Followers

Miskinkah cinta itu? Part 7

Tuesday, September 13, 2011

Set katil yang baru Izwan pesan pagi tadi sudahpun selamat tiba di rumah. Kerja-kerja pemasangan sudahpun selesai. Mujurlah bilik tidur itu tidak terlalu kecil untuk menempatkan katil baru itu. Izwan bertindak sebagai tuan rumah apabila pekerja-pekerja kedai perabot datang bertandang ke rumah untuk memasang katil baru.  Emak hanya memerhatikan dari jauh. Mungkin emak berjauh hati dek kerana perabot di biliknya tak bertukar. Abah tidak membenarkan emak menukar set katil di dalam bilik kerana masih elok dan baru lagi. Emak memuncungkan bibir.
            “Kalau tak ada duit tu, janganlah berjanji nak beli perabot baru.” Rungut emak.
            Aku memandang Izwan yang sedikit tersentak. Apakah yang emak cuba sampaikan? Bukankah Izwan telah pun menunaikan janji dengan mengantikan katil usang yang kami patahkan dengan set katil baru yang lebih mahal? Apakah janji yang emak maksudkan?
            “Eh, emak, apa yang emak cakap ni? Kan Abang Izwan dah ganti katil tu.” Aku menempelak emak.
            “Kata nak ganti katil dalam bilik emak sekali. Alih-alih beli untuk bilik dia sahaja.”
Emak seakan tak berpuas hati. Aku memandang emak dengan muka berkerut. Emak  dengan selamba berkata demikian. Tahukah emak yang bahawasanya tak baik menuduh sedemikian. Lagipun aku tak mendengar apa-apa janji yang terbit dari mulut Izwan mengenai penukaran perabot di bilik emak.
“Kakak tak dengar pun, abang Izwan berjanji. Emak salah dengar ni.”
Aku tersengih apabila emak mencebik. Aku pasti emak salah sangka. Emak pasti menyangka Izwan akan menurut segala kemahuannya kerana ingin mengambil hatinya. Telahan emak telah silap. Namun terbit juga perasaan kasihan di hatiku apabila melihat emak yang begitu beria-ria mengkhabarkan kepada jiran tetangga mengenai perabot baru yang bakal bertukar.
‘Emak…Emak… Bilalah emak nak insaf ini?’
*****
Usai mengemas apa yang patut aku kembali ke ruang tamu. Emak menjeling. Mungkin masih lagi tak berpuas hati dengan cerita perabot baru. Nampaknya tak bolehlah emak menunjuk-nunjuk dengan jiran tetangga. Aku menggeleng dalam senyum. Izwan sudahpun mengemaskan beg pakaian. Katanya mahu pulang ke rumah. Nampaknya tak dapatlah aku merasmikan katil baru. Izwan sudahpun mengangkat bagasi kami ke dalam kereta. Emak hanya diam.
Aku mendekati emak. Aku menghulurkan tangan tanda ingin menyalami emak namun huluran tanganku tidak emak endahkan. Lantas aku mencapai tangan emak dan menyalaminya. Emak sedikit tersentak. Izwan menyalami abah.  Aku memandang sayu rumah itu sebelum kakiku melangkah masuk ke dalam kereta. Dapat aku lihat wajah emak yang masih kelat dan wajah abah yang serba salah. Mungkin abah berasa kesal dengan sikap emak barangkali. Aku sendiri tak pasti.
“Jom.”
Izwan mencuit bahuku. Lantas aku masuk ke dalam kereta.
“Abang rasa emak tu terasa sangat ke dengan kita?”
Aku bertanya perlahan. Izwan memandangku. Kemudian matanya beralih kepada pemanduannya. Dia mengeluh perlahan.
“Abang rasa emak tu terasa. Alah, nanti-nanti eloklah tu. Jangan risau.”
Izwan menepuk bahuku. Aku tersenyum. Mungkin ada hikmahnya. Sampai bilakah hidup aku hendak berterusan sebegini? Aku sangkakan perkahwinan aku dengan Izwan direstui lantaran emak yang beria-iya menjodohkan kami berdua, namun lain pula jadinya. Aku tak pasti apa yang emak mahukan dalam hidupku. Aku benar-benar tak pasti.
*****
Aku kembali lagi ke kediaman kecil kami. Lega rasanya dapat kembali ke rumah sendiri.Sekurang-kurangnya tak perlulah aku mengadap wajah Elin yang begitu takut aku merampas suaminya.  Elin tak perlu takut. Aku kini bahagia bersama Izwan. Izwan adalah duniaku. Aku rasa tak perlulah aku kembali ke pangkuan lelaki yang menghancurluluhkan hatiku ini. Untuk apa kembali kepadanya sedangkan aku punya yang lebih baik.
            Aku memerhatikan Izwan mengangkat bagasi. Lantas aku ke dapur mengambil air sejuk buat Izwan. Izwan tersenyum. Sudah aku tahu apa yang disukai Izwan. Dia agak manja. Kalau boleh dia tak mahu aku melayani orang lain selain dia. Dia sukakan perhatian dariku. Walaupun dia nampak tegas di luar, namun apabila kami berdua bersendirian, dia akan menjadi lebih manja. Aku hanya melayani kerenahnya.
            “Abang penat ya?”
            Aku memicit bahunya, apabila dia melentokkan kepala ke sofa di ruang tamu.  Dia mengangguk perlahan. Matanya dipejam rapat. Mungkin mahu melepaskan penat sebentar. Aku membiarkan Izwan melepaskan lelah di sofa,  aku menuju ke kamar mandi. Aku mahu menyegarkan badan setelah penat berjalan jauh.
            Usai mandi aku menjengah Izwan yang masih lagi lentok di sofa. Penuh tertib, aku mengejutkannya. Dia masih begitu.
            “Abang, bangun. Mandilah dulu. Kemudian, baru boleh tidur.” Pujuk aku.
            Aku mulai risau apabila melihat Izwan yang masih tak sedar. Pengsankah dia? Wajahnya tenang. Aku menyentuh bahunya, namun tiada respon dari dia. Aku sudah mulai panik.
            “Abang?”
*****

Removing Siapakah Kekasih Hatiku?

