Bab 13
Aku memerhatikan air
akar kayu yang baru diletakkan di atas meja kopi di rumahku. Baru sahaja
sebentar tadi Elin dan Khairul datang memberikan aku air akar kayu untuk
diminum. Mulanya aku mahu menolak, namun Elin dan Khairul menyuruh aku menerimanya
agar tidak mengecilkan hati emak.
“Mak minta kakak minum air ini untuk kesihatan kakak.”
Masih terngiang-ngiang kata-kata Elin di cuping
telingaku. Aku masih tidak mengerti dengan sikap emak yang kadangkala terlalu
memaksa aku untuk menuruti kehendaknya. Aku sedikit buntu di situ. Sikap
memaksa emak membuatkan aku jadi takut. Takut jika ada rancangan tersembunyi
emak terhadap diriku. Atau, akukah yang terlalu berburuk sangka dengan
keprihatinan emak? Aku tidak pasti soal itu.
Aku meletakkan air akar kayu itu di dapur. Sengaja aku
biarkan tanpa meneguknya. Risau jika air akar kayu itu memberikan kesan
sampingan terhadapku. Aku tahu, pengambilan herba secara tidak terkawal akan
menyebabkan toksik dalam badan. Aku risau jika diambil secara berterusan,
toksik itu akan meracun badan dan membahayakan kesihatan.
“Intan …”
Kedengaran suara Izwan menjamah gegendang telingaku. Aku
memandang Izwan. Segaris senyuman aku hadiahkan untuknya. Dia mengusap
tanganku.
“Fikirkan apa? Dari tadi abang tengok Intan termenung.”
Aku menggeleng perlahan. Malas mahu menceritakan mengenai
air akar kayu yang emak kirimkan kepada aku tadi. Aku tidak mahu Izwan risau mengenai aku lagi. Cukuplah dengan
penat di tempat kerja. Tidak perlulah aku membebankan dia dengan masalah-masalah
yang tidak patut difikirkan sekarang.
“Tak ada apa-apalah. Cuma biasa sahaja. Rasa tak sedap
badan kot.”
Aku tergelak sambil menuturkannya. Ya, memang aku rasa
tidak sedap badan dua tiga hari ini, ditambah pula dengan mimpi-mimpi ngeri
yang menganggu lenaku setiap malam.
“Tak sedap badan? Intan demam ya?Atau baby kita nakal-nakal dalam ni?”
Izwan mengusik. Aku sudah tergelak memandang wajah Izwan
yang begitu ceria apabila berbicara mengenai anak kami. Dia memang layak
menjadi ayah kepada anak ini. Aku tak perlu sangsi kerana aku tahu dia memang
lelaki yang ditakdirkan buat aku. Cuma sekarang aku risau mengenai sikap emak
yang tidak habis-habis cuba merosakkan mahligai yang kami bina.
‘Intan harap emak akan sedar dengan sikap emak terhadap kami.’
*****
Aku sendirian di tempat
gelap. Kelihatan ular-ular hitam dan bersaiz besar berada di sekeliling aku.
Ular-ular itu tidak mematuk namun ia bergerak di sekeliling aku. Aku ketakutan.
Dalam hati aku mahu menjerit meminta pertolongan, namun aku tahu itu semua
kerja sia-sia. Aku sendirian di ruang itu tanpa ditemani siapa-siapa. Ruangan
gelap itu tidak memungkinkan aku untuk menemui jalan keluar dari tempat
mengerikan itu. Beberapa kali aku tersadung akibat terlanggar kayu dan batu.
Suara-suara seram menyelubungi tempat itu. Aku takut.
“Kenapa lari? Takut ya?”
Suara-suara seram itu bergema. Aku menggigil ketakutan
namun kakiku masih lagi berlari. Sudah tidak aku pedulikan mengenai kaki
tanganku yang luka dek kerana tersadung berkali-kali. Aku berlari dan terus
berlari, sehinggalah aku menemukan satu pintu kayu yang besar. Aku mendekati
pintu itu. Perlahan aku membukanya. Mungkin aku boleh mencari tempat berlindung
di sebalik pintu itu. Baru sahaja aku melangkah, aku terjatuh. Badan aku terasa
melayang-layang.
“Abang! Tolong!”
Aku tersedar dari tidur. Peluh merenik di dahiku. Izwan
sedang mengurut belakangku. Mungkin cuba menenangkan aku. Aku memandang Izwan.
Kasihan dia yang terjaga kerana aku. Aku memandang Izwan dengan pandangan yang
berkaca. Aku tahu saat ini, bila-bila masa sahaja air mata sejernih kristal ini
akan mengalir menuruni pipi.
“Shhh... jangan takut, abang ada ni.”
