Followers

Siapakah kekasih hatiku? 23

Friday, July 27, 2012

BAB 23
RIAK wajah Alan yang serius membuatkan aku pelik. Aku kurang jelas mengapa harus Shah mengatakan dia adalah sepupu Alan sedangkan dia tidak? Ini menimbulkan kemusykilan kepada diriku. Perlahan aku menutup album dan bergerak menuju ke dapur. Alan? Aku pun tak tahu ke mana dia menghilang. Album-album yang terletak di atas sofa kubiarkan dulu. Tekakku terasa haus. Kaki kuhalakan ke ruang dapur dan aku terpaku di situ melihat Alan yang sedang memakai apron merah jambu milikku.
“Abang buat apa ni?”
Aku bertanya hairan. Alan kulihat sedang terkial-kial memotong lobak merah. Alan tersengih memandangku. Pergerakkan tangannya terhenti apabila langkahku semakin menghampirinya.
‘Ish kenapa aku rasa Alan ni seksi sangat bila dia pakai apron merah jambu ni. Hish! tumpukan perhatian Tia.’
Fikiranku mula menerawang ke tempat lain.  Sejak aku mengenali Alan, aku menjadi lebih kuat berangan dan mengelamun. Memang tak baik untuk kesihatan.
“Abang nak masak. Tadi abang tengok Tia macam tak sihat je. Jadi abang ingat nak ringankan beban Tia.”
Alan menerangkan. Aku tersenyum sedikit. Sejak dua menjak ini, Alan kerap mengambil hati aku. Yalah, mungkin rasa bersalah kerana selalu menyakitkan hati aku masih lagi bersarang di hatinya. Ini tekaan aku sahaja. Apa yang sebetulnya, yang berada dalam hatinya, aku tak berapa pasti.
“Abang ni, buat susah-susah je. Kan bagus kalau kita makan je kat luar.”
 Aku memberi cadangan. Kasihan aku melihat alan terkial-kial memasak di dapur. Nampak benar tak pernah ke dapur. Kadangkala aku terfikir, macam manalah dia boleh menjadi pemilik restoran high class? Masak pun tak pandai.
“Takpe, abang boleh masak la. Tia duduk kat luar je la. Biar abang tunjukkan kehandalan abang memasak hari ni.”
Berkeyakinan sungguh suamiku ini. Aku hanya membiarkan Alan dengan semangatnya. Kakiku melangkah ke peti ais jus oren kukeluarkan dan kutuang ke dalam gelas. Lantas aku berlalu ke ruang tamu sambil membawa jus oren. Alan kulihat masih lagi berusaha menyiapkan bahan-bahan untuk dimasak. Teringin juga merasa air tangan suami sendiri.
‘Agaknya apa yang Alan masak? Tak sabarnya hendak merasa air tangan suami.’
*****
KEDENGARAN bunyi bising di dapur. Rasanya bagai hendak meletup dapur dikerjakannya. Sekali-sekala jeritan Alan kedengaran dari dapur menanyakan barang-barang dapur. Dan aku pula hanya menikmati jus oren yang masih bersisa sambil menonton televisyen. Bahagianya rasa jika begini hari-hari. Seketika kemudian, tiada lagi kedengaran bunyi bising di dapur. aku naik hairan.
‘Jangan-jangan Alan ni dah putus asa kot nak masak.’
Aku membuat spekulasi sendiri. baru sahaja aku ingin menuju ke dapur, Alan sudah berada di hadapanku. Segera dia mengarahkan aku untuk naik ke bilik tidur.
La abang ni kenapa? Kan kita nak makan, buat apa nak naik kat bilik?”
Aku pelik.  Alan hanya menarik tanganku dan aku menurut. Setibanya di bilik, Alan mengarahkan aku mandi dan bersiap. Aku tak pasti mengapa.
‘Mesti dia masak tak jadi ni. sebab tu suruh aku bersiap. Alahai nampaknya tak merasa la air tangan Alan ni. Kempunan aku.’
Aku mengomel sendirian.
Lama juga aku berada di bilik air. Apabila aku selesai bersiram, gaun labuh paras lutut berwarna merah jambu sudah berada di atas katil bersama sekeping kad di atasnya.
‘Lovely dress for my lovely wife’
Aku tersenyum. Lantas tanpa ragu-ragu gaun itu ku sarungkan ke badanku. Bukaan luas di bahu membuatkan aku rasa sedikit seksi.
‘Amboi, baju ni betul-betul padan dengan aku. pandai betul Alan carikan.’
Aku tersenyum sambil mengaya-gayakan gaun di depan cermin. Rambutku yang lurus kubiarkan mengurai begitu. Hanya solekan nipis kukenakan ke wajah. Setelah yakin dengan penampilanku, aku turun ke bawah. Alan sudah menungguku di bawah dengan senyuman meleret. Matanya tak habis-habis menyorot ke arahku.
“Cantiknya isteri abang. Kalau keluar rumah, jangan pakai macam ni tau. Abang cemburu tau.”
Kata-kata Alan disambut dengan tawaku. Tapak tanganku digenggam. Aku memerhatikan penampilan Alan. Agak formal dengan kemeja merah jambu lembut dan berseluar slack. Lengan bajunya dilipat sehingga ke siku. Rambut Alan sengaja dipacakkan. Bertambah kacak pula aku lihat. Aku dipimpin ke meja makan. Pelik betul Alan.