Hai semua,

Bila Hazel tengok balik post-post lama SKH, yang zaman purba kala dulu. Hazel rasa macam nak tarik balik dan betulkan. Yalah, kan teruk gaya penulisan Hazel time tu. Tanda baca, ejaan, kosa kata dan macam-macamlah masalah yang Hazel tengok kat penulisan Hazel zaman dahulu kala.

Kalau boleh, Hazel rasa macam nak tarik balik post-post tu dan repost balik. Agak-agaknya korang (yang sudi baca skh) setuju tak?

Kalau tak.. Hazel biar sahaja macam tu.

Nak remove atau tak?

Kisah budak matrik- cinta Tia 6

Thursday, September 8, 2011
Cuti semester satu yang singkat itu akhirnya berakhir. Dan seperti kelazimannya, Tia kembali semula ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan. Seperti biasa juga Tia merupakan orang yang pertama yang sampai di bilik itu. Tia termenung di atas katil. Bosan. Dari berbaringan di atas katil sehinggalah dia berbaringan di atas lantai dia masih lagi dihimpit rasa bosan. Barang-barang yang dibawa balik ke kolej sudah habis dikemasnya. Dia termenung lagi.
‘Hurm, bosannya. Kalaulah ada Tv kan bagus.’
Bosan sendirian di biliknya dia turun ke bilik televisyen. Jam sudah menginjak ke pukul lima petang. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk bermain skuasy. Dicapainya raket skuasy kepunyaannya dan berlalu ke gelanggang skuasy. Tia menuruni tangga Batu Caves dan berjalan sendirian ke gelanggang skuasy. Dari kejauhan dia ternampak kelibat Ash namun kali ini tanpa Wafiy di sisinya.
“Hai.” Ash menyapanya. Tia agak terkejut.
‘Ash tegur aku. Mimpikah ini?’ Tia hilang dalam lamunannya sendiri.
“Hai. Awal balik?” Tia sekadar berbasa-basi.
Biasanya Ash jarang bercakap dengannya.Tia membelek-belek raket skuasynya. Tak tahu apa yang harus dilakukan bila berduaan dengan Ash.
“Awal la jugak. Malas nak balik lambat sangat. Esok dah start kelas.”  Ash mulai mesra dengan Tia. Tia terpandangkan raket di tangan Ash.
“Skuasy?” Tia menjuihkan mulut ke arah raket yang sedang dipegang oleh Ash. Ash mengangguk. Matanya terarah ke arah raket yang berada di tangan Tia.
“Sama la.” Tia menunjukkan raketnya.

