Followers

Siapakah Kekasih Hatiku? 4

Wednesday, November 16, 2011
BAB 4
HAL pertunangan itu, aku simpan kedap dalam hati. Malas hendak menghebohkan lagi berita pertunangan aku. Biarlah mereka tidak tahu. Kerana aku yakin aku pertunangan ini akan berakhir juga satu hari nanti nanti. Hanya Intan dan Hakim sahaja yang mengetahui status terbaru aku. Kepada rakan-rakan yang lain, aku rahsiakan.
Aku meneliti cincin pertunangan aku.  Cantik tapi entah kenapa aku merasakan ia langsung tidak memberikan apa-apa makna dalam hidup aku. Lantas aku tanggalkan dan meletakkannya ke atas telapak tanganku. Aku sarungkan cincin itu ke rantai leherku. Biarlah ia menjadi loket yang menghiasi leherku.
Mengingati Fairuz, membuatkan hati aku sebal. Kalau boleh aku tak mahu punya apa-apa perasaan terhadap lelaki itu. Lagipun, dia memang langsung tidak menunjukkan apa-apa minat terhadapku. Jadi  aku sebolehnya cuba untuk  mengelak daripada menghabiskan masa dengan Fairuz. Namun apa yang dirancang tak semestinya menjadi. Pagi yang hening itu menjadi hancur dan huru-hara apabila, aku terserempak dengan Fairuz di kampus. Aku terkedu.
‘Apa yang mamat ni buat kat sini?’
 Aku berpaling ke arah lain. Intan yang berjalan beriringan dengan aku menghentikan langkahnya.
“Tia, tu bukan ke kau punya tunang?”
Mulutnya dijuihkan ke arah Fairuz. Aku buat tak tahu.
“Bukanlah, kau silap orang tu. Jomlah kita balik hostel. Aku nak sambung tidur. Aku tidur lewat malam tadi,” rungut aku.
Tanpa aku sedari Fairuz berjalan ke arah aku. Aku memandang ke belakang. Kelihatan beberapa orang rakan sekuliah aku sedang berjalan. Mungkin hendak pulang ke hostel ataupun hendak membeli makanan tengah hari mungkin.
“Helo. Kau buat apa kat sini?”
Aku sekadar berbasa basi. Pada awalnya aku memang ingin menggunakan kata ganti nama ‘saya’ dan ‘awak’ namun ditegah oleh Fairuz. Dia lebih selesa dengan bahasa ‘aku’ dan ‘kau’. Aku pula menurutinya tanpa banyak soal.
“Ada hal sedikit pasal projek fakulti tu.kau dah makan ke? Kalau belum, jom makan. Aku belanja,” pelawanya.
Aku terkejut. Fairuz mempelawaku makan? Aku memandang Intan yang tersengih-sengih bak kerang busuk.
‘Biar betul mamat ni. Baik gila nak belanja aku makan. Rezeki jangan ditolak. Baik aku ajak si intan ni sekali. Jimat sedikit duit makan aku hari ni.’
Aku tersengih-sengih. Intan pula sudah menapak jauh dari aku. Kononnya hendak memberi aku privasi untuk berbual dengan Fairuz lebih lama. Pandailah kau Intan.
“Tia, aku balik dulu. Aku ada date dengan Hakim.”
Intan tersenyum-senyum sambil melambai-lambai ke arahku. Aku memandang Fairuz. Dia tersenyum sumbing.
“Ok. Jadi, apa yang kita tunggu lagi?”
 Fairuz berjalan beriringan dengan aku ke arah keretanya. Kereta pacuan empat roda miliknya dipandu dan meluncur laju di jalan raya. Setahu aku, Pak Cik Kassim ni tak adalah kaya sangat. Tapi gaya anak dia ni macam anak datuk. Hari itu, aku rasa dia pandu Honda civic  berwarna hitam tapi kali ini kereta Hilux hitam menjadi panduannya. Aku pun tak pasti. Kereta syarikat mungkin.
*****
AKU menyedut air oren. Memang terasa nikmatnya. Cuaca yang panas ditambah pula dengan air oren yang sejuk membuatkan rasa dahaga yang berkampung di tekak aku serta-merta lega. Aku memerhatikan Fairuz. Nasi di pinggannya masih berbaki separuh. Sementara aku pula sebaliknya. Licin. Sememangnya aku ini kuat makan. Rasa malu mula menerjah. Dia hanya tersenyum melihat aku yang sudah habis menelan makanan tengah hari aku.
“Kau ni memang kuat makan ke? Tengok tu, nasib baik tak ditelan sekali dengan pinggan tu. Kalau tak mati aku nak membayar harga pinggan mangkuk serta  makanan yang kau telan tu.”
 Fairuz tergelak-gelak. Aku pula dah mula buat muka.
“Biasalah tu. Budak yang duduk kat hostel memang jarang makan. Lagipun aku makan sekali sehari je. Sebab tu boleh telan dengan meja ni sekali.”
Aku membalas. Sudah lama aku menghentikan aktiviti bertekak dengan insan yang berlawanan jantina dengan aku. Bukan apa, aku cuma hendak mengelakkan dari menjadi bahan gosip. Fairuz tergelak. Kelakar agaknya. Aku hanya melayani perasaan tanpa menghiraukan gelakan Fairuz yang kukira agak melampau itu. Tawa Fairuz reda. Aku agak musykil dengan Fairuz. Dia seorang yang susah dijangka perlakuannya. Sekejap baik sekejap tidak.
“Julie, sihat tak?” tanyaku setelah tawa Fairuz reda.
Fairuz mengangkat kening dan merenungku. melihat aku yang cuba mengelak daripada renungannya, dia tersenyum.
