BAB 11
Aku memandang wajah Izwan yang sedang tekun membaca majalah Pa & Ma. Sesekali dia membetulkan duduknya. Gelas susu yang berada di hadapanku dipandang sepi. Izwan masih melancarkan mogok tidak mahu bercakap denganku jika aku tidak meneguk segelas susu segar itu sampai habis. Aku menghela nafas. Dengan separuh kekuatan, aku meneguk perlahan-lahan susu segar itu. Rasanya tak sedap langsung. Aku perasan wajah Izwan yang sedikit ceria dan apabila aku menghabiskan segelas susu. Majalah Pa & Ma diletakkan di atas meja dan perhatiannya kembali kepadaku.
“Kan bagus macam tu. Ikut cakap abang.”
Aku memuncungkan mulut. Sebetulnya wajah Izwan yang ceria sedikit sebanyak melegakan hati aku. Lagipun tak salah apa yang dilakukan. Dia hanya perlukan yang terbaik untuk aku dan bayi yang akan lahir ini.
“Yalah, Intan ikut cakap abang kali ini saja. Abang, Intan tak nak minum susu. Nanti boleh tak Intan minum susu soya saja? Sama je kan?”
Wajah Izwan berkerut.
“Tak boleh sayang, sebab kita tak tahu lagi jantina baby, nanti kalau dah tahu baby itu perempuan, sayang boleh minum susu soya. Kalau baby boy, sayang kena continue minum susu.”
Aku memandang Izwan. Banyak benar yang dia tahu mengenai kehamilan. Aku rasakan seperti dia yang mengandung dan bukannya aku.
“Kalau mengandung baby boy memang tak boleh minum susu soya ya abang? Kenapa?”
Aku bertanya. Sengaja ingin mengetahui sebab mengapa aku tidak dibenarkan susu soya.
“Sebab susu soya tu, ada kandungan estrogen. Jadi, kalau sayang minum susu soya bila mengandung baby boy, nanti anak kita jadi lembut pula nanti.”
Aku tergelak apabila Izwan menunjukkan istilah tangan patah kepadaku. Ada-ada sahaja Izwan ini. Gelakan aku terhenti apabila kedengaran bunyi ketukan di pintu utama rumah.
“Sayang duduk. Biar abang pergi buka pintu.”
Aku berlalu ke bilik tidur untuk mencari tudung sarung. Manalah tahu, mungkin tetamu yang datang itu seorang lelaki yang bukan muhrimku. Tidak elok menambah dosa dan membebankan suamiku dengan dosa-dosaku. Aku mahu jadi isteri solehah.
*****
“Siapa yang datang abang?”
Aku keluar dari bilik dan menjengah ke ruang tamu. Emak dan Elin sudah berada di ruang tamu. Perut bonyot Elin aku tenung. Kali ini, mereka tidak hanya datang berdua, abah dan Khairul juga turut berada di ruang tamu. Izwan melayan mereka dengan ramah. Aku menyalami, emak, abah dan juga Elin.
“Mak, abah.. apa khabar?” tanyaku ramah.
Emak mencebik. Abah tersenyum.
“Abah dan mak baik sahaja. Kakak sihat?”
Abah bertanya ramah. Aku tersenyum. Mujurlah abah tidak mencebik seperti yang emak lakukan kepadaku. Aku sekadar mengangguk tanda sihat.
“Duduklah dulu, kakak ke dapur sekejap. Mak dan abah makan tengah hari di sini ya. Kakak masak sekejap.”
Baru sahaja aku ingin berlalu ke dapur, emak sudah mencelah.
“Tak payah nak susah-susah. Nanti Elin dan Khairul nak bawa mak dan abah makan kat restoran. Nak harapkan kakak dan Izwan ni, entah sampai bila-bila pun tak bawa mak dan abah makan.”
Aku tersentak. Emak sudah memulakan sesi menyindir. Aku terasa dengan sindiran emak. Selalunya aku tidak cepat terasa dengan sindiran emak, namun kali ini sindiran emak bagaikan menusuk terus ke dalam hati. Amat pedih dan amat menyakitkan. Izwan yang mungkin perasan akan perubahan air wajahku, terus sahaja mencelah.
“Oh, mak dan abah nak makan dekat mana? Dekat-dekat sini ada juga restoran baru buka. Sedap juga makanan dekat situ. Nanti bolehlah, pergi makan dekat sana,” tutur Izwan bersahaja.
“Khairul nak bawa mak dan abah makan dekat hotel lima bintang.”
