BAB 12
Seminggu sudah berlalu selepas peristiwa itu. Izwan agak kecewa dengan sikap emak yang bertindak untuk mengapa-apakan aku dan bayi dalam kandunganku ini. Hati aku pedih kala itu. Izwan sudah berputus asa dengan sikap emak yang langsung tidak mahu berkompromi dengan kami. Emak masih ego dengan sikapnya. Sebetulnya Izwan ingin membuat laporan polis atas tindakan emak yang agak melampaui batasan kemanusiaan. Namun, tidak sampai hati pula aku untuk membiarkan emak terlibat dalam hal ini. Walaupun apa yang emak lakukan itu agak melampaui batasan, aku seharusnya lebih bersabar. Aku yakin, doa orang-orang teraniaya adalah lebih mustajab. Aku harap emak akan sedar akan tindakannya yang melampau itu.
“Abang rasa Intan tak perlulah jumpa dengan emak lagi sampai selamat lahirkan anak tu.”
Aku tersentak. Hatiku tertanya-tanya. Mengapakah Izwan membuat keputusan yang drastik itu. Adakah tindakan emak tempoh hari melukakan hati lelakinya? Aku mendekati Izwan yang sedang berdiri menghadap balkoni di kamar kami. Buku yang sedang dipegang aku letakkan di atas katil. Aku menyentuh lengan Izwan. Wajahnya sedikit berkerut.
“Abang? Kenapa abang buat keputusan macam ni? Kan kita dah janji akan sabar dengan kerenah emak.”
Aku memandang wajah Izwan yang tidak beriak. Nampaknya Izwan semakin tekad. Izwan yang berdiri di hadapan aku ini bukanlah Izwan yang aku kenali dulu. Dia nampak tegas dan tidak akan berubah pendiriannya apabila dia membuat sesuatu keputusan.
“Ya, memang abang dah janji dahulu tapi itu sebelum emak buat Intan macam tu. Intan sedar tak yang emak cuba bahayakan Intan dan anak kita?”
Aku terdiam. Ya, memang betul apa yang dikatakan oleh Izwan. Memang emak cuba mencederakan aku tapi mungkin emak tidak sengaja. Aku cuba berfikiran positif, tapi hati aku tidak menolak bahawa emak memang berniat untuk mencederakan aku.
“Abang takkan maafkan emak jika ada sesuatu yang tidak elok berlaku pada Intan.”
Aku senyap. Izwan memang terlalu risaukan aku. Sejak menjadi isteri Izwan, aku sentiasa gembira. Dia sentiasa ada untuk aku dan selalu melindungi aku dari terluka. Patutkah aku berterima kasih dengan emak kerana memaksa aku berkahwin dengannya dahulu? Ya, aku patut berterima kasih dengan emak kerana menjodohkan aku dengannya.
“Tapi abang, kalau emak tak terima pinangan abang dulu, mesti abang tak kahwin dengan Intan kan?”
Mata Izwan mencerlung ke arahku. Aku tahu dia tidak sukakan apabila aku berbicara mengenai awal perkahwinan kami. Segera aku meminta maaf padanya.
“Nampaknya banyak yang Intan tak tahu mengenai mak,” tutur Izwan perlahan.
Serta-merta aku mendongak memandang Izwan.
“Apa maksud abang sebenarnya?”
*****
Aku terduduk. Sama sekali tidak menyangka bahawa emak sanggup memperlakukan aku sedemikian rupa. Izwan memelukku. Aku sudah menangis teresak-esak. Aku memang terluka saat ini. Sangat terluka apabila harga diri aku murah pada pandangan emak.
“Intan tak sangka emak akan buat Intan macam tu.”
Izwan sudah mengusap ubun-ubunku. Mungkin itu salah satu cara untuk menenangkan hati aku yang sudah remuk ini.
“Abang dah selamatkan Intan. Intan jangan risau lagi.”
Jari Izwan mengelus pipiku dan mengesat air mata yang mengalir di pipiku. Aku tersedu-sedan menangis. Izwan masih lagi berusaha menenangkan aku.
“Abang, kalaulah rancangan emak tu berjaya, agak-agaknya apa yang jadi pada Intan sekarang ya abang?”
Mulutku mula menuturkan apa yang bermain di fikiranku kala itu. Izwan menutup mulutku dengan telapak tangannya. Aku tahu, itu tandanya dia tidak mahu mendengar kemungkinan-kemungkinan yang tidak baik daripadaku. Jauh di dasar hati, aku bersyukur kerana Izwan menjadi hero dalam kisah hidup aku. Aku sangat bersyukur.
“Rancangan emak takkan berjaya selagi abang ada di sisi Intan. Intan akan selamat. Kita akan hidup bahagia dengan anak yang bakal lahir ini nanti.”