*****
Raket dihayunkan ke arah bola. Satu pukulan kuat di hayunkan oleh Ash apabila bola itu melantun ke arahnya. Tia bermain dengan baik. Ash juga begitu. Akhirnya dua-dua terduduk di atas lantai di gelanggang itu, di sebalik cermin kaca.
“Pandai jugak kau main. Hari tu main tenis, terkial- kial je aku tengok.” Ash memulakan perbualan setelah mendapatkan oksigen yang secukupnya.
“Tak biasa la main tenis. Lagipun tu first time main. Memang la terkial-kial.”
 Tia tergelak pabila mengingatkan betapa teruknya cara permainannya hari itu. Ash turut sama tergelak. Wafiy  sedari tadi memerhatikan gelagat Tia dan Ash duduk di bangku di luar gelanggang skuasy. Tia dan Ash langsung tidak sedar akan kehadiran Wafiy sehinggalah Wafiy mengetuk cermin kaca itu. Kedua-duanya berpaling. Wafiy tersenyum.
“Wafiy, bila sampai?” Tia ceria. Wafiy dilihatnya semakin kacak. Anak kacukan sepertinya pasti mampu menarik perhatian gadis-gadis cantik.
“Seronok main?” Wafiy bersuara. Ada sedikit nada cemburu di situ.
“Seronok jugak. Nak join?” Tia mengajak Wafiy.
            Wafiy tersenyum. Ash senyap. Sekelip mata sahaja, Ash yang mesra tadi berubah menjadi Ash yang asal. Wafiy mengambil raket kepunyaan Tia. Lalu dia bermain dengan Ash. Sama hebat. Akhirnya kedua-duanya terduduk di situ. Keletihan.
Tia mengambil raketnya. Tuala dan juga bola disimpan ke dalam beg kecilnya. Ash dan Wafiy hanya memerhatikannya.
“Dah nak balik?” Wafiy bertanya.
Tia menunjukkan isyarat jam kepadanya. Wafiy mengamati jamnya. Sudah hampir pukul tujuh malam. Memang patut mereka beredar dari gelanggang. Ash bangun. Wafiy juga.Mereka bertiga beredar ke hostel.
*****
Tia muncul di depan pintu bilik. Izzati yang sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat maghrib, terkejut melihat Tia yang berpeluh-peluh. Sangkanya Tia berada di bilik televisyen ternyata meleset. Raket yang dipegang Tia diletakkan di atas katil dan tuala berwarna merah jambu dan bakul alatan mandi diambil dan terus menuju ke bilik mandi. Solat maghrib perlu ditunaikan dalam keadaan yang suci.
Tia melipat telekung berserta sejadah dan diletakkannya di suatu sudut di atas katilnya. Kemudiaan, dia berbaringan di atas katil. Izzati memerhatikan gelagat Tia.Hairan dengan sikap Tia yang tak banyak bercakap. Biasanya Tia yang paling kepoh sekali di dalam bilik itu.
“Hai budak tu kenapa senyap je hari ni? homesick ke?” Izzati mengusik Tia. Tia tersengih.
“ Tak main la homesick ni. Berapa lori bawak balik barang kali ni?” Tia memerli Izzati.
“Ada la sepuluh lori.” Izzati berseloroh. Dan kedua mereka ketawa.
Really? Nak tengok ape yang zati bawak sampai sepuluh lori tu.” Tia bangkit dari pembaringannya dan menjenguk ke arah katil Izzati.
“Ish budak ni, nak kena ni.” Izzati mengambil tempatnya di kerusi. Tia pula dengan senang hatinya berbaringan di atas katil Izzati.
“Zati.”
Tia cuba bermanja-manja dengan Izzati. Izzati memandang Tia.
“Ish budak ni, nak bermanja-manja dengan orang pulak. Apa dia?” Izzati cuma melayan sahaja perangai Tia yang agak gila-gila itu.
“Rasa macam tak nak ambil result je la.” Tia menyuarakan apa yang terpendam di hatinya.
“Mana boleh. Kalau tak ambil, macam mana nak tahu pencapaian kita.”Izzati pelik akan sikap Tia yang satu ini.
“Semalam kan, Tia mimpi dapat 2 pointer je. Takut seh.” Tia cuba mengingati mimpinya semalam. Memang mengerikan bagi seorang pelajar.
“Mimpi itu kan mainan tidur.” Izzati sudah mula rasa berdebar-debar.
“Tapi kan mimpi Tia selalu menjadi tau. Tu yang takut tu.” Tia menjelaskan. Kata-kata Tia membuatkan Izzati berfikir.
“Tapi kan, tia ada mimpi satu lagi. yang ni pasal zati.” Tia cuba memancing perhatian Izzati.
“Apa dia?” perasaan ingin tahu membuak-buak dalam diri Izzati.
“Zati.. Zati.. kahwin dengan Mr. F.” Sejurus selepas itu, bantal dibaling ke arah Tia. Tia ketawa berdekah-dekah.
“Nak kena budak ni.” sekali lagi bantal dibaling ke arah Tia. Dan mereka ketawa.
*****
 P/s: Dah lama tak pos entri budak matrix. hehe