“Dia okay je. Baik and still cantik macam biasa,” ujarnya sambil menyedut air teh limau ais. 
Baru kini aku perasan bahawa Fairuz memiliki sepasang anak mata yang cantik. Berwarna hijau. Pelik. Biasanya anak mata orang Asia berwarna coklat atau hitam, namun dia memiliki anak mata berwarna hijau. Kacukankah Fairuz?
“Eh, kau ni kacukan ke? Mata kau warna hijau.”
 Bola mata Fairuz membuntang memandang aku.
‘Alamak, kenapalah aku ni straight forward sangat. Kan mamat tu dah tercenggang. Mesti dia perasan handsome nanti.’
“A’ah. Mama orang Sepanyol. Sebab tu aku ni handsome. Kenapa? Kau dah terpikat ke?”
Fairuz sudah mula menjual minyaknya yang ternyata tidak laku itu. Aku membiarkan sahaja andaian-andaian yang dicipta oleh Fairuz. Dah tak kuasa hendak melayannya.
“ Perasan.”
Malas aku hendak melayan kerenah Fairuz lantas aku mengajaknya pulang.
*****
MASA berlalu dengan begitu pantas sekali sehinggakan aku tidak sedar yang aku kini sudah melangkah ke alam pekerjaan. Jika mengikut perjanjian aku dengan Fairuz, kami seharusnya memutuskan pertunangan selepas aku bergraduat. Namun, sehingga kini aku masih lagi menunggu kata putus dari Fairuz. Mengenai hubungan Fairuz dengan Julie, aku sendiri pun tidak pasti sejauh manakah hubungan mereka. Kadangkala terbit juga kerisauan di benak fikiran aku perihal pertunangan aku dengan Fairuz.  Bagaimana harus aku jawab jika orang tuaku meminta aku berkahwin dengan Fairuz secepat mungkin? Aku tak boleh mengatakan tidak kerana aku telah bertunang dengan Fairuz secara rasminya. Pening kepalaku memikirkan masalah jodoh ini. Sedang aku berkira-kira untuk menelefon Fairuz, telefon bimbitku berbunyi. Lantas kuambil dan jelas terpapar di skrin nama Fairuz. Tanpa berlengah aku menjawabnya.
“Assalamualaikum.”
Ayat biasa untuk memulakan kata kedengaran di hujung talian. Suara Fairuz agak serak. Demamkah dia? Sudah lama aku tidak bertemu dengannya.
“Waalaikumussalam. Apa khabar?” balasku bersahaja.
Perasaan gementar di hatiku cuba disembunyikan. Malu.
“Tia, pasal pertunangan kita tu, aku dah batalkan. Esok family aku datang untuk uruskan hal tu.”
Aku terkedu. Entah mengapa dada aku berasa sebak. Air mataku sudah mulai bergenang dan bila-bila masa empangan air mata bisa pecah mengalirkan air mata ini. Aku bagaikan tak rela pertunangan ini diputuskan. Sebenarnya aku mengharapkan Fairuz akan melupakan perjanjian itu dan  berkahwin dengan aku. Namun, sangkaan aku meleset. Fairuz mengotakan janjinya. Mungkin dia tidak mahu digelar munafik.
“Tia?”
Aku tersedar. Kulihat mama di belakangku. Telefon bimbitku masih di tanganku. Sebentar tadi Fairuz menelefonku untuk memberitahu aku mengenai hal pemutusan pertunangan kami. Kukira pasti mama telah mengetahuinya. Air muka mama keruh.
“Mama. Ada apa mama kat sini?” tanyaku perlahan.
Mama duduk di sampingku. Diam. Mungkin mencari kata-kata untuk menjelaskan keadaan yang sebenarnya kepadaku. Dapat aku lihat mama resah.
“Mama? Kalau mama nak bagitahu Tia pasal hal pertunangan tu, Tia dah tahu. Fairuz dah bagitahu Tia tadi.”
 Aku bersuara. Aku cuba menceriakan suara agar tiada kesan sendu yang dapat dikesan oleh mama. Mungkin mama berasa bersalah kerana memintaku untuk bertunang dengan Fairuz dahulu.
“Maafkan mama. Mama tak sangka Fairuz akan putuskan pertunangan kamu berdua.” Mama bersuara. Kesal. Aku cuba tersenyum walaupun hambar.
It’s okay mama. Kalau Fairuz tak nak, ramai lagi yang berduyun-duyun nak kat anak mama ni. Tia tinggal pilih saja.” Aku berjenaka. Biarlah aku simpan kesedihan aku ini sendirian. Selamat tinggal, Fairuz.
*****
BEBERAPA minggu selepas peristiwa yang menyedihkan itu, aku kembali bersemangat. Segala kesedihan aku tukarkan menjadi tenaga untuk berkerja. Tambahan pula, aku kini bertugas sebagai pengurus restoran di Kuantan. Restoran itu bolehlah aku kelaskan sebagai sebuah restoran elit. Berkonsepkan ala barat dan layanan penuh diberikan kepada pelanggan. Harga makanannya memang mahal dan hanya mereka yang berkemampuan sahaja boleh menjejakkan kaki ke dalam restoran itu.
Walaupun aku merupakan pengurus restoran itu, aku cukup tidak menggemari suasana restoran mewah. Mungkin kerana aku datang dari keluarga yang sederhana dan aku sudah terbiasa dengan suasana restoran mamak yang menjadi pilihanku sekeluarga setiap kali menjamu selera di luar. Makanan ala barat memang tak menjadi pilihan aku. Tak kenyang!
