Followers

The chronicles of me part 10

Wednesday, September 7, 2011
Sudah beberapa minggu aku tidak bersembang secara maya dengan Isaac. Ya, aku tahu dia sibuk. Emel-emel dariku juga tidak dibalas. Sudahnya aku tak lagi mengirimkan emel kepadanya apatah lagi menyapanya di ruangan sembang maya. Ah! Aku malas. Merajukkah aku dengan sikapnya? Tak. Aku tak merajuk. Aku cuma mahu memberikan ruang kepadanya.  Aku tak mahu dikatakan terhegeh-hegeh. Pathetic. Desperate. Kalau boleh aku tak mahu dipanggil dengan perkataan sedemikian rupa. Malu.
            Jadi aku teruskan kehidupan aku seperti biasa. Tanpa emel dari dia. Laman sosial Facebook kubuka. Banyak notification di facebook. Aku membuka satu persatu dan baru aku sedar yang semalam merupakan hari lahir salah seorang rakanku di universiti. Aku meneliti ruangan sembang. Ya, dia sedang online. Tanpa ragu-ragu jari-jemariku menaip.
            ‘Happy belated birthday, Jim.’
            Lantas aku membiarkan ruangan sembang itu sepi. Seketika kemudian bunyi beep kedengaran. Aku meneliti ruangan sembang tadi. Segaris senyuman terukir dibibir tatkala membacanya.
            ‘Dah berkurun baru nak ucap ke Alin?’
            Aku tersengih sendirian di hadapan komputer riba. Sebetulnya aku bukanlah rapat sangat dengan Jim. Tak pernah bercakap walaupun kami berselisih bahu. Tapi entahlah mengapa kini aku bersembang mesra dengannya di dalam ruangan sembang itu.
            ‘Semalam tak buka Facebook, tak perasan birthday kau. Sorry.’
            Memang aku jarang membuka facebook lantaran tuntutan kerja lain yang lebih penting. Jim membalas. Jawapannya membuatkan aku terlupa sebentar mengenai Isaac.
            ‘Kau memang Alin. Bukan ingat pun birthday aku. Apapun terima kasih sebab wish kat aku.’
            Aku tersengih. Lantas jari jemari yang tak berapa runcing ini menaip. Aku menekan butang enter.
            Since aku tua empat bulan dari kau, kau kena panggil aku kakak tau.’
            Balasan darinya membuatkan aku sedikit terkedu.
            Okay, dengan syarat kau panggil aku adik. Deal?’
            Aku tersenyum sendirian di situ. Jim dengan rasminya menjadi ‘adik’ aku. Entah bagaimana aku boleh beramah mesra dengannya sedangkan aku dan dia langsung tak pernah bertegur sapa.
*****
Seminggu aku pulang ke rumah untuk cuti Hari Raya Aidilfitri. Kini aku berada di kampus. Kelas akan berlangsung pada pukul 3 petang.  Sekarang jam sudah pun menunjukkan pukul 2.30 petang. Masih lagi awal. Aku mendaki tangga menuju ke bilik kuliah yang berada di aras 3. Patutlah aku semakin ramping, hari-hari aku melakukan senaman. Aku rasa tindakan pihak universiti ridak menyediakan lif adalah bagus kerana pelajar boleh bersenam sambil ke kuliah.
            Aku membetulkan beg sandang yang disandang di bahu kiri aku.  Ruangan koridor yang dipenuhi pelajar menyebabkan aku terpaksa bersesak untuk menuju ke bilik kuliah. Sedang aku asyik membetulkan beg sambil berjalan, Jim menegurku.
            “Selamat Hari Raya Alin.”
Mataku bulat memandang Jim. Sepanjang aku berada di kampus, inilah kali pertama Jim menegurku. Aku terkejut. Mataku memandang rakan Jim, iaitu Shamsul. Ternyata dia juga terkejut. Mungkin pelik dengan reaksiku, dia tersenyum.
“Selamat hari raya juga.”
Balas aku pendek. Dia  tersenyum. Kenapa pula kali ini, aku rasakan senyumannya begitu manis sekali.  Stop it, Alin! Jangan hendak buat drama cinta tepi koridor ini.
“Nak pergi kelas ke?”
Tanyanya bersahaja. Aku? Tak terfikir dia akan bertanyakan kepadaku. Kawan-kawan yang berjalan sekali denganku telah meninggalkan aku sendirian di situ. Mungkin mahu mencari tempat di dalam bilik kuliah.
“A’ah, kelas pukul 3. Okay pergi dulu.”
Aku tersenyum ke arahnya. Sempat aku melambaikan tangan ke arahnya. Dia membalas. Tak tidurkah aku malam nanti? Oh tidak. Okay, dia ‘adik’ aku sahaja.
“Bye.”
Aku berpaling ke belakang usai dia berbicara. Aku perasankan rambutnya yang terpacak. Ya, nampak sesuai dengannya, berbanding rambut ala-ala korea yang selebet di dahi.  Aku tersenyum. Pintu ke bilik kuliah aku tolak. Wajah kawan-kawanku aku tatap dengan senyuman yang tak lekang di bibir. Jatuh cintakah aku. Oh, sama sekali tidak.
*****
             

