Followers

Miskinkah Cinta Itu? 10ii

Tuesday, February 28, 2012
AKU memerhatikan alat ujian kehamilan itu. Lama aku tenung untuk memastikan apa yang aku lihat adalah benar dan bukan halusinasi semata. Ketukan di pintu menyedarkan aku dari lamunan. Suara Izwan yang kedengaran risau sudah mula mencuri perhatianku.
            “Sayang … ok tak ni? Kenapa lama sangat kat dalam tu?” laung Izwan dari luar.
            Perlahan pintu bilik mandi aku buka. Wajah Izwan menyambutku di hadapan pintu. Aku tersenyum sumbing. Dia mengerutkan kening. Alat ujian kehamilan aku yang pegang sudahpun berada dalam genggaman Izwan.
            “Sayang… betul ke yang abang nampak ni?”
            Aku tersenyum seraya mengangguk sedikit.Segera Izwan memeluk dan mengucup pipiku bertalu-talu.
            “Dah lama abang tunggu saat ini. Esok kita ke klinik ya, abang rasa kita perlu buat check up untuk sahkan berita gembira ini.”
            Izwan sungguh gembira sehinggakan dia tidak boleh duduk diam sahaja. Aku tersenyum  melihat telatahnya.
            “Nanti, kalau sayang ada terasa nak makan apa-apa sayang bagitahu abang tau. Abang sanggup carikan untuk sayang.”
            Dia mula mengusap-ngusap perutku yang masih kempis itu. Aku memandang Izwan yang ralit bercakap dengan bakal bayi kami yang kononnya sedang menghuni rahim aku. Namun, aku risau jika keputusan pemeriksaan esok tidak seperti yang kami harapkan. Aku amat berharap keputusan ujian esok adalah sama dengan keputusan ujian pada malam ini.
            “Sudahlah abang. Intan rasa kita ni tak solat Isyak lagi. Jom kita solat berjemaah.”
            Aku mengajaknya untuk solat berjemaah.
            “Jom sayang. Abang pergi ambil wudu’ dulu ya.”
            Aku  duduk di birai katil sambil memerhatikan Izwan yang sudahpun melangkah ke bilik mandi untuk mengambil wudu’.
            ‘Intan sayangkan abang dan bakal anak kita.’

*****
IZWAN menemani aku pagi ini. Katanya dia ingin senantiasa menemani aku untuk menjalani rawatan di klinik untuk mengetahui setiap perkembangan yang bakal aku lalui sepanjang kehamilan. Wajah tenang Izwan yang aku kagumi selama ini hilang apabila melibatkan aku dan bakal anak kami. Sibuk pula dia mengingati segala pesan doktor mengenai pemakanan untuk wanita hamil. Malah, banyak yang ditanyanya mengenai kehamilan dan cara penjagaan wanita hamil. Aku sekadar tersenyum melihat telatah suami aku yang kurasakan begitu obses mengenai kehamilan pertama aku.
            “Sayang nanti kena makan banyak sayur hijau tau. Baik untuk sayang.”
            Aku sekadar mengangguk.  Kemudian Izwan menyambung lagi celotehnya mengenai pemakanan untuk ibu mengandung. Dia kelihatan begitu teruja dengan kandungan pertama ini. Tadi, baru sahaja dia selesai menjelaskan kepentingan asid folik untuk ibu-ibu mengandung. Tak lama selepas itu, kereta yang dipandu oleh Izwan sudahpun berhenti di hadapan sebuah kedai buku. Aku memandang Izwan dengan perasaan hairan.
            “Abang?”
            “Sekejap ya sayang. Abang nak ke kedai buku.”
            Lantas dia terus berlalu keluar dari kereta dan ke kedai buku yang berhampiran. Beberapa ketika dia keluar dari kedai sambil menjinjit satu plastik beg yang aku rasakan mengandungi buku. Dia menghulurkan beg plastik itu kepadaku.
            “Apa ni abang?”
            Izwan sudahpun memegang stereng dan bersedia untuk memandu kereta. Aku membelek-belek buku yang baru sahaja dibeli oleh Izwan. Majalah Pa & Ma dan beberapa buku motivasi serta buku agama. Aku memandang Izwan.
            “Abang rasa sayang perlukan maklumat-maklumat tambahan ni. Penting untuk anak dalam perut dan sayang. Abang nak kita jadi ibu bapa yang lengkap. Kita kena jadi ibu bapa yang berilmu. Dan untuk capai ke arah itu, tak salah kalau kita mulakan sekarang. Perlahan-lahan.”
            Izwan memandang ke arahku yang sibuk membelek buku-buku yang baru sahaja dibelinya tadi.  Dia kembali meneruskan pemanduan. Aku khusyuk menyelak helaian demi helaian majalah Pa & Ma.