The chronicles of me part 10

Wednesday, September 7, 2011
Sudah beberapa minggu aku tidak bersembang secara maya dengan Isaac. Ya, aku tahu dia sibuk. Emel-emel dariku juga tidak dibalas. Sudahnya aku tak lagi mengirimkan emel kepadanya apatah lagi menyapanya di ruangan sembang maya. Ah! Aku malas. Merajukkah aku dengan sikapnya? Tak. Aku tak merajuk. Aku cuma mahu memberikan ruang kepadanya.  Aku tak mahu dikatakan terhegeh-hegeh. Pathetic. Desperate. Kalau boleh aku tak mahu dipanggil dengan perkataan sedemikian rupa. Malu.
            Jadi aku teruskan kehidupan aku seperti biasa. Tanpa emel dari dia. Laman sosial Facebook kubuka. Banyak notification di facebook. Aku membuka satu persatu dan baru aku sedar yang semalam merupakan hari lahir salah seorang rakanku di universiti. Aku meneliti ruangan sembang. Ya, dia sedang online. Tanpa ragu-ragu jari-jemariku menaip.
            ‘Happy belated birthday, Jim.’
            Lantas aku membiarkan ruangan sembang itu sepi. Seketika kemudian bunyi beep kedengaran. Aku meneliti ruangan sembang tadi. Segaris senyuman terukir dibibir tatkala membacanya.
            ‘Dah berkurun baru nak ucap ke Alin?’
            Aku tersengih sendirian di hadapan komputer riba. Sebetulnya aku bukanlah rapat sangat dengan Jim. Tak pernah bercakap walaupun kami berselisih bahu. Tapi entahlah mengapa kini aku bersembang mesra dengannya di dalam ruangan sembang itu.
            ‘Semalam tak buka Facebook, tak perasan birthday kau. Sorry.’
            Memang aku jarang membuka facebook lantaran tuntutan kerja lain yang lebih penting. Jim membalas. Jawapannya membuatkan aku terlupa sebentar mengenai Isaac.
            ‘Kau memang Alin. Bukan ingat pun birthday aku. Apapun terima kasih sebab wish kat aku.’
            Aku tersengih. Lantas jari jemari yang tak berapa runcing ini menaip. Aku menekan butang enter.
            Since aku tua empat bulan dari kau, kau kena panggil aku kakak tau.’
            Balasan darinya membuatkan aku sedikit terkedu.
            Okay, dengan syarat kau panggil aku adik. Deal?’
            Aku tersenyum sendirian di situ. Jim dengan rasminya menjadi ‘adik’ aku. Entah bagaimana aku boleh beramah mesra dengannya sedangkan aku dan dia langsung tak pernah bertegur sapa.
*****
Seminggu aku pulang ke rumah untuk cuti Hari Raya Aidilfitri. Kini aku berada di kampus. Kelas akan berlangsung pada pukul 3 petang.  Sekarang jam sudah pun menunjukkan pukul 2.30 petang. Masih lagi awal. Aku mendaki tangga menuju ke bilik kuliah yang berada di aras 3. Patutlah aku semakin ramping, hari-hari aku melakukan senaman. Aku rasa tindakan pihak universiti ridak menyediakan lif adalah bagus kerana pelajar boleh bersenam sambil ke kuliah.
            Aku membetulkan beg sandang yang disandang di bahu kiri aku.  Ruangan koridor yang dipenuhi pelajar menyebabkan aku terpaksa bersesak untuk menuju ke bilik kuliah. Sedang aku asyik membetulkan beg sambil berjalan, Jim menegurku.
            “Selamat Hari Raya Alin.”
Mataku bulat memandang Jim. Sepanjang aku berada di kampus, inilah kali pertama Jim menegurku. Aku terkejut. Mataku memandang rakan Jim, iaitu Shamsul. Ternyata dia juga terkejut. Mungkin pelik dengan reaksiku, dia tersenyum.
“Selamat hari raya juga.”
Balas aku pendek. Dia  tersenyum. Kenapa pula kali ini, aku rasakan senyumannya begitu manis sekali.  Stop it, Alin! Jangan hendak buat drama cinta tepi koridor ini.
“Nak pergi kelas ke?”
Tanyanya bersahaja. Aku? Tak terfikir dia akan bertanyakan kepadaku. Kawan-kawan yang berjalan sekali denganku telah meninggalkan aku sendirian di situ. Mungkin mahu mencari tempat di dalam bilik kuliah.
“A’ah, kelas pukul 3. Okay pergi dulu.”
Aku tersenyum ke arahnya. Sempat aku melambaikan tangan ke arahnya. Dia membalas. Tak tidurkah aku malam nanti? Oh tidak. Okay, dia ‘adik’ aku sahaja.
“Bye.”
Aku berpaling ke belakang usai dia berbicara. Aku perasankan rambutnya yang terpacak. Ya, nampak sesuai dengannya, berbanding rambut ala-ala korea yang selebet di dahi.  Aku tersenyum. Pintu ke bilik kuliah aku tolak. Wajah kawan-kawanku aku tatap dengan senyuman yang tak lekang di bibir. Jatuh cintakah aku. Oh, sama sekali tidak.
*****
             