Miskinkah cinta itu? Part 6

Tuesday, September 6, 2011

Malam itu aku dan Izwan terpaksa berhimpit di atas katil. Usai makan malam tadi Izwan mengajakku untuk tidur di hotel memandangkan kedaifan bilik yang kami diami ini. Izwan tak mahu aku sakit-sakit badan berhimpit dengannya di atas katil yang sudah bergoyang ini.  Namun aku menolak. Aku rasa tak wajar untuk kami berdua tidur di hotel sedangkan niat asal kami untuk bermalam di rumah emak. Jadi atas alasan itu, aku tak menurut kata Izwan.
            Kini aku berada dalam pelukan Izwan. Kami berbaringan di atas katil usang itu. Nasib baik badan aku tidaklah bersaiz XXL dan Izwan pula tidaklah sebesar mana. Cuma aku kasihankan kaki Izwan yang sedikit terkeluar dari hujung katil.
            “Kaki abang panjang sangat sampai terkeluar katil. Kelakar.”
            Aku tergelak apabila melihat kaki Izwan yang sedikit terkeluar dari katil. Izwan segera melemaskan aku dalam pelukannya. Aku tergelak sambil memukul-mukul dadanya. Izwan pun turut sama tergelak.
            “Sayang tahu tak?”
            Izwan memulakan bicara apala tawanya sedikit reda. Aku memandangnya. Pelik.
            “Sayang bertuah tau sebab abang tinggi.”
            Aku mengerutkan kening apabila mendengar bicara Izwan.
            “Kenapa?”
            Izwan tersenyum sambil mengeratkan pelukannya yang kian longgar. Aku hanya menurut.
            “Nanti anak kita mesti tinggi macam abang. Sebab kalau abang rendah, mesti anak-anak kita rendah sebab sayang pun rendah juga.”
            Izwan menyeringai. Aku kembali memukul dadanya apabila menyedari dia mengusikku dalam diam.
            “Abang ni...”
           Belum sempat aku menuturkan kata-kata seterusnya, terdengar bunyi sesuatu yang patah. Tak lama kemudian, katil yang kami duduki tadi runtuh. Aku dapat merasakan emak akan mengetuk pintu bilik kami selepas ini, kerana bunyi katil runtuh tadi agak kuat untuk  waktu malam yang sunyi.
            “Abang okay?”
            Izwan tersenyum. Dia mengosokkan belakang badan menandakan sakit di situ. Mujurlah aku tak apa-apa. Izwan terlebih dahulu melindungi aku daripada terhentak kuat sewaktu katil runtuh. Aku membelek badan Izwan. Risau jika ada yang cedera.
            “Abang okay. Sayang ada cedera mana-mana tak?”
            Kini giliran Izwan membelek lengan dan tanganku. Setiap tempat diteliti, kerana takut aku tercedera dalam insiden katil runtuh itu. Kemudian aku dan dia berpaling ke arah katil yang runtuh itu.
            “Alamatnya malam ni kena tidur bawahlah sayang.”
            Aku tertawa senang dan tawanya terhenti apabila terdengar bunyi ketukan di pintu bilik. Kami saling berpandangan.
*****
Aku membuka pintu perlahan-lahan. Tepat sangkaan aku, emak tercegat di depan pintu dengan tompokan bedak sejuk di muka dan berbaju kelawar berwarna hijau. Rambut emak disepit dengan menggunakan penyepit. Mujur bukan Izwan yang membuka pintu. Kalau tak aku pasti Izwan akan menjerit melihat wajah emak di malam hari. Emak kulihat sedang marah. Mungkin lenanya terganggu dengan bunyi bising kala jam menginjak ke pukul satu pagi.
            “Eh, emak. Selamat malam.”
            Aku berbasa-basi dengan emak. Sebenarnya aku tak tahu hendak menuturkan apa kepada emak. Emak sudah menonong masuk ke dalam bilik kami. Mujurlah Izwan  berpakaian lengkap. Kebiasaannya Izwan suka mengenakan seluar sahaja ketika tidur. Kali ini, Izwan lengkap dengan pijama biru yang aku hadiahkan kepadanya bulan lepas.
            “Ya Allah. Kamu buat apa sampai katil ni runtuh hah? Mak tak tahulah dengan kamu berdua ni. Dah tahu katil tu sempit, tidurlah di lantai. Kan dah runtuh katil ni. Tak pasal-pasal kena beli yang baru.”
            Emak terus membebel di tengah malam yang hening itu. Seketika kemudian, muncul Elin dan Khairul di muka pintu bilik kami. Aku segera menyarungkan tudung ke kepala tatkala melihat kelibat Khairul di hadapan bilik kami. Mujurlah  baju tidur aku ini agak tertutup. Jadi aku tak perlulah mencari kardigan atau apa-apa sahaja untuk menutup auratku di hadapan Khairul.
            “Mak, kenapa bising-bising malam ni?”
            Elin menenyeh matanya dengan jari-jemarinya untuk melihat dengan jelas apa yang berlaku. Aku rasa dia agak terkejut apabila melihat katil usang yang elok terletak di bilik itu telah runtuh. Emak pula masih tak habis berleter.
            “Esok saya beli yang baru. Emak janganlah risau.”
            Usai Izwan berkata demikian, leteran emak terus terhenti. Aku melihat Khairul sedikit terkejut dengan tindakan Izwan. Kemudian dia tersenyum. Aku pun tak pasti kenapa. Adakah dia menganggap hati emak mampu dibeli dengan wang ringgit?  
            “Kalau macam tu baguslah, boleh emak tengokkan barang-barang lain yang kena tukar. Katil kat bilik emak pun dah usang tu, bolehlah beli set yang baru.”
            Aku mengerutkan kening. Kenapa pula aku harus menukarkan katil emak? Lagipun seingat aku, emak baru sahaja membeli katil itu pada tahun lepas. Tak mungkin katil yang diperbuat dari kayu jati cepat reputnya. Adakah emak mahu mengambil kesempatan atas kebaikan suamiku? Aku harap tidak.
            “Abang dah agak.”
            Aku mendengar Izwan bercakap sedemikian apabila kelibat emak, Elin dan Khairul beredar dari pintu bilik kami. Aku menuruti Izwan. Persoalan yang bermain di fikiranku aku biarkan ia bersemadi di situ.
*****
Izwan menunaikan janjinya apabila dia membawaku ke kedai perabot bagi menggantikan katil yang patah semalam. Sesekali aku melihat harga perabot di kedai itu. Ya, memang mahal. Izwan ingin menggantikan katil bujang semalam dengan katil bersaiz Queen agar kami berdua boleh tidur dengan selesa jika mahu bermalam di rumah emak nanti.
            Setiap set katil yang dipilih Izwan sangat cantik, namun harganya juga membuatkan aku memaksanya berfikir dua tiga kali untuk membelinya. Aku tak mahu dia membazirkan duit. Namun Izwan berkeras. Jadi, set katil yang diperbuat dari kayu chengal dipilih bagi melengkapkan bilik tidur di rumah emak.
Izwan membayarnya dengan kad kredit. Dia tak mahu aku mengetahui berapa harga katil yang dibelinya. Katanya dia tak mahu aku rasa bersalah. Untuk menggantikan sebuah katil usang yang menunggu masa untuk roboh, dia menggunakan kad kreditnya. Sejujurnya aku malu dengan Izwan. Sudah terlalu banyak dia bersabar dengan tingkah emak. Aku malu dengannya.
            “Kenapa senyap ni?”
            Izwan menegurku apabila melihat aku tak seceria selalu.
            “Tak, Intan rasa bersalah sebab dah susahkan abang.”
            Izwan memandang ke arahku. Dia tersenyum. Aku tahu dia sayangkan aku, namun aku tak mahu dia selalu menurut kata emak demi aku.
            “Abang cuma nak kita tidur lebih selesa malam nanti. Semalam, sayang dah sakit belakang sebab tidur atas lantai. Abang tak mahu sayang sakit-sakit macam ni.”
            Izwan berhujah. Aku tahu kata-katanya ada benarnya. Memang aku sakit belakang setelah semalam tidur di atas lantai. Tambahan pula, semalam badanku terhentak disebabkan oleh insiden katil runtuh itu. Aku rasa Izwan turut mengalami nasib yang sama.
            “Abang sakit belakang ke? Nak Intan urut?”
            Aku menawarkan khidmat urut kepada Izwan. Itu lebih baik daripada dia mencari khidmat urutan di pusat-pusat urutan tradisional yang bersepah di luar sana. Aku cemburu.
            “Boleh juga. Nasib baik sayang offer nak urut abang. Abang baru ingat nak singgah rumah urut kat depan kedai perabot ni.”
            Pantas aku mencubit lengan Izwan. Dia tertawa senang.
            “Patutlah dalam banyak-banyak kedai perabot, nak juga datang kedai kat sini. Rupanya ada rancangan lain.”
           Izwan tertawa. Lelaki yang bertugas di situ turut ketawa. Usai berurusan, Izwan mengajakku ke spa. Katanya, sakit belakang yang kami hidapi ini perlu dirawat. Jadi, dia mahu aku memanjakan diri aku dengan urutan spa. Dia mengajakku ke spa yang berhampiran. Kami berdua menikmati urutan spa yang menyamankan dan tambah melegakan aku, Izwan diurut oleh tukang urut lelaki dan kami ditempatkan di bilik yang berasingan.
            Aku senang dengan urutan spa yang diberikan. Aku harap emak tak menelefonku kala ini untuk bertanyakan perihal perabot barunya. Aku ingin berehat. Urutan yang nyaman ditambah pula dengan bau bunga-bungaan di bilik itu membangkitkan rasa tenang dan aku akhirnya terlelap.
*****

