Followers

Miskinkah Cinta Itu? 11

Sunday, April 15, 2012
BAB 11
Aku memandang wajah Izwan yang sedang tekun membaca majalah Pa & Ma. Sesekali dia membetulkan duduknya. Gelas susu yang berada di hadapanku dipandang sepi. Izwan masih melancarkan mogok tidak mahu bercakap denganku jika aku tidak meneguk segelas susu segar itu sampai habis. Aku menghela nafas. Dengan separuh kekuatan, aku meneguk perlahan-lahan susu segar itu. Rasanya tak sedap langsung. Aku perasan wajah Izwan yang sedikit ceria dan apabila aku menghabiskan segelas susu. Majalah Pa & Ma diletakkan di atas meja dan perhatiannya kembali kepadaku.
            “Kan bagus macam tu. Ikut cakap abang.”
            Aku memuncungkan mulut. Sebetulnya wajah Izwan yang ceria sedikit sebanyak melegakan hati aku. Lagipun tak salah apa yang dilakukan. Dia hanya perlukan yang terbaik untuk aku dan bayi yang akan lahir ini.
            “Yalah, Intan ikut cakap abang kali ini saja. Abang, Intan tak nak minum susu. Nanti boleh tak Intan minum susu soya saja? Sama je kan?”
            Wajah Izwan berkerut.
            “Tak boleh sayang, sebab kita tak tahu lagi jantina baby, nanti kalau dah tahu baby itu perempuan, sayang boleh minum susu soya. Kalau baby boy, sayang kena continue minum susu.”
            Aku memandang Izwan. Banyak benar yang dia tahu mengenai kehamilan. Aku rasakan seperti dia yang mengandung dan bukannya aku.
            “Kalau mengandung baby boy memang tak boleh minum susu soya ya abang? Kenapa?”
            Aku bertanya. Sengaja ingin mengetahui sebab mengapa aku tidak dibenarkan susu soya.
            “Sebab susu soya tu, ada kandungan estrogen. Jadi, kalau sayang minum susu soya bila mengandung baby boy, nanti anak kita jadi lembut pula nanti.”
            Aku tergelak apabila Izwan menunjukkan istilah tangan patah kepadaku. Ada-ada sahaja Izwan ini. Gelakan aku terhenti apabila kedengaran bunyi ketukan di pintu utama rumah.
            “Sayang duduk. Biar abang pergi buka pintu.”
            Aku berlalu ke bilik tidur untuk mencari tudung sarung. Manalah tahu, mungkin tetamu yang datang itu seorang lelaki yang bukan muhrimku. Tidak elok menambah dosa dan membebankan suamiku dengan dosa-dosaku. Aku mahu jadi isteri solehah.
*****
            “Siapa yang datang abang?”
            Aku keluar dari bilik dan menjengah ke ruang tamu. Emak dan Elin sudah berada di ruang tamu. Perut bonyot Elin aku tenung. Kali ini, mereka tidak hanya datang berdua, abah dan Khairul juga turut berada di ruang tamu. Izwan melayan mereka dengan ramah. Aku menyalami, emak, abah dan juga Elin.
            “Mak, abah.. apa khabar?” tanyaku ramah.
            Emak mencebik. Abah tersenyum.
            “Abah dan mak baik sahaja. Kakak sihat?”
            Abah bertanya ramah. Aku tersenyum. Mujurlah abah tidak mencebik seperti yang emak lakukan kepadaku. Aku sekadar mengangguk tanda sihat.
            “Duduklah dulu, kakak ke dapur sekejap. Mak dan abah makan tengah hari di sini ya. Kakak masak sekejap.”
            Baru sahaja aku ingin berlalu ke dapur, emak sudah mencelah.
            “Tak payah nak susah-susah. Nanti Elin dan Khairul nak bawa mak dan abah makan kat restoran. Nak harapkan kakak dan Izwan ni, entah sampai bila-bila pun tak bawa mak dan abah makan.”
            Aku tersentak. Emak sudah memulakan sesi menyindir. Aku terasa dengan sindiran emak. Selalunya aku tidak cepat terasa dengan sindiran emak, namun kali ini sindiran emak bagaikan menusuk terus ke dalam hati. Amat pedih dan amat menyakitkan. Izwan yang mungkin perasan akan perubahan air wajahku, terus sahaja mencelah.
            “Oh, mak dan abah nak makan dekat mana? Dekat-dekat sini ada juga restoran baru buka. Sedap juga makanan dekat situ. Nanti bolehlah, pergi makan dekat sana,” tutur Izwan bersahaja.