“Selamat pagi, cik Zatia.”
Wirna penyambut tetamu menyambutku dengan senyuman. Aku mengangguk kecil dan tersenyum. Aku mengenakan kebaya labuh berwarna keladi hari ini. Sengaja mencari kelainan. Biasanya aku mengenakan sut dan berseluar tapi entah mengapa aku mengenakan kebaya di badanku hari ini. Pelik kan. Aku melangkah ke pejabatku. Masih seperti selalu. Secawan nescafe sudah tersedia di atas mejaku. Masih panas. Kak Bibah pasti dapat mengagak pukul berapa aku akan sampai ke restoran. Aku tersenyum sendirian. Tanganku pantas mencapai dokumen meneliti senarai barang yang harus dibeli untuk bulan ini. Kontrak dengan pembekal daging kambing sudah hampir tamat. Mungkin aku patut usulkan untuk membuka tender kepada pembekal-pembekal daging yang lain.  Terlalu asyik dengan meneliti dokumen-dokumen itu, aku hampir terlupa waktu makan tengah hari sudah hampir tamat. Pasti keadaan restoran agak sibuk pada waktu ini. Waktu puncaklah katakan.
“Cik, ada pelanggan tak puas hati. Dia nak jumpa dengan cik.”
 Awin tercungap-cungap di hadapanku.
“Awak dah cakap dengan dia?”
Aku ingin mendapatkan kepastian. Awin merupakan supervisor di restoran. Biasanya jika ada masalah berkaitan dengan pelanggan .pasti mudah diselesaikan oleh Awin. Jika masalah tidak dapat diselesaikan barulah akan dirujuk kepadaku.
“Dah tapi dia tetap tak puas hati.Err.. cik dia orang kenamaan la cik.”
Awin memberitahu aku. Aku mengangguk kecil.
“Saya cuba selesaikan masalah ni, tapi awak tengokkan pelanggan kita yang lain. Jangan biar mereka berasa terganggu dengan masalah ni.”
Aku memberi arahan. Awin hanya menurut. Aku berjalan menuju ke meja yang ditunjukkan oleh Awin. Pelanggan itu ternyata marah. Terdapat dua orang pelanggan di meja itu. Seorang lelaki yang berusia lewat dua puluhan dan seorang wanita yang dalam lingkungan awal dua puluhan.
“Ya, encik. Boleh saya bantu?”
Aku memaniskan muka memandang ke arah pelanggan lelaki dan perempuan itu bersilih ganti.
“Ok, I tak puas hati dengan you all punya stik daging ni. I told the waiter not to add black pepper on my steak and look what he had done. I can’t even eat this steak.”
 Pelanggan wanita itu merungut. Pelanggan lelaki itu hanya diam.
‘Dah tahu tak nak black pepper dalam stik tu, kenapalah nak order juga steak with black pepper sauce? Pelik betul perempuan ni.’
“Maaf. Saya akan gantikan dengan stik yang baru. Ada apa-apa yang saya boleh bantu lagi?” tanyaku.
            “Itu sahaja. You boleh pergi sekarang,” ujar pelanggan itu.
Agak sombong pelanggan perempuan itu. Pelanggan lelaki itu sedikit pun tidak menyampuk atau memarahi aku. Mujurlah mereka tak membuat kecoh di restoran. Kalau tidak, aku tak pastilah apa yang akan terjadi kepada nama baik restoran. Mungkin akan menghilangkan kepercayaan pelanggan kepada pengurusan restoran. Dalam pada itu, aku sempat mengarahkan Awin supaya memastikan semua pelanggan selesa dengan suasana restoran. Nama baik restoran harus dijaga.
*****
PERISTIWA seminggu lalu sedikit sebanyak mencalarkan nama baik restoran. Iktibar dari kejadian tersebut, aku mengarahkan semua pekerja supaya lebih peka dengan pelanggan. Aku tak sanggup menanggung kerugian. Wanita itu memang menjengkelkan. Aku menghirup nescafe. Enak rasanya. Kak Bibah mengambil cuti tanpa gaji hari ini. Katanya anaknya sakit. Aku menyelak planner. Meneliti apa yang harus aku lakukan hari ini.
‘           Alamak! Malam ni ada reunion la. Macam mana aku boleh lupa ni. Nak pakai baju apa ya? Habislah aku,’ bisik hati aku.
Deringan telefon membuatkan tersentak. Lalu tanpa berfikir panjang aku menjawabnya.
“Helo, kawan. Misya ni.”
Suara ceria Misya kedengaran di hujung talian. Aku dapat meneka tujuan Misya menelefon. Pastinya kerana majlis reunion itu.
“Kau memang. Mimpi apa kau hari ni call aku?”
Aku memberikan soalan trivia kepada Misya. Kedengaran Misya ketawa di hujung talian. Bukan aku tak tahu yang Misya menelefonku atas alasan reunion.
“Memang buruk anak dara ni kalau ketawa,” getus aku.
“Pasal reunion malam ni. Aku nak ingatkan kau je. Kau datang kan?”
Misya meminta kepastian. Aku mencari alasan yang relevan untuk mengelak daripada menghadirkan diri ke majlis itu.
“Tengoklah dulu. Petang nanti aku confirmkan balik okay. Tata.”
 Aku meletakkan ganggang telefon. Keluhan kecil aku lepaskan. Lantas aku mencapai tas tanganku dan berlalu keluar dari pejabatku.
*****