Angkuh sahaja kedengaran suara emak. Aku sudah berlalu ke dapur. Aku ingin menyediakan minuman buat tetamu. Aku sedari Elin dan Khairul sedari tadi memerhatikan aku dan Izwan. Jelikkah kami berdua? Uncang teh Lipton aku letakkan ke dalam teko dan air panas aku tuang ke dalam teko. Haruman teh memang mendamaikan jiwa. Usai meletakkan gula, aku berlalu ke ruang tamu dan menghidangkan air kepada tetamu.
“Jemput minum semua. Air teh sahaja.”
Aku menuang teh ke dalam cawan dan meletak di atas meja kopi. Kemudian, sepiring kek pisang yang baru sahaja aku beli semalam, aku letakkan di atas meja kopi.
“Jemputlah makan kek ni.”
Aku mempersilakan emak dan yang lain untuk menjamah hidangan yang tidak seberapa itu. Elin mengambil sepotong kek pisang.
“Dah lama Elin nak makan kek pisang.”
Aku mengesan seraut wajah ceria sewaktu menjamah kek pisang yang aku sediakan. Khairul turut tersenyum memandang telatah isterinya. Dia turut menjamah kek pisang yang aku sediakan. Hanya emak yang tidak mahu menjamah kek pisang. Air teh yang aku hidangkan juga tidak dijamah. Izwan sekadar bersahaja. Aku tahu jauh di sudut hatinya, dia tersentap dengan tindakan emak yang semakin lama semakin menjadi perangainya.
“Kami berangkat dulu ya, ada kerja lain pula nak dibuat ni. Datang ni sengaja nak melawat kakak dan abang wan.”
Khairul memulakan bicara. Aku tersenyum. Sekurang-kurangnya Khairul masih tahu menghormati aku dan Izwan. Aku sedikit terharu. Seketika kemudian, mereka semua berangkat pulang. Aku dan Izwan saling berpandangan antara satu sam lain. Ya, aku tahu pandangan sayu Izwan itu. Jelas dia terasa dengan kata-kata emak sebentar tadi.
‘Mengapa rumah tangga yang aku inginkan selalu ada penghalangnya?’
*****
Aku berjalan ke arah Izwan. Dia memandang ke luar jendela. Saat ini ada yang menganggu fikirannya. Mungkin dia tidak mahu meluahkan kepadaku kerana keadaan aku yang berbadan dua. Dia tidak mahu menyesakkan fikiranku dan juga memberikan beban kepada emosiku.
“Abang... Intan minta maaf bagi pihak emak.”
Izwan memandangku. Dia meraihku ke dalam pelukannya. Senyap. Satu patah perkataan pun tidak dikeluarkan olehnya.
“Abang...”
“Shhh... Intan tak salah apa-apa pun. Memang emak dari dulu macam tu kan? Sebab abang dah kahwin dengan anak dia, abang anggap emak sebagai emak abang sendiri.”
Mataku sudah berair. Mungkin perasaan terharu dengan kesabaran yang ditunjukkan oleh Izwan. Sejak berkahwin denganku, dia selalu makan hati dengan sikap emak yang semakin menjadi-jadi memperlekehkan aku dan Izwan. Aku semakin tidak faham dengan emak. Setiap kali solat, aku selalu berdoa agar emak akan sedar akan kekhilafannya dan menerima kami seadanya.
Izwan mengusap perutku. Bagaimanakah keadaan anak ini jika dia lahir ke dunia nanti? Adakah dia juga akan turut menjadi habuan sindiran neneknya? Pernah juga, akal jahatku ini tidak mahu pulang lagi ke rumah itu, namun, siapakah aku untuk memutuskan silaturahim sesama insan?
“Intan, abang rasa emak memang tidak sukakan kita kan?”
“Abang, emak memang macam tu. Kalau dia tak suka, takkan dia nak datang rumah dan jenguk kita?”
“Abang tahu tapi semakin hari, semakin teruk perangai emak tu. Kalau satu hari nanti emak buat apa-apa pada Intan, abang rasa mungkin abang tidak boleh nak benarkan Intan jumpa dengan emak lagi.”
Suaran Izwan kedengaran tegas. Aku tahu dia risaukan keselamatan aku. Lagipun tadi sebelum pulang, sempat emak menitip sedikit air akar kayu yang katanya bagus untuk kesihatan bagi ibu mengandung sepertiku.
“Abang, tadi emak ada bagi air akar kayu suruh buat minum. Katanya baik untuk perempuan mengandung.”
Izwan menunjukkan riak wajah tidak senang. Aku tahu dia pasti tidak bersetuju untuk aku mengambil air akar kayu itu.
