Followers

Cerpen 1: Emma Liliana

Friday, July 6, 2012

“Kenapa kau menyorok?”
Shima menegur apabila melihat Rayyan yang sedang menyorok di belakang tiang. Dalam hati, terasa ingin tergelak pun ada apabila melihat tingkah Rayyan yang seakan-akan bermain sorok-sorok.
“Tadi, Emma dia kejar aku. Aku rimas la dengan budak bertuah tu.”
Shima menggeleng. Dia tahu akan hal itu. Obsesi Emma terhadap Rayyan memang tidak boleh dihentikan lagi. Salah dia juga kerana memperkenalkan Rayyan kepada Emma. Kalaulah dia tidak memperkenalkan Rayyan kepada Emma, pasti Rayyan tidak akan menjadi mangsa Emma.
“Ray, aku minta maaf tau. Aku tak sangka yang Emma akan jadi macam tu. Dulu aku tengok dia macam budak baik je. Tak sangka dia sanggup kejar kau sampai macam tu sekali.”
Shima sedikit menyesal dengan tindakannya dahulu. Sangkanya Emma hanya mahu berkawan sahaja dengan Rayyan, namun lain pula jadinya. Emma seakan obses dengan Rayyan dan sanggup buat apa sahaja untuk mendekati Rayyan.
“Tak apalah, lagipun benda dah jadi kan. Aku pun tak salahkan kau. Dulu aku tengok si Emma tu baik je, tapi entah kenapa dia jadi macam tu sekali.”
Shima mengangguk perlahan. Kelibat Emma pun sudah tidak kelihatan. Lantas dia mengajak Rayyan untuk makan tengah hari bersama.

*****

Emma diam di atas katilnya. Sudah beberapa hari dia mahu bertemu Rayyan. Namun setiap kali dia mendekati Rayyan, pasti lelaki itu lari darinya. Emma senyap sendiri. Dia membelek-belek baju dan mekapnya hari ini. Tidak ada apa yang kurang. Perlahan dia menuju ke bilik air. Mahu mencuci muka yang penuh dengan mekap. Kemudian, dia melihat wajahnya yang bersih tanpa sebarang mekap. Pucat.
“Agaknya berapa lama lagi masa yang aku ada?”
Emma mengeluh sendirian. Wajah Rayyan dalam bingkai gambar ditenung lama. Hasratnya hanya mahu menghabiskan masa dengan Rayyan sebelum dia berangkat pulang ke rumah. Dia mahu Rayyan tahu bahawa dia sangat cintakan Rayyan, namun sikap lelaki itu membuatkan dia sedar yang si Rayyan tidak sukakan dia langsung.
“Kalau aku ada masa yang panjang, tidaklah aku terhegeh-hegeh nak kejar Ray. Tapi...”
Titisan air mata mulai luruh. Emma sedar bahawa Rayyan tidak sukakan dia, namun dia berusaha untuk menyedarkan Rayyan mengenai cintanya yang dalam terhadap Rayyan.
“Atau perlukah aku mengalah sahaja? Tengok sahaja dia dari jauh?”
Emma mula berbicara sendirian. Kemudian, bingkai gambar diletakkan kembali di meja sisi. Dia tahu Rayyan tidak akan menghubunginya apatah lagi mahu berjumpanya.
“Tapi aku takkan berputus asa sampai aku dengar sendiri dari Ray yang dia tak suka aku. mungkin dia malu kot.”
Emma bangkit dari duduknya dan ketawa bagaikan orang gila. Dia seakan tidak mahu berputus asa terhadap Rayyan.
‘Rayyan Al-Hakim. Tunggukan cinta hatimu ini.’