            “Khairul nak bawa mak dan abah makan dekat hotel lima bintang.”
            Angkuh sahaja kedengaran suara emak. Aku sudah berlalu ke dapur. Aku ingin menyediakan minuman buat tetamu. Aku sedari Elin dan Khairul sedari tadi memerhatikan aku dan Izwan. Jelikkah kami berdua? Uncang teh Lipton aku letakkan ke dalam teko dan air panas aku tuang ke dalam teko. Haruman teh memang mendamaikan jiwa. Usai meletakkan gula, aku berlalu ke ruang tamu dan menghidangkan air kepada tetamu.
            “Jemput minum semua. Air teh sahaja.”
            Aku menuang teh ke dalam cawan dan meletak di atas meja kopi. Kemudian, sepiring kek pisang yang baru sahaja aku beli semalam, aku letakkan di atas meja kopi.
            “Jemputlah makan kek  ni.”
            Aku mempersilakan  emak dan yang lain untuk menjamah hidangan yang tidak seberapa itu. Elin mengambil sepotong kek pisang.
            “Dah lama Elin nak makan kek pisang.”
            Aku mengesan seraut wajah ceria sewaktu menjamah kek pisang yang aku sediakan. Khairul turut tersenyum memandang telatah isterinya. Dia turut menjamah kek pisang yang aku sediakan. Hanya emak yang tidak mahu menjamah kek pisang. Air teh yang aku hidangkan juga tidak dijamah. Izwan sekadar bersahaja. Aku tahu jauh di sudut hatinya, dia tersentap dengan tindakan emak yang semakin lama semakin menjadi perangainya.
            “Kami berangkat dulu ya, ada kerja lain pula nak dibuat ni. Datang ni sengaja nak melawat kakak dan abang wan.”
            Khairul memulakan bicara. Aku tersenyum. Sekurang-kurangnya Khairul masih tahu menghormati aku dan Izwan. Aku sedikit terharu. Seketika kemudian, mereka semua berangkat pulang. Aku dan Izwan saling berpandangan antara satu sam lain. Ya, aku tahu pandangan sayu Izwan itu. Jelas dia terasa dengan kata-kata emak sebentar tadi.
            ‘Mengapa rumah tangga yang aku inginkan selalu ada penghalangnya?’
*****
Aku berjalan ke arah Izwan. Dia memandang ke luar jendela. Saat ini ada yang menganggu fikirannya. Mungkin dia tidak mahu meluahkan kepadaku kerana keadaan aku yang berbadan dua. Dia tidak mahu menyesakkan fikiranku dan juga memberikan beban kepada emosiku.
            “Abang... Intan minta maaf bagi pihak emak.”
            Izwan memandangku. Dia meraihku ke dalam pelukannya. Senyap. Satu patah perkataan pun tidak dikeluarkan olehnya.
            “Abang...”
            “Shhh... Intan tak salah apa-apa pun. Memang emak dari dulu macam tu kan? Sebab abang dah kahwin dengan anak dia, abang anggap emak sebagai emak abang sendiri.”
            Mataku sudah berair. Mungkin perasaan terharu dengan kesabaran yang ditunjukkan oleh Izwan. Sejak berkahwin denganku, dia selalu makan hati dengan sikap emak yang semakin menjadi-jadi memperlekehkan aku dan Izwan. Aku semakin tidak faham dengan emak. Setiap kali solat, aku selalu berdoa agar emak akan sedar akan kekhilafannya dan menerima kami seadanya.
            Izwan mengusap perutku. Bagaimanakah keadaan anak ini jika dia lahir ke dunia nanti? Adakah dia juga akan turut menjadi habuan sindiran neneknya? Pernah juga, akal jahatku ini tidak mahu pulang lagi  ke rumah itu, namun, siapakah aku untuk memutuskan silaturahim sesama insan?
            “Intan, abang rasa emak memang tidak sukakan kita kan?”
            “Abang, emak memang macam tu. Kalau dia tak suka, takkan dia nak datang rumah dan jenguk kita?”
            “Abang tahu tapi semakin hari, semakin teruk perangai emak tu. Kalau satu hari nanti emak buat apa-apa pada Intan, abang rasa mungkin abang tidak boleh nak benarkan Intan jumpa dengan emak lagi.”
            Suaran Izwan kedengaran tegas. Aku tahu dia risaukan keselamatan aku. Lagipun tadi sebelum pulang, sempat emak menitip sedikit air akar kayu yang katanya bagus untuk kesihatan bagi ibu mengandung sepertiku.
            “Abang, tadi emak ada bagi air akar kayu suruh buat minum. Katanya baik untuk perempuan mengandung.”