Siapakah Kekasih Hatiku? 3

Sunday, November 13, 2011
BAB 3
AKU mengambil tempat untuk duduk di food court di depan Mydin Mall sendirian. Aku mahu bertemu dengan lelaki yang menggelarkan dirinya anak pak cik Kassim.Aku mengerling jam tangan Seiko yang sudah banyak berjasa kepadaku. Jam sudah melewati empat petang dan yang pastinya dia masih belum tiba. Adakah aku dipermainkan? Aku sendiri pun tak pasti. Aku melihat jam tanganku berulang kali. Jika dia masih lagi tidak sampai dalam seminit, aku nekad akan pulang sahaja ke hostel. Masih banyak kerja yang perlu aku bereskan.

Aku memandang dengan curiga seorang lelaki yang sedari tadi duduk di hujung  food court asyik memandang ke arahku. Hendak dikatakan aku secantik  bidadari,  aku rasa perkara itu mustahil lantaran aku tak pernah mendapat anugerah prom queen atau ladies of the night. Jadi, adalah mustahil jika lelaki itu memandang ke arahku dek kerana terpukau dengan kecantikkan aku. Tak mungkin... Tak mungkin... Dan kesilapan aku yang terbesar adalah apabila aku tidak menyimpan nombor telefon lelaki itu. Setelah aku yakin dan pasti lelaki itu tidak akan memunculkan diri, aku mengangkat punggungku dari kerusi yang menjadi tempat aku menunggu selama lebih sejam.

Baru sahaja aku mengangkat punggung untuk beredar dari tempat itu, lelaki yang asyik memandang aku tadi berjalan ke arahku dan tersenyum. Aku langsung tak membalas senyumannya. Aku menghayunkan langkah untuk keluar dari tempat itu, namun langkahku terhenti apabila dia memulakan perbualan.

“Awak Zatia?” tanya lelaki tadi dengan penuh keyakinan.
 Senyuman terukir di bibirrnya. Aku memandangnya dengan penuh tanda tanya. Adakah dia Fairuz? Anak pak cik Kassim ataupun merangkap bakal tunang aku? Aku sedikit tak mempercayainya. Lelaki sekarang pandai memperdayakan perempuan naif dan polos sepertiku. Eh, naifkah aku?

“Ya. Awak siapa?”
Teragak-agak aku menjawabnya. Aku sedikit hairan. Bagaimana dia boleh mengetahui namaku?
“Saya Fairuz, anak pak cik Kassim.”

Aku senyap. Dalam hati aku ligat mengumpat mengata akan ketidak pandaian dirinya. “Dia ni bodoh atau tolol? Kata nak jumpa tapi dah nampak aku buat tak tahu. Sudahlah  aku duduk sampai satu jam lebih tunggu dia macam tunggul kayu reput. Dia pula boleh senyum dengan yakin lagi. Tak faham aku,” ngomel aku sendirian.
Aku harap butirannya tak didengari oleh lelaki itu. Dia tersenyum melihat tingkahku.
“Saya tak berapa cam awak tadi. Dalam gambar awak nampak lain,” terang Fairuz.

 Nampak lain? Tiba-tiba aku teringatkan gambar ketika aku masih menuntut di sekolah menengah. Gambar yang agak gempal dengan kulit yang hangus akibat terdedah kepada cahaya matahari selalu. Sebagai pelajar aktif berkawad, aku terpaksa merelakan diri berhujan dan berpanas untuk menang dalam setiap pertandingan yang disertai sekolah.

“Sudahlah saya nak balik. Saya dah penat tunggu awak hari ni. Ada banyak kerja lagi yang saya nak buat.”

Aku terus berlalu namun langkahku ditahan oleh lelaki ini. Aku memandang ke arah lelaki itu. Memang kacak sayangnya kurang budi bahasa. Aku sudah malas hendak melayan lelaki ini. Sengaja hendak mempermainkan aku. Walaupun kacak, hati aku terasa sakit memandangnya.
“Err... Janganlah balik lagi. Lagipun saya cuma nak pastikan awak Zatia,” Jelasnya kepadaku.
 Aku menghadiahkan jelingan maut kepadanya. Biar dia tahu bahawa aku bukanlah gadis yang boleh diperlakukan sesuka hati.Namun apabila melihat air wajahnya yang begitu mengharap, aku menjadi serba salah sama ada hendak teruskan atau terus sahaja pulang ke kampus. Tapi bila difikirkan semula, lebih baik aku pulang kerana aku masih banyak kerja yang masih belum dibereskan.

“Dah tak ada maknanya awak nak suruh saya duduk dan bercakap dengan awak. Awak tahu tak yang saya ni banyak kerja nak buat. Sudahlah tu, suruh datang lepas tu boleh pula awak buat saya tunggu macam tiang telefon depan asrama saya. Saya penat tau.”