‘Laki aku ni buang tabiat ke ape? Ade ke tengah-tengah hari buta ni buat candle light lunch? Cuma tarik langsir bagi rumah gelap and then pasang lilin kat meja makan.’
Aku menggeleng-gelengkan kepala. Kerusi ditarik Alan dan aku melabuhkan punggung. Tawa yang kutahan terhambur apabila Alan sudah mengambil tempatnya di hadapanku.
“Kenapa sayang ketawa? Teruk sangat ke masakan abang?”
Alan bingung. Masakan tengah hari yang dihidangkan di atas meja dibelek. Mencari apa sebabnya yang membuatkan aku ketawa.
“Taklah. Bukan sebab makanan abang tapi abang ni yang pelik. Orang buat makan candle light ni malam tau. Baru romantik. Ni abang buat dah la tengah hari buta. Abang tahu tak sekarang ni pukul berape? Pukul 2 petang tau.”
Kataku dengan muka yang sudah lenguh ketawa.  Alan tersenyum. tangannya sudah memotong chicken chop yang dimasaknya tadi kepada ketulan-ketulan kecil.
“Yeke? Ala apa salahnya kalau kita buat kelainan? Makan tengah hari dengan lilin? Kan boleh cerita kat anak-anak kita nanti.”
Tawaku semakin reda apabila Alan menjawab. Pandai benar mengarut.
‘Betul jugak kata Alan. Kelainan kan bagus.’ Aku senyum meleret.
Mataku dihalakan ke arah hidangan tengah hari kami. Chicken chop dengan sos cendawan dan disertakan dengan sayur brokoli, lobak merah dan kobis bunga yang digoreng dengan bawang putih ataupun dalam istilah memasaknya sauteƩ vegetables. Kemudian aku beralih ke arah kentang yang dibungkus dengan kertas aluminium. Seperti pernah kulihat masakan ini tapi dimana?
“Abang ni kan baked jacketted potato kan? Macam kat restoran papa.”
Aku mencuit sedikit kentang itu dan kusuakan ke dalam mulutku. Memang rasanya sama. Alan tergelak. Kemudian aku memotong sedikit ayam dan kusuakan ke dalam mulut. Memang sama.
‘Takkanlah betul abang masak ni? Memang sama dengan dengan chef yang masak kat restoran papa.’
Aku mencurigai Alan. Alan sudah tertahan-tahan tawanya.
“Abang ke chef kat restoran papa yang masak ni?”
Pertanyaan aku dijawab dengan sengihan yang panjang.
“Alah, tadi abang try masak tapi last-last tak jadi. So, abang call chef suruh dia siapkan chicken chop dan suruh driver papa hantarkan kat sini waktu sayang bersiap tadi. bijak tak abang?”
Alan membuka pekung di dada. Aku melopong. Bijak betul suamiku ini. Tak sangka sungguh.
‘Kan aku dah kata, kempunan jugak la nak rasa air tangan suami ni.’
            Aku meneruskan kunyahanku perlahan-lahan. Alan tersengih bak kerang busuk sambil menutup malu.
*****
SELESAI makan, seperti biasa aku dan Alan sudah pun mengambil tempat di depan televisyen. Oleh kerana hari ini aku memakai gaun, pergerakkan aku agak terbatas. Yalah, takut gaun paras lutut tu terselak pula nanti. Alan menggosok perutnya.
‘Dah kenyang sangat la tu sampai gosok-gosok perut.’
 Aku menghalakan kembali pandangan mataku ke arah televisyen. Mataku terasa berat dan berat dan akhirnya pandanganku sudah gelap gelita.
Apabila aku sedar, aku dapati aku sudah berada di atas katil. Tangan Alan sedang melingkari pinggangku. Aku berpaling ke arah Alan. Wajah kacaknya aku tenung. Rambutnya masih terpacak. Entah mengapa tanganku menyentuh wajahnya.
‘Kenapa Shah nak mengaku Alan ni sepupu dia? Shah ada agenda lain ke? Dia selalu nak aku bercerai dengan Alan.’
Aku musykil dengan tindak-tanduk Shah. Aku risau jika dia punya niat tak baik terhadap Alan. Bagaimana jika benar Shah ada dendam dengan Alan? Aku tak mahu kehilangan Alan. Hubungan aku dengan Alan baru bermula. Aku tak mahu pengakhirannya tragis.
Alan bergerak-gerak sedikit. aku melihat jam di telefon bimbitku. Sudah melewati angka empat. Tak baik tidur waktu-waktu macam ni. Lantas aku bangun dan menuju ke bilik mandi. Alan kubiarkan lena dulu. Hajatku selepas mandi baru aku kejutkan dia. Biar dia berehat. Pasti penat melayan kerenahku hari ni.
“Sayang dah bangun?”
Terpisat-pisat Alan bangun dari tidur. Aku memandang ke arah Alan. Senyuman kuhadiahkan buatnya.
“A’ah, nak mandi la. Melekit dah badan ni.”
Kakiku ringan melangkah ke bilik mandi. Alan pula kembali menyambung lenanya. Aku sayangkan perkahwinan ini dan takkan aku biarkan sesiapa pun meruntuhkan rumah tanggaku yang baru sahaja ingin mengecap bahagia.
‘Shah, siapa pun diri kau. Takkan aku biarkan kau rosakkan kebahagiaan milikku.’