            Izwan menunjukkan riak wajah tidak senang. Aku tahu dia pasti tidak bersetuju untuk aku mengambil air akar kayu itu.
            “Abang rasa baik Intan tak payah minum air tu, abang takut nanti lain pula jadinya nanti.”
            Aku hanya menurut. Risau juga untuk mengambil ramuan herba yang mungkin mengandungi toksik. Izwan merenggangkan pelukan. Dia kemudian berlalu ke dapur. Mungkin ingin melihat air akar kayu yang diberikan oleh emakku. Aku hanya menurut langkah Izwan.
            “Abang nak bawa air ni jumpa dengan mama.”
            “Kenapa?”
            “Abang nak pastikan air ni betul air akar kayu untuk perempuan mengandung.”
            “Abang, seburuk-buruk perangai emak, emak takkan sanggup buat perkara-perkara tak elok untuk Intan.”
            Izwan senyap. Aku tahu dia terlalu risaukan aku.
            “Abang cuma nak pastikan sahaja. Petang ni kita balik ke rumah mama.”
            Tegas Izwan berkata-kata. Aku tahu itu merupakan arahan. Tiada kompromi. Akhirnya aku menurut sahaja.
*****
Petang itu aku dan Izwan ke rumah mama. Mama menyambut kami dengan ramah. Aku menyalami mama dan kemudian papa. Bibik sibuk di dapur untuk memasak makanan kegemaran kami berdua.
            “Menantu mama sihat?”
            “Sihat mama. Baby dekat dalam perut pun sihat.”
            Aku lihat mama dengan papa juga gembira dengan kehadiran kami berdua. Entah mengapa aku merasakan sambutan mama dan papa lebih hangat daripada keluargaku sendiri. Mereka ikhlas menerima aku seadanya. Tidak seperti keluargaku sendiri. Aku mula membandingkan keluargaku dengan keluarganya. Terasa teruknya diriku kerana membandingkan keluargaku dengan keluarga Izwan. Apa-apapun, mereka masih lagi keluargaku dan aku harus menerima mereka seadanya.
            “Mama, Wan nak minta mama tengokkan air akar kayu ni. Ada yang kata elok untuk perempuan mengandung macam Intan ni. Tapi Wan risau pula nak bagi si Intan minum. Nak minta mama tengokkan dulu.”
            Mama meneliti air akar kayu yang diletakkan di dalam botol plastik. Mama membuka penutup botol dan mencium bau air akar kayu itu. Air akar kayu itu dituang ke dalam gelas. Warnya perang dan kelihatan keruh. Baunya agak meloyakan tekakku. Aku menjarakkan sedikit dari mama. Tak tahan dengan bau yang dihasilkan dari air akar kayu itu.
            “Waduh... waduh.. Datin, kuat baunya. Apaan ini?”
            Bibik sudah datang melihat air akar kayu yang diletakkan di dalam gelas. Dia menutup hidung dengan telapak tangannya. Mulut bibik agak bising. Mama dan Izwan kelihatan serius. Bagaikan sedang menganalisa air akar kayu itu.
            “Datin, bibik rasa ini air akar kayu nggak boleh diminum sama wanita hamil. Bisa gugur nanti.”
            Aku terdiam. Betulkah begitu? Takkanlah emak mahu menggugurkan kandungan aku? Kata emak ini untuk memberikan aku tenaga semasa hamil memandangkan aku hamil anak pertama. Aku tak faham.
            “Mama rasa, tak perlulah Intan minum air akar kayu ni. Kalau Intan nak minum minuman herba, mama buatkan yang lain. Kalau minum yang ni, mama takut Intan tak tahan dengan bau dia.”
            Mama mengemaskan kembali air akar kayu. Wajah Izwan sedikit berubah. Aku tahu dia kecewa. Mujurlah aku tak meneguk air akar kayu itu lagi. Kalau tak, aku sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada aku dan bayi dalam kandungan ini.
            “Abang rasa mak dah melampau bila dia buat Intan macam ni.”
            Dingin suara Izwan menuturkannya. Aku terkedu. Risau akan ada perang yang meletus antara Izwan dan emak. Aku memandang wajah Izwan yang sudah memerah menahan marah.
            “Mama, jangan buang air akar kayu itu. Wan ada benda nak buat dengan air akar tu.”
            Aku memandang wajah Izwan yang serius. Dapat aku rasakan tahap kesabaran Izwan semakin memuncak. Aku harap tiada apa-apa yang buruk yang berlaku antara Izwan dan emak nanti.
            ‘Semua ini ada hikmahnya. Aku yakin.’