Miskinkah cinta itu? Part 6

Tuesday, September 6, 2011

Malam itu aku dan Izwan terpaksa berhimpit di atas katil. Usai makan malam tadi Izwan mengajakku untuk tidur di hotel memandangkan kedaifan bilik yang kami diami ini. Izwan tak mahu aku sakit-sakit badan berhimpit dengannya di atas katil yang sudah bergoyang ini.  Namun aku menolak. Aku rasa tak wajar untuk kami berdua tidur di hotel sedangkan niat asal kami untuk bermalam di rumah emak. Jadi atas alasan itu, aku tak menurut kata Izwan.
            Kini aku berada dalam pelukan Izwan. Kami berbaringan di atas katil usang itu. Nasib baik badan aku tidaklah bersaiz XXL dan Izwan pula tidaklah sebesar mana. Cuma aku kasihankan kaki Izwan yang sedikit terkeluar dari hujung katil.
            “Kaki abang panjang sangat sampai terkeluar katil. Kelakar.”
            Aku tergelak apabila melihat kaki Izwan yang sedikit terkeluar dari katil. Izwan segera melemaskan aku dalam pelukannya. Aku tergelak sambil memukul-mukul dadanya. Izwan pun turut sama tergelak.
            “Sayang tahu tak?”
            Izwan memulakan bicara apala tawanya sedikit reda. Aku memandangnya. Pelik.
            “Sayang bertuah tau sebab abang tinggi.”
            Aku mengerutkan kening apabila mendengar bicara Izwan.
            “Kenapa?”
            Izwan tersenyum sambil mengeratkan pelukannya yang kian longgar. Aku hanya menurut.
            “Nanti anak kita mesti tinggi macam abang. Sebab kalau abang rendah, mesti anak-anak kita rendah sebab sayang pun rendah juga.”
            Izwan menyeringai. Aku kembali memukul dadanya apabila menyedari dia mengusikku dalam diam.
            “Abang ni...”
           Belum sempat aku menuturkan kata-kata seterusnya, terdengar bunyi sesuatu yang patah. Tak lama kemudian, katil yang kami duduki tadi runtuh. Aku dapat merasakan emak akan mengetuk pintu bilik kami selepas ini, kerana bunyi katil runtuh tadi agak kuat untuk  waktu malam yang sunyi.
            “Abang okay?”
            Izwan tersenyum. Dia mengosokkan belakang badan menandakan sakit di situ. Mujurlah aku tak apa-apa. Izwan terlebih dahulu melindungi aku daripada terhentak kuat sewaktu katil runtuh. Aku membelek badan Izwan. Risau jika ada yang cedera.
            “Abang okay. Sayang ada cedera mana-mana tak?”
            Kini giliran Izwan membelek lengan dan tanganku. Setiap tempat diteliti, kerana takut aku tercedera dalam insiden katil runtuh itu. Kemudian aku dan dia berpaling ke arah katil yang runtuh itu.
            “Alamatnya malam ni kena tidur bawahlah sayang.”
            Aku tertawa senang dan tawanya terhenti apabila terdengar bunyi ketukan di pintu bilik. Kami saling berpandangan.
*****
Aku membuka pintu perlahan-lahan. Tepat sangkaan aku, emak tercegat di depan pintu dengan tompokan bedak sejuk di muka dan berbaju kelawar berwarna hijau. Rambut emak disepit dengan menggunakan penyepit. Mujur bukan Izwan yang membuka pintu. Kalau tak aku pasti Izwan akan menjerit melihat wajah emak di malam hari. Emak kulihat sedang marah. Mungkin lenanya terganggu dengan bunyi bising kala jam menginjak ke pukul satu pagi.
            “Eh, emak. Selamat malam.”
            Aku berbasa-basi dengan emak. Sebenarnya aku tak tahu hendak menuturkan apa kepada emak. Emak sudah menonong masuk ke dalam bilik kami. Mujurlah Izwan  berpakaian lengkap. Kebiasaannya Izwan suka mengenakan seluar sahaja ketika tidur. Kali ini, Izwan lengkap dengan pijama biru yang aku hadiahkan kepadanya bulan lepas.
            “Ya Allah. Kamu buat apa sampai katil ni runtuh hah? Mak tak tahulah dengan kamu berdua ni. Dah tahu katil tu sempit, tidurlah di lantai. Kan dah runtuh katil ni. Tak pasal-pasal kena beli yang baru.”
            Emak terus membebel di tengah malam yang hening itu. Seketika kemudian, muncul Elin dan Khairul di muka pintu bilik kami. Aku segera menyarungkan tudung ke kepala tatkala melihat kelibat Khairul di hadapan bilik kami. Mujurlah  baju tidur aku ini agak tertutup. Jadi aku tak perlulah mencari kardigan atau apa-apa sahaja untuk menutup auratku di hadapan Khairul.
            “Mak, kenapa bising-bising malam ni?”