Izwan cuba menenangkan aku. Air mata yang sudah meleleh
di pipi diseka oleh Izwan. Aku sudah teresak-esak. Kebelakangan ini mimpi-mimpi
ngeri selalu menjadi penghias malam aku. Mujurlah malam ini Izwan tidak ada
urusan kerja di luar, jika tidak pasti aku akan ketakutan sendirian di kamar
beradu kami ini.
“Dah... dah... Jom tidur ya. Jangan takut, abang temankan
Intan. Abang takkan ke mana-mana.”
Aku tahu Izwan mahu bertanyakan mengenai mimpi itu
kepadaku, namun dia takut jika pertanyaannya itu akan membuatkan keadaanku
semakin kronik. Jadi perasaan ingin tahu dia simpan dalam hati. Lama-kelamaan
pandangan mataku semakin layu dan entah bila aku tertidur dalam pangkuan Izwan.
*****
Dapat aku rasakan bebola
mata Izwan mengikut sahaja ke mana sahaja aku melangkah. Aku rasa tidak selesa.
Aku tahu Izwan mahu mengetahui apa mimpiku semalam sehingga menyebabkan aku
terjaga dari tidur. Aku sedikit tak selesa dengan tingkah laku Izwan yang agak
senyap. Ya, salah satu sifat Izwan yang aku rasa tidak selesa adalah dia akan
senyap dan memerhatikan aku jika dia mahu tahu sesuatu yang aku rahsiakan. Ya,
dia tidak akan memaksa. Cuma dia akan mendera aku dengan pandangan yang tajam.
“Abang, kenapa tengok Intan macam tu?”
Sengaja aku bertanya kepada Izwan. Izwan mengalihkan
pandangan matanya ke arah surat khabar yang dipegangnya tadi. Surat khabar itu
kemudian dilipat dan diletakkan di atas meja kopi di hadapan televisyen. Kopi
pekat yang baru sahaja aku letakkan di atas meja itu diambil dan disisip
sedikit. Dengan cermat dia meletakkan cawan di atas meja. Aku sekadar memerhatikan
apa yang dilakukan oleh Izwan.
“Intan tahu kan apa yang abang nak tahu.”
Aku senyap apabila Izwan mula berbicara seserius itu. Dia
memang ingin tahu mengenai mimpi ngeri itu dan dia benar-benar maksudkannya.
Aku memandang ke arah lain. Tidak mampu untuk memandang matanya. Kalau ikutkan
hati, aku tidak mahu dia risau akan diriku ini.
“Intan, abang masih menunggu ni.”
Aku tersenyum pahit. Entah mengapa aku seakan berat hati
hendak memberitahu akan mimpi itu? Pandangan mata Izwan seakan memaksa aku
membuka mulut. Aku melepaskan keluhan. Perlahan namun kukira dapat didengar
oleh Izwan. Mataku memandang tepat ke arah Izwan.
“Intan mimpi ngeri malam tadi.”
Aku menghela nafas. Cuba untuk merangka-rangka ayat agar
ceritaku tidak tersangkut-sangkut. Dia masih mendengar. Sesekali dia menyisip
kopi yang kukira semakin sejuk di atas meja. Kemudian aku menyambung.
“Intan mimpi banyak ular dan Intan jatuh dari tempat tinggi,”
terang aku secara ringkas.
Mata Izwan membulat. Izwan memandang aku dengan pandangan
yang tidak percaya. Jelas terpancar
kerisauan di wajahnya dan aku tahu aku akan disoal siasat selepas ini.
“Dah lama ke Intan dapat mimpi macam ni?”
Perlahan aku mengangguk.
Izwan menghela nafas. Mungkin berkecil hati dengan sikapku yang tidak
berterus-terang dengannya.
“Abang, Intan minta maaf. Mula-mula Intan ingat ini semua
mimpi biasa, tapi kebelakangan ini mimpi ngeri tu makin kerap Intan dapat.”
Izwan bangkit dan duduk di sebelahku. Dia mengusap
kepalaku. Dia senyap dan ini membuatkan
aku sedikit resah. Aku tahu ada benda yang direncanakan dalam pemikirannya itu.
Aku pasti.
“Abang rasa Intan kena pergi berubat. Mesti ada yang tak
kena dengan Intan ni. Abang tahu mungkin Intan akan sangka abang berfikir yang
bukan-bukan, tapi abang rasa macam ada orang yang nak runtuhkan rumah tangga
kita ni dengan cara halus.”
Aku tersentak. Betulkah apa yang Izwan fikirkan itu?
Dalam hati aku cuba memikirkan siapakah orang-orang yang mungkin berniat jahat
terhadap kami berdua. Namun, fikiran aku asyik menghala ke arah emak.
‘Takkanlah emak sanggup nak bomohkan anak sendiri. Aku takkan
percaya!’
*****
P/s: Entri untuk minggu ini. Insya-Allah akan mula mengupdate dengan aktif hujung bulan ni. Apapun selamat membaca ya! ^^v
jahat nye mak dia,.hisyyyyyyy