*****
P/S: Maaf kerana dah lama tak post kisah ini. Hazel harap entri ini boleh ubatkan rindu semua ya... Selamat membaca dan terima kasih kepada yang sudi singgah dan baca... ^^v

Siapakah kekasih hatiku? 21

Thursday, March 15, 2012
AKU memandang Iza. Dia sudah pun dikeluarkan dari inkubator. Berat badannya pun semakin bertambah. Doktor kata dia semakin sihat. Kini aku berada bersama bonda, menguruskan Iza. Aku agak kekok apabila memangku Iza. Kurasakan badannya begitu lembut. Risau aku akan menyakiti si kecil. Bonda tersenyum memandangku.
“Bonda suka tengok Tia dan Alan dah berbaik.”
Tiba-tiba bonda bersuara. Aku yang sedang mengagah Iza terkedu.
“Tia pun suka. Tia rasa kena berterima kasih kat Iza.”
Aku tersenyum. Iza sudah pun berusia lima bulan.  Sudah besar anakku itu. Begini rasanya menjadi seorang ibu. Melihat anak-anak membesar membuatkan aku rasa semakin tua.
“Hari tu, Alan ada cakap dengan bonda, dia nak bawak Tia bulan madu.”
 Tanganku yang sedang asyik membetulkan baju Iza terhenti. Aku memandang bonda. Rasa tak percaya menyelubungi hatiku kala itu. Tak sangka Alan menyuarakan hasrat berbulan madu kepada bonda. Tiba-tiba aku menjadi sedikit segan.
‘Memang dulu Alan pernah berjanji denganku tapi aku sangkakan dia hanya bergurau sahaja.’
“Oh, pasal tu. Tapikan bonda kalau Tia dan Alan pergi siapa yang nak jaga Iza?”
Risau aku hendak meninggalkan Iza. Siapa yang mahu menjaga Iza kala aku berada di sana bersama Alan. Kasihan si kecil jika ditinggalkan berseorangan.
“Bonda kan ada. Bonda boleh jaga Iza. Lagipun Iza kan cucu bonda”
            Aku senyap. Tangan Iza kucuit-cuit.
            ‘Bulan madu bersama Alan? Bagaimana agaknya?’ Aku berkira-kira dalam hati.
*****
BONDA tak membenarkan aku membawa pulang Iza ke rumah. Katanya, aku dan Alan perlukan lebih privasi untuk berbincang mengenai urusan bulan madu kami. Sudahnya, aku hanya membiarkan bonda menjaga Iza di rumah bersama papa. Aku pulang agak awal hari ini, berbanding kebiasaan. Biasanya aku pulang jam sepuluh malam ke atas selepas operasi restoran selesai, namun kali ini, aku mengambil inisiatif untuk pulang awal dan menyediakan makan malam untuk Alan.
            Aku meletakkan beg tangan di sofa. Laju sahaja aku menuju ke dapur. Aku mahu mengeluarkan ayam dan ikan dari peti ais. Dalam benak fikiranku, aku sedang merangka-rangka masakan apa yang ingin aku hidangkan kepada Alan nanti. Aku naik ke tingkas atas untuk menyalin pakaian yang lebih selesa.
            Usai menyalin pakaian, aku turun ke bawah. Aku mahu menyediakan masakan untuk Alan. Yang enak-enak sahaja. Aku mulakan dengan menanak nasi dahulu. Usai menanak nasi aku beralih kepada bahan mentah yang telah aku keluarkan dari peti ais tadi.
            Tiba-tiba aku terasa hendak menikmati sup ala Siam versi cipta sendiri.  Aku mencari bahan-bahannya. Ada. Ayam kupotong kecil dan kureneh dengan api kecil. beberapa tangkai cili api kuketuk dan kucampakkan ke dalam peiuk ayam yang direneh tadi. Biar pedas.Sesekali aku menapis buih-buih keruh yang terapung di atas permukaan air.
Apabila sudah menggelegak, aku memanaskan kuali untuk menumis bahan-bahan lain. Bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga dan  bunga cengkih. Ya, itu untuk menumis. Aku menumis bahan-bahan rempah dahulu untuk menaikan aroma. Lagipun asid amino yang terdapat di dalam rempah ratuslah yang menjadikan aroma makanan itu semakin enak dihidu dan wangi. Volutile compounds itu istilah saintifiknya.
‘Pandai jugak aku masak. Tak sia-sia aku belajar memasak dengan mama dulu.’