Aku mengangguk perlahan. Tangan Izwan masih berada di pipiku. Aku tersenyum tawar. Izwan benar-benar terasa dengan tindakan emak terhadap aku. Namun, jauh di sudut hatiku, tindakan emak seolah-olah menjangkaui batasan kemanusiaan.
“Abang, jom pergi makan.”
Wajah Izwan berkerut. Dia memandang tepat ke arah wajahku.
“Kan tadi sayang dah makan piza? Takkan lapar lagi?”
Aku memuncungkan mulut. Izwan menarik muncungku. Aku mengaduh kesakitan. Kemudian Izwan sudah mengelabah apabila ekspresi wajahku yang menahan kesakitan.
“Sorry.. Sorry. Abang tak sengaja.”
Aku mencebik. Izwan sudah menyentuh bibirku yang ditarik tadi. Aku tersenyum nakal. Berjaya juga aku mengenakan Izwan. Izwan mencubit pipiku yang semakin tembam ini. Kemudian dia menarik tanganku.
“Nak pergi mana?”
Aku bertanya hairan. Dia tersenyum
“Nak pergi makan. Tadi Intan kata lapar kan. Jom makan. Abang rasa nak masakkan sayang spagetti.”
Aku menuruti langkah Izwan menuju ke dapur. Sungguh saat ini perasaan bahagia itu meresap dalam jiwa menggantikan perasaan sedih tadi.
‘Intan sayang abang selamanya.’
*****
SEDARI tadi, telefon bimbitku tidak berhenti berdering. Panggilan telefon daripada emak tidak kuangkat lantaran terasa hati dengan perbuatan emak yang lalu. Namun, lama-kelamaan kuangkat juga telefon bimbit itu. Panggilan emak aku sambut. Suara emak sudah meninggi. Aku tahu emak tidak suka dilayan sebegitu. Aku tahankan sahaja semua perasaan sakit dalam hati.
“Hah! Baru berangkat telefon kamu ni. Mak ingat dah masuk laut telefon kamu ni. Tak reti-reti ke nak angkat telefon.”
Aku tersentap. Emak masih lagi membebel di hujung telefon. Aku tahu, tidak wajar untuk aku meperlakukannya sedemikian rupa. Namun, sikap emak semakin menjadi-jadi semenjak mengetahui bahawa aku tidak meminum minuman akar kayu yang diberinya tempoh hari.
“Buat penat je mak minta air akar kayu tu dari bidan kampung, kamu senang-senang saja buang air akar tu. Yalah, mak tahu kamu dah dapat laki kaya, buat apa lagi nak minum minuman akar kayu tu kan. Baik cari ubat moden. Lagi bagus kan?”
Aku sedar ada sedikit perlian di situ, namun aku hanya menadah telinga mendengarnya. Izwan tidak membenarkan aku berjumpa dengan emak sendirian. Dia risau jika aku diapa-apakan oleh emak.
“Abang Izwan tak buang air tu mak. Abang simpan sebab kalau kakak minum air tu, badan kakak jadi lemah. Sebab tu abang Izwan tak bagi kakak minum air tu.”
Aku mempertahankan Izwan. Emak dari dahulu lagi tidak menyukai Izwan. Aku tidak pasti mengapa. Padahal dulu, emak yang beria-ria mahu aku menjadi isteri Izwan, namun sekarang lain pula jadinya. Setelah aku berbahagia dengan Izwan, emak seakan-akan tidak suka aku berbahagia dengan Izwan. Terlalu buruk sangkakah aku?
“Mak, jangan buat kakak macam ni. Kakak bukan tak nak minum air tu, cuma kakak rasa badan kakak masih lagi kuat walaupun tak minum air akar tu.”
Aku cuba berdalih. Emak seakan-akan cuba memaksa aku untuk meminum air akar kayu itu. Aku sedikit hairan dengan sikap emak yang terlalu memaksa aku atas alasan demi kebaikan aku.
“Mak tak kira! Sekarang ni, emak nak kakak ambil dan minum air akar kayu itu. Cuba hargai sedikit apa yang emak dah buat ni.”
Telefon dimatikan usai emak menuturkan kata-kata berbaur amaran. Sehingga kini, aku masih lagi tidak mengerti mengapa emak beria-ria menyuruh aku meminum air akar kayu itu. Emak bagaikan memaksa. Sudahnya aku mati kutu di situ. Mahu mengikut kata emak, Izwan sudah melarang. Takkan aku mahu menderhaka pada suami? Bukankah taat pada suami adalah satu kewajipan pada suami?
‘Maafkan kakak, mak. Kakak perlu ketepikan permintaan emak yang kecil itu kerana Izwan.’
*****
P/s; Dah lama tak postkan entri di sini. Harap masih ada yang sudi membaca. Sebarang komen dan kritikan membina amatlah dihargai agar Hazel tak syok sendiri menulis. Ha-Ha