Dia hanya tersenyum dengan ketawa yang ditahan-tahan.Apabila tak dapat menahan tawa, dia menghamburkan tawanya di hadapanku. Buruk betul cara dia ketawa. Tapi sebab mengapa dia ketawa,  aku pun tak pasti. Kata-kata aku mungkin?

“Cik Zatia, awak memang pandai buat lawak. Kelakarlah awak ni. Ok kalau awak tak nak duduk kat sini bincang dengan saya tentang pertunangan kita, saya tak kisah. Tapi mungkin saya boleh hantar awak pulang ke kampus.”
Dia cuba bersikap gentlemen dengan idea menghantar aku pulang ke hostel. Namun , aku bukan perempuan yang bisa dia perkotak-katikkan. Aku cuba mendapatkan kepastian, adakah dia ini adalah anak pak cik Kassim yang original.

 “Erm... saya rasa kan tak payahlah encik nak susah-susahkan diri encik untuk hantar saya. Lagipun saya ingat lebih mudah kalau saya balik sendiri. Abah saya cakapkan, tak baik susahkan orang lain tau.”

Aku cuba mengelak. Entah lelaki dari ceruk mana menawarkan diri untuk aku pulang ke kampus. Aku sendiri tak pasti adakah dia ini betul-betul anak Pak cik Kassim.
“Tapi, awak pasti ke? Sebab sekarang pun dah lewat petang. Awak takut dengan saya ke?”
Aku lihat dia tersengih. Entah kenapa aku rasakan sengihan yang ditunjukkan itu sangat menyakitkan hati. Aku kehilangan kata-kata. Aku mencebik.

“Macam mana saya nak tahu awak ni anak pak cik Kassim atau tidak? Boleh tunjukkan i/c atau lesen memandu awak.?”

Sepantas kilat dia menarik keluar dompetnya dari kocek seluarnya, mengeluarkan kad pengenalan dan lesen memandu. Lantas diunjukkan kepadaku. Perlahan aku menyambutnya dan meneliti satu persatu. Aku perasan riak wajahnya yang bangga itu.
So? Awak percaya?” soal lelaki itu.
Aku mengangguk sedikit dan dapat kulihat senyumannya yang kian melebar itu. Menyampah!
*****
AKU diam membisu. Sesekali aku mengerling jam tanganku. Jam sudah menunjukkan enam petang. Aku menjeling melihat Fairuz. Kacak jugak bakal tunang aku ni! Tapi perangai hampeh betul. Satu sen pun tak boleh pakai.

“Dah puas awak tengok saya, cik Zatia?”
Teguran Fairuz membuatkan aku tersentak. Malunya. Aku mencari-cari idea di mana harus aku letakkan muka yang sudah merah menyala menahan malu.
“Mana ada saya tengok awak. Perasan.”

Aku membuang pandang ke luar tingkap. Aku memeluk tubuh. Sengaja aku bersikap demikian. Malas hendak melayan karenahnya yang aku rasa agak menyakitkan hati.
“Hmm, mengenai pertunangan kita tu. Kalau boleh saya nak batalkan.”

Fairuz  bersuara setelah terdiam seketika. Serta-merta mataku terbuntang. Tak percaya dengan apa yang baru didengari tadi.
“Ooo...awak dah ada calon ke encik Fairuz?”
Aku cuba mengawal kembali riak wajahku yang ternyata agak terkejut dengan apa yang  baru sahaja aku dengari tadi. Aku memandangnya dengan rasa tak percaya.

 “Lebih kurang macam tu la. Nanti kalau keluarga saya datang meminang awak tolak tau. Cakaplah awak dah ada pakwe. Mesti ayah saya tak marah,” jelas Fairuz bersahaja.
“Tapi.. saya dah terima.”

Perlahan aku bersuara. Wajahnya yang tenang tadi berubah riak. Dapat aku rasakan yang Fairuz dalam keadaan marah. Stereng kereta dihentak-hentak. Saat itu, kakinya menekan pedal minyak. Aku ketakutan melihat gaya Fairuz memandu. Macam nak bunuh orang lagaknya.

“Err..awak. Saya belum nak mati lagi.Saya ada tiga tahun lagi sebelum tamat degree. Kalau boleh saya nak la grad dulu.”
 Tergagap-gagap aku menegurnya.
“Dah tahu nak belajar lagi, yang kau ni gatal-gatal nak terima pinangan keluarga aku tu kenapa?”
Aku terdiam. Fikiranku ligat mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang baru sahaja aku timbulkan ini. Sepatutnya aku tegas menolak permintaan abah. Kalau aku tegas, mungkin sekarang aku tak berada dalam situasi yang rumit ini.

“Saya akan cuba minta abah tolak balik boleh tak? Tak pun kita tunang dulu nanti lepas saya grad kita putus. Ok tak?”
Aku memberikan cadangan yang kurasakan boleh diterima akal. Fairuz menjeling aku. Tajam jelingannya itu. Aku terdiam. Takut.
“Kau ni dah overdose baca novel ke? Teruk betul idea kau tu. Kalau kita dah tunang, lepas kau grad nanti terus je kita selamat tau,” ujar Fairuz.
“Er..selamat apa? Saya tak berapa faham.”
Teragak-agak aku bertanya kepadanya. Maklumlah aku sememangnya lambat tangkap kalau ayat tergantung-gantung macam ini.