 P/s: Entri pengubat rindu pada bulan ramadan ini. Selamat membaca ya semua. ^^v

Cerpen 1: Emma Liliana

Friday, July 6, 2012

“Kenapa kau menyorok?”
Shima menegur apabila melihat Rayyan yang sedang menyorok di belakang tiang. Dalam hati, terasa ingin tergelak pun ada apabila melihat tingkah Rayyan yang seakan-akan bermain sorok-sorok.
“Tadi, Emma dia kejar aku. Aku rimas la dengan budak bertuah tu.”
Shima menggeleng. Dia tahu akan hal itu. Obsesi Emma terhadap Rayyan memang tidak boleh dihentikan lagi. Salah dia juga kerana memperkenalkan Rayyan kepada Emma. Kalaulah dia tidak memperkenalkan Rayyan kepada Emma, pasti Rayyan tidak akan menjadi mangsa Emma.
“Ray, aku minta maaf tau. Aku tak sangka yang Emma akan jadi macam tu. Dulu aku tengok dia macam budak baik je. Tak sangka dia sanggup kejar kau sampai macam tu sekali.”
Shima sedikit menyesal dengan tindakannya dahulu. Sangkanya Emma hanya mahu berkawan sahaja dengan Rayyan, namun lain pula jadinya. Emma seakan obses dengan Rayyan dan sanggup buat apa sahaja untuk mendekati Rayyan.
“Tak apalah, lagipun benda dah jadi kan. Aku pun tak salahkan kau. Dulu aku tengok si Emma tu baik je, tapi entah kenapa dia jadi macam tu sekali.”
Shima mengangguk perlahan. Kelibat Emma pun sudah tidak kelihatan. Lantas dia mengajak Rayyan untuk makan tengah hari bersama.