            Elin menenyeh matanya dengan jari-jemarinya untuk melihat dengan jelas apa yang berlaku. Aku rasa dia agak terkejut apabila melihat katil usang yang elok terletak di bilik itu telah runtuh. Emak pula masih tak habis berleter.
            “Esok saya beli yang baru. Emak janganlah risau.”
            Usai Izwan berkata demikian, leteran emak terus terhenti. Aku melihat Khairul sedikit terkejut dengan tindakan Izwan. Kemudian dia tersenyum. Aku pun tak pasti kenapa. Adakah dia menganggap hati emak mampu dibeli dengan wang ringgit?  
            “Kalau macam tu baguslah, boleh emak tengokkan barang-barang lain yang kena tukar. Katil kat bilik emak pun dah usang tu, bolehlah beli set yang baru.”
            Aku mengerutkan kening. Kenapa pula aku harus menukarkan katil emak? Lagipun seingat aku, emak baru sahaja membeli katil itu pada tahun lepas. Tak mungkin katil yang diperbuat dari kayu jati cepat reputnya. Adakah emak mahu mengambil kesempatan atas kebaikan suamiku? Aku harap tidak.
            “Abang dah agak.”
            Aku mendengar Izwan bercakap sedemikian apabila kelibat emak, Elin dan Khairul beredar dari pintu bilik kami. Aku menuruti Izwan. Persoalan yang bermain di fikiranku aku biarkan ia bersemadi di situ.
*****
Izwan menunaikan janjinya apabila dia membawaku ke kedai perabot bagi menggantikan katil yang patah semalam. Sesekali aku melihat harga perabot di kedai itu. Ya, memang mahal. Izwan ingin menggantikan katil bujang semalam dengan katil bersaiz Queen agar kami berdua boleh tidur dengan selesa jika mahu bermalam di rumah emak nanti.
            Setiap set katil yang dipilih Izwan sangat cantik, namun harganya juga membuatkan aku memaksanya berfikir dua tiga kali untuk membelinya. Aku tak mahu dia membazirkan duit. Namun Izwan berkeras. Jadi, set katil yang diperbuat dari kayu chengal dipilih bagi melengkapkan bilik tidur di rumah emak.
Izwan membayarnya dengan kad kredit. Dia tak mahu aku mengetahui berapa harga katil yang dibelinya. Katanya dia tak mahu aku rasa bersalah. Untuk menggantikan sebuah katil usang yang menunggu masa untuk roboh, dia menggunakan kad kreditnya. Sejujurnya aku malu dengan Izwan. Sudah terlalu banyak dia bersabar dengan tingkah emak. Aku malu dengannya.
            “Kenapa senyap ni?”
            Izwan menegurku apabila melihat aku tak seceria selalu.
            “Tak, Intan rasa bersalah sebab dah susahkan abang.”
            Izwan memandang ke arahku. Dia tersenyum. Aku tahu dia sayangkan aku, namun aku tak mahu dia selalu menurut kata emak demi aku.
            “Abang cuma nak kita tidur lebih selesa malam nanti. Semalam, sayang dah sakit belakang sebab tidur atas lantai. Abang tak mahu sayang sakit-sakit macam ni.”
            Izwan berhujah. Aku tahu kata-katanya ada benarnya. Memang aku sakit belakang setelah semalam tidur di atas lantai. Tambahan pula, semalam badanku terhentak disebabkan oleh insiden katil runtuh itu. Aku rasa Izwan turut mengalami nasib yang sama.
            “Abang sakit belakang ke? Nak Intan urut?”
            Aku menawarkan khidmat urut kepada Izwan. Itu lebih baik daripada dia mencari khidmat urutan di pusat-pusat urutan tradisional yang bersepah di luar sana. Aku cemburu.
            “Boleh juga. Nasib baik sayang offer nak urut abang. Abang baru ingat nak singgah rumah urut kat depan kedai perabot ni.”
            Pantas aku mencubit lengan Izwan. Dia tertawa senang.
            “Patutlah dalam banyak-banyak kedai perabot, nak juga datang kedai kat sini. Rupanya ada rancangan lain.”
           Izwan tertawa. Lelaki yang bertugas di situ turut ketawa. Usai berurusan, Izwan mengajakku ke spa. Katanya, sakit belakang yang kami hidapi ini perlu dirawat. Jadi, dia mahu aku memanjakan diri aku dengan urutan spa. Dia mengajakku ke spa yang berhampiran. Kami berdua menikmati urutan spa yang menyamankan dan tambah melegakan aku, Izwan diurut oleh tukang urut lelaki dan kami ditempatkan di bilik yang berasingan.
            Aku senang dengan urutan spa yang diberikan. Aku harap emak tak menelefonku kala ini untuk bertanyakan perihal perabot barunya. Aku ingin berehat. Urutan yang nyaman ditambah pula dengan bau bunga-bungaan di bilik itu membangkitkan rasa tenang dan aku akhirnya terlelap.
*****