            “Sayang ada terasa nak makan apa-apa tak?”
            Aku memandang wajah Izwan. Pelik dengan pertanyaannya. Aku cuba hitung kembali, apa yang aku ingin makan. Namu, perasaan untuk menjamah makanan rasanya tidak ada dalam hatiku kala itu. Sebentar kemudian, kereta Izwan diparkir di tempat parkir kereta berhampiran dengan kedai makan. Restoran Selera Kampung.
            “Abang nak makan masak lemak cili padi daging salai kat sini. Sedap. Sayang nak cuba?”
            Aku memandang Izwan. Takkanlah dia mengidam pula. Aku tersenyum sambil mengikuti langkah Izwan. Ternyata dia memang sedang lapar. Aku mengerling jam di tangan. Sudah melewati pukul dua petang. Patutlah aku rasa lapar.
            ‘Masa untuk makan.’
*****
Kami melangkah masuk ke dalam kedai itu. Wajah Izwan tenang memilih lauk –pauk yang tersedia di dalam buffet line. Aku memerhatikan kalau-kalau ada lauk yang teringin dijamah.  Ketam masak lemak cili api, kailan ikan masin, ayam goreng berempah, ikan cencaru bakar dan pelbagai lauk-pauk terhidang di atas buffet line. Kecur air liurku apabila terpandang lauk-pauk yang tersusun cantik di atas buffet line. Izwan sudahpun mendahului aku. Lauk daging salai masak lemak cili api sudahpun disenduk masuk ke dalam mangkuk berasingan.
            “Intan nak makan apa? Mari sini abang ambilkan.”
            Aku rambang mata. Akhirnya aku memilih untuk menikmati ikan cencaru bakar yang disumbat sambal serta beberapa jenis ulam-ulaman bersama sambal belacan. Dan kami sedang bergerak ke meja di hujung kedai makan itu.
            “Sayang nak minum air apa? No ice please.”
            Aku menjeling ke arah Izwan. Dia seakan mengetahui yang aku amat sukakan ais. Baru sahaja aku ingin memesan milo ais, Izwan sudah memotong.
            “Abang?”
            “No ice please. Minum milo suam atau panas sahaja. Ais tak baik untuk badan. Boleh lambatkan proses penghadaman tau.”
            Aku mencebik. Baru sahaja teringin hendak menikmati milo ais di tengah-tengah hari buta namun kehendakku sudahpun terhalang oleh Izwan. Aku ingatkan kalau aku mengandung semua permintaan aku akan ditunaikan. Nampaknya aku akan dikawal ketat oleh Izwan. Alahai nasib badan.
            ‘Demi anak kita, Intan sanggup berpantang. Terima kasih abang.’
*****
P/s: Dah lama tak post MCI kan, lupakan sekejap kisah Tia dengan Alan.. kita selami pula kisah Izwan dan Intan. Selamat membaca. ^^v

Siapakah kekasih hatiku? 20

Monday, February 27, 2012
BAB 20
KALAU diikutkan hati, aku tak mahu lagi mengimbau kembali kenangan lalu bersama Fairuz. Saat ini kulihat Fairuz sedang enak menikmati hidangan tengah harinya, sedangkan aku ternanti-nanti dia memulakan bicara. Julie? Hatiku begitu ingin mengetahui perihal dirinya. Mengapa dia tak berkahwin dengan Julie? Pelbagai persoalan bermain-main di benak fikiranku. Aku hanya mampu menguis-nguis nasi di dalam pinggan. Terasa tekakku tak  mampu membiarkan makanan melaluinya.
“Kenapa tak makan?”
 Fairuz menegurku. Lamunanku terbang pergi. Aku memandang Fairuz. Menanti untuk dia memberikan jawapan kepada semua persoalan yang bermain di benak fikiran.
“Tak ada selera. Tia cuma terfikir apa yang Fairuz nak sembangkan sebab dari tadi Fairuz senyap.”
Fairuz terkedu. Aku jadi pelik mengapa dia menunjukkan ekspresi muka sebegitu.
“Cara kau cakap sekarang dah lain,” utara Fairuz.
Sudu dan garfu yang baru kumain-mainkan di pinggan segera terhenti. Aku mengangkat muka memandang Fairuz.
“Dah lain? Apa yang dah lain? Tia rasa masih sama macam dulu.”
Aku menidakkan apa yang diutarakn Fairuz sebentar tadi.
“Dulu kau cakap kasar sikit. Sekarang ni dah lembut. Penangan cinta suami kau, mungkin.”
Kata-kata Fairuz membuatku terkedu. Aku diam. Cuba mencari kebenaran di sebalik kata-katanya, namun aku masih tak berjumpa dengan penyelesaiannya.