*****

Emma diam di atas katilnya. Sudah beberapa hari dia mahu bertemu Rayyan. Namun setiap kali dia mendekati Rayyan, pasti lelaki itu lari darinya. Emma senyap sendiri. Dia membelek-belek baju dan mekapnya hari ini. Tidak ada apa yang kurang. Perlahan dia menuju ke bilik air. Mahu mencuci muka yang penuh dengan mekap. Kemudian, dia melihat wajahnya yang bersih tanpa sebarang mekap. Pucat.
“Agaknya berapa lama lagi masa yang aku ada?”
Emma mengeluh sendirian. Wajah Rayyan dalam bingkai gambar ditenung lama. Hasratnya hanya mahu menghabiskan masa dengan Rayyan sebelum dia berangkat pulang ke rumah. Dia mahu Rayyan tahu bahawa dia sangat cintakan Rayyan, namun sikap lelaki itu membuatkan dia sedar yang si Rayyan tidak sukakan dia langsung.
“Kalau aku ada masa yang panjang, tidaklah aku terhegeh-hegeh nak kejar Ray. Tapi...”
Titisan air mata mulai luruh. Emma sedar bahawa Rayyan tidak sukakan dia, namun dia berusaha untuk menyedarkan Rayyan mengenai cintanya yang dalam terhadap Rayyan.
“Atau perlukah aku mengalah sahaja? Tengok sahaja dia dari jauh?”
Emma mula berbicara sendirian. Kemudian, bingkai gambar diletakkan kembali di meja sisi. Dia tahu Rayyan tidak akan menghubunginya apatah lagi mahu berjumpanya.
“Tapi aku takkan berputus asa sampai aku dengar sendiri dari Ray yang dia tak suka aku. mungkin dia malu kot.”
Emma bangkit dari duduknya dan ketawa bagaikan orang gila. Dia seakan tidak mahu berputus asa terhadap Rayyan.
‘Rayyan Al-Hakim. Tunggukan cinta hatimu ini.’

*****

Rayyan berbaringan di atas sofa di ruang tamu rumahnya. Sesekali dia mengerling ke arah telefon bimbitnya yang asyik berdering sedari tadi. Dia memandang ke arah skrin, tertera nama ‘Emma Psiko’ di atas skrin.
            “Kenapa tak diangkat telefon tu Rayyan? Bingit telinga mummy ni dengar.”
            Puan Siti sudah bercekak pinggang di hadapan Rayyan. Rayyan sudah kecut apabila melihat Puan Siti yang siap berbedak sejuk dan berbaju kelawar berdiri di hadapannya. Dia kemudian mengambil telefon bimbitnya dan menekan butang angkat.
            “Helo.”
            Rayyan menjawab malas. Puan Siti sudah berlalu masuk ke dalam bilik. Mungkin dia terganggu dengan bunyi telefon bimbit Rayyan.
            “Ray, akhirnya awak angkat jugak.”
            Suara Emma kedengaran gembira di hujung talian. Rayyan menguap. Malas benar nampaknya dia melayan kerenah Emma yang baginya tidak reti bahasa penolakkan Rayyan.
            “Ada apa telefon ni? Aku sibuk.”
            Rayyan menjawab malas. Rayyan tahu kala ini kesabarannya melayani kerenah Emma semakin menipis. Dia mahu menghentikan segalanya. Dia mahu hidup tenang tanpa diganggu oleh Emma.
            “Saja nak tanya khabar. Awak sihat?”
            Darah Rayyan mulai menyirap. Dia malas nak melayan Emma. Baginya Emma tidak layak berdampingan dengannya. Rayyan mencari akal. Rasanya dia perlu buat sesuatu agar Emma tidak lagi mencarinya.
            “Emma, aku cuma nak bagitahu kau, yang aku dah ada awek dan aku tak perlukan perempuan seperti kau untuk jadi awek aku. Jadi aku harap kau faham yang aku tak suka kau dan jangan ganggu aku lagi ok.”
            Sejurus selepas itu, panggilan telefon diputuskan. Telefon bimbitnya turut dimatikan. Tidak mahu gangguan dari Emma lagi.
            ‘Puas hati aku.’

