AKU termenung di tepi katil sambil memerhatikan wajah Izwan yang sedikit pucat. Puas sudah aku menangis apabila melihatkan wajah Izwan yang lemah tak bermaya. Sudah kuhantar Izwan ke klinik, namun doktor tidak menemui apakah yang menyebabkan Izwan menjadi sebegitu.
Kepala Izwan aku usap penuh kasih. Aku amati wajahnya yang tenang. Emak datang melawat tadi. Kata-kata emak masih lagi terngiang-ngiang di telingaku.
“Kan mak dah kata, laki kakak ni mesti main perempuan belakang kakak ni. Ni mesti perempuan tu tak puas hati dengan Izwan lepas tu disuruhnya bomoh si Izwan ni. Kakak tak dengar kata mak.”
Aku yakin Izwan bukan sebegitu. Dia baik. Masakan dia mahu menduakan aku. Kami bahagia. Amat bahagia. Tidak pernah pula Izwan pulang lewat atau menunjukkan tanda-tanda dia berlaku curang.
Aku mengeluh sendirian. Perlahan, bahuku disentuh seseorang. Aku berpaling. Kulihat mama sedang memegang bahuku. Mungkin sedang menyalurkan sedikit kekuatan kepadaku. Aku tersenyum walaupun tahu ianya sumbang di mata mama.
“Intan, janganlah bersedih. Mama dan papa akan cuba cari jalan sembuhkan Izwan. Kalau tak boleh sembuh cara moden, kita pergi berubat cara tradisional.”
Mama memujukku lagi. Tersedu-sedan aku apabila usai mama menuturkan ayat itu. Aku memeluk mama. Entah mengapa aku terharu dengan sikap mama yang begitu prihatin. Aku memandang mama.
“Mama, Intan rasa memang kita kena bawa abang Izwan pergi berubat mama. Doktor kata dia tak ada apa-apa mama. Intan risau mama.”
Air mata sudah mengalir laju membasahi pipi. Mama menepuk-nepuk bahuku. Cuba menenangkan namun tak berjaya. Makin kuat esak tangis aku.
“Nanti mama dan papa carikan ustaz tolong tengokkan Izwan ya sayang.”
Aku menggangguk. Terasa lega apabila mama ingin mencari ustaz untuk membantu masalah kesihatan Izwan.
*****
“Dah berapa lama dia macam ni?” tanya pak Man kepadaku.
Pak Man merupakan kenalan mama. Selayaknya digelar ustaz namun dia tidak mahu dipanggil ustaz kerana baginya dia tidak layak memegang gelaran itu.
“Setahu saya pak Man, baru beberapa hari. Kenapa?”
Lurus aku menjawab namun apabila aku melihatkan gaya pak Man, aku diamuk resah. Seakan ada sesuatu yang berat sedang melanda suamiku.
“Tapi yang ni, macam dah lama. Sebelum ni, pernah tak jadi macam ni?” tanya pak Man kepadaku.
Setahu aku Izwan tak pernah sakit. Dia tak pernah jatuh sakit seteruk ini. Sekadar sakit belakang dan terjaga dari tidur tengah-tengah malam, itu perkara biasa.
“Sebenarnya Man, dulu anak saya ni pernah dibuat orang. Tapi kami dah berubat dulu. Ingatkan dah elok tapi tak tahulah kenapa boleh ada lagi,” terang mama.
Tak sangka aku bahawa Izwan pernah terkena perbuatan orang. Inikah yang dinamakan masyarakat moden? Sangkaku masyarakat moden tak akan menggunakan perantaraan jin dan syaitan sebagai medium untuk berbuat khianat kepada orang lain. Ya Allah, kejamnya mereka. Sanggup mereka berbuat sebegitu kepada suamiku.
“Yang dulu tu baru nak elok, tapi yang ni ada tambah yang baru. Tapi orang lain.”
Tenang dan berhemah cara pak Man itu menutur kata. Mata mama terbuntang. Aku terkejut. Betulkah apa yang aku dengarkan ini? Tapi siapakah pula yang menyimpan dendam dengan suamiku sehingga hendak dibomohkan Izwan sehingga terlantar tak terbangun sebegitu rupa.