‘Betulkah aku telah banyak berubah?’
“Mungkin sebab semakin meningkat usia,” ujar aku.
Fairuz mengangkat kening.
 “Tia tak sabar nak tahu pasal Julie. Dia apa khabar?”
Aku sengaja mengalihkan topik. Tak perlu berbicara perihal rumah tanggaku. Rumah tanggaku baru pulih, aku tak mahu perkara yang kecil meruntuhkan rumah tanggaku.
“Julie..aku pun dah lama tak dengar pasal dia, yang pasti aku tahu dia bahagia dengan suami dia.”
Aku senyap. Kulihat Fairuz sedang mengumpul kekuatan untuk membuka kembali segala cerita yang telah lama disimpan.
‘Julie kahwin? Dengan siapa?’
Namun soalan itu hanya aku berlegar di fikiranku. Tak kuluahkan padanya.
“Julie kahwin sebulan selepas aku putuskan pertunangan kita. Aku memang berhajat nak kahwin dengan dia tapi dia salah anggap. Dia sangkakan aku cintakan kau. Jadi dia berkahwin dengan  salah seorang anak kenalan ayahnya.”
Aku pelik. Mengapakah Julie beranggapan seperti begitu? Sedangkan dia sendiri tahu bahawa aku dan Fairuz memang tak punya apa-apa ikatan perasaan pun.
“Kenapa dia boleh salah anggap? Kan dia tahu status kita?”
Aku meminta kepastian. Fairuz kelihatan teragak-agak untuk menjelaskan. Aku setia menanti.
“Dia terjumpa gambar pertunangan kita dalam planner aku.”
Lambat-lambat dia menuturkan.
‘Gambar tunang? Dalam planner? Kalau aku pun mesti mengamuk plus cemburu kalau tahu hal ni. Kenapalah dia tak berfikir?’
 Aku mengomel dalam hati. Fairuz serba salah.
“Kenapa Fairuz simpan gambar tu dalam planner? Takkanlah...”
Kata-kataku terhenti di situ. Tak sanggup pula hendak menyambung kata-kataku seterusnya. Takut nanti dikatakan perasan pula. Fairuz mendongak. Dia merenung aku dan aku tahu erti di sebalik renungan itu. Aku tergamam.
*****
AKU pulang ke rumah agak lewat. Kelihatan Alan sedang menonton televisyen. Aku lekas ke tingkat atas.  Tak kusedari Alan membuntuti aku ke tingkat atas.  Segera aku menanggalkan tudung dan menuju ke kamar mandi. Aku mahu hilangkan wajah Fairuz dari dalam mindaku. Aku hanya perlukan Alan. Alan dan Iza adalah pelengkap hidupku. Aku mahu ini semua berkekalan. Kalau dulu mungkin aku akan bahagia jika Fairuz mengakui dia mencintaiku, namun sekarang aku sudah punya Alan dan Iza. Aku harus setia.
Lama aku di dalam kamar mandi. Perlahan aku membuka pintu kamar mandi, kulihat Alan sudah menantiku di luar. Dia memeluk tubuh dan pandangan matanya terarah ke arahku. Aku senyap, takut untuk membalas pandangannya.
“Kenapa Tia? Abang tengok Tia macam ada masalah je.”
Alan menegurku. Lembut. Aku terharu. Lantas aku memeluknya. Erat. Dia mengusap rambutku yang masih lagi basah.
“Tak ada apa-apa cuma Tia rasa penat dan lapar. Abang dah makan?”
Aku cuba menyembunyikan apa yang bermain di fikiranku. Aku meleraikan pelukan. Alan menatap sepasang mataku. Dia mahu memastikan agar aku tak berbohong kepadanya. Dia kembali menarik aku ke dalam pelukan.
“Abang belum makan malam lagi. Nak makan kat luar?”
Alan memujukku. Aku tersenyum. Aku pasti Alan adalah yang terbaik untukku. Takkan ada yang lain.
“Kalau macam tu, Tia siap dulu ye. Terasa nak makan ayam goreng pulak.”
Aku lekas meleraikan pelukan. Kakiku melangkah ke almari. Aku mahu memilih blaus yang sesuai untuk keluar nanti. Tiba-tiba Alan memelukku dari arah belakang.
“Abang sayangkan Tia.”
Tanganku yang sedang asyik memilih baju terhenti dek kata-kata manis alan. Seketika kemudian Alan berlalu meninggalkan aku termangu-mangu di depan almari.
‘Sayang abang juga.’
*****
ALAN memberhentikan kereta di pantai. Dia tersenyum ke arahku. Lantas plastik berisi KFC diambil dan dibawa keluar dari kereta.
“Tia ingatkan kita makan kat rumah.”