*****

Emma merenung telefon bimbitnya. Kata-kata yang terbit dari mulut Rayyan menyakinkan dia untuk mengalah. Emma memandang ke arah Shima yang sedang asyik menelaah. Sesekali dia melihat Shima menyisip air nescafe yang dibancuhnya tadi. Mungkin menyedari dirinya diperhatikan, Shima memandangnya.
            “Kenapa kau tengok aku macam tu?”
            Shima bertanya secara rawak. Dia tahu pasti ada benda yang bermain di fikiran Emma kala ini.
            “Shima, betulkah Ray dah ada awek?”
           Pertanyaan itu menyebabkan Shima tersedak.  Emma dilihatnya sedang merenungnya. Dia jadi serba-salah.
            “Erm, kalau macam tu, kau boleh tak pesan dekat awek Ray tu, jaga Ray elok-elok. Cakap dekat dia, yang dia bertuah sebab Ray suka dekat dia.”
            Usai Emma menuturkan kata-kata itu, dia berjalan mengambil laptopnya di dalam almari. Kemudian, dia menghidupkan suis laptopnya dan mula menaip sesuatu di laptopnya. Shima hanya memandang tingkah pelik Emma.
            “Emma, kau takkan ganggu Ray lagi ke?”
            Shima sengaja bertanya kepada Emma. Emma memandang Shima dengan pandangan yang kosong. Perlahan dia mengangguk.
            “Kau jangan risau. Aku takkan kacau Ray dah. Lagipun, mesti awek dia marah kan. Tak baik rampas hak orang.”
            Shima lega namun dia sedikit hairan dengan sikap Emma. Setahu dia, Emma obses terhadap Rayyan. Namun mengapakah dia begitu mudah mengalah?
            “Kau okay tak ni?”
            Emma tersenyum. Perlahan dia mengangguk. Shima senyap dan kembali menyambung kerja-kerjanya yang tergendala.

*****

“Aku pelik la Ray. Semalam, si Emma tu cakap kat aku yang dia takkan ganggu kau lagi.”
Rayyan tersenyum. Baginya perkhabaran yang baru dinyatakan oleh Shima merupakan satu rahmat. Tak perlulah dia menyorok-nyorok lagi apabila ternampak kelibat Emma.
“Baguslah kalau macam tu. Aku pun dah tak larat nak main kejar-kejar dengan kawan kau tu.”
Rayyan menyanyi-nyayi kecil. Riang benar nampaknya apabila Shima memberitahu bahawa Emma tidak akan menganggunya lagi. Sedang asyik dia berjalan-jalan dia ternampak kelibat Emma yang melintas. Seperti biasa Emma sendirian kala itu. Rayyan tercegat. Akalnya menyuruh dia berselindung di sebalik kereta namun dia tidak berbuat demikian. Emma memandang ke arahnya sekilas dan tersenyum. Kemudian, Emma kembali menyambung perjalanannya. Rayyan terasa sesuatu.
“Dia memang betul-betul tak kejar aku lagi.”
Shima menoleh ke arah Rayyan yang terdiam di situ. Dia yakin Emma tidak akan mengganggu Rayyan lagi. Dia kenal Emma. Sekali dia berjanji, dia akan kotakan.
“Ray, kan aku dah cakap. Lepas ni, hidup kau aman dah. Emma takkan ganggu kau lagi.”
Selamba dia menuturkan. Rayyan hanya mengangguk, namun jauh dalam hatinya dia terasa sesuatu yang hilang.
“Betul cakap kau. Aku dah bebas dari Emma Psiko tu.”
Rayyan tersenyum sedikit.