*****

Rayyan berbaringan di atas sofa di ruang tamu rumahnya. Sesekali dia mengerling ke arah telefon bimbitnya yang asyik berdering sedari tadi. Dia memandang ke arah skrin, tertera nama ‘Emma Psiko’ di atas skrin.
            “Kenapa tak diangkat telefon tu Rayyan? Bingit telinga mummy ni dengar.”
            Puan Siti sudah bercekak pinggang di hadapan Rayyan. Rayyan sudah kecut apabila melihat Puan Siti yang siap berbedak sejuk dan berbaju kelawar berdiri di hadapannya. Dia kemudian mengambil telefon bimbitnya dan menekan butang angkat.
            “Helo.”
            Rayyan menjawab malas. Puan Siti sudah berlalu masuk ke dalam bilik. Mungkin dia terganggu dengan bunyi telefon bimbit Rayyan.
            “Ray, akhirnya awak angkat jugak.”
            Suara Emma kedengaran gembira di hujung talian. Rayyan menguap. Malas benar nampaknya dia melayan kerenah Emma yang baginya tidak reti bahasa penolakkan Rayyan.
            “Ada apa telefon ni? Aku sibuk.”
            Rayyan menjawab malas. Rayyan tahu kala ini kesabarannya melayani kerenah Emma semakin menipis. Dia mahu menghentikan segalanya. Dia mahu hidup tenang tanpa diganggu oleh Emma.
            “Saja nak tanya khabar. Awak sihat?”
            Darah Rayyan mulai menyirap. Dia malas nak melayan Emma. Baginya Emma tidak layak berdampingan dengannya. Rayyan mencari akal. Rasanya dia perlu buat sesuatu agar Emma tidak lagi mencarinya.
            “Emma, aku cuma nak bagitahu kau, yang aku dah ada awek dan aku tak perlukan perempuan seperti kau untuk jadi awek aku. Jadi aku harap kau faham yang aku tak suka kau dan jangan ganggu aku lagi ok.”
            Sejurus selepas itu, panggilan telefon diputuskan. Telefon bimbitnya turut dimatikan. Tidak mahu gangguan dari Emma lagi.
            ‘Puas hati aku.’

*****

Emma merenung telefon bimbitnya. Kata-kata yang terbit dari mulut Rayyan menyakinkan dia untuk mengalah. Emma memandang ke arah Shima yang sedang asyik menelaah. Sesekali dia melihat Shima menyisip air nescafe yang dibancuhnya tadi. Mungkin menyedari dirinya diperhatikan, Shima memandangnya.
            “Kenapa kau tengok aku macam tu?”
            Shima bertanya secara rawak. Dia tahu pasti ada benda yang bermain di fikiran Emma kala ini.
            “Shima, betulkah Ray dah ada awek?”
           Pertanyaan itu menyebabkan Shima tersedak.  Emma dilihatnya sedang merenungnya. Dia jadi serba-salah.
            “Erm, kalau macam tu, kau boleh tak pesan dekat awek Ray tu, jaga Ray elok-elok. Cakap dekat dia, yang dia bertuah sebab Ray suka dekat dia.”
            Usai Emma menuturkan kata-kata itu, dia berjalan mengambil laptopnya di dalam almari. Kemudian, dia menghidupkan suis laptopnya dan mula menaip sesuatu di laptopnya. Shima hanya memandang tingkah pelik Emma.
            “Emma, kau takkan ganggu Ray lagi ke?”
            Shima sengaja bertanya kepada Emma. Emma memandang Shima dengan pandangan yang kosong. Perlahan dia mengangguk.
            “Kau jangan risau. Aku takkan kacau Ray dah. Lagipun, mesti awek dia marah kan. Tak baik rampas hak orang.”
            Shima lega namun dia sedikit hairan dengan sikap Emma. Setahu dia, Emma obses terhadap Rayyan. Namun mengapakah dia begitu mudah mengalah?
            “Kau okay tak ni?”
            Emma tersenyum. Perlahan dia mengangguk. Shima senyap dan kembali menyambung kerja-kerjanya yang tergendala.

*****

“Aku pelik la Ray. Semalam, si Emma tu cakap kat aku yang dia takkan ganggu kau lagi.”
Rayyan tersenyum. Baginya perkhabaran yang baru dinyatakan oleh Shima merupakan satu rahmat. Tak perlulah dia menyorok-nyorok lagi apabila ternampak kelibat Emma.
“Baguslah kalau macam tu. Aku pun dah tak larat nak main kejar-kejar dengan kawan kau tu.”
Rayyan menyanyi-nyayi kecil. Riang benar nampaknya apabila Shima memberitahu bahawa Emma tidak akan menganggunya lagi. Sedang asyik dia berjalan-jalan dia ternampak kelibat Emma yang melintas. Seperti biasa Emma sendirian kala itu. Rayyan tercegat. Akalnya menyuruh dia berselindung di sebalik kereta namun dia tidak berbuat demikian. Emma memandang ke arahnya sekilas dan tersenyum. Kemudian, Emma kembali menyambung perjalanannya. Rayyan terasa sesuatu.
“Dia memang betul-betul tak kejar aku lagi.”
Shima menoleh ke arah Rayyan yang terdiam di situ. Dia yakin Emma tidak akan mengganggu Rayyan lagi. Dia kenal Emma. Sekali dia berjanji, dia akan kotakan.
“Ray, kan aku dah cakap. Lepas ni, hidup kau aman dah. Emma takkan ganggu kau lagi.”
Selamba dia menuturkan. Rayyan hanya mengangguk, namun jauh dalam hatinya dia terasa sesuatu yang hilang.
“Betul cakap kau. Aku dah bebas dari Emma Psiko tu.”
Rayyan tersenyum sedikit.