 Tia membuang pandang ke arah pantai. Deruan ombak dan kedinginan malam membuatkan aku mengigil. Alan perasan lalu baju sejuk yang sedia ada di belakang kereta dikeluarkan dan disarungkan ke tubuhku. Aku tersenyum. Betapa kacaknya dia di mataku. Tak mungkin aku berpaling pada yang lain. Dalam pahit ada indahnya. Dulu aku rasakan mahu menjauh darinya. Namun aku tahu aku tak mampu memadamkan auranya dalam hidupku.
“Tia? Jom makan. Tadi kata lapar.”
 Alan sudah pun duduk di atas tikar. Tikar? Memang selalu Alan bawa tikar ke ? Pelik betul suami aku ini. Aku mengambil tempat di sebelah Alan. Lantas, ayam goreng KFC kucubit dan kusuap ke dalam mulut dengan penuh nikmat. Alan? Dia hanya memerhati. Aku berpaling ke arah Alan.
“Kenapa abang tak makan? Tak sedap ke?”
Aku tertanya-tanya. Kemudian Alan menyuakan aku coleslaw. Aku menggeleng. Alan sedikit pelik.
“Tak suka? Kalau macam tu abang makan ye.”
Alan menyuapkan coleslwa ke mulutnya. Nampak sedap sahaja namun aku tetap tak sukakannya. Tak sedap.
“Tia tak makan mayonis. Tak sedap.”
Aku berterus terang. Aku harus memberikan Alan ruang untuk mengenali diriku. Sudah terlalu banyak masa yang kami bazirkan untuk mengenali antara satu sama lain.
Oh! Really. Thanks sebab bagitahu abang.”
Alan mengelap mulutku yang comot dengan tisu. Malu pun ada. Besar-besar macam ni pun masih lagi comot ketika makan. Aku tersipu. Lama juga kami duduk berduaan di tepi pantai. Menikmati keindahan malam. Mujurlah esok hari Ahad. Aku tak bekerja.  Jadi bolehlah aku mencipta memori indah dengan Alan malam ni.
“Tia, abang rasakan. Bila Iza dah sihat sikit, abang nak pergi honeymoon la. Lagipun dulu kita tak sempat pergi kan.”
Air milo yang aku hirup hampir tersembur. Alan kelihatan terkejut.
“Okay tak ni?”
Alan mengurut belakang badanku. Aku mengangguk-anggguk menandakan aku baik-baik saja.
Honeymoon, kahwin dah lama pun nak honeymoon lagi ke? Dah ada anak seorang pun.’ Aku bermonolog.
“Tia rasa tak payahlah membazir. Kan abang sibuk.”
Aku sebetulnya tak mahu membebankan Alan. Tapi kalau dapat pergi bulan madu pun okay jugak. Bolehlah aku bermanja-manja dengan Alan. Hish gatalnya aku.
“Apa salahnya. Abang ambil cuti nanti.”
Aku hanya bersetuju sahaja. Alan mengenggam erat tanganku. Senyuman yang terbit di bibirnya membuatkan aku jatuh cinta buat entah kali ke berapa dengannya.
‘Alan, Tia pasti cinta ini hanya padamu.’
*****
P/s: Maaf sebab dah lama tak update.. masih dalam proses adaptasi di tempat baru. Tak sempat nak mengupdate dan menulis SKH.. hehe



Siapakah kekasih hatiku? 19

Sunday, February 12, 2012
PERTEMUAN dengan Fairuz membangkitkan lagi memori lama. Ya memori yang banyak mencalitkan luka di dalam hatiku. Aku diam di atas sofa, melayani fikiran. Bait-bait ayat yang dituturkan Fairuz masih berlegar di fikiranku.
“Aku tahu kau tak bahagia. Kalau aku tahu kau akan jadi macam tu, aku takkan putuskan pertunangan kita dulu.”
Kata-kata Fairuz masih terngiang-ngiang di telingaku.
“Aku bahagia Fairuz. Aku bahagia dengan caraku sendiri. Kau tak perlu risau. Aku punya suami dan anak yang perlukan aku,” tegas aku menuturkannya.
“Adakah kau pasti dia perlukan kau?”
Fairuz memberikan pertanyaan yang tak mampu aku jawab.
‘Betulkah Alan perlukan aku?’
Aku masih lagi duduk melayani perasaan. Kurasakan tanganku digenggam seseorang. Kala itu, lamunanku  terhenti.
“Tia fikirkan apa? Abang balik pun tak sedar.”
Alan tersenyum. Perlahan aku menyalami Alan. Aku agak terkejut apabila Alan mengucup dahiku.
“Tak ada apa-apa. Tia cuma penat sedikit. Banyak kerja akhir-akhir ni. Alan nak air?”