*****

Emma mengemas pakaiannya. Dia perlu pulang. Kebelakangan ini dia rasa sedikit tidak sihat. Lagipun temu janjinya dengan doktor dijadualkan minggu hadapan. Kata papa, ada yang sudi mendermakan sumsum tulang kepadanya. Pembedahan akan dilakukan secepat mungkin. Emma sudah tidak tahan lagi menelan ubat-ubatan yang banyak.
            “Eh, Emma kau nak pergi mana? Setahu aku cuti sem lambat lagi kan.”
            Emma memandang Shima. Rakannya itu begitu risaukannya. Dia tahu Shima syak dia mahu bawa diri kerana tidak dapat memiliki Rayyan. Namun, Shima silap. Dia bukanlah perempuan yang lemah. Dia perempuan kuat. Dia masih boleh berdiri tanpa cinta Rayyan.
            “Aku nak balik kampung. Mama dan papa datang ambil nanti petang. Ada hal.”
            Shima melihat Emma yang mengemas hampir kesemua barang-barangnya. Emma tahu Shima prihatin, namun dia belum ada hati untuk memberitahu Shima. Rasanya Shima tak perlu tahu tentang sakit yang menimpa dirinya ini.
            “Aku extend sem ni. Sem depan, Insya-Allah aku masuk balik. Kau doakan ya.”
            Mata Shima terbeliak sedikit. Mungkin dia tidak menyangka bahawa Emma akan extend semester. Sangkanya Emma baik-baik sahaja.
            “Kau jangan nak fikir bukan-bukan. Aku extend bukan sebab Ray. Ada sebab lain dan aku harap kau tak panjangkan hal ni pada Ray. Aku dah tak nak ganggu dia dengan berita-berita aku tau.”
            Shima diam. Dia melihat Emma mengangkat barang-barangnya ke tingkat bawah. Dia tahu jauh di sudut hati Emma ada rasa sedih yang bermukim di situ.
“Aku doakan kau tabah Emma.”
            Namun, kata-kata itu hanya terlahir dalam hati sahaja.

*****

PERMULAAN SEMESTER BARU

Rayyan berjalan menghampiri Shima yang sedang asyik menghirup minuman di kafe. Dia kemudiannya mengambil tempat di hadapan Shima. Mujur sahaja Shima air yang diminumnya tidak tersembur apabila melihat Rayyan.
            “Shima... aku nak tanya sesuatu ni.”
            Shima memandang wajah Rayyan yang berkerut dan resah. Wajah Rayyan kala ini bagaikan dikejar seseorang. Tapi siapa? Setahunya Emma masih lagi tidak menyambung kembali semester ini. Dia pelik dengan tingkah Rayyan.
            “Tanya la.”
            “Kenapa Emma tak jawab phone dia? Aku call dia dari minggu lepas lagi tapi satu pun dia tak angkat.”
            Shima memandang Rayyan. Hatinya terdetik untuk mengetahui mengapakah Rayyan mahu mencari Emma. Setahu dia Rayyan memang tidak sukakan Emma.
            “Kenapa tiba-tiba call dia? Bukan ke kau tak suka dia ke?”
            Rayyan senyap. Dia tahu salahnya kerana mempamerkan kebencian terhadap Emma. Kini dia sengsara. Dia resah apabila Emma tidak lagi mahu menelefonnya. Dia sunyi tanpa Emma di sisi. Kini baru dia sedar bahawa dia mula sukakan gadis itu. Dia mula menyimpan rasa terhadap gadis itu. Dia mula rindu untuk dikejar gadis psiko itu.
            “Emma tak masuk lagi sem ni. Entah sampai bila dia nak extend.”
            Mata Rayyan membulat.
            “Extend? Kau tak pernah nak bagitahu aku pun. Kalau macam tu, jom kita cari dia dekat rumah.”
            Shima memandang Rayyan yang seakan gila talak itu.
            “Emma yang tak nak bagitahu yang dia extend. Kalau nak pergi rumah dia pun okay juga. Rumah dia dekat-dekat area kampus kita ni je. Dekat je. Lagipun aku pernah pergi rumah dia hari tu.”
            Rayyan mengangguk. Kalau boleh saat itu juga dia mahu terbang ke rumah Emma.