“Selamat apa kau tanya? Selamatlah kita jadi laki bini. Lembab betul kau ni. Macam ni  nak jadi tunang aku.Patutlah tak ada yang nak.”
 Aku senyap. Bebelannya yang seterusnya aku sudah tak ambil peduli. Aku terasa dengan kata-kata yang baru sahaja yang meniti dibibir lelaki itu tadi.

‘Tak ada orang yang nak? Betul ke? Mungkin betul kot. Sebab aku tak pernah ada pakwe. Mungkin aku tak cantik dan perangai aku yang agak kasar ni membuatkan lelaki menjauhi aku. Kalau ada pun semuanya mengganggap aku sebagai kawan sahaja. Tak lebih dari itu.
“Woi... kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” tengking Fairuz.
Aku tersentak. Aku menghalakan pandangan ke arah Fairuz. Wajahnya sedikit bengis. Kecut perut aku apabila melihat wajahnya yang bengis umpama harimau lapar.
“Maaf. Saya tak dengar tadi.”
Aku tunduk. Takut melihat Fairuz. Fairuz menepuk dahinya. Pelbagai andaian bermain di fikiranku kala ini.
“Dengar baik-baik. Aku cakap tadi, kita tunang tapi lepas kau grad kita putus tau.”
Fairuz mengulang kembali apa yang dicakapkannya kepadaku. Idea mengenai di mana letak duduk hubungan kami ini.
 ‘Aku seperti pernah dengar cadangan tu tapi di mana ya? Hah! cadangan aku tadi tu. Tadi kata tak relevan tapi balik-balik pakai jugak idea aku. Dasar lelaki ego.’
“Ok,” balasku pendek.
*****
TEH bunga krisanthemum kusedut keluar dari kotak. Aku memang dahaga. Nikmat betul dapat minum air kotak ni. Intan melihat aku yang begitu asyik menikmati keenakkan air kotak. Dia tersenyum.
“Tia, kau ni memang pelik.”
Intan memulakan perbualan denganku di satu petang yang hening di pantai Tok Jembal. Aku memandang ke arah Intan.
“Kenapa kau kata aku pelik? Aku tak paham.”
Aku terpinga-pinga menanti ayat yang seterusnya dari Intan.
“Dalam banyak-banyak air kenapa la kau suka air teh tawar macam tu. Pelik la kau ni.”
Aku tersenyum mendengar pertanyaan Intan itu.
“Kurang gula. Bagus untuk elakkan kencing manis.”
Aku ketawa. Intan mencebik tanda tidak berpuas hati dengan jawapan aku. Malas aku hendak cerita lebih-lebih pasal teh bunga tu. Ada sejarah di sebaliknya. Tanpa aku sedari aku tersenyum sendirian. Intan yang melihat aku yang agaknya nampak kurang siuman itu, terus menampar lenganku. Aku menjerit.
“Sakit la. Jangan la pukul macam ni. Sudahlah aku kurang kalsium. Kalau patah tulang  aku , kau nak tanggung ke?”
Aku mengerutkan keningku. Intan sudah terkulat-kulat sambil menguis-nguis pasir pantai dengan jarinya.
‘Ha...tahu  takut. Mula la tu nak buat muka kesian. Muka yang kalau jual kat Pasar Payang satu sen pun tak laku.’
            Aku mendekati Intan yang menjauhi aku.
“Sudahlah, jangan merajuk. Nanti susah pulak Hakim nak pujuk.”
Intan tersenyum. Sifat Intan yang paling aku suka. Senang dipujuk. Patutlah Hakim sukakan Intan. Dia tak banyak kerenah. Senang diuruskan.
“Jom balik. Dah senja ni.”
Aku bangkit dari duduk. Menyapu-nyapu pasir pantai yang melekat di seluarku. Intan menghulurkan tangannya. Isyarat untuk aku membantunya untuk bangun. Aku menarik tangannya. Huh berat betul minah ni. Badan kurus tapi berat betul. Tulang keluli kot.
“Beratlah kau sekarang,” komenku.
Intan hanya tersenyum. Dan kami berjalan pulang ke hostel.
*****
CUTI semester bermula. Aku melangkah keluar dari rumah hari ini. Kalau boleh memang aku malas hendak keluar. Bila mengingatkan majlis pertunangan aku yang akan berlangsung dua minggu lagi, aku jadi takut. Takut untuk menghadapi realiti yang aku secara rasminya akan bergelar tunang orang. Benci aku mengingatkan lelaki yang bernama Fairuz itu. Aku ke Megamall Kuantan untuk membeli kelengkapan untuk majlis pertunangan. Bosan. Aku mengerling jam tangan Seiko aku. Pukul dua petang. Aku ternanti-nanti Fairuz namun kelibatnya masih belum kelihatan. Penat berdiri menunggu Fairuz, aku duduk di bangku. Aku termenung. Entah bila Fairuz terpacak di hadapan aku pun aku tak sedar.

“Dah lama sampai?” ujarnya perlahan.
Aku mendongak. Kulihat Fairuz tersenyum. Dia tidak bersendirian. Di sampingnya ada seorang perempuan yang bolehlah aku  golongkan dalam golongan cantik.
“Hmm..agak la. Siapa tu?” tanyaku terus terang.
 Malas aku hendak berkias-kias.
“Julie. Err..girlfriend aku,” terang Fairuz.
Julie menghulurkan tangan kepadaku. Pantas aku menyambutnya. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Cantik dan manis. Aku membalasnya.
You tak cakap pun yang Zatia ni manis orangnya,” puji Julie.
 Aku yang sedang menyedut air kotak hampir tersedak. Aku lihat Fairuz ketawa terdekah-dekah. Merah padam muka aku apabila dipuji sebegitu oleh Julie.
‘Ya Allah buruknya cara dia ketawa. Hish memang tak boleh nak dibuat laki langsung!’
“Err..  Julie tak marah ke pasal pertunangan tu.”
Satu lagi soalan cepu emas yang kutanyakan secara langsung kepada Julie. Julie tergelak mendengar pertanyaan aku itu.
It’s okay. I tak kisah pun. Janji you buat macam yang dah dirancangkan. I takkan cemburu.”