Aku masih tak boleh memanggilnya abang lantaran kisah lalu yang masih berbekas di hatiku.
“Tak payah. Mari sini, duduk dengan abang. Makin pucat abang tengok Tia ni.”
Alan menilik mukaku. Kemudian membelai pipiku. Aku tersenyum.  Ya, aku suka diperlakukan begitu namun perlahan aku bangkit dari sofa. Aku tak mahu hanyut dalam cinta yang tak pasti.
“Tia nak ke dapur kejap. Haus.”
Sengaja aku berikan alasan kepada Alan. Aku tak mahu terus dibuai dengan perasaan itu.
“Biar  abang buatkan air. Tia nak air apa?”
Aku tersenyum melihat Alan yang sudah pun bangkit dari sofa. Lantas aku menarik Alan kembali duduk di sebelahku.
“Alan tak payah susah-susah.  Dah pergi mandi.”
Aku mengarahkan Alan  ke kamar mandi.
“Tia.”
Alan memanggilku. Aku berpaling ke arah Alan dan satu kucupan singgah di pipiku. Segera Alan berlalu ke bilik mandi. Aku terpaku di situ. Tanganku memegang pipi yang menjadi mangsa kucupan Alan.
‘Katakan ini semua mimpi semata-mata kerana aku tak mahu bangkit dari mimpi ini.’
*****
AKU berbaringan di atas katil. Masih berkira-kira apa yang harus dilakukan esok. Alan sudah pun menyarungkan pijama biru dan mengambil tempat di sebelahku. Aku mengesot sedikit, memberikan sedikit ruang untuknya berbaringan di sebelahku.
“Tia, boleh abang cakap sedikit?” tutur Alan.
Matanya masih memandang syiling. Aku hanya senyap. Sedang menanti bait-bait seterusnya daripada Alan.
“Abang perasan sejak akhir-akhir ni Tia kurang bercakap. Dah tak macam dulu. Dulu kalau abang balik, Tia mesti banyak celoteh sekarang ni…”
 Alan tak menyambung kata-katanya. Dibiarkan tergantung sebegitu. Aku senyap. Apabila tiada respon diberikan kepadanya Alan memelukku. Erat. Bau haruman dari shower foamnya menusuk ke rongga hidungku. Agak maskulin. Aku cuba merenggangkan pelukan namun pelukannya kurasakan semakin erat.
“Abang? Tia rasa sesak nafas ni. Boleh tak jangan peluk kuat sangat?”
Aku berbisik perlahan. Cukup untuk didengari oleh Alan.  Kedengaran Alan ketawa.  Pelukan direnggangkan sedikit.
Okay, sorry dear. Abang geram sangat. Tia makin kurus sekarang. Peluk pun tinggal tulang.” Aku tersipu-sipu malu mendengar bait bicara Alan.
“Alan. Tia...”
Belum sempat aku menghabiskan kata-kata mengucup dahiku.
“Shh.. abang tak mahu dengar apa-apa. Jom tidur.”
Alan mengeratkan pelukan. Aku hanya membiarkan.
*****
PERKARA pertama yang kulihat pagi itu adalah Alan yang masih pulas tidur sambil tangannya yang melingkari pinggangku. Aku tersenyum. Terselit rasa bahagia di hatiku.  Aku harapkan bahagia ini berkekalan. Perlahan aku bangkit dari katil. Hajatnya ingin membersihkan diri. Aku mahu menunaikan solat subuh. Tanganku mencapai tuala dan terus melangkah ke bilik mandi. Alan kubiarkan tidur, niatnya mahu mengejutkannya selepas aku selesai mandi. Usai mandi aku lihat Alan sudah bangun. Senyumannya membuatkan aku tersipu malu.
“Jom kita solat sama-sama. Tunggu abang sekejap.”
Alan bangkit dari katil lalu mencapai tuala menuju ke bilik air. Aku pula menghamparkan sejadah. Baju melayu dan kain pelikat ku letakkan di atas katil. Telekung kusarung sementara menunggu Alan siap mandi.
Pagi itu, aku solat berimamkan Alan. Perasaan bahagia menyelubungi diriku kala itu. aku betul-betul mengharapkan ada sedikit ruang buatku di hati Alan. Amat mengharapkan.
Usai solat seperti biasa aku bersiap untuk turun ke bawah. Aku mahu menyediakan sarapan yang enak pagi ini. Persediaan untuk hidup baru dengan Alan. Alan? Dia sibuk mengemaskan katil. Rajin benar dia hari ini. Pada mulanya aku ingin mengemaskan katil namun Alan beria-ria ingin mengemaskan katil. Dia seakan teruja.