“Abang rasa baik Intan tak payah minum air tu, abang takut nanti lain pula jadinya nanti.”
Aku hanya menurut. Risau juga untuk mengambil ramuan herba yang mungkin mengandungi toksik. Izwan merenggangkan pelukan. Dia kemudian berlalu ke dapur. Mungkin ingin melihat air akar kayu yang diberikan oleh emakku. Aku hanya menurut langkah Izwan.
“Abang nak bawa air ni jumpa dengan mama.”
“Kenapa?”
“Abang nak pastikan air ni betul air akar kayu untuk perempuan mengandung.”
“Abang, seburuk-buruk perangai emak, emak takkan sanggup buat perkara-perkara tak elok untuk Intan.”
Izwan senyap. Aku tahu dia terlalu risaukan aku.
“Abang cuma nak pastikan sahaja. Petang ni kita balik ke rumah mama.”
Tegas Izwan berkata-kata. Aku tahu itu merupakan arahan. Tiada kompromi. Akhirnya aku menurut sahaja.
*****
Petang itu aku dan Izwan ke rumah mama. Mama menyambut kami dengan ramah. Aku menyalami mama dan kemudian papa. Bibik sibuk di dapur untuk memasak makanan kegemaran kami berdua.
“Menantu mama sihat?”
“Sihat mama. Baby dekat dalam perut pun sihat.”
Aku lihat mama dengan papa juga gembira dengan kehadiran kami berdua. Entah mengapa aku merasakan sambutan mama dan papa lebih hangat daripada keluargaku sendiri. Mereka ikhlas menerima aku seadanya. Tidak seperti keluargaku sendiri. Aku mula membandingkan keluargaku dengan keluarganya. Terasa teruknya diriku kerana membandingkan keluargaku dengan keluarga Izwan. Apa-apapun, mereka masih lagi keluargaku dan aku harus menerima mereka seadanya.
“Mama, Wan nak minta mama tengokkan air akar kayu ni. Ada yang kata elok untuk perempuan mengandung macam Intan ni. Tapi Wan risau pula nak bagi si Intan minum. Nak minta mama tengokkan dulu.”
Mama meneliti air akar kayu yang diletakkan di dalam botol plastik. Mama membuka penutup botol dan mencium bau air akar kayu itu. Air akar kayu itu dituang ke dalam gelas. Warnya perang dan kelihatan keruh. Baunya agak meloyakan tekakku. Aku menjarakkan sedikit dari mama. Tak tahan dengan bau yang dihasilkan dari air akar kayu itu.
“Waduh... waduh.. Datin, kuat baunya. Apaan ini?”
Bibik sudah datang melihat air akar kayu yang diletakkan di dalam gelas. Dia menutup hidung dengan telapak tangannya. Mulut bibik agak bising. Mama dan Izwan kelihatan serius. Bagaikan sedang menganalisa air akar kayu itu.
“Datin, bibik rasa ini air akar kayu nggak boleh diminum sama wanita hamil. Bisa gugur nanti.”
Aku terdiam. Betulkah begitu? Takkanlah emak mahu menggugurkan kandungan aku? Kata emak ini untuk memberikan aku tenaga semasa hamil memandangkan aku hamil anak pertama. Aku tak faham.
“Mama rasa, tak perlulah Intan minum air akar kayu ni. Kalau Intan nak minum minuman herba, mama buatkan yang lain. Kalau minum yang ni, mama takut Intan tak tahan dengan bau dia.”
Mama mengemaskan kembali air akar kayu. Wajah Izwan sedikit berubah. Aku tahu dia kecewa. Mujurlah aku tak meneguk air akar kayu itu lagi. Kalau tak, aku sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada aku dan bayi dalam kandungan ini.
“Abang rasa mak dah melampau bila dia buat Intan macam ni.”
Dingin suara Izwan menuturkannya. Aku terkedu. Risau akan ada perang yang meletus antara Izwan dan emak. Aku memandang wajah Izwan yang sudah memerah menahan marah.
“Mama, jangan buang air akar kayu itu. Wan ada benda nak buat dengan air akar tu.”
Aku memandang wajah Izwan yang serius. Dapat aku rasakan tahap kesabaran Izwan semakin memuncak. Aku harap tiada apa-apa yang buruk yang berlaku antara Izwan dan emak nanti.
‘Semua ini ada hikmahnya. Aku yakin.’
*****
P/S: Maaf kerana dah lama tak post kisah ini. Hazel harap entri ini boleh ubatkan rindu semua ya... Selamat membaca dan terima kasih kepada yang sudi singgah dan baca... ^^v