Followers

Miskinkah cinta itu? Part 9

Friday, November 11, 2011

AKU memandang wajah Izwan yang masih lagi tidak sedarkan diri. Perut yang berkeroncong minta diisi kubiarkan. Tidak sanggup rasanya untuk meninggalkan Izwan sendirian di dalam bilik tanpa teman. Aku ralit memerhatikan Izwan. Dalam hati, aku amat mengharapkan sesiapa sahaja yang berniat buruk terhadap Izwan bertaubat dan melepaskan Izwan dari cengkaman sihir yang ditujukan kepadanya. Aku amat berharap keajaiban akan berlaku. Amat-amat berharap. Ketukan di pintu bilik mengejutkan aku yang sedang asyik memerhatikan Izwan.
            “Intan tak mahu makan? Mama rasa dari semalam Intan tak makan. Mari makan sayang.”
            Mama memujukku untuk makan. Sekadar mengalas perut untuk menambahkan kudrat aku untuk menjaga Izwan nanti. Namun, kala ini aku tidak berselera untuk makan. Aku hanya mahu Izwan sihat.
            “Intan tak berselera mama. Mama makanlah dulu.”
            Aku menolak walhal perutku lapar sekali. Entah mengapa aku berbuat demikian. Aku sendiri tidak pasti.
            “Mari makan Intan. Takkan Intan nak biarkan Izwan sedar dan tengok Intan macam ni. Intan kena tabah, redha dan percaya semua ini dugaan dari Allah untuk hamba-Nya yang terpilih sahaja. Intan kena ingat tu.”
            Aku mengangguk perlahan apabila mendengar mama berceloteh. Perlahan aku relakan juga diri untuk turun ke bawah dan menjamah sedikit makanan buat mengalas perut.
*****
AKU menambah nasi buat kali ketiga. Mama memandangku dengan pandangan yang pelik. Adakah aku terlalu banyak makan? Mungkin mama pelik dengan sikapku yang berkeras tak mahu makan tadi dan sekarang, aku makan umpama mangsa-mangsa perang yang kebuluran di tanah gersang.
            “Intan memang lapar sangat ya?”
            Mama menegurku. Suapan nasiku terhenti seketika. Aku memandang ke arah mama.
            “A’ah, Intan lapar tapi Intan takut nak tinggalkan abang Izwan lama-lama. Intan makan banyak-banyak sebab nanti malam Intan tak payahlah makan. Boleh Intan duduk sebelah abang Izwan sepanjang masa.”
            Aku lihat mama menggelengkan kepala apabila usai aku menuturkan sedemikian. Pelikkah dengan sikapku? Aku cuma mahukan yang terbaik untuk Izwan. Aku mahu berada di sampingnya sentiasa.
            “Tapi Intan, tak elok makan banyak-banyak. Sudahlah Intan makan laju-laju. Tak hadam nanti nasi tu dalam perut. Mama yakin Intan tak kunyah nasi betul-betul ni, terus telan sahaja nasi itu.”
            Mama berseloroh. Aku tersenyum sekadar untuk mengambil hati mama yang berusaha keras untuk menceriakan hariku.
            “Mama, Intan dah habis makan.”
            Aku bangun lantas membawa pinggan nasi ke dapur. Mama hanya memerhatikan sikapku. Aku berjalan perlahan-lahan ke dapur. Terasa lemah lututku untuk menghadapi kenyataan bahawa Izwan terlantar di atas katil saat ini. Segera aku mencuci pinggan dan berlalu ke tingkat atas. Aku mahu pastikan keadaan Izwan kala ini.
            “Mama, Intan naik atas dulu. Intan nak tengok keadaan abang Izwan.”
            Aku memberitahu mama. Mama sekadar membiarkan aku berlalu ke tingkat atas. Dia kemudiaannya kembali bercakap dengan bibik yang yang ditugaskan untuk mengemas meja makan.
*****
AKU segera membuka pintu bilik yang menempatkan Izwan di dalamnya. Apabila pintu dikuak, kudapati Izwan tiada di atas katil. Aku mencarinya di beranda dan di kawasan sekitar bilik dan kemudian aku terdengar bunyi pancuran dari kamar mandi. Mungkinkah Izwan di situ? Aku menanti dengan penuh sabar. Sebaik sahaja pintu bilik air terbuka, aku segera menghampiri pintu itu. Wajah Izwan terjengul di hadapan pintu bilik air. Dengan pantas aku memeluk Izwan.