Jadi aku turun ke bawah menyediakan sarapan pagi.  Sedang asyik menyediakan sarapan pagi, kurasakan tangan melingkari pinggangku. Mujurlah aku bukan spesis yang melatah, kalau  tak mesti masuk akhbar muka surat depan.
‘Suami Mati Ditetak Gara-Gara Isteri Melatah.’
“Sayang buat apa tu? Lama lagi ke? Abang dah lapar ni.”
Alan merengek. Aku hanya senyap. Pijar rasanya mukaku saat ini.
“Belum lagi. Alan duduk la kat luar dulu. Nanti dah siap, Tia panggil Alan.”
 Aku cuba meloloskan diri dari pelukan Alan namun pelukan Alan sangat kejap sehinggakan sukar untuk aku meloloskan diri.
“Shh… Kenapa panggil abang dengan nama? Abang tak suka. Panggil abang.”
Alan menegurku. Aku senyap.
“Hurm.. abang. Kalau abang asyik peluk macam ni, bila kita nak makan?”
Alan tersengih. Aku cuba tayang muka selamba walaupun dalam hati terasa berdebar-debar semacam. Lantas pelukan erat tadi dileraikan dan Alan menuju ke ruang tamu. Aku sedikit lega dengan tindakannya itu.
*****
AKU melawat Iza hari ini. Keadaan si kecil semakin baik. Risau juga aku. Iza dilahirkan tak cukup bulan, ditambah pula dia kematian ibu kandung. Tak sempat dia merasa susu ibu yang baik untuk bayi. Walaupun susu formula ada namun itu tak cukup bagi bayi seperti Iza. Iza masih lagi di dalam pemerhatian doktor. Risau juga aku. Kasihan si kecil Iza. Aku mahu mencurahkan kasih sayang kepada Iza.  Aku memerhatikan Iza yang ditempatkan di dalam inkubator. Apa yang aku tahu, bayi tak cukup bulan perlukan oksigen dan  haba yang secukupnya kerana lemak di dalam badannya masih tak mencukupi untuk memanaskan badannya sendiri.
‘Sampai bila anak mama nak duduk dalam tu? Mama teringin nak dukung sayang.’ Aku berbicara sendiri.
“Kat sini rupanya  kau. Aku dah agak dah.”
Aku memandang ke arah suara itu. Siapa agaknya gerangan tuan punya suara itu. Mataku terbuntang tatkala melihat gerangan pemilik suara itu. Dia melambai dan tersenyum.
“Fairuz? Kenapa ada kat sini lagi? Bukankah isteri kau dah keluar hospital ke?”
Bertubi-tubi aku bertanyakan soalan kepada Fairuz. Fairuz pula masih lagi tersenyum senang. Entah apa yang disenyumkan pun aku tak mengerti. Mungkin dia tersenyum melihat telatahku yang kalut apabila menyedari kehadirannya.
“Saja. Aku dapat rasakan kau kat sini. Hari tu kita tak habis lagi berborak. Well, aku macam berminat nak tahu pasal hubungan rumah tangga kau.”
 Aku mengerutkan kening. Sebolehnya aku tak mahu menceritakan perihal rumah tanggaku kepada orang lain. Lagipun hubungan aku dengan Alan semakin pulih.
“Tia. Aku tahu kau pun pasti nak tahu kenapa aku tak kahwin dengan  Julie kan? Jom kita makan sambil sembang-sembang. Dah lama kan kita tak jumpa.”
Fairuz mengajakku untuk makan bersama. Aku terasa serba salah. Lantas  nombor telefon Alan kudail. Aku mahu mendapatkan keizinannya.
“Assalamualaikum, abang.” Aku memulakan bicara.
“Waalaikumussalam, kenapa Tia call abang?” 
“Tia nak minta izin nak keluar makan dengan kawan lelaki. Abang izinkan ke?”
 Aku terus terang. Kedengaran dari hujung corong telefon Alan ketawa. Apa yang membuatkan dia ketawa? Cara aku meminta izin barangkali?
“Pergilah, abang izinkan. Tapi jangan lupakan abang tau.”
Aku tersenyum. Setelah telefon dimatikan, aku terus ke restoran bersama Fairuz. Fairuz tersenyum puas apabila aku menemaninya makan tengah hari ini. Sedangkan aku, penuh persoalan. Mengapa saat aku ingin berbaik-baik semula dengan Alan, ada sahaja yang dating menghalang? Tak layakkah aku mengecap bahagia? Atau Alan memang penuh muslihat?
‘Aku harap semua persoalan yang bermain di benak fikiranku boleh dijawab oleh Fairuz. Aku amat berharap.’