Tirai Ramadhan itu.

Saturday, August 13, 2011


Bulan Ramadhan menjelang lagi. Masih terngiang-ngiang ditelingaku rungutan kawan-kawanku yang tak dapat berpuasa di rumah. Bersahur dengan keluarga dan berbuka dengan keluarga. Aku sendiri sudah lupa bagaimana rasanya berbuka dengan keluarga. Biasanya aku akan berbuka dengan adik-beradikku sahaja di rumah. Ibu dan ayahku keluar berkerja dan hanya akan pulang selepas azan berkumandang.
Jadi tiada juadah berbuka yang enak-enak mampu aku sediakan buat adik-beradikku menjelang waktu berbuka puasa. Hanya kurma bersama nasi putih berlaukkan cebisan ayam goreng menjadi juadah kami berbuka. Tiada kuih-muih memenuhi meja. Tiada. Kadang-kadang aku hanya hidangkan mi goreng sahaja di atas meja. Itu sahaja yang mampu aku lakukan untuk mengisi perut adik-beradikku dan aku bersyukur, setiap apa yang aku hidangkan tetap mereka nikmati dengan penuh kesyukuran.
Dalam ingatan aku, berbuka puasa bersama keluarga yang lengkap hanyalah dalam angan sahaja. Masih aku ingat, kala itu aku baru sahaja menginjak usia sepuluh tahun. Ibu dan ayahku keluar berkerja. Apabila tiba waktu berbuka puasa, tiada apa yang terhidang di atas meja. Rumah sepi. Tiada sesiapa. Kepedihan perut aku tahan. Lantas aku keluar ke kedai berhampiran membeli mi segera. Tuan kedai yang baik hati sudi membuka kedai walaupun tika itu mereka sekeluarga sedang enak menikmati juadah berbuka puasa. Pertanyaan tuan kedai merentap perasaanku tika itu.
“Mak tak masak ke adik?”
Aku hanya terseyum kelat. Lantas basikal kukayuh laju-laju menuju ke rumah. Sedih. Pilu. Namun semua itu aku simpan dalam hati. Ibu dan ayah tak pernah mengerti. Selepas peristiwa itu, aku belajar memasak. Jerang nasi dan nasi itu aku goreng menggunakan perencah. Setiap hari di bulan puasa, aku menjamu adik-adikku  yang masih kecil dengan nasi goreng hasil air tanganku. Ibuku seakan lepas tangan. Aku mengeluh sendiri.
Beberapa kali dapur terbakar. Namun aku sempat memadamkannya. Aku sedar bahayanya memasak di dapur namun tika itu aku tak punya pilihan. Jika aku takut, aku dan adik-adik akan berlapar sementara menanti ibu dan ayah pulang dari kerja. Jadi aku cekalkan hati, melakukan apa yang patut buat adik-adik tersayang.
Kadangkala apabila ibu dan ayah pulang ke rumah, aku dihidangkan dengan leteran demi leteran. Serius. Aku penat. Terlalu banyak kerja yang harus aku lakukan. Aku sudah banyak mengambil alih tugas ibuku namun ibu kadang-kadang tak sedar.  Aku memasak, mengemas dan menjaga keperluan adik-adik sepanjang ibu keluar bekerja. Namun kadang –kadang rungutan ibu menyentap hati kecilku ini.
“Tak boleh nak minta tolong langsung kak ngah ni.”
Kata-kata sebegitu memang menyentap hatiku. Sudahlah aku korbankan banyak masa untuk melangsai tugas-tugas yang telah ibu abaikan dan aku dikatakan begitu. Masih segar diingatanku sewaktu di tingkatan empat. Peperiksaan akhir tahun berlangsung dalam bulan Ramadhan. Sangkaku, Ibu akan memberikan aku ruang untuk mengulangkaji pelajaran namun aku silap. Urusan rumah tetap diuruskan aku.
Usai pulang sekolah, aku pasti akan memulakan dengan mengemas rumah, dan akhirnya menyediakan hidangan untuk berbuka. Aku penat. Namun, jika aku fikirkan kepenatan aku, alamatnya berlaparlah adik-adikku sewaktu berbuka nanti. Masakan aku sudah sebati dengan adik-beradikku. Sehinggakan ayahku juga suka akan masakanku. Namun, langit tak selalunya cerah. Aku gagal salah satu subjek dalam peperiksaan akhir tahun. Itu kali pertama aku gagal dalam subjek yang aku pelajari sepanjang aku bersekolah. Aku tak pernah gagal. Paling teruk pun hanya gred C+ yang tercatat dalam slip keputusan peperiksaanku. Aku hampa. Aku melepas perasaan di dalam bilik. Sedih. Pilu.
Kadang kala kubuka peti sejuk dan peti itu kosong. Aku sayu. Tak tahu apa yang aku hidangkan kepada adik-adik. Lantas, aku masakkan bubur nasi yang kuracik ketulan ayam semalam sebagai hidangan berbuka puasa. Mujur mereka menyukainya. Selalu mereka meminta aku memasakkan masakan kesukaan mereka. Aku terharu. Mujurlah permintaan mereka aku kategorikan sebagai biasa sahaja. Jadi bolehlah aku menunaikannya. Malah, ayahku juga semakin suka masakan yang aku masakkan. Aku terharu.
Kini aku di sini. Aku berada di kampus.  Hatiku risau dengan adik-adikku. Siapakah yang menghidangkan juadah berbuka puasa buat mereka? Siapakah yang menjaga makan pakai mereka? Aku risau. Kala ini, ingin aku segera pulang ke rumah. Tak sanggup aku lihat rumah bersepah tak berkemas. Adik-adik lapar menunggu emak dan ayah pulang dari kerja. Aku tak sanggup.
Dulu, setiap kali permintaan untuk berbuka puasa bersama kawan aku tolak mentah-mentah. Aku cuma mahu berbuka puasa bersama adik-adikku. Menemani dan melayani karenah mereka di meja makan. Jiwa aku tak tenang jika aku tak menghidangkan sendiri juadah di meja makan.
Aku sedar. Adik-adik aku membesar dengan air tanganku. Setiap kali aku pulang bercuti pasti ada sahaja yang mereka mahu aku masakkan. Aku terharu. Adik-adik aku sudah pandai memasak sendiri.
“Kak ngah tak payah nak risaukan kami lagi. Adik dah pandai masak.”
Kata-kata itu cukup mengharukan aku. Aku bertuah punya adik-adik yang memahami.  Aku harap kali ini, aku dapat pulang ke rumah lebih awal agar aku punya masa untuk menemani adik-adikku berbuka puasa di rumah. Aku tak mahu mereka sendirian di sana. Tanpa aku sedari, aku matang sebelum usia.  Mungkin aku takkan jadi begini jika ibu tak membiarkan aku berdikari. Dulu, aku tak nampak apa kebaikannya, namun sekarang aku pasti setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.