“Lagipun yang ni, kuat sikit. Macam guna bomoh Siam. Sebab dia seru roh suami puan ni,” terang pak Man.
Aku senyap. Mataku memandang jasad Izwan yang sedang lena. Dia masih tak sedarkan diri.
“Maksudnya?”
Pak Man tersenyum memandangku.
“Saya rasa suami puan ni dah diseru rohnya. Sebab tu dia masih tak sedarkan diri sampai sekarang.”
Aku sudah risau. Terkejut. Seru roh? Setahu aku roh hanya boleh dicabut apabila tiba saat kematian namun mengapa ada ilmu penyeruan roh ini?
“Kenapa nak seru roh pak Man?”
“Ada yang banyak sebab orang seru roh manusia ni. Tapi kebanyakkannya berpunca dari dendam.”
Pak Man menerangkan kepada aku.
“Macam mana dia seru roh pak Man?”
Aku bertanya lagi. Pak Man seakan teragak-agak hendak memberitahu aku. Akhirnya dia menarik nafas dan bersedia untuk menjelaskannya kepadaku.
“Biasanya si pengamal akan menyeru roh mangsa dengan nama mangsa berbinkan ibu selama empat puluh hari berturut-turut sama ada bermula pada malam jumaat atau habis pada malam jumaat. Setiap malam roh akan diseru sehingga roh menjelma di depan mata.”
Aku ternganga apabila mendengar bait-bait ayat yang keluar dari mulut pak Man. Tak sangka begitu rupanya penyeruan roh.
“Mama, dulu abang Izwan ada buat salah dengan siapa-siapa ke mama? Kalau ada, biar Intan pergi minta maaf bagi pihak abang Izwan. Intan sanggup mama. Intan sanggup.”
Aku bertanya kepada mama. Jika benar mama kenal dengan siapa Izwan selalu berurusan, pasti akan kupohon maaf darinya agar Izwan tak terbelenggu dengan sihir itu.
“Panjang ceritanya, Intan.”
Mama memulakan cerita. Aku, dan pak Man menjadi pendengar setia kisah Izwan. Kisah sewaktu dia masih lagi bujang.
*****
AKU melabuhkan punggung di katil. Izwan masih tak sedarkan diri. Kata doktor, nadinya masih bergerak dan anehnya doktor sendiri tak dapat mengenalpasti punca utama kenapa Izwan masih lagi pengsan.
Aku merenung wajah kacak suamiku. Rerambut halus sudah mulai tumbuh meliar di muka. Aku mengusap pipinya. Rasa rindu itu terus bertandang ke lubuk hati. Aku begitu rindukan senyumannya. Aku mengambil peralatan untuk bercukur. Perlahan-lahan aku memulakan sesi menebas rerambut halus yang mula tumbuh di wajahnya yang bersih itu.
Usai bercukur, aku mengucup dahinya dan diikuti dengan pipi. Sungguh aku rindu. Perlahan aku gamit tangannya dalam genggaman. Jari jemarinya yang panjang aku belai.
“Abang, cepatlah sedar. Intan rindu dekat abang.”
Aku merengek. Hasrat aku agar pak Man menemui cara untuk menyembuhkan Izwan.
“Sudahlah Intan, jangan menangis. Pergi solat dan doa banyak-banyak untuk Izwan. Mama rasa itu yang terbaik buat dia sekarang.”
Entah bila mama datang pun aku tak pasti. Yang pasti mama sudah memegang bahuku saat kata-kata nasihat dialunkan ke telingaku itu. Pantas aku ke bilik mandi. Mahu berwuduk dan menunaikan seruan ilahi. Aku mahu doakan Izwan supaya cepat terlepas daripada dibelenggu oleh sihir yang ditujukan kepadanya. Dalam hati aku terfikir, siapakah yang begitu kejam sehingga sanggup memperlakukan sedemikian rupa kepada suamiku? Kejam benar mereka.
Namun aku sedar, apabila pemikiran yang waras tak selari dengan kehendak hati, fikiran yang waras akan selalu menjadi yang kedua. Ditolak tepi demi mengikut kemahuan hati yang memungkinkan diri menjadi binasa.
‘Intan harap abang segera sembuh. Intan akan tunggu abang selamanya.’
sian kt izwan..