Followers

Cerpen 1: Emma Liliana

Friday, July 6, 2012

“Kenapa kau menyorok?”
Shima menegur apabila melihat Rayyan yang sedang menyorok di belakang tiang. Dalam hati, terasa ingin tergelak pun ada apabila melihat tingkah Rayyan yang seakan-akan bermain sorok-sorok.
“Tadi, Emma dia kejar aku. Aku rimas la dengan budak bertuah tu.”
Shima menggeleng. Dia tahu akan hal itu. Obsesi Emma terhadap Rayyan memang tidak boleh dihentikan lagi. Salah dia juga kerana memperkenalkan Rayyan kepada Emma. Kalaulah dia tidak memperkenalkan Rayyan kepada Emma, pasti Rayyan tidak akan menjadi mangsa Emma.
“Ray, aku minta maaf tau. Aku tak sangka yang Emma akan jadi macam tu. Dulu aku tengok dia macam budak baik je. Tak sangka dia sanggup kejar kau sampai macam tu sekali.”
Shima sedikit menyesal dengan tindakannya dahulu. Sangkanya Emma hanya mahu berkawan sahaja dengan Rayyan, namun lain pula jadinya. Emma seakan obses dengan Rayyan dan sanggup buat apa sahaja untuk mendekati Rayyan.
“Tak apalah, lagipun benda dah jadi kan. Aku pun tak salahkan kau. Dulu aku tengok si Emma tu baik je, tapi entah kenapa dia jadi macam tu sekali.”
Shima mengangguk perlahan. Kelibat Emma pun sudah tidak kelihatan. Lantas dia mengajak Rayyan untuk makan tengah hari bersama.

*****

Emma diam di atas katilnya. Sudah beberapa hari dia mahu bertemu Rayyan. Namun setiap kali dia mendekati Rayyan, pasti lelaki itu lari darinya. Emma senyap sendiri. Dia membelek-belek baju dan mekapnya hari ini. Tidak ada apa yang kurang. Perlahan dia menuju ke bilik air. Mahu mencuci muka yang penuh dengan mekap. Kemudian, dia melihat wajahnya yang bersih tanpa sebarang mekap. Pucat.
“Agaknya berapa lama lagi masa yang aku ada?”
Emma mengeluh sendirian. Wajah Rayyan dalam bingkai gambar ditenung lama. Hasratnya hanya mahu menghabiskan masa dengan Rayyan sebelum dia berangkat pulang ke rumah. Dia mahu Rayyan tahu bahawa dia sangat cintakan Rayyan, namun sikap lelaki itu membuatkan dia sedar yang si Rayyan tidak sukakan dia langsung.
“Kalau aku ada masa yang panjang, tidaklah aku terhegeh-hegeh nak kejar Ray. Tapi...”
Titisan air mata mulai luruh. Emma sedar bahawa Rayyan tidak sukakan dia, namun dia berusaha untuk menyedarkan Rayyan mengenai cintanya yang dalam terhadap Rayyan.
“Atau perlukah aku mengalah sahaja? Tengok sahaja dia dari jauh?”
Emma mula berbicara sendirian. Kemudian, bingkai gambar diletakkan kembali di meja sisi. Dia tahu Rayyan tidak akan menghubunginya apatah lagi mahu berjumpanya.
“Tapi aku takkan berputus asa sampai aku dengar sendiri dari Ray yang dia tak suka aku. mungkin dia malu kot.”
Emma bangkit dari duduknya dan ketawa bagaikan orang gila. Dia seakan tidak mahu berputus asa terhadap Rayyan.
‘Rayyan Al-Hakim. Tunggukan cinta hatimu ini.’