P/S: entri suka-suka di malam ke 13 ramadhan ini. Enjoy ok.. 

Miskinkah cinta itu? Part 5

Saturday, July 30, 2011

Aku membuka sampul surat yang emak berikan kepadaku sebelum emak berangkat pulang semalam. Perlahan gambar-gambar Izwan bersama seorang wanita yang berusia lingkungan 40-an menarik perhatianku. Apabila aku teliti dan aku tilik, baru aku sedar yang emak sudah salah sangka. Tergelak aku sendirian di ruang tamu rumah.
“Emak… Emak… apa nak jadi dengan emak ni?”
Aku berkata sendirian sambil mengelengkan kepala. Izwan yang baru lepas mandi mengambil tempat di sebelahku. Bau mandian yang digunakan Izwan menusuk hidungku. Segar dan maskulin.
“Sayang, kenapa gelak sorang-sorang ni?”
Mungkin Izwan pelik dengan tingkahku. Aku menyuakan gambar yang emak berikan kepadaku semalam. Perlahan Izwan mengambilnya. Gambar-gambar itu ditilik dengan serius dan kemudian Izwan turut menyambung tawa. Tawanya dan tawaku bersatu sehinnga membingitkan ruang rumah kami.
“Emak sayang ni pakai private investigator mana ni? Tak pandai langsung nak siasat.”
Aku tersenyum mendengarnya. Izwan memang periang orangnya. Aku sukakan humor yang dibuatnya. Tak perlu dengan gaya badan. Gaya bahasanya cukup membuatkan aku tergelak sendirian apabila aku mengingatinya kembali.
“Entahlah abang. Intan pun tak faham dengan mak. Abang rasa kita perlu berterus-terang ke?”
Aku tidak mahu emak berburuk sangka lagi dengan Izwan. Cukuplah setakat ini.Aku dan Izwan semakin bahagia namun aku tak mahu kebahagiaan itu dirosakkan oleh fitnah dan buruk sangka yang terbit dari emak.
“Mungkin dah tiba masanya kita berterus-terang dengan emak. Ada ke patut, emak abang dikatakan sugar mummy?”
Aku tersenyum mendengar bait-bait perkataan yang dikeluarkan oleh bibir Izwan. Ya, aku pasti ini jalan penyelesaiannya.
*****
Hujung minggu itu aku dan Izwan melangkah ke rumah emak. Cadangnya mahu bermalam di sana. Aku rasakan sudah lama tak bermalam di rumah emak. Setelah hampir  dua jam perjalanan, aku dan Izwan turun dari kereta. Izwan hanya mahu membawa pulang Myvi hitam miliknya sahaja. Kereta mewah yang selalu dipakainya ke pejabat ditinggalkan di rumah keluarganya di Kuala Lumpur. Katanya tak mahu menunjuk-nunjuk. Aku hanya senyap.
Emak langsung tak menyambut kami. Aku dan Izwan dibiarkan terkontang-kanting di hadapan pagar rumah yang berkunci. Puas aku memberi salam namun salam aku tak bersambut. Sedih. Agak lama kami berdua  menunggu di hadapan rumah sehinggalah Elin datang membukakan pintu pagar. Izwan sudah kelihatan kelat. Dapat aku rasakan maruahnya sebagai seorang lelaki sedikit tercalar.
Aku bersalaman dengan Elin yang sudah sarat benar nampaknya. Wajah kelat Elin mematikan senyuman yang ingin aku pamerkan untuknya.
“Kenapa kakak pulang?”
Satu pertanyaan yang menyentap naluriku. Salahkah aku pulang ke rumah sendiri? Aku tersenyum. Adakah Elin merasakan aku masih punya perasaan terhadap Khairul. Kalau Elin berfikir sedemikian sebegitu rupa, maknanya dia sudah silap. Lelaki sebaik Izwan takkan aku tinggalkan untuk orang seperti Khairul. Tidak sekali-kali.
“Dah lama tak pulang. Sekali-sekala kenalah pulang. Jenguk mak dan abah.”
Aku cuba memaniskan muka. Izwan kulihat sedang memunggah bagasi kami. Wajahnya sedikit muram namun dia sedaya upaya menyembunyikannya dari pandangan mataku. Terbit rasa bersalah dalam diriku ini. Kasihan Izwan kerana terpaksa melalui semua ini demi aku.
‘Maafkan Intan, abang.’
            Kami melangkah masuk ke dalam rumah. Emak dan abah sedang asyik menonton televisyen. Elin sudahpun mengambil tempat di sisi emak. Namun, tidak kelihatan pula Khairul. Mungkin Khairul keluar. Aku bersalaman dengan emak dan abah. Dingin sambutan mereka. Izwan pun sama. Kami berdua mendapat layanan dingin umpama ais.
            “Mak dan abah apa khabar?”
            Izwan memulakan perbualan dengan soalan bertanya khabar. Mungkin mengharapkan suasana yang sedia ada dingin itu menjadi lebih mesra dan hangat. Namun, emak dan abah hanya membiarkan pertanyaan itu sekadar berlalu begitu sahaja. Tak dijawab. Izwan seakan mengerti kehadiran kami seperti tak dialu-alukan di sini.
            “Mak, kakak ada bawa sedikit cenderahati.”
            Aku membuka plastik yang mengandungi beberapa bungkusan yang sudah siap berbalut. Sudah kusediakan untuk semua termasuklah kepada Elin dan juga Khairul. Emak seakan berminat. Aku menghulurkan hadiah kepada emak, abah dan juga Elin.  Aku memandang Izwan. Sengaja aku ingin memeriksa reaksi Izwan. Izwan tersenyum sinis. Mungkin dia merasakan emak seorang materialistik.
            *****
           Usai memberikan cenderahati, aku dan Izwan berlalu ke bilik kecil yang terletak berhampiran dapur rumah. Izwan sudah menyusun bagasi kami di hujung bilik.  Perlahan Izwan mengambil tuala dan menuju ke bilik mandi. Aku sekadar memerhati.
            Aku menyediakan pakaian Izwan. Pakaiannya aku letakkan di atas katil bujang yang sedia ada di dalam bilik itu. Terfikir juga olehku, bagaimana kami akan tidur malam ini. Katil bujang tak mampu menampung aku dengan Izwan untuk tidur. Izwan sudah pun selesai mandi. Dia terus menyarung baju yang sudah aku sediakan di atas katil.
            “Malam ni, macam mana? Sayang nak tidur kat hotel ke? Boleh dapat katil besar dari yang ini.”
            Izwan memandangku. Aku senyap. Ingin mengiyakan aku risau emak akan terasa hati. Namun jika aku menolak, malam ini berhimpitlah aku dengan Izwan di katil bujang yang hampir roboh itu.
“Tapi kan, abang rasa elok juga katil kecil macam ni. Boleh tidur peluk sayang.”
Belum sempat aku membalas, Izwan sudahpun menjawab sendiri. Perangai gatalnya semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Aku tergelak sedikit. Perasaan malu-malu masih ada walaupun sudah agak lama kami berkahwin. Malas melayan perangai gatal Izwan, aku berlalu ke dapur. Aku mahu menyediakan makan malam. Pasti emak akan menyerahkan tugas-tugas memasak kepadaku.
Sangkaan aku tak pernah silap. Emak sudah pun meninggalkan nota menyuruhkan menyediakan makan malam. Nota itu terletak elok di pintu peti ais. Aku tersenyum. Agaknya bilalah emak akan berubah menjadi seseorang yang lebih matang, seiring dengan usia? Semoga Allah bukakan pintu hati emak dan abah agar menerimaku dan Izwan seadanya.
*****