            Kemudian aku memasukkan hirisan bawang putih, bawang merah dan halia ke dalam tumisan rempah tadi. Setelah naik bau, aku memasukkan tumisan itu ke dalam periuk yang sudah kureneh ayam tadi. Batang saderi dan  kobis bunga kumasukkan ke dalam sup tadi. Kemudian diikuti dengan tomato. Seperti biasa masukkan garam secukup rasa. Siap. Aku menutup api.
            Hidangan sup sudah siap. Tapi takkan hendak makan satu lauk sahaja. Jadi aku merajinkan diri menyiapkan satu lagi hidangan iaitu telur dadar. Hidangan yang budak tahun satu pun boleh buat. Usai menggoreng, aku menghidangkan di atas meja. Aku menceduk sup ke dalam mangkuk, kemudian aku memerah hirisan limau nipis ke dalam sup. Biar ada rasa masamnya.
            Tak lengkap hidangan jika ulam-ulaman tak disediakan. Aku memang hantu ulam. Tak kisahlah cicah dengan budu, sambal belacan atau cencaluk. Semua aku bedal. Jadi aku memotong timun dan kacang botor dan dihidang bersama sambal belacan. Hurm..siap.
            Puas hati dengan makanan yang dimasak, aku menyediakan air sunquick dan dibiarkan sejuk di dalam peti ais. Aku lebih suka begitu daripada meletakkan ketulan-ketulan ais di dalam air. Tak elok.
            Kemudian aku berlalu ke tingkat atas untuk mandi dan menukar pakaian yang lebih elok.
*****
ALAN menjejakkan kaki di rumah apabila jam menunjukkan lapan malam. Aku menanti Alan di ruang tamu. Lauk yang aku masak tadi sudah pun sejuk. Aku mengambil briefcase
Alan dan membuntutinya ke kamar kami. Ternyata dia letih dengan kerjanya hari ini.
            “Abang nak mandi. Tia ambilkan tuala ya.”
            “Hurm, takpe abang nak baring kejap.”
            Alan mengusap rambutku. Dia mahu berbaringan di atas katil sebentar suntuk mengeringkan peluh. Aku hanya menurut sahaja.
            “Tia dah masak tadi. Abang nak makan?” bicara aku.
            Aku tak mahu memaksanya makan jika dia tak mahu. Tiba-tiba aku teringatkan sup ala Siam yang telah aku sediakan tadi. Nampaknya aku terpaksalah menghabiskannya sendiri jika Alan sudah makan di luar.
            “Tia?”
            “Ya?Abang nak tuala? Kejap Tia ambilkan.”
            Aku terus bangun menuju ke arah almari. Sehelai tuala putih dikeluarkan dari almari. Aku menghulurkan tuala kepada Alan dan dia menyambutnya. Aku memandang Alan sekilas. Dia tersenyum.
            “Abang lapar. Tia masak apa malam ni? Tadi abang rasa abang terbau sup kat dapur.”
            Alan mengusik. Aku tersenyum malu.
“Tia masak sup Siam. Nanti abang try la. Sedap tau. Tapi resepinya, Tia campak-campak saja.”
Aku terus bersemangat. Aku segera menolak Alan ke kamar mandi dan selepas itu, aku turun ke bawah untuk memanaskan kembali lauk-lauk yang telah sejuk. Sedang asyik aku mengatur pinggan di atas meja, kulihat Alan sudah pun mengambil tempat di meja makan. Bersedia untuk menjamah makanan yang aku masak.
“Nanti Tia sendukkan nasi.”
Aku mengambil pinggan Alan dan menyendukkan nasi ke dalam pinggannya. Kemudian, air sunquick kutuang ke dalam gelasnya. Aku ulangi perkara yang sama kepada diriku. Apabila aku sudah mengambil tempat di sebelahnya, Alan membaca doa makan dan kami berdua memulakan suapan pertama ke dalam mulut.
“Sedap.”
Itu sahaja komen Alan apabila merasai sup ala Siam versi cipta sendiri aku. Aku tersenyum. Beberapa kali juga dia menambah sehinggakan sup yang aku masak habis. Tak tinggal kesan. Sebetulnya, aku hanya memasak sekadar cukup2 orang makan sahaja. Takut membazir.
“Abang ada perkara nak cakap dengan Tia. Mengenai kerja Tia.”
Suapan aku terhenti tatkala Alan menyebut mengenai urusan kerja. Sensitif betul aku kalau ada yang hendak masuk campur dengan urusan kerja. Aku kembali menyuap nasi. Aku menyudahkan suapan-suapan terakhir nasi ke dalam mulut bersama sisa-sisa lauk yang berbaki di dalam pinggan.
Usai makan, Alan membantuku mengemas. Dia membantuku mengemas meja dan aku membasuh pinggan mangkuk yang telah digunakan.