*****

Emma mengemas pakaiannya. Dia perlu pulang. Kebelakangan ini dia rasa sedikit tidak sihat. Lagipun temu janjinya dengan doktor dijadualkan minggu hadapan. Kata papa, ada yang sudi mendermakan sumsum tulang kepadanya. Pembedahan akan dilakukan secepat mungkin. Emma sudah tidak tahan lagi menelan ubat-ubatan yang banyak.
            “Eh, Emma kau nak pergi mana? Setahu aku cuti sem lambat lagi kan.”
            Emma memandang Shima. Rakannya itu begitu risaukannya. Dia tahu Shima syak dia mahu bawa diri kerana tidak dapat memiliki Rayyan. Namun, Shima silap. Dia bukanlah perempuan yang lemah. Dia perempuan kuat. Dia masih boleh berdiri tanpa cinta Rayyan.
            “Aku nak balik kampung. Mama dan papa datang ambil nanti petang. Ada hal.”
            Shima melihat Emma yang mengemas hampir kesemua barang-barangnya. Emma tahu Shima prihatin, namun dia belum ada hati untuk memberitahu Shima. Rasanya Shima tak perlu tahu tentang sakit yang menimpa dirinya ini.
            “Aku extend sem ni. Sem depan, Insya-Allah aku masuk balik. Kau doakan ya.”
            Mata Shima terbeliak sedikit. Mungkin dia tidak menyangka bahawa Emma akan extend semester. Sangkanya Emma baik-baik sahaja.
            “Kau jangan nak fikir bukan-bukan. Aku extend bukan sebab Ray. Ada sebab lain dan aku harap kau tak panjangkan hal ni pada Ray. Aku dah tak nak ganggu dia dengan berita-berita aku tau.”
            Shima diam. Dia melihat Emma mengangkat barang-barangnya ke tingkat bawah. Dia tahu jauh di sudut hati Emma ada rasa sedih yang bermukim di situ.
“Aku doakan kau tabah Emma.”
            Namun, kata-kata itu hanya terlahir dalam hati sahaja.

*****

PERMULAAN SEMESTER BARU

Rayyan berjalan menghampiri Shima yang sedang asyik menghirup minuman di kafe. Dia kemudiannya mengambil tempat di hadapan Shima. Mujur sahaja Shima air yang diminumnya tidak tersembur apabila melihat Rayyan.
            “Shima... aku nak tanya sesuatu ni.”
            Shima memandang wajah Rayyan yang berkerut dan resah. Wajah Rayyan kala ini bagaikan dikejar seseorang. Tapi siapa? Setahunya Emma masih lagi tidak menyambung kembali semester ini. Dia pelik dengan tingkah Rayyan.
            “Tanya la.”
            “Kenapa Emma tak jawab phone dia? Aku call dia dari minggu lepas lagi tapi satu pun dia tak angkat.”
            Shima memandang Rayyan. Hatinya terdetik untuk mengetahui mengapakah Rayyan mahu mencari Emma. Setahu dia Rayyan memang tidak sukakan Emma.
            “Kenapa tiba-tiba call dia? Bukan ke kau tak suka dia ke?”
            Rayyan senyap. Dia tahu salahnya kerana mempamerkan kebencian terhadap Emma. Kini dia sengsara. Dia resah apabila Emma tidak lagi mahu menelefonnya. Dia sunyi tanpa Emma di sisi. Kini baru dia sedar bahawa dia mula sukakan gadis itu. Dia mula menyimpan rasa terhadap gadis itu. Dia mula rindu untuk dikejar gadis psiko itu.
            “Emma tak masuk lagi sem ni. Entah sampai bila dia nak extend.”
            Mata Rayyan membulat.
            “Extend? Kau tak pernah nak bagitahu aku pun. Kalau macam tu, jom kita cari dia dekat rumah.”
            Shima memandang Rayyan yang seakan gila talak itu.
            “Emma yang tak nak bagitahu yang dia extend. Kalau nak pergi rumah dia pun okay juga. Rumah dia dekat-dekat area kampus kita ni je. Dekat je. Lagipun aku pernah pergi rumah dia hari tu.”
            Rayyan mengangguk. Kalau boleh saat itu juga dia mahu terbang ke rumah Emma.