Miskinkah cinta itu? Part 4

Sunday, July 3, 2011
*****
Aku melihat wajah Izwan agak keruh selepas abah dan emak pulang. Aku tak pasti mengapa. Mungkinkah kata-kata emak atau abah telah menyinggung perasaannya. Aku mengusap belakang Izwan. Dia berpaling ke arahku.
“Abang okay ke ni?”
Aku tak tahu hendak menuturkan apa kala itu. Izwan sekadar tersenyum tawar. Dia kemudiannya berbaring. Saat ini, aku tak tahu apa yang bermain di fikirannya. Adakah dia sedih? Geram? Tercabar? Aku tak pasti apakah perasaannya ketika ini.
“Intan, abang minta maaf kalau Intan rasa susah hati sekarang ni. Abang tak bermaksud nak buat Intan risau.”
Izwan memeluk erat tubuhku. Aku hanya membiarkan.
“Abang tak pernah buat Intan susah hati. Intan bahagia dengan abang. Sama ada abang miskin atau kaya. Susah atau senang. Intan akan tetap berada di sisi abang.”
Usai aku menuturkannya, Izwan mengeratkan pelukan. Aku sedar ada yang tak kena dengan Izwan. Namun apakah itu? Dalam hati aku sering tertanya-tanya, adakah emak yang menjadi puncanya? Namun persoalan itu hanya aku biarkan di minda. Ya, baru ulang tahun pertama perkahwinan, aku sudah diuji dengan dugaan dalam alam rumah tangga.
Jika benar emak puncanya, aku takkan beralah. Sudah cukup apa yang emak lakukan terhadapku dulu. Emak tak boleh mengawal hidupku lagi. Aku akan bahagia jika aku ingin bahagia. Bukan kerana emak. Aku sudah penat mengikut telunjuk emak. Sudah sampai masa aku pertahankan perkahwinan ini.
*****
Hujung minggu itu, Khairul dan Elin datang menjengah aku dan Izwan. Aku sebenarnya sudah menganggap Khairul sebagai adik ipar. Perasaan cinta itu, sudah lama terkubur saat aku menjadi isteri Izwan yang sah. Dari sudut pandangan mata Elin, aku yakin Elin sudah mengetahui segalanya mengenai hubungan aku dengan Khairul.
“Kak, Elin nak tanya sedikit boleh tak?”
Aku hanya menganggukkan kepala. Tanganku lincah mengupas buah epal untuk dijadikan pemanis mulut selepas makan. Elin memeluk tubuh. Perutnya sedikit memboyot. Lima bulan mungkin usia kandungannya. Aku sendiri tak pasti.
“Kak, masih ada perasaan lagi ke pada abang khairul?”
Satu soalan yang sudah aku jangkakan untuk ditanya oleh Elin. Jadi betullah Elin sudah mengetahui hubungan silam antara aku dengan Khairul.
“Kakak dah buang semua perasaan tu, selepas Abang izwan kahwin dengan kakak. Sekarang ni, akak anggap Khairul tu sebagai adik ipar je. Suami Elin.”
Elin senyap. Jawapan yang aku berikan tak mampu memuaskan hatinya. Ragu-ragu mungkin. Aku sendiri tak pasti mengapa. Elin memandangku sekilas. Kemudian dia menatang dulang yang berisi teko dan cawan ke ruang tamu. Aku pula menatang dulang yang berisi buah epal yang sudah siap dipotong dan dikupas.
*****
“Abang rasa, emak tak sukakan abang la.”
Izwan memulakan bicara. Aku sedikit tersentak dengan  kenyataan yang dikeluarkan oleh Izwan itu. Tak sangka Izwan juga merasakan sikap emak yang kukira agak melampau itu. Aku senyap. Malas untuk mengiyakan apa yang difikirkan Izwan.
“Perasaan abang sahaja mungkin. Bukan abang tak tahu mak memang cerewet sejak dulu lagi.”
Aku cuba tidak mengiyakan. Risau nanti hubungan emak dengan Izwan bertambah buruk. Aku cuba menenangkan Izwan dengan memberikan urutan di bahunya. Biar Izwan tidak terlalu memikirkan hal emak. Mungkin status aku sebagai anak terbuang menyeret Izwan untuk sama-sama merasakan bahangnya.
“Hurm, sebenarnya, banyak perkara yang abang tak tahu mengenai diri Intan.”
Aku memulakan bicara. Aku rasa sudah sampai masanya Izwan mengetahui mengapa aku tak dilayan sebaik Elin oleh emak. Izwan patut tahu. Izwan sudah membetulkan duduknya di atas sofa empuk di ruang tamu.
            “Sebenarnya, Intan cuma anak tiri emak saja.”
             Aku menarik nafas sedalamnya. Izwan memberikan perhatian sepenuhnya kepadaku.  Aku kembali menyambung cerita. Izwan menggenggam erat jari jemariku.
            “Dulu sebelum berkahwin dengan emak, arwah nenek paksa abah untuk berkahwin dengan  gadis pilihan dia. Gadis itu adalah mama Intan. Tapi abah tak sukakan mama, jadi lepas setahun dia berkahwin dengan mama, abah berkahwin dengan emak.”
            Tiba-tiba perasaan sebak menyelubungi diriku. Aku mahu meneruskan namun suaraku seakan tak terkeluar dari tekakku. Izwan mengusap belakangku untuk menenangkanku.
            “Shh… Kalau sedih sangat jangan cerita. Abang tak mahu sayang sedih.”
            Aku memandang ke arah wajah Izwan. Perlahan aku mengusap wajahnya.
            “Tak… Intan nak ceritakan juga kat abang. Biar abang faham situasi Intan sebenarnya. Intan nak abang kenali Intan sepenuhnya.”
            Aku tekad dengan keputusanku. Izwan perlu tahu siapa aku dalam keluarga itu. Aku kembali menyambung cerita yang terhenti dek rasa sebak yang singgah di hati seketika.
            “Sewaktu Intan berusia tujuh tahun, mama meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Mulanya abah ingin meletakkan Intan di rumah anak yatim tapi sebahagian harta nenek akan diwakafkan kalau abah berbuat demikian.  Jadi abah tak jadi hantar Intan kat sana.”