P/s: Ada sesetengah bahagian dalam enovel SKH, Hazel tak ubah atas sebab-sebab tertentu... Apa-apapun, harap maaf jika entri kali ini membuatkan kalian marah-marah atau sakit hati dengan watak Tia. Hazel tak berniat nak buat kalian marah. Maaf ye.. dan terima kasih kerana sudi singgah dan baca blog Hazel ini. ^^v

Siapakah kekasih hatiku? 18

Wednesday, February 1, 2012
BAB 18
AKU menegur Alan. Perlahan. Aku takut menganggu lamunannya dengan kehadiranku. Alan berpaling ke arahku. Sudah seminggu arwah Riana pergi dari hidup kami namun Alan masih tidak dapat menerima kenyataan atas pemergian arwah Riana. Aku mengambil tempat di sebelah Alan. Tangan kuletakkan di atas pehanya. Dia agak terkejut. Namun, kali ini tanganku tidak lagi ditepis.
“Alan, Tia nak cakap sesuatu ni.”
Aku mula bersuara. Alan memalingkan wajahnya ke arahku. Aku menarik nafas sedalamnya. Aku tak pasti adakah wajar aku menuturkan perkara ini, namun sampai bila aku harus begini? Aku mahu teruskan kehidupan yang normal. Punya seseorang yang sudi menerima diriku seadanya. Aku menarik nafas sedalamnya. Cuba mengumpul sisa-sisa kekuatan yang ada. Alan masih menungguku untuk bersuara.
“Alan, Tia rasa dah masanya Tia pergi dari hidup Alan.”
Aku menarik tanganku dari atas pehanya namun tersekat. Kulihat tanganku sudah berada dalam gengaman Alan.
“Kenapa baru sekarang Tia nak pergi?”
Alan mula bersuara. Perlahan dan sayu bunyinya. Aku tergamam. Adakah dia tak membenarkan aku berlalu dari hidupnya?
“Alan, please. Jangan buat Tia rasa bersalah macam ni.”
Aku mengharapkan pengertian Alan.
“Boleh tak Tia, bagi Alan sedikit masa?”
Permintaan Alan membuatkan aku senyap. Aku buntu.
Aku memandang Alan.  Tiba-tiba alan menarikku ke dalam pelukannya. Aku kaku. Kejap pelukannya sehinggakan aku tak mampu bergerak. Kurasakan cecair hangat mengalir menuruni pipiku.
“Maafkan Alan. Alan selalu buat Tia sakit.”  
Entah mengapa laju sahaja air mataku mengalir. Perlahan aku merenggangkan pelukan. Kutatap wajah Alan. Merah matanya menahan tangis.
“Sudahlah, Tia nak masuk dulu. Alan tak nak masuk lagi ke? Sejuk kat luar ni.”
Aku bangun dari dudukku. Alan kubiarkan sendirian di bangku luar rumah. Biarlah dia melayan perasaan sendirian. Aku tak mahu menganggu dirinya.
*****
TENGKU Riana Hafiza. Itu nama puteri yang dilahirkan Riana. Aku memerhatikan anak tiriku yang sedang lena di dalam inkubator. Kasihan dia, kecil-kecil sudah menjadi yatim. Aku memerhatikan dia, comel sungguh. Persis ibunya.  Wajah jelita ibunya akan diwarisi oleh puterinya ini.
“Comel kan dia.”
 Terasa dekat suara itu kedengaran di telingaku. Aku menoleh. Alan.
“Hmm... comel macam arwah maknya.”
 Aku mengiyakan. Alan memegang tanganku. Aku memandang Alan. Pelik dengan sikapnya. Kulihat wajahnya sedikit tak terurus. Misai dan jambang sudah mulai meliar di wajahnya.
“Boleh tak Tia jadi ibu kepada Tengku Riana Hafiza? Dia perlukan kasih sayang seorang ibu.”
Wajah Alan begitu mengharap. Aku senyap. Aku mahu melangkah keluar dari hidupnya. Aku tak mahu lagi menderita.
“Bagi Alan, Tia cuma boleh jadi ibu je kan. Tak boleh jadi isteri?”
Aku meluahkan apa yang aku pendam. Alan senyap. Aku meminta sebuah jawapan daripada Alan. Layakkah aku menjadi isterinya? Aku hanya layak menjadi ibu tiri kepada anaknya, bukan isteri atau lebih tepat sebagai pengasuh.
“Maafkan Alan. Alan akan cuba terima Tia. Cuma Alan minta Tia jadi ibu anak Alan.” Mudahnya Alan menuturkan kata-kata. Aku memandang wajah Alan.
“Maaf. Tia tak  mampu nak teruskan kehidupan dengan seseorang yang tak hargai Tia.”
 Aku meluahkan rasa yang dipendam.
“Tia, demi anak ini. Bolehkan Tia berikan sedikit kasih sayang padanya? Alan merayu pada tia.”