Tirai Ramadhan itu.

Saturday, August 13, 2011


Bulan Ramadhan menjelang lagi. Masih terngiang-ngiang ditelingaku rungutan kawan-kawanku yang tak dapat berpuasa di rumah. Bersahur dengan keluarga dan berbuka dengan keluarga. Aku sendiri sudah lupa bagaimana rasanya berbuka dengan keluarga. Biasanya aku akan berbuka dengan adik-beradikku sahaja di rumah. Ibu dan ayahku keluar berkerja dan hanya akan pulang selepas azan berkumandang.
Jadi tiada juadah berbuka yang enak-enak mampu aku sediakan buat adik-beradikku menjelang waktu berbuka puasa. Hanya kurma bersama nasi putih berlaukkan cebisan ayam goreng menjadi juadah kami berbuka. Tiada kuih-muih memenuhi meja. Tiada. Kadang-kadang aku hanya hidangkan mi goreng sahaja di atas meja. Itu sahaja yang mampu aku lakukan untuk mengisi perut adik-beradikku dan aku bersyukur, setiap apa yang aku hidangkan tetap mereka nikmati dengan penuh kesyukuran.
Dalam ingatan aku, berbuka puasa bersama keluarga yang lengkap hanyalah dalam angan sahaja. Masih aku ingat, kala itu aku baru sahaja menginjak usia sepuluh tahun. Ibu dan ayahku keluar berkerja. Apabila tiba waktu berbuka puasa, tiada apa yang terhidang di atas meja. Rumah sepi. Tiada sesiapa. Kepedihan perut aku tahan. Lantas aku keluar ke kedai berhampiran membeli mi segera. Tuan kedai yang baik hati sudi membuka kedai walaupun tika itu mereka sekeluarga sedang enak menikmati juadah berbuka puasa. Pertanyaan tuan kedai merentap perasaanku tika itu.
“Mak tak masak ke adik?”
Aku hanya terseyum kelat. Lantas basikal kukayuh laju-laju menuju ke rumah. Sedih. Pilu. Namun semua itu aku simpan dalam hati. Ibu dan ayah tak pernah mengerti. Selepas peristiwa itu, aku belajar memasak. Jerang nasi dan nasi itu aku goreng menggunakan perencah. Setiap hari di bulan puasa, aku menjamu adik-adikku  yang masih kecil dengan nasi goreng hasil air tanganku. Ibuku seakan lepas tangan. Aku mengeluh sendiri.
Beberapa kali dapur terbakar. Namun aku sempat memadamkannya. Aku sedar bahayanya memasak di dapur namun tika itu aku tak punya pilihan. Jika aku takut, aku dan adik-adik akan berlapar sementara menanti ibu dan ayah pulang dari kerja. Jadi aku cekalkan hati, melakukan apa yang patut buat adik-adik tersayang.
Kadangkala apabila ibu dan ayah pulang ke rumah, aku dihidangkan dengan leteran demi leteran. Serius. Aku penat. Terlalu banyak kerja yang harus aku lakukan. Aku sudah banyak mengambil alih tugas ibuku namun ibu kadang-kadang tak sedar.  Aku memasak, mengemas dan menjaga keperluan adik-adik sepanjang ibu keluar bekerja. Namun kadang –kadang rungutan ibu menyentap hati kecilku ini.
“Tak boleh nak minta tolong langsung kak ngah ni.”
Kata-kata sebegitu memang menyentap hatiku. Sudahlah aku korbankan banyak masa untuk melangsai tugas-tugas yang telah ibu abaikan dan aku dikatakan begitu. Masih segar diingatanku sewaktu di tingkatan empat. Peperiksaan akhir tahun berlangsung dalam bulan Ramadhan. Sangkaku, Ibu akan memberikan aku ruang untuk mengulangkaji pelajaran namun aku silap. Urusan rumah tetap diuruskan aku.
Usai pulang sekolah, aku pasti akan memulakan dengan mengemas rumah, dan akhirnya menyediakan hidangan untuk berbuka. Aku penat. Namun, jika aku fikirkan kepenatan aku, alamatnya berlaparlah adik-adikku sewaktu berbuka nanti. Masakan aku sudah sebati dengan adik-beradikku. Sehinggakan ayahku juga suka akan masakanku. Namun, langit tak selalunya cerah. Aku gagal salah satu subjek dalam peperiksaan akhir tahun. Itu kali pertama aku gagal dalam subjek yang aku pelajari sepanjang aku bersekolah. Aku tak pernah gagal. Paling teruk pun hanya gred C+ yang tercatat dalam slip keputusan peperiksaanku. Aku hampa. Aku melepas perasaan di dalam bilik. Sedih. Pilu.
Kadang kala kubuka peti sejuk dan peti itu kosong. Aku sayu. Tak tahu apa yang aku hidangkan kepada adik-adik. Lantas, aku masakkan bubur nasi yang kuracik ketulan ayam semalam sebagai hidangan berbuka puasa. Mujur mereka menyukainya. Selalu mereka meminta aku memasakkan masakan kesukaan mereka. Aku terharu. Mujurlah permintaan mereka aku kategorikan sebagai biasa sahaja. Jadi bolehlah aku menunaikannya. Malah, ayahku juga semakin suka masakan yang aku masakkan. Aku terharu.
Kini aku di sini. Aku berada di kampus.  Hatiku risau dengan adik-adikku. Siapakah yang menghidangkan juadah berbuka puasa buat mereka? Siapakah yang menjaga makan pakai mereka? Aku risau. Kala ini, ingin aku segera pulang ke rumah. Tak sanggup aku lihat rumah bersepah tak berkemas. Adik-adik lapar menunggu emak dan ayah pulang dari kerja. Aku tak sanggup.
Dulu, setiap kali permintaan untuk berbuka puasa bersama kawan aku tolak mentah-mentah. Aku cuma mahu berbuka puasa bersama adik-adikku. Menemani dan melayani karenah mereka di meja makan. Jiwa aku tak tenang jika aku tak menghidangkan sendiri juadah di meja makan.
Aku sedar. Adik-adik aku membesar dengan air tanganku. Setiap kali aku pulang bercuti pasti ada sahaja yang mereka mahu aku masakkan. Aku terharu. Adik-adik aku sudah pandai memasak sendiri.
“Kak ngah tak payah nak risaukan kami lagi. Adik dah pandai masak.”
Kata-kata itu cukup mengharukan aku. Aku bertuah punya adik-adik yang memahami.  Aku harap kali ini, aku dapat pulang ke rumah lebih awal agar aku punya masa untuk menemani adik-adikku berbuka puasa di rumah. Aku tak mahu mereka sendirian di sana. Tanpa aku sedari, aku matang sebelum usia.  Mungkin aku takkan jadi begini jika ibu tak membiarkan aku berdikari. Dulu, aku tak nampak apa kebaikannya, namun sekarang aku pasti setiap yang berlaku itu ada hikmahnya.

