yang tak dapat berpuasa di rumah. Bersahur dengan keluarga dan berbuka dengan keluarga. Aku sendiri sudah lupa bagaimana rasanya berbuka dengan keluarga. Biasanya aku akan berbuka dengan adik-beradikku sahaja di rumah. Ibu dan ayahku keluar berkerja dan hanya akan pulang selepas azan berkumandang.
Jadi tiada juadah berbuka yang enak-enak mampu aku sediakan buat adik-beradikku menjelang waktu berbuka puasa. Hanya kurma bersama nasi putih berlaukkan cebisan ayam goreng menjadi juadah kami berbuka. Tiada kuih-muih memenuhi meja. Tiada. Kadang-kadang aku hanya hidangkan mi goreng sahaja di atas meja. Itu sahaja yang mampu aku lakukan untuk mengisi perut adik-beradikku dan aku bersyukur, setiap apa yang aku hidangkan tetap mereka nikmati dengan penuh kesyukuran.
Dalam ingatan aku, berbuka puasa bersama keluarga yang lengkap hanyalah dalam angan sahaja. Masih aku ingat, kala itu aku baru sahaja menginjak usia sepuluh tahun. Ibu dan ayahku keluar berkerja. Apabila tiba waktu berbuka puasa, tiada apa yang terhidang di atas meja. Rumah sepi. Tiada sesiapa. Kepedihan perut aku tahan. Lantas aku keluar ke kedai berhampiran membeli mi segera. Tuan kedai yang baik hati sudi membuka kedai walaupun tika itu mereka sekeluarga sedang enak menikmati juadah berbuka puasa. Pertanyaan tuan kedai merentap perasaanku tika itu.
“Mak tak masak ke adik?”
Aku hanya terseyum kelat. Lantas basikal kukayuh laju-laju menuju ke rumah. Sedih. Pilu. Namun semua itu aku simpan dalam hati. Ibu dan ayah tak pernah mengerti. Selepas peristiwa itu, aku belajar memasak. Jerang nasi dan nasi itu aku goreng menggunakan perencah. Setiap hari di bulan puasa, aku menjamu adik-adikku  yang masih kecil dengan nasi goreng hasil air tanganku. Ibuku seakan lepas tangan. Aku mengeluh sendiri.
Beberapa kali dapur terbakar. Namun aku sempat memadamkannya. Aku sedar bahayanya memasak di dapur namun tika itu aku tak punya pilihan. Jika aku takut, aku dan adik-adik akan berlapar sementara menanti ibu dan ayah pulang dari kerja. Jadi aku cekalkan hati, melakukan apa yang patut buat adik-adik tersayang.
Kadangkala apabila ibu dan ayah pulang ke rumah, aku dihidangkan dengan leteran demi leteran. Serius. Aku penat. Terlalu banyak kerja yang harus aku lakukan. Aku sudah banyak mengambil alih tugas ibuku namun ibu kadang-kadang tak sedar.  Aku memasak, mengemas dan menjaga keperluan adik-adik sepanjang ibu keluar bekerja. Namun kadang –kadang rungutan ibu menyentap hati kecilku ini.
“Tak boleh nak minta tolong langsung kak ngah ni.”
Kata-kata sebegitu memang menyentap hatiku. Sudahlah aku korbankan banyak masa untuk melangsai tugas-tugas yang telah ibu abaikan dan aku dikatakan begitu. Masih segar diingatanku sewaktu di tingkatan empat. Peperiksaan akhir tahun berlangsung dalam bulan Ramadhan. Sangkaku, Ibu akan memberikan aku ruang untuk mengulangkaji pelajaran namun aku silap. Urusan rumah tetap diuruskan aku.
Usai pulang sekolah, aku pasti akan memulakan dengan mengemas rumah, dan akhirnya menyediakan hidangan untuk berbuka. Aku penat. Namun, jika aku fikirkan kepenatan aku, alamatnya berlaparlah adik-adikku sewaktu berbuka nanti. Masakan aku sudah sebati dengan adik-beradikku. Sehinggakan ayahku juga suka akan masakanku. Namun, langit tak selalunya cerah. Aku gagal salah satu subjek dalam peperiksaan akhir tahun. Itu kali pertama aku gagal dalam subjek yang aku pelajari sepanjang aku bersekolah. Aku tak pernah gagal. Paling teruk pun hanya gred C+ yang tercatat dalam slip keputusan peperiksaanku. Aku hampa. Aku melepas perasaan di dalam bilik. Sedih. Pilu.
Kadang kala kubuka peti sejuk dan peti itu kosong. Aku sayu. Tak tahu apa yang aku hidangkan kepada adik-adik. Lantas, aku masakkan bubur nasi yang kuracik ketulan ayam semalam sebagai hidangan berbuka puasa. Mujur mereka menyukainya. Selalu mereka meminta aku memasakkan masakan kesukaan mereka. Aku terharu. Mujurlah permintaan mereka aku kategorikan sebagai biasa sahaja. Jadi bolehlah aku menunaikannya. Malah, ayahku juga semakin suka masakan yang aku masakkan. Aku terharu.
Kini aku di sini. Aku berada di kampus.  Hatiku risau dengan adik-adikku. Siapakah yang menghidangkan juadah berbuka puasa buat mereka? Siapakah yang menjaga makan pakai mereka? Aku risau. Kala ini, ingin aku segera pulang ke rumah. Tak sanggup aku lihat rumah bersepah tak berkemas. Adik-adik lapar menunggu emak dan ayah pulang dari kerja. Aku tak sanggup.
Dulu, setiap kali permintaan untuk berbuka puasa bersama kawan aku tolak mentah-mentah. Aku cuma mahu berbuka puasa bersama adik-adikku. Menemani dan melayani karenah mereka di meja makan. Jiwa aku tak tenang jika aku tak menghidangkan sendiri juadah di meja makan.
Aku sedar. Adik-adik aku membesar dengan air tanganku. Setiap kali aku pulang bercuti pasti ada sahaja yang mereka mahu aku masakkan. Aku terharu. Adik-adik aku sudah pandai memasak sendiri.
“Kak ngah tak payah nak risaukan kami lagi. Adik dah pandai masak.”
Kata-kata itu cukup mengharukan aku. Aku bertuah punya adik-adik yang memahami.  Aku harap kali ini, aku dapat pulang ke rumah lebih awal agar aku punya masa untuk menemani adik-adikku berbuka puasa di rumah. Aku tak mahu mereka sendirian di sana. Tanpa aku sedari, aku matang sebelum usia.  Mungkin aku takkan jadi begini jika ibu tak membiarkan aku berdikari. Dulu, aku tak nampak apa kebaikannya, namun sekarang aku pasti setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.

P/S: entri suka-suka di malam ke 13 ramadhan ini. Enjoy ok..