Julie memeluk pinggang Fairuz dan melentokkan kepalanya di bahu lelaki itu. Manja sekali. Aku hanya memandang dengan perasaan meluat. Bukan meluat meliaht kemanjaan Julie, tapi aku meluat melihat Fairuz yang tersengih-sengih mengambil kesempatan atas kemanjaan Julie. Dasar lelaki gatal.
“Ok.. Jom kita selesaikan apa yang patut. Aku pun ada hal sikit lepas ni.”
Fairuz yang hanya memerhati bersuara setelah lama membisu. Kami bertiga menjelajah Megamall Kuantan. Fairuz dan Julie. Dua orang asing yang baru muncul dalam hidup aku. Aku senang dengan kehadiran mereka. Namun aku sendiri tidak pasti sampai bilakah keadaan ini akan berterusan.
*****
MAJLIS pertunangan aku berjalan lancar. Aku melihat cincin yang baru disarungkan ke jari aku tadi. Cantik. Hasil pilihan Julie dan aku. Kenangan dua minggu lepas berputar di ruang fikiranku.
You, tengok la cincin ni. Cantik kan.”
 Julie menunjukkan cincin emas putih bertahtakan jed kepadaku. Cantik. Fairuz menggelengkan kepalanya melihat aksi aku dan Julie.
“Cantik tapi harga dia mahal sangat.”
Aku melihat harga cincin itu. Aku kerja setahun pun belum tentu mampu membeli cincin itu.
You suruhlah Fairuz belikan. Well, sebagai cincin tunang. Betul kan baby.”
Julie memberi cadangan. Fairuz mengangkat kening.
“Kopak la I macam ni. Tapi kalau you yang suruh  I ok je. Tapi you tak jealous ke?”
Fairuz mencuit hidung Julie. Julie tersenyum.
“Nanti, bila kita kahwin nanti. You belikan I  cincin yang lebih mahal lagi.”
Julie tersenyum. Julie memang murah dengan senyuman. Aku hanya melihat aksi merpati dua sejoli itu. Pelik kan, bakal tunang bermesra dengan orang lain pun aku masih lagi selamba. Buat dek je.
*****