P/S: entri suka-suka di malam ke 13 ramadhan ini. Enjoy ok.. 

Miskinkah cinta itu? Part 5

Saturday, July 30, 2011

Aku membuka sampul surat yang emak berikan kepadaku sebelum emak berangkat pulang semalam. Perlahan gambar-gambar Izwan bersama seorang wanita yang berusia lingkungan 40-an menarik perhatianku. Apabila aku teliti dan aku tilik, baru aku sedar yang emak sudah salah sangka. Tergelak aku sendirian di ruang tamu rumah.
“Emak… Emak… apa nak jadi dengan emak ni?”
Aku berkata sendirian sambil mengelengkan kepala. Izwan yang baru lepas mandi mengambil tempat di sebelahku. Bau mandian yang digunakan Izwan menusuk hidungku. Segar dan maskulin.
“Sayang, kenapa gelak sorang-sorang ni?”
Mungkin Izwan pelik dengan tingkahku. Aku menyuakan gambar yang emak berikan kepadaku semalam. Perlahan Izwan mengambilnya. Gambar-gambar itu ditilik dengan serius dan kemudian Izwan turut menyambung tawa. Tawanya dan tawaku bersatu sehinnga membingitkan ruang rumah kami.
“Emak sayang ni pakai private investigator mana ni? Tak pandai langsung nak siasat.”
Aku tersenyum mendengarnya. Izwan memang periang orangnya. Aku sukakan humor yang dibuatnya. Tak perlu dengan gaya badan. Gaya bahasanya cukup membuatkan aku tergelak sendirian apabila aku mengingatinya kembali.
“Entahlah abang. Intan pun tak faham dengan mak. Abang rasa kita perlu berterus-terang ke?”
Aku tidak mahu emak berburuk sangka lagi dengan Izwan. Cukuplah setakat ini.Aku dan Izwan semakin bahagia namun aku tak mahu kebahagiaan itu dirosakkan oleh fitnah dan buruk sangka yang terbit dari emak.
“Mungkin dah tiba masanya kita berterus-terang dengan emak. Ada ke patut, emak abang dikatakan sugar mummy?”
Aku tersenyum mendengar bait-bait perkataan yang dikeluarkan oleh bibir Izwan. Ya, aku pasti ini jalan penyelesaiannya.
*****
Hujung minggu itu aku dan Izwan melangkah ke rumah emak. Cadangnya mahu bermalam di sana. Aku rasakan sudah lama tak bermalam di rumah emak. Setelah hampir  dua jam perjalanan, aku dan Izwan turun dari kereta. Izwan hanya mahu membawa pulang Myvi hitam miliknya sahaja. Kereta mewah yang selalu dipakainya ke pejabat ditinggalkan di rumah keluarganya di Kuala Lumpur. Katanya tak mahu menunjuk-nunjuk. Aku hanya senyap.
Emak langsung tak menyambut kami. Aku dan Izwan dibiarkan terkontang-kanting di hadapan pagar rumah yang berkunci. Puas aku memberi salam namun salam aku tak bersambut. Sedih. Agak lama kami berdua  menunggu di hadapan rumah sehinggalah Elin datang membukakan pintu pagar. Izwan sudah kelihatan kelat. Dapat aku rasakan maruahnya sebagai seorang lelaki sedikit tercalar.
Aku bersalaman dengan Elin yang sudah sarat benar nampaknya. Wajah kelat Elin mematikan senyuman yang ingin aku pamerkan untuknya.
“Kenapa kakak pulang?”
Satu pertanyaan yang menyentap naluriku. Salahkah aku pulang ke rumah sendiri? Aku tersenyum. Adakah Elin merasakan aku masih punya perasaan terhadap Khairul. Kalau Elin berfikir sedemikian sebegitu rupa, maknanya dia sudah silap. Lelaki sebaik Izwan takkan aku tinggalkan untuk orang seperti Khairul. Tidak sekali-kali.
“Dah lama tak pulang. Sekali-sekala kenalah pulang. Jenguk mak dan abah.”
Aku cuba memaniskan muka. Izwan kulihat sedang memunggah bagasi kami. Wajahnya sedikit muram namun dia sedaya upaya menyembunyikannya dari pandangan mataku. Terbit rasa bersalah dalam diriku ini. Kasihan Izwan kerana terpaksa melalui semua ini demi aku.
‘Maafkan Intan, abang.’
            Kami melangkah masuk ke dalam rumah. Emak dan abah sedang asyik menonton televisyen. Elin sudahpun mengambil tempat di sisi emak. Namun, tidak kelihatan pula Khairul. Mungkin Khairul keluar. Aku bersalaman dengan emak dan abah. Dingin sambutan mereka. Izwan pun sama. Kami berdua mendapat layanan dingin umpama ais.
            “Mak dan abah apa khabar?”
            Izwan memulakan perbualan dengan soalan bertanya khabar. Mungkin mengharapkan suasana yang sedia ada dingin itu menjadi lebih mesra dan hangat. Namun, emak dan abah hanya membiarkan pertanyaan itu sekadar berlalu begitu sahaja. Tak dijawab. Izwan seakan mengerti kehadiran kami seperti tak dialu-alukan di sini.
            “Mak, kakak ada bawa sedikit cenderahati.”
            Aku membuka plastik yang mengandungi beberapa bungkusan yang sudah siap berbalut. Sudah kusediakan untuk semua termasuklah kepada Elin dan juga Khairul. Emak seakan berminat. Aku menghulurkan hadiah kepada emak, abah dan juga Elin.  Aku memandang Izwan. Sengaja aku ingin memeriksa reaksi Izwan. Izwan tersenyum sinis. Mungkin dia merasakan emak seorang materialistik.
            *****
           Usai memberikan cenderahati, aku dan Izwan berlalu ke bilik kecil yang terletak berhampiran dapur rumah. Izwan sudah menyusun bagasi kami di hujung bilik.  Perlahan Izwan mengambil tuala dan menuju ke bilik mandi. Aku sekadar memerhati.
            Aku menyediakan pakaian Izwan. Pakaiannya aku letakkan di atas katil bujang yang sedia ada di dalam bilik itu. Terfikir juga olehku, bagaimana kami akan tidur malam ini. Katil bujang tak mampu menampung aku dengan Izwan untuk tidur. Izwan sudah pun selesai mandi. Dia terus menyarung baju yang sudah aku sediakan di atas katil.
            “Malam ni, macam mana? Sayang nak tidur kat hotel ke? Boleh dapat katil besar dari yang ini.”
            Izwan memandangku. Aku senyap. Ingin mengiyakan aku risau emak akan terasa hati. Namun jika aku menolak, malam ini berhimpitlah aku dengan Izwan di katil bujang yang hampir roboh itu.
“Tapi kan, abang rasa elok juga katil kecil macam ni. Boleh tidur peluk sayang.”
Belum sempat aku membalas, Izwan sudahpun menjawab sendiri. Perangai gatalnya semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Aku tergelak sedikit. Perasaan malu-malu masih ada walaupun sudah agak lama kami berkahwin. Malas melayan perangai gatal Izwan, aku berlalu ke dapur. Aku mahu menyediakan makan malam. Pasti emak akan menyerahkan tugas-tugas memasak kepadaku.
Sangkaan aku tak pernah silap. Emak sudah pun meninggalkan nota menyuruhkan menyediakan makan malam. Nota itu terletak elok di pintu peti ais. Aku tersenyum. Agaknya bilalah emak akan berubah menjadi seseorang yang lebih matang, seiring dengan usia? Semoga Allah bukakan pintu hati emak dan abah agar menerimaku dan Izwan seadanya.
*****