            “Abang...”
            Aku memeluk Izwan. Ternyata dia agak bingung dengan sikapku yang terus memeluknya.
            “Intan, kenapa peluk abang ni? Habis batal air sembahyang abang.”
            Izwan cuba meleraikan pelukanku yang makin kejap di pinggangnya. Aku seakan tidak percaya bahawa Izwan sudah sedarkan diri.
            “Intan sayang abang. Abang jangan buat macam tu lagi tau. Lemah semangat Intan bila abang tak ada.”
            Suaraku mulai serak. Aku tahu ini petanda air mata akan mengalir bila-bila masa sahaja. Izwan meraih tanganku. Kemudian, pelukanku yang kejap dileraikan. Dia menatap mataku mencari punca mengapa aku menitiskan air mata.
            “Kenapa sayang ni? Abang tak pergi mana-mana pun. Abang cuma tidur je kan. Kenapa sayang takut sangat ni?”
            Mataku membulat. Adakah Izwan tidak menyedari bahawa dia langsung tak sedarkan diri selama beberapa hari? Dia memandang aku dengan pandangan yang pelik.
            “Abang...”
            Aku tidak tahu bagaimana harus aku mulakan. Tidak tahu bagaimana hendak menerangkan bahawa sudah beberapa hari dia tidak sedarkan diri dan hanya terlantar di atas katil di banglo mewah milik keluarganya ini.
            “Sayang, abang nak ambil air sembahyang ni. Lepas solat, abang nak makan. Boleh sayang siapkan?”
            Aku mengangguk perlahan. Apabila kelibat tubuhnya menghilang ke kamar mandi, aku segera turun ke bawah untuk menyampaikan berita ini kepada mama. Pasti mama gembira.
*****
MAMA terkejut apabila melihat aku yang tergesa-gesa turun dari tingkat atas banglo mewah itu. Wajahku yang mendung tadi diganti dengan wajah yang ceria dan gembira. Masakan tidak, Izwan sudah sedar. Aku bagaikan tak percaya yang semua ini bukan mimpi. Aku yakin, mereka sudah melepas Izwan. Izwan sudah bebas dari cengkaman sihir yang ditujukan kepadanya.
            “Mama, abang Izwan dah sedar mama.”
            Aku memberitahu mama. Nafasku masih lagi tercungap-cungap.
            “Betul ni Intan?”
            Mama meminta kepastian. Aku segera mengangguk tanda betul apa yang baru sahaja aku sampaikan tadi. Segera mama naik ke tingkat atas. Dapat aku rasakan mama juga begitu risaukan mengenai kesihatan Izwan cuma dia tak mahu menunjukkan kepadaku.
            “Intan nak sediakan makanan untuk abang Izwan.”
            Segera aku berlalu ke dapur. Bibik yang sedang asyik membasuh pinggan mangkuk terkedu apabila melihat aku menyediakan makanan.
            “Puan muda mahu makan lagi ya?” bibik bertanya kepadaku.
            “Bukanlah, saya nak sediakan makanan untuk abang Izwan.”
            Aku menjawab bahagia. Pinggan berisi lauk dan nasi aku letakkan di atas dulang. Tak lupa aku letakkan segelas air masak yang menjadi minuman utamanya sewaktu menjamah nasi.
            “Kok bisa begitu?”
            Aku tersenyum memandang bibik. Dulang berisi makanan sudahpun aku tatang. Aku mahu menyuapnya makan hari ini.  Perlahan aku menaiki tangga menuju ke bilik tidur kami. Senyuman tak lekang dibibirku.
            ‘Intan tahu abang pasti akan sedar dan kembali pada Intan.’

3 comments:

  1. evy said...:

    best...akhirnya Izwan sdh sedar.tp risau jg klu penyakit dia akan b'ulang...

  1. Anonymous said...:

    alhamdulillah..akhirnya Izwan sedar jg.
    cepat2 sambung ek:)

  1. Anonymous said...:

    cepat sambung ek...citer ni best sgt..