Miskinkah cinta itu? Part 9

Friday, November 11, 2011

AKU memandang wajah Izwan yang masih lagi tidak sedarkan diri. Perut yang berkeroncong minta diisi kubiarkan. Tidak sanggup rasanya untuk meninggalkan Izwan sendirian di dalam bilik tanpa teman. Aku ralit memerhatikan Izwan. Dalam hati, aku amat mengharapkan sesiapa sahaja yang berniat buruk terhadap Izwan bertaubat dan melepaskan Izwan dari cengkaman sihir yang ditujukan kepadanya. Aku amat berharap keajaiban akan berlaku. Amat-amat berharap. Ketukan di pintu bilik mengejutkan aku yang sedang asyik memerhatikan Izwan.
            “Intan tak mahu makan? Mama rasa dari semalam Intan tak makan. Mari makan sayang.”
            Mama memujukku untuk makan. Sekadar mengalas perut untuk menambahkan kudrat aku untuk menjaga Izwan nanti. Namun, kala ini aku tidak berselera untuk makan. Aku hanya mahu Izwan sihat.
            “Intan tak berselera mama. Mama makanlah dulu.”
            Aku menolak walhal perutku lapar sekali. Entah mengapa aku berbuat demikian. Aku sendiri tidak pasti.
            “Mari makan Intan. Takkan Intan nak biarkan Izwan sedar dan tengok Intan macam ni. Intan kena tabah, redha dan percaya semua ini dugaan dari Allah untuk hamba-Nya yang terpilih sahaja. Intan kena ingat tu.”
            Aku mengangguk perlahan apabila mendengar mama berceloteh. Perlahan aku relakan juga diri untuk turun ke bawah dan menjamah sedikit makanan buat mengalas perut.
*****
AKU menambah nasi buat kali ketiga. Mama memandangku dengan pandangan yang pelik. Adakah aku terlalu banyak makan? Mungkin mama pelik dengan sikapku yang berkeras tak mahu makan tadi dan sekarang, aku makan umpama mangsa-mangsa perang yang kebuluran di tanah gersang.
            “Intan memang lapar sangat ya?”
            Mama menegurku. Suapan nasiku terhenti seketika. Aku memandang ke arah mama.
            “A’ah, Intan lapar tapi Intan takut nak tinggalkan abang Izwan lama-lama. Intan makan banyak-banyak sebab nanti malam Intan tak payahlah makan. Boleh Intan duduk sebelah abang Izwan sepanjang masa.”
            Aku lihat mama menggelengkan kepala apabila usai aku menuturkan sedemikian. Pelikkah dengan sikapku? Aku cuma mahukan yang terbaik untuk Izwan. Aku mahu berada di sampingnya sentiasa.
            “Tapi Intan, tak elok makan banyak-banyak. Sudahlah Intan makan laju-laju. Tak hadam nanti nasi tu dalam perut. Mama yakin Intan tak kunyah nasi betul-betul ni, terus telan sahaja nasi itu.”
            Mama berseloroh. Aku tersenyum sekadar untuk mengambil hati mama yang berusaha keras untuk menceriakan hariku.
            “Mama, Intan dah habis makan.”
            Aku bangun lantas membawa pinggan nasi ke dapur. Mama hanya memerhatikan sikapku. Aku berjalan perlahan-lahan ke dapur. Terasa lemah lututku untuk menghadapi kenyataan bahawa Izwan terlantar di atas katil saat ini. Segera aku mencuci pinggan dan berlalu ke tingkat atas. Aku mahu pastikan keadaan Izwan kala ini.
            “Mama, Intan naik atas dulu. Intan nak tengok keadaan abang Izwan.”
            Aku memberitahu mama. Mama sekadar membiarkan aku berlalu ke tingkat atas. Dia kemudiaannya kembali bercakap dengan bibik yang yang ditugaskan untuk mengemas meja makan.
*****
AKU segera membuka pintu bilik yang menempatkan Izwan di dalamnya. Apabila pintu dikuak, kudapati Izwan tiada di atas katil. Aku mencarinya di beranda dan di kawasan sekitar bilik dan kemudian aku terdengar bunyi pancuran dari kamar mandi. Mungkinkah Izwan di situ? Aku menanti dengan penuh sabar. Sebaik sahaja pintu bilik air terbuka, aku segera menghampiri pintu itu. Wajah Izwan terjengul di hadapan pintu bilik air. Dengan pantas aku memeluk Izwan.
            “Abang...”
            Aku memeluk Izwan. Ternyata dia agak bingung dengan sikapku yang terus memeluknya.
            “Intan, kenapa peluk abang ni? Habis batal air sembahyang abang.”
            Izwan cuba meleraikan pelukanku yang makin kejap di pinggangnya. Aku seakan tidak percaya bahawa Izwan sudah sedarkan diri.
            “Intan sayang abang. Abang jangan buat macam tu lagi tau. Lemah semangat Intan bila abang tak ada.”
            Suaraku mulai serak. Aku tahu ini petanda air mata akan mengalir bila-bila masa sahaja. Izwan meraih tanganku. Kemudian, pelukanku yang kejap dileraikan. Dia menatap mataku mencari punca mengapa aku menitiskan air mata.
            “Kenapa sayang ni? Abang tak pergi mana-mana pun. Abang cuma tidur je kan. Kenapa sayang takut sangat ni?”
            Mataku membulat. Adakah Izwan tidak menyedari bahawa dia langsung tak sedarkan diri selama beberapa hari? Dia memandang aku dengan pandangan yang pelik.
            “Abang...”
            Aku tidak tahu bagaimana harus aku mulakan. Tidak tahu bagaimana hendak menerangkan bahawa sudah beberapa hari dia tidak sedarkan diri dan hanya terlantar di atas katil di banglo mewah milik keluarganya ini.
            “Sayang, abang nak ambil air sembahyang ni. Lepas solat, abang nak makan. Boleh sayang siapkan?”
            Aku mengangguk perlahan. Apabila kelibat tubuhnya menghilang ke kamar mandi, aku segera turun ke bawah untuk menyampaikan berita ini kepada mama. Pasti mama gembira.
*****
MAMA terkejut apabila melihat aku yang tergesa-gesa turun dari tingkat atas banglo mewah itu. Wajahku yang mendung tadi diganti dengan wajah yang ceria dan gembira. Masakan tidak, Izwan sudah sedar. Aku bagaikan tak percaya yang semua ini bukan mimpi. Aku yakin, mereka sudah melepas Izwan. Izwan sudah bebas dari cengkaman sihir yang ditujukan kepadanya.
            “Mama, abang Izwan dah sedar mama.”
            Aku memberitahu mama. Nafasku masih lagi tercungap-cungap.
            “Betul ni Intan?”
            Mama meminta kepastian. Aku segera mengangguk tanda betul apa yang baru sahaja aku sampaikan tadi. Segera mama naik ke tingkat atas. Dapat aku rasakan mama juga begitu risaukan mengenai kesihatan Izwan cuma dia tak mahu menunjukkan kepadaku.
            “Intan nak sediakan makanan untuk abang Izwan.”
            Segera aku berlalu ke dapur. Bibik yang sedang asyik membasuh pinggan mangkuk terkedu apabila melihat aku menyediakan makanan.
            “Puan muda mahu makan lagi ya?” bibik bertanya kepadaku.
            “Bukanlah, saya nak sediakan makanan untuk abang Izwan.”
            Aku menjawab bahagia. Pinggan berisi lauk dan nasi aku letakkan di atas dulang. Tak lupa aku letakkan segelas air masak yang menjadi minuman utamanya sewaktu menjamah nasi.
            “Kok bisa begitu?”
            Aku tersenyum memandang bibik. Dulang berisi makanan sudahpun aku tatang. Aku mahu menyuapnya makan hari ini.  Perlahan aku menaiki tangga menuju ke bilik tidur kami. Senyuman tak lekang dibibirku.
            ‘Intan tahu abang pasti akan sedar dan kembali pada Intan.’