“Abang nak cakap mengenai kerja Tia?”
Alan meletakkan pinggan ke dalam sinki. Kemudian dia mencapai tuala kering dan mula mengelap pinggan yang baru sahaja aku cuci.
“A’ah. Abang ingat Tia tak payahlah kerja. Sebab abang nak Tia tumpukan pada kerja rumah saja. Jaga abang dan Iza.”
Aku meneruskan basuhan pinggan. Mindaku sudah menerawang entah ke mana. Mana mungkin aku berhenti kerja. Kerja segala-galanya bagi aku.
“Tia?”
“Abang, boleh tak bagi Tia masa? Tia masih sayangkan kerja ini. Nanti Tia fikirkan dulu ya.”
Alan mengangguk. Aku serba-salah. Aku amat berharap Alan memahami situasi aku sekarang.
‘Abang, maafkan Tia. Tia begitu sayangkan kerja ini.’
*****
AKU masuk kerja awal pagi ini. Banyak urusan yang perlu diuruskan. Permintaan Alan semalam sedikit sebanyak mengganggu ketenangan jiwaku.
‘Takkan aku nak berhenti kerja? Aku suka kerja ni. Lagipun jiwa aku gilakan kerja.’
Jari-jemariku mengetuk-ngetuk meja. Seketika kemudian, deringan telefon bimbitku mengacau lamunanku.
“Hello?”
Aku memulakan.
“Assalamualaikum, Tia. Ini aku. Misya.” 
Misya? Sudah lama mak cik ini  tak menghubungi aku. Sejak aku berkahwin dengan Alan, kami terputus hubungan sehinggalah sekarang. Betapa rindunya aku kepadanya.
“Waalaikumussalam, kau ni. Dah lama tak call aku. Aku ingatkan dah lupa. Nasib baik kau masih ingatkan aku. So, what’s up?”
Aku seakan anak-anak kecil bila bersama Misya. Bukan apa, penat menjadi dewasa, Terasa ingin kembali menyelami masa-masa muda remaja bersama Misya.
“Sebenarnya, aku call kau ni, sebab nak jemput kau datang kat majlis kahwin aku hujung bulan ni.”
Terlopong aku mendengarnya. Tak sangka dalam diam-diam Misya sudah pun berpunya.
‘Biar betul? Misya dah nak kahwin? Agaknya siapalah jejaka yang mampu mencairkan hati Misya ni?’
Aku tertanya-tanya.
“Okay, but siapa pengantin lelakinya?”
Persoalan di minda segera kuluahkan kepada Misya. Tak mahu lagi berselindung di dalam hati.  Tak dapat jawapan nanti.
“Yang tu kau kena datang majlis aku nanti. Nanti aku cerita dari A sampai Z.”
Misya tergelak. Gatal benar kedengarannya. Aku tersenyum. Bahagia benar kedengaran. Kalau aku dulu, susah hendak ketawa sebegini menjelang pernikahan. Kahwin dengan pilihan mama dan abah. Bukan dengan pilihan hati namun aku tahu semua itu ada hikmahnya.
“Tia? Kau kena datang. Aku tunggu tau.”
Lamunan aku disedarkan oleh suara Misya yang girang.
“Okay . Insyallah. Aku cuba luangkan masa nanti.”
 Panggilan telefon dimatikan dan aku bersandar di kerusi.
‘Misya dah nak kahwin dan aku tak harap kisah rumahtanggaku berulang padanya. Dia terlalu baik untuk disakiti. Misya, selamat pengantin baru. Semoga dia dapat membahagiakan kamu.’
*****
MAJALAH Wanita kubelek dengan jiwa yang kosong. Aku masih terfikirkan cara yang terbaik memberitahu Alan mengenai perkahwinan Misya. Alan sedang menonton televisyen. Cerita apa  aku pun tak tahu. Yang pastinya bukan cerita Melayu. Alan memang tak layan cerita Melayu ni, katanya tak best. Cerita mengarut, tak logik dan macam-macam lagi yang dikutuknya. Sedangkan aku, peminat setia cerita Melayu. Memang aku dan Alan bagaikan langit dan bumi. Aku menjeling ke arah Alan yang sedang khusyuk melayani cerita mat saleh itu.
“Kenapa Tia? Tengok abang macam nak telan je.”
Rupanya Alan perasan yang aku menjelingnya. Segera mataku dialihkan ke majalah. Pijar rasanya mukaku ini. Alan mengambil majalah dari tanganku dan memaksa aku menghadapnya. Aku tunduk.  Malu hendak bertentangan mata dengannya.