*****

Rayyan berbaringan di atas sofa di ruang tamu rumahnya. Sesekali dia mengerling ke arah telefon bimbitnya yang asyik berdering sedari tadi. Dia memandang ke arah skrin, tertera nama ‘Emma Psiko’ di atas skrin.
            “Kenapa tak diangkat telefon tu Rayyan? Bingit telinga mummy ni dengar.”
            Puan Siti sudah bercekak pinggang di hadapan Rayyan. Rayyan sudah kecut apabila melihat Puan Siti yang siap berbedak sejuk dan berbaju kelawar berdiri di hadapannya. Dia kemudian mengambil telefon bimbitnya dan menekan butang angkat.
            “Helo.”
            Rayyan menjawab malas. Puan Siti sudah berlalu masuk ke dalam bilik. Mungkin dia terganggu dengan bunyi telefon bimbit Rayyan.
            “Ray, akhirnya awak angkat jugak.”
            Suara Emma kedengaran gembira di hujung talian. Rayyan menguap. Malas benar nampaknya dia melayan kerenah Emma yang baginya tidak reti bahasa penolakkan Rayyan.
            “Ada apa telefon ni? Aku sibuk.”
            Rayyan menjawab malas. Rayyan tahu kala ini kesabarannya melayani kerenah Emma semakin menipis. Dia mahu menghentikan segalanya. Dia mahu hidup tenang tanpa diganggu oleh Emma.
            “Saja nak tanya khabar. Awak sihat?”
            Darah Rayyan mulai menyirap. Dia malas nak melayan Emma. Baginya Emma tidak layak berdampingan dengannya. Rayyan mencari akal. Rasanya dia perlu buat sesuatu agar Emma tidak lagi mencarinya.
            “Emma, aku cuma nak bagitahu kau, yang aku dah ada awek dan aku tak perlukan perempuan seperti kau untuk jadi awek aku. Jadi aku harap kau faham yang aku tak suka kau dan jangan ganggu aku lagi ok.”
            Sejurus selepas itu, panggilan telefon diputuskan. Telefon bimbitnya turut dimatikan. Tidak mahu gangguan dari Emma lagi.
            ‘Puas hati aku.’

*****

Emma merenung telefon bimbitnya. Kata-kata yang terbit dari mulut Rayyan menyakinkan dia untuk mengalah. Emma memandang ke arah Shima yang sedang asyik menelaah. Sesekali dia melihat Shima menyisip air nescafe yang dibancuhnya tadi. Mungkin menyedari dirinya diperhatikan, Shima memandangnya.
            “Kenapa kau tengok aku macam tu?”
            Shima bertanya secara rawak. Dia tahu pasti ada benda yang bermain di fikiran Emma kala ini.
            “Shima, betulkah Ray dah ada awek?”
           Pertanyaan itu menyebabkan Shima tersedak.  Emma dilihatnya sedang merenungnya. Dia jadi serba-salah.
            “Erm, kalau macam tu, kau boleh tak pesan dekat awek Ray tu, jaga Ray elok-elok. Cakap dekat dia, yang dia bertuah sebab Ray suka dekat dia.”
            Usai Emma menuturkan kata-kata itu, dia berjalan mengambil laptopnya di dalam almari. Kemudian, dia menghidupkan suis laptopnya dan mula menaip sesuatu di laptopnya. Shima hanya memandang tingkah pelik Emma.
            “Emma, kau takkan ganggu Ray lagi ke?”
            Shima sengaja bertanya kepada Emma. Emma memandang Shima dengan pandangan yang kosong. Perlahan dia mengangguk.
            “Kau jangan risau. Aku takkan kacau Ray dah. Lagipun, mesti awek dia marah kan. Tak baik rampas hak orang.”
            Shima lega namun dia sedikit hairan dengan sikap Emma. Setahu dia, Emma obses terhadap Rayyan. Namun mengapakah dia begitu mudah mengalah?
            “Kau okay tak ni?”
            Emma tersenyum. Perlahan dia mengangguk. Shima senyap dan kembali menyambung kerja-kerjanya yang tergendala.

*****

“Aku pelik la Ray. Semalam, si Emma tu cakap kat aku yang dia takkan ganggu kau lagi.”
Rayyan tersenyum. Baginya perkhabaran yang baru dinyatakan oleh Shima merupakan satu rahmat. Tak perlulah dia menyorok-nyorok lagi apabila ternampak kelibat Emma.
“Baguslah kalau macam tu. Aku pun dah tak larat nak main kejar-kejar dengan kawan kau tu.”
Rayyan menyanyi-nyayi kecil. Riang benar nampaknya apabila Shima memberitahu bahawa Emma tidak akan menganggunya lagi. Sedang asyik dia berjalan-jalan dia ternampak kelibat Emma yang melintas. Seperti biasa Emma sendirian kala itu. Rayyan tercegat. Akalnya menyuruh dia berselindung di sebalik kereta namun dia tidak berbuat demikian. Emma memandang ke arahnya sekilas dan tersenyum. Kemudian, Emma kembali menyambung perjalanannya. Rayyan terasa sesuatu.
“Dia memang betul-betul tak kejar aku lagi.”
Shima menoleh ke arah Rayyan yang terdiam di situ. Dia yakin Emma tidak akan mengganggu Rayyan lagi. Dia kenal Emma. Sekali dia berjanji, dia