*****

Banglo dua tingkat itu direnung seketika. Rayyan dan Shima teragak-agak hendak menekan loceng. Mereka berpandangan sesama sendiri. Saling tunding-menunding sesama sendiri agar menekan loceng. Mujurlah mama Emma datang membukakan pintu pagar setelah menyedari ada yang datang bertamu di rumahnya.
            “Assalamualaikum aunty.”
            Shima menyalami tangan mama Emma. Wajah mama Emma kelihatan sayu dan seakan baru lepas menangis.
            “Waalaikumussalam, Shima. Kenapa datang ni?”
            Shima tersenyum. Rayyan sudah berdehem. Mungkin mahu mengingatkan Shima bahawa dia tidak keseorangan di situ.
            “Aunty, ni saya kenalkan Rayyan. Kawan saya.”
            Rayyan menganggukkan kepala kepada mama Emma dan tersenyum. Kemudian, mama Emma menjemputnya masuk ke dalam rumah. Rayyan dan Shima mengambil tempat di atas sofa di ruang tamu yang sederhana luasnya itu.
            “Ya, ada apa nak datang bertandang ke rumah aunty ni Shima, Rayyan?”
            Rayyan berdehem. Tidak tahu mana untuk memulakan. Rasa malu untuk menyatakan kedatangannya hanyalah untuk menjenguk Emma yang sudah lama tidak ditemui. Melihat keadaan Rayyan yang segan tak bertempat Shima memulakan bicara.
            “Aunty, sebenarnya kami datang nak jumpa Emma. Dah lama tak nampak dia. Lagipun sem baru dah buka. Jadi kami nak tahu la keadaan Emma sekarang.”
            Ucapan yang baru sahaja terlahir di bibir Shima membuatkan mama Emma menitiskan air mata. Shima kaget. Rayyan terkedu. Kemudian, mama Emma mengesat air matanya. Dia menarik nafas dalam.
            “Marilah, aunty bawa kamu pergi jumpa Emma.”

*****

            Rayyan berteleku di situ. Shima dan mama Emma sudah berangkat meninggalkannya. Dia merenung tanah yang masih lagi merah. Dia senyap. Tak sangka Emma begitu menderita selama ini. Ya, dia sudah berjumpa dengan Emma. Kalaulah dia tahu Emma sakit, takkan sanggup dia menuturkan kata-kata yang mengguris hati Emma tempoh hari. Surat yang diserahkan oleh mama Emma dibuka dan dibaca berulang-ulang kali. Ada nada sendu di dalam surat itu.
            “Maafkan Ray, sayang.”

Assalamualaikum Rayyan.
Mungkin warkah ini adalah warkah terakhir yang mampu Emma titipkan buat Ray. Maaf jika kehadiran warkah ini menganggu gugat perasaan Ray. Emma minta maaf jika ada salah silap Emma kepada Ray. Emma harap Ray dapat maafkan ketelanjuran Emma dalam mengejar cinta Ray. Ray tahu kan, Emma obses dengan Ray. Cuma apabila Ray katakan bahawa Ray sudah ada yang punya, Emma mengalah kerana Emma tahu bahawa cinta takkan terjadi kalau sebelah pihak sahaja yang beria-iya.
Ray,
Walau apapun yang terjadi, Emma dah maafkan Ray dan Emma amat berharap, Ray maafkan Emma. Lagi satu, boleh tak Ray penuhi permintaan kecil Emma ini? Emma harap Ray sudi sedekah Al- Fatihah kepada Emma setiap kali lepas solat. Itu sahaja permintaan Emma yang terakhir. Harap Ray sudi tunaikan.
Emma nak Ray tahu yang Emma sayangkan Ray. Jaga diri elok-elok dan berbahagialah selalu.
Yang tulus mencintaimu,
Emma Liliana

***** Tamat*****
P/s: Cerpen untuk memeriahkan blog. Harap terhibur.