“Okay sekarang Tia cakap dan abang dengar.”
Alan terus- terusan memandangku. Aku pula hanya mampu menggerakkan bibir sahaja. Entah kenapa tak terluah dari bibirku.
“Tia ?”
Alan menggesaku. Akhirnya aku menarik nafas panjang.
“Kawan lama Tia nak kahwin hujung bulan ni. Boleh tak kita balik kampung?”
 Akhirnya terlepas juga dari mulutku.
“Hurm, hujung bulan ni ye. Abang baru ingat nak bulan madu dengan sayang.”
Alan mengenyit mata ke arahku. Aku malu. Lantas memalingkan muka darinya.
‘Dah start la tu penyakit gatal miang si Alan. Asalkan pukul sepuluh je, penyakit gatal Alan akan mula menyerang.’
 Aku mengomel dalam hati.
“Okaylah sayang. Nanti abang ambil cuti.”
Senyuman kurang manis kuhadiahkan buat Alan. Alan sudah banyak berubah sekarang. Dan aku amat sukakan perubahannya.
‘Abang, walaupun abang miang. Tia tetap cintakan abang.’
*****

 P/S: Terima kasih pada yang masih sudi menjengah dan membaca SKH. Mungkin Hazel patut buat satu lagi enovel yang watak heroin dia berlawanan dengan sikap Tia. Heroin yang keras hati dan degil.. hehe.. So, untuk watak Tia ni, tunggu dan lihat saja apa yang akan jadi pada akhir cerita ini.. Lagi 30% nak siap... hehe

Miskinkah Cinta Itu? 10ii

Tuesday, February 28, 2012
AKU memerhatikan alat ujian kehamilan itu. Lama aku tenung untuk memastikan apa yang aku lihat adalah benar dan bukan halusinasi semata. Ketukan di pintu menyedarkan aku dari lamunan. Suara Izwan yang kedengaran risau sudah mula mencuri perhatianku.
            “Sayang … ok tak ni? Kenapa lama sangat kat dalam tu?” laung Izwan dari luar.
            Perlahan pintu bilik mandi aku buka. Wajah Izwan menyambutku di hadapan pintu. Aku tersenyum sumbing. Dia mengerutkan kening. Alat ujian kehamilan aku yang pegang sudahpun berada dalam genggaman Izwan.
            “Sayang… betul ke yang abang nampak ni?”
            Aku tersenyum seraya mengangguk sedikit.Segera Izwan memeluk dan mengucup pipiku bertalu-talu.
            “Dah lama abang tunggu saat ini. Esok kita ke klinik ya, abang rasa kita perlu buat check up untuk sahkan berita gembira ini.”
            Izwan sungguh gembira sehinggakan dia tidak boleh duduk diam sahaja. Aku tersenyum  melihat telatahnya.
            “Nanti, kalau sayang ada terasa nak makan apa-apa sayang bagitahu abang tau. Abang sanggup carikan untuk sayang.”
            Dia mula mengusap-ngusap perutku yang masih kempis itu. Aku memandang Izwan yang ralit bercakap dengan bakal bayi kami yang kononnya sedang menghuni rahim aku. Namun, aku risau jika keputusan pemeriksaan esok tidak seperti yang kami harapkan. Aku amat berharap keputusan ujian esok adalah sama dengan keputusan ujian pada malam ini.
            “Sudahlah abang. Intan rasa kita ni tak solat Isyak lagi. Jom kita solat berjemaah.”
            Aku mengajaknya untuk solat berjemaah.
            “Jom sayang. Abang pergi ambil wudu’ dulu ya.”
            Aku  duduk di birai katil sambil memerhatikan Izwan yang sudahpun melangkah ke bilik mandi untuk mengambil wudu’.
            ‘Intan sayangkan abang dan bakal anak kita.’

*****
IZWAN menemani aku pagi ini. Katanya dia ingin senantiasa menemani aku untuk menjalani rawatan di klinik untuk mengetahui setiap perkembangan yang bakal aku lalui sepanjang kehamilan. Wajah tenang Izwan yang aku kagumi selama ini hilang apabila melibatkan aku dan bakal anak kami. Sibuk pula dia mengingati segala pesan doktor mengenai pemakanan untuk wanita hamil. Malah, banyak yang ditanyanya mengenai kehamilan dan cara penjagaan wanita hamil. Aku sekadar tersenyum melihat telatah suami aku yang kurasakan begitu obses mengenai kehamilan pertama aku.
            “Sayang nanti kena makan banyak sayur hijau tau. Baik untuk sayang.”