*****

Banglo dua tingkat itu direnung seketika. Rayyan dan Shima teragak-agak hendak menekan loceng. Mereka berpandangan sesama sendiri. Saling tunding-menunding sesama sendiri agar menekan loceng. Mujurlah mama Emma datang membukakan pintu pagar setelah menyedari ada yang datang bertamu di rumahnya.
            “Assalamualaikum aunty.”
            Shima menyalami tangan mama Emma. Wajah mama Emma kelihatan sayu dan seakan baru lepas menangis.
            “Waalaikumussalam, Shima. Kenapa datang ni?”
            Shima tersenyum. Rayyan sudah berdehem. Mungkin mahu mengingatkan Shima bahawa dia tidak keseorangan di situ.
            “Aunty, ni saya kenalkan Rayyan. Kawan saya.”
            Rayyan menganggukkan kepala kepada mama Emma dan tersenyum. Kemudian, mama Emma menjemputnya masuk ke dalam rumah. Rayyan dan Shima mengambil tempat di atas sofa di ruang tamu yang sederhana luasnya itu.
            “Ya, ada apa nak datang bertandang ke rumah aunty ni Shima, Rayyan?”
            Rayyan berdehem. Tidak tahu mana untuk memulakan. Rasa malu untuk menyatakan kedatangannya hanyalah untuk menjenguk Emma yang sudah lama tidak ditemui. Melihat keadaan Rayyan yang segan tak bertempat Shima memulakan bicara.
            “Aunty, sebenarnya kami datang nak jumpa Emma. Dah lama tak nampak dia. Lagipun sem baru dah buka. Jadi kami nak tahu la keadaan Emma sekarang.”
            Ucapan yang baru sahaja terlahir di bibir Shima membuatkan mama Emma menitiskan air mata. Shima kaget. Rayyan terkedu. Kemudian, mama Emma mengesat air matanya. Dia menarik nafas dalam.
            “Marilah, aunty bawa kamu pergi jumpa Emma.”

*****

            Rayyan berteleku di situ. Shima dan mama Emma sudah berangkat meninggalkannya. Dia merenung tanah yang masih lagi merah. Dia senyap. Tak sangka Emma begitu menderita selama ini. Ya, dia sudah berjumpa dengan Emma. Kalaulah dia tahu Emma sakit, takkan sanggup dia menuturkan kata-kata yang mengguris hati Emma tempoh hari. Surat yang diserahkan oleh mama Emma dibuka dan dibaca berulang-ulang kali. Ada nada sendu di dalam surat itu.
            “Maafkan Ray, sayang.”

Assalamualaikum Rayyan.
Mungkin warkah ini adalah warkah terakhir yang mampu Emma titipkan buat Ray. Maaf jika kehadiran warkah ini menganggu gugat perasaan Ray. Emma minta maaf jika ada salah silap Emma kepada Ray. Emma harap Ray dapat maafkan ketelanjuran Emma dalam mengejar cinta Ray. Ray tahu kan, Emma obses dengan Ray. Cuma apabila Ray katakan bahawa Ray sudah ada yang punya, Emma mengalah kerana Emma tahu bahawa cinta takkan terjadi kalau sebelah pihak sahaja yang beria-iya.
Ray,
Walau apapun yang terjadi, Emma dah maafkan Ray dan Emma amat berharap, Ray maafkan Emma. Lagi satu, boleh tak Ray penuhi permintaan kecil Emma ini? Emma harap Ray sudi sedekah Al- Fatihah kepada Emma setiap kali lepas solat. Itu sahaja permintaan Emma yang terakhir. Harap Ray sudi tunaikan.
Emma nak Ray tahu yang Emma sayangkan Ray. Jaga diri elok-elok dan berbahagialah selalu.
Yang tulus mencintaimu,
Emma Liliana

***** Tamat*****
P/s: Cerpen untuk memeriahkan blog. Harap terhibur. 
            

1 comments:

  1. kesian emma... ray kalau tak pun, jangannlah buang emma sampai macam tu.. kan dah menyesal.. haihh.. :'(