 Aku senyap. Lantas Alan kutinggalkan termangu-mangu di hospital. Demi anak, Alan sanggup menerima aku kembali. Aku pasti dia bukanlah ikhlas menerima aku sebagai isteri, dia cuma mahu aku menjaga anaknya. Dia tak mahu anaknya kehilangan kasih saying seorang ibu.
‘Adakah aku dipergunakan lagi?’
*****
SUARA rayuan Alan masih terngiang-ngiang di telingaku. Entah mengapa kasih sayangku sudah tumpah pada si kecil itu. Aku sayangkan anak itu namun ego dan rasa sakit hati aku mengatasinya. Aku mahu menjadi seorang ibu walaupun aku tak pernah menjadi seorang isteri. Aku mahu merasai pengalaman seorang ibu. Punya si kecil untuk dilayani dan dimanjai.
‘Apa yang harus aku lakukan sekarang?’
Aku mengeluh. Aku cukup tak sukakan perasaan bersalah ini. barang-barang yang sudah aku kemaskan kupandang sepi. Jika dulu beria-ria aku mahu mengusung barang-barang itu keluar dari rumah ini. Beria-ria mahu menghayun kaki melangkah keluar dari rumah ini namun kini, hatiku berbelah bahagi.
“Tia tak tidur lagi?”
Alan mendekati aku. Aku senyum walaupun hambar. Alan duduk di sebelahku. Aku sedikit mengesot  menjauh darinya.
“Tia tengah fikirkan permintaan Alan hari tu.”
 Aku menjawab jujur. Alan seakan berminat dengan bait-bait seterusnya. Aku menarik nafas. Dan kuhembuskan perlahan-lahan.
“Tia rasa Tia boleh jaga Iza tapi Tia harap Alan boleh terima Tia dalam hidup Alan.”
Alan memeluk aku. Dia kelihatan gembira dengan jawapan yang aku berikan. Padahal dalam hati aku, mengharapkan sedikit ruang untuknya menerima diriku ini.
“Terima kasih. Alan akan hargai Tia. Tia jangan tinggalkan kami.”
 Alan mengeratkan pelukan. Aku sebak. Adakah pengorbanan aku ini dihargai? Aku harap akan muncul kebahagiaan buatku.
*****
AKU berulang alik ke hospital. Ingin menjenguk si kecil, Iza. Dia masih lagi ditempatkan di dalam inkubator.  Alan sudah mula ke pejabat setelah dua minggu meninggalkan pejabat.  Sedang aku berjalan keluar dari hospital aku terlanggar seseorang.
“Maaf encik. Saya tak sengaja.”
Aku membetul-betulkan baju aku dan mengutip barang yang berterabur di atas lantai. Namun tanganku kaku apabila memandang seraut wajah itu. Fairuz?
“Tia, lama tak nampak. Buat apa kat sini?”
Aku tersenyum mendengar sapaan itu. Fairuz masih lagi gembira macam dulu. Ramah walau pun ada kalanya menjengkelkan.
“Tengok anak sekejap. Fairuz buat apa kat sini? Tengok anak juga ke?” ramah aku menyapa.Fairuz tersenyum bahagia.
“Tengok anak kedua. Eh, kau ni tak macam orang baru lepas bersalin pun,”  seloroh Fairuz.
‘Memang la. Dah bukan aku yang bersalin. Aku ni mak tiri je .’
Namun tak terluah perkataan itu dari bibirku. Aku tersenyum.
“Ish kau ni. Dah jadi bapak orang pun perangai tak matang. Sudahlah, aku nak pergi ni, nak uruskan perkara lain pula.”
Aku cuba mengalih topik. Sebetulnya aku tak mahu dia tahu kisah sedih hidupku setelah ditinggalkannya dulu. Aku mahu jadi wanita kuat.
“Tia, aku tahu pasal tu.”
Kakiku yang baru hendak melangkah pergi dari Fairuz terhenti kala ayat itu dituturkan. Aku berpaling ke arah Fairuz. Bagaikan tak percaya. Selama ini aku cuba sedaya-upaya menutup kepincangan rumah tanggaku di mata masyarakat. Aku tak mahu orang ramai menganggap suamiku jahat. Aku mahu menjaga aib suamiku.
“Apa yang Fairuz tahu?”
Aku tertanya-tanya. Fairuz tersenyum. Tangannya diseluk ke dalam poket seluar. Sesekali matanya memandang ke arah bayi-bayi yang berada di dalam inkubator.
“Rumah tangga kau yang tak aman,” jawab fairuz. Aku terkedu.
‘Ya Allah. Macam mana dia tahu?’
*****

P/s: Sambungan yang sedikit pendek. Maafkan Hazel sebab lambat post. ^^v