            Aku sekadar mengangguk.  Kemudian Izwan menyambung lagi celotehnya mengenai pemakanan untuk ibu mengandung. Dia kelihatan begitu teruja dengan kandungan pertama ini. Tadi, baru sahaja dia selesai menjelaskan kepentingan asid folik untuk ibu-ibu mengandung. Tak lama selepas itu, kereta yang dipandu oleh Izwan sudahpun berhenti di hadapan sebuah kedai buku. Aku memandang Izwan dengan perasaan hairan.
            “Abang?”
            “Sekejap ya sayang. Abang nak ke kedai buku.”
            Lantas dia terus berlalu keluar dari kereta dan ke kedai buku yang berhampiran. Beberapa ketika dia keluar dari kedai sambil menjinjit satu plastik beg yang aku rasakan mengandungi buku. Dia menghulurkan beg plastik itu kepadaku.
            “Apa ni abang?”
            Izwan sudahpun memegang stereng dan bersedia untuk memandu kereta. Aku membelek-belek buku yang baru sahaja dibeli oleh Izwan. Majalah Pa & Ma dan beberapa buku motivasi serta buku agama. Aku memandang Izwan.
            “Abang rasa sayang perlukan maklumat-maklumat tambahan ni. Penting untuk anak dalam perut dan sayang. Abang nak kita jadi ibu bapa yang lengkap. Kita kena jadi ibu bapa yang berilmu. Dan untuk capai ke arah itu, tak salah kalau kita mulakan sekarang. Perlahan-lahan.”
            Izwan memandang ke arahku yang sibuk membelek buku-buku yang baru sahaja dibelinya tadi.  Dia kembali meneruskan pemanduan. Aku khusyuk menyelak helaian demi helaian majalah Pa & Ma.
            “Sayang ada terasa nak makan apa-apa tak?”
            Aku memandang wajah Izwan. Pelik dengan pertanyaannya. Aku cuba hitung kembali, apa yang aku ingin makan. Namu, perasaan untuk menjamah makanan rasanya tidak ada dalam hatiku kala itu. Sebentar kemudian, kereta Izwan diparkir di tempat parkir kereta berhampiran dengan kedai makan. Restoran Selera Kampung.
            “Abang nak makan masak lemak cili padi daging salai kat sini. Sedap. Sayang nak cuba?”
            Aku memandang Izwan. Takkanlah dia mengidam pula. Aku tersenyum sambil mengikuti langkah Izwan. Ternyata dia memang sedang lapar. Aku mengerling jam di tangan. Sudah melewati pukul dua petang. Patutlah aku rasa lapar.
            ‘Masa untuk makan.’
*****
Kami melangkah masuk ke dalam kedai itu. Wajah Izwan tenang memilih lauk –pauk yang tersedia di dalam buffet line. Aku memerhatikan kalau-kalau ada lauk yang teringin dijamah.  Ketam masak lemak cili api, kailan ikan masin, ayam goreng berempah, ikan cencaru bakar dan pelbagai lauk-pauk terhidang di atas buffet line. Kecur air liurku apabila terpandang lauk-pauk yang tersusun cantik di atas buffet line. Izwan sudahpun mendahului aku. Lauk daging salai masak lemak cili api sudahpun disenduk masuk ke dalam mangkuk berasingan.
            “Intan nak makan apa? Mari sini abang ambilkan.”
            Aku rambang mata. Akhirnya aku memilih untuk menikmati ikan cencaru bakar yang disumbat sambal serta beberapa jenis ulam-ulaman bersama sambal belacan. Dan kami sedang bergerak ke meja di hujung kedai makan itu.
            “Sayang nak minum air apa? No ice please.”
            Aku menjeling ke arah Izwan. Dia seakan mengetahui yang aku amat sukakan ais. Baru sahaja aku ingin memesan milo ais, Izwan sudah memotong.
            “Abang?”
            “No ice please. Minum milo suam atau panas sahaja. Ais tak baik untuk badan. Boleh lambatkan proses penghadaman tau.”
            Aku mencebik. Baru sahaja teringin hendak menikmati milo ais di tengah-tengah hari buta namun kehendakku sudahpun terhalang oleh Izwan. Aku ingatkan kalau aku mengandung semua permintaan aku akan ditunaikan. Nampaknya aku akan dikawal ketat oleh Izwan. Alahai nasib badan.
            ‘Demi anak kita, Intan sanggup berpantang. Terima kasih abang.’
*****
P/s: Dah lama tak post MCI kan, lupakan sekejap kisah Tia dengan Alan.. kita selami pula kisah Izwan dan Intan. Selamat membaca. ^^v