            Air mata sudah mengalir ke pipi. Tangan kasar Izwan sedia menyapu setiap titis air mata yang jatuh di pipiku. Aku ditarik ke dalam pelukannya. Tanpa sepatah perkataan dikeluarkan dari mulut Izwan. Namun, itu sudah cukup menenangkan perasaan aku yang sedang bersedih.
*****
            Aku meneruskan kerja-kerja rumah seperti biasa. Selepas aku mengetahui status sebenar Izwan, aku langsung tak dibenarkan bekerja. Kata Izwan, dia mahu aku jadi surirumah dan menumpukan sepenuh perhatian kepadanya. Manja. Dia tak mahu berkongsi aku dengan kerja aku. Ah, betapa cemburunya dia dengan kerjaku yang tak seberapa itu. Perabot yang sedikit berhabuk aku lap dengan kain. Kerja-kerjaku tergendala sebentar apabila kedengaran ketukan bertalu-talu di pintu.
“Eh, siapa  pula yang datang tengah hari buta ni?”
Aku terus menuju ke muka pintu. Tudung sarung sempat kucapai sebelum aku menuju ke muka pintu. Usai membetulkan pakaian dan tudung, perlahan-lahan aku membuka pintu.  Wajah emak dan Elin tersembul di muka pintu sebaik sahaja pintu rumahku dikuak. Aku sedikit terkejut namun tanganku segera menyalami emak dan Elin.
Emak menonong masuk ke dalam rumahku. Elin hanya membuntuti langkah emak. Elin memang anak emak. Emak segera mengambil tempat di sofa empuk yang terletak di ruang tamu rumah. Aku menutup pintu rumah. Emak dan Elin aku tinggalkan sebentar di ruang tamu. Aku ke dapur  untuk menyediakan air minuman buat emak dan Elin. Pasti mereka rasa dahaga.
“Emak tak cakap dulu nak datang. Kalau tak boleh kakak sediakan apa yang patut.”
Aku bersuara setelah menghidangkan the panas di atas meja kopi di ruang tamu rumah. Emak sedang mengipas-ngipas badannya dengan kipas yang entah dari mana. Mungkin kipas hak milik sendirian. Gaya emak kala ini tak ubah seperti watak dalam filem P.Ramlee iaitu watak ibu mertuaku.  
“Kenapa la panas benar rumah kakak ni? Rumah dah cantik tapi hurm… kipas tak boleh berfungsi pula. Atau rumah ni banyak dosa sebab tu panas.”
Aku diam. Kata-kata emak memang melampau. Sudahnya aku membuka kipas yang memang sengaja aku tutup kerana aku dalam proses mengemas rumah tadi. Aku tak mahu habuk berterbangan serata rumah. Jadi aku mengambil inisiatif dengan menutup kipas bagi mengelakkan habuk berterbangan.
Emak menyisip teh panas yang sudah aku siapkan di atas meja. Aku melihat wajah Elin yang agak suram. Perutnya sudah memboyot berbanding kali terakhir aku ketemu dengannya. Aku tertanya-tanya tujuan emak bertandang di rumahku ini. Kalau sebelum ini, emak memang payah benar hendak bertandang ke rumah, namun sekarang emak rajin bertandang sehinggakan aku tak selesa.
Jika emak datang sekadar untuk bermalam dan melawat, aku tak kisah. Namun setiap kali emak singgah ke rumahku, ada yang dikomennya dan tiap kali dia berkata-kata, pasti ada yang menusuk ke dalam hati aku dan juga Izwan. Apakah yang emak mahukan dariku? Adakah emak tak mahu aku hidup bahagia? Setakat ini, emak memang tak tahu Izwan memang anak Datuk. Sangka emak, Izwan mencari kerja lain yang lebih baik dari dulu.
“Hah, laki kakak mana?”
Aku memandang emak. Perlahan aku tersenyum.
“ Abang Izwan pergi keluar jumpa kawan sekejap. Lepas ni balik la tu. Kenapa emak tanya?”
Emak mencebik. Aku tersenyum. Aku dapat rasakan emak cuba mengapi-apikan aku dengan Izwan. Mungkin emak mahu aku menjadi janda.
“Kakak  percaya ke Izwan tu pergi jumpa kawan dia? Entah-entah dia pergi jumpa sugar mummy dia? Tah-tah duit yang dia guna tanggung kakak sekarang ni, guna duit sugar mummy dia.”
Cawan yang baru aku pegang hampir terlepas dari peganganku. Apakah motif emak dengan menuturkan sedemikian rupa? Sugar mummy? Aku seakan tak percaya dengan apa yang emak tuturkan. Aku kenal Izwan, tak mungkin diaa berbuat demikian kepadaku.
“Emak ni, tak baik tuduh abang Izwan macam tu. Tak pasal-pasal emak dapat dosa kering tau.”
Aku berseloroh. Senyuman yang aku zahirkan di mata emak ternyata membuatkan emak sedikit tak puas hati. Lantas sampul surat coklat dikeluarkan dari tas tangan mahal emak diberikan kepadaku. Aku terpinga-pinga.  Apakah ini?
*****
Preview next entri…
“Sayang, kenapa gelak sorang-sorang ni?”
Mungkin Izwan pelik dengan tingkahku. Aku menyuakan gambar yang emak berikan kepadaku semalam. Perlahan Izwan mengambilnya. Gambar-gambar itu ditilik dengan serius dan kemudian Izwan turut menyambung tawa. Tawanya dan tawaku bersatu sehinnga membingitkan ruang rumah kami.
“Emak sayang ni pakai private investigator mana ni? Tak pandai langsung nak siasat.”

Miskinkah cinta itu? Part 3

Tuesday, June 21, 2011

Entah mengapa aku di sini kali ini. Suamiku membawaku ke sebuah rumah di pinggir kota. Katanya aku perlu ketemu dengan seseorang. Aku memerhatikan rumah banglo zaman kolonial itu. Cantik dan indah. Adakah ini tempat kerja baru Izwan? Baru-baru ini Izwan ada memberitahuku bahawa dia sudah bertukar kerja.
Mungkin dia berkerja sebagai pemandu Datuk, jadi bolehlah mencari duit lebih bagi menyara hidup kami berdua. Aku berfikiran positif.


"Puan, jemputlah masuk. Datuk dan datin dah menunggu di dalam tu."


Kehadiranku disambut dengan mesra oleh pembantu rumah itu. Terasa kekok pula apabila aku dilayan sebegitu. Aku hanyalah isteri pekerja mereka, bukan menantu atau teman rapat sehingga dilayan sebaik rupa. Emak pun tak melayan aku sebegini baik.


"Ha, Intan masuklah. Dah lama kami tunggu Intan."


Teragak-agak aku masuk ke rumah banglo besar milik mereka. Datuk dan datin sedang menungguku di ruang tamu. Suamiku entah ke mana, katanya ingin menyelesaikan sedikit urusan dan meninggalkan aku sendirian di situ.


Pelbagai soalan yang diajukan kepadaku. Aku terasa seakan melangkah ke dalam bilik temu duga sahaja. Namun keramahan mereka membuatkan aku berasa selesa bercakap dengan mereka. Aku ralit meluahkan pendapat dan bercerita sehingga terleka.


*****
Sedang asyik aku berborak dengan datuk dan datin, kelibat seseorang yang sedang menuruni tangga menarik perhatianku. Aku memerhatikan lelaki yang baru sahaja menuruni tangga itu. Dia seakan seseorang yang aku kenali. Apa yang membezakannya ialah dia tidak bermisai dan berjambang seperti suamiku. Rambutnya juga lebih pendek . Pakaiannya lebih up to date berbanding suamiku. Namun semua itu tak mampu memesongkan arah cinta aku terhadap suamiku.


"Intan mengapa tengok Izwan macam nak telan?"


Datin menegurku. Aku sedikit tersentak. Aku memandang Datin dengan rasa tak percaya. Dalam mindaku masih bermain-main, adakah dia Izwan? Suamiku yang bersama-sama mengharungi susah payah bersama? Diakah? Lelaki yang dikatakan Izwan itu sudah mengambil tempat di hadapanku. Aku memandangnya. Aku cuba meneliti, betulkah dia Izwan ataupun tidak.


"Abang nak berterus terang dengan sayang."


Izwan memulakan kisahnya yang mampu membuatkan aku bergenang air mata. Kisah di mana dia hampir hilang kewarasannya saat idaman hatinya berpaling mencari yang lain. Saat di mana dia menemukan aku dan terbabit di dalam hidupku. Aku senyap.


Aku diam. Aku masih berasa di alam mimpi. Diriku umpama berada di dalam sebuah kisah dongeng di mana aku mengahwini lelaki kaya yang menyamar miskin semata-mata ingin mencari seorang gadis yang baik sebagai isterinya. Adakah ini yang dikatakan buat baik dibalas baik? Sesungguhnya kesabaranku mengharungi setiap detik bersamanya membuahkan hasil.


Izwan memandangku. Dia meminta maaf kerana menyembunyikan kebenaran. Aku tersenyum sedikit.
'Sesungguhnya, dia memang tercipta untukku.'


*****


Beberapa hari selepas peristiwa di banglo kolonial itu, aku dan Izwan berpindah ke rumah baru yang ternyata lebih luas dan lengkap. Rumah itu bukanlah banglo yang besar dan indah, ia hanyalah sebuah kondominium yang cukup besar bagi kami yang baru mendirikan rumah tangga. Apa yang membezakan dengan rumah dahulu ialah rumah yang kami duduki ini lengkap berperabot.


Aku menatap lembut wajah Izwan yang sedang lena di sofa. Letih barangkali. Sejak dari pagi, Izwan menolongku memunggah perabot ke kediaman baru mereka. Mujurlah rumah lama kami tak begitu banyak perabot. Ya, semua yang terjadi ada hikmahnya. Aku mengusap wajahnya dan kemudian aku berlalu ke dapur menyiapkan juadah untuk makan tengah hari. Aku mengerling jam dinding. Sudah pukul 2 petang. Sudah terlalu lewat untuk menikmati hidangan tengah hari. Aku pasti Izwan lapar.


Aku cuba menyediakan masakan seringkas yang mungkin. Tak mahu mengambil masa dengan menyediakan masakan yang rumit. Entah bila Izwan berada di belakangku pun aku tak sedar. Aku tersentak dan lama-lama aku biarkan sahaja tangan Izwan yang mulai melingkari badanku.


"Masak apa sayang?"


Izwan mula bertanya. Romantis. Aku tersenyum. Tomyam yang aku masak sudah mulai mendidih. Aku mengacau dengan senduk dan Izwan masih erat memelukku.


"Tomyam campur. Abang suka kan?"


Izwan mengeratkan pelukan. Dia mula merungut lapar. Aku tahu kerana aku pun merasainya juga. Pagi tadi sebelum kami mengalihkan perabot dan mengemas rumah, perut kami hanya diisi dengan beberapa keping roti bakar berserta kopi pekat. Jadi, kala jam menginjak ke pukul 2.30 petang, irama bunyi keroncong telah pun bertukar menjadi irama rock yang berlagu di dalam perut.


*****
"Intan rasa pelik kalau tengok abang tak bemisai, tak berjambang macam ni."


Aku mengerutkan kening sambil meneliti wajah Izwan. Jari-jemariku menyentuh dagunya yang sudah licin tanpa jambang. Sesekali aku tergelak apabila Izwan menangkap jari jemariku dan dibiarkan dalam genggamannya..


"Intan suka yang berjambang ke?"


Duga Izwan. Aku tersenyum.Jari-jemariku masih lagi dalam genggamannya.


"Bukan suka yang berjambang, tapi abang yang Intan kenal dulu adalah yang berjambang, pakai biasa-biasa dan bukan berada. Sekarang ni, Intan macam tak percaya lelaki yang tak berjambang ni suami Intan."


Aku menatap matanya. Kemudian apabila dia tersenyum aku pantas melarikan anak mataku ke arah lain. Malu bertentangan mata dengannya. Izwan menarikku ke dalam pelukannya.


"Intan rasa abang lagi kacak berjambang atau yang tak berjambang?"


Aku menatap wajah bersih Izwan seketika namun apabila Izwan mendekatkan wajahnya, aku terus menundukkan wajah. Kedengaran tawa Izwan meletus.


"Abang ni, suka sakat Intan. Hurm, Intan suka abang yang sekarang ni. Tak ada jambang."


Tulus aku mengucapkannya. Bukan kerana aku jijik dengan jambang cuma bagiku Izwan nampak lebih kemas jika tidak berjambang. Namun, kasih sayangku terhadapnya tetap takkan berubah hanya kerana jambang yang meliar di wajahnya.


"Oo.. jadi sebelum ni, Intan tak suka la kat abang."


Izwan suka menyakat. Aku tersenyum. Lantas pelukan yang baru sahaja dileraikan Izwan kueratkan kembali.


"Bukan macam tu, Intan suka abang. Tak kisahlah ada jambang ke, tak ada jambang ke, janji lelaki itu bernama Izwan Arsyad."


Senyuman Izwan membuatkan aku tenang. Mungkinkah ini yang dinamakan kebahagiaan? Jika diimbau kembali kisah cinta aku dengan Khairul, tak pernah aku tersenyum bahagia, semua tingkah Khairul hanya menggamit derita. Betullah kata orang, cinta yang halal hanyalah cinta selepas kahwin.


Jika sering mengucapkan cinta pada yang bukan pemilik sebenar cinta, rasa cinta itu akan semakin pudar dan hilang dari diri kita. Mungkin itulah punca, kisah cinta aku dengan Khairul berakhir. Cinta yang tak berlandaskan syarak. Kini aku mengerti bahawa cinta yang halal hanya bagi mereka yang berkahwin sahaja. Aku bersyukur kerana mengecapi rasa cinta itu.


*****
Aku keluar sendirian kali ini. Izwan agak sibuk dengan urusan kerjanya. Sengaja aku berjalan sendirian di dalam kompleks membeli-belah. Aku mahu menghadiahi Izwan sesuatu yang istimewa sempena ulang tahun perkahwinan kami yang pertama. Aku meneliti setiap barang yang tersusun di rak kedai. Tak menarik. Aku berjalan dari satu kedai ke kedai yang lain sehingga kakiku terasa lenguh.


Jadi aku mengambil keputusan untuk berhenti rehat sebentar di bangku di kawasan itu. Kala itu, aku melihat kelibat Khairul bersama Elin. Sebetulnya, aku ingin lari daripada mereka, namun apabila aku memikirkan apakah rasionalnya aku melarikan diri, aku hanya membatu di situ.


"Kakak, buat apa kat sini?"


Elin segera menyalami aku. Aku tersenyum ke arah Elin. Khairul seakan-akan mahu lari dari mengadap mukaku. Aku memandang barang-barang bayi yang dibeli oleh mereka.


"Kakak nak beli barang untuk abang Izwan, sempena ulang tahun kami. Elin pula buat apa kat sini?"


Aku sekadar berbasa basi. Bagiku, tak logik kalau adik beradik hendak bermasam muka kerana seorang lelaki. Lagipun aku pasti Elin tak mengetahui kisah silam aku dengan Khairul.


"Elin beli barang bayi sikit. Elin cuma nak Tanya, kakak dah pindah rumah ke? Hari tu, Elin datang, tapi rumah kakak kosong. Mak pun ada sekali."


Aku tersentak. Setelah aku pindah dari rumah teres itu, aku langsung tak memberitahu keluargaku di mana aku tinggal. Perasaan kecil hati kerana emak memperkecilkan Izwan masih terlekat di sanubariku. Lagi satu, aku tak pasti bagaimana hendak berterus-terang dengan status Izwan yang sekarang. Emak hanya mengenali Izwan yang miskin bukan Izwan yang aku kenal sekarang.


"Kakak, Elin nak mintak alamat kakak boleh?"


Aku tersentak mendengar bicara Elin. Khairul hanya membisu sahaja. Sesekali aku lihat dia mengerling jam di tangannya. Pasti dia hendak berkejar ke lain. Dengan perasaan yang berat, aku memberikan alamat rumah baruku.


'Ya Allah, tabahkan hatiku agar dapat menempuhi semua dugaan yang Engkau berikan kepadaku. Sesungguhnya aku insan yang lemah.'


*****


Sambutan ulang tahun pertama kami hanya diraikan di rumah. Baru sahaja aku ingin berehat bersama suami tersayang, kedengaran suara emak dan abah memberi salam. Aku membuka pintu dan mempersilakan mereka masuk. Aku mengerling sekilas wajah Izwan. Aku risau Izwan tidak senang dengan kehadiran emak dan abah. Emak selalu memperkecilkan Izwan.


"Mak, abah, tak cakap nak datang. Kalau tak, boleh kakak sediakan apa-apa yang patut untuk emak dan abah."


Aku cuba berbasa-basi bagi menghilangkan kesunyian. Izwan menyalami abah. Emak senyum menyindir. Aku sendiri tak pasti apakah tujuan emak datang ke rumah kami. Jauh di sudut hatiku, aku harapkan emak tak mengeluarkan kata-kata yang mampu membuatkan Izwan kecil hati. Aku sayangkan Izwan.


"Dah pindah rumah, tak cakap pun dengan mak."


Emak menyindir aku. Aku hanya mendiamkan diri dan berlalu ke dapur bagi menyediakan minuman. Emak mengikuti langkahku. Sesekali aku lihat emak mengomel keadaan rumahku. Aku hanya membiarkan kerana bagiku omelan emak takkan mampu merobohkan rumah aku yang diperbuat daripada batu ini.


"Sejak bila pindah sini?"


Emak bertanya. Aku masih meneruskan kerja menyediakan snek dan minuman untuk dihidang.


"Baru sebulan. Ni pun ada yang tak siap kemas lagi."


Aku sekadar menjawab apa yang perlu. Rasanya tak perlulah aku ceritakan semua hal rumah tanggaku kepada emak. Emak tak perlu tahu.


"Oh, Izwan tu kerja apa? Pelik mak tengok dia, dulu miskin sangat sekarang ni siap pakai kereta mewah lagi. Kakak tak syak apa-apa ke?"


Aku hanya memandang emak tanpa berkata apa-apa. Terdetik hati aku, mengapalah emak selalu mencari buruk Izwan. Padahal emak yang beria-ria mahu aku menikahi Izwan dulu. Sekarang ini, emak mahu aku menanamkan syak wasangka kepada Izwan. Aku jadi geram dengan tingkah emak. Namun untuk aku memarahi emak adalah satu perbuatan yang tak bersopan dan biadab.


"Tak baik emak cakap abang Izwan macam tu. Dulu emak yang suruh kakak kahwin dengan dia, sekarang ni emak cakap macam tu pula."


Aku bersahaja menuturkan kata-kata itu kepada emak. Malas hendak melayan buruk sangka emak. Dulang yang berisi air teh dan biskut kubawa ke depan. Emak menuruti aku ke depan. Aku lihat abah dan Izwan sedang rancak berbual mesra. Dalam hati, aku bersyukur kerana Abah masih lagi tidak berburuk sangka dengan Izwan.


'Mengapakah mak selalu mencari salah aku?'


*****
Bersambung..
Preview next entri
"Kak, Elin nak Tanya sedikit boleh tak?"
Aku hanya menganggukkan kepala. Tanganku lincah mengupas buah epal untuk dijadikan pemanis mulut selepas makan. Elin memeluk tubuh. Perutnya sedikit memboyot. Lima bulan mungkin usia kandungannya. Aku sendiri tak pasti.
"Kak, masih ada perasaan lagi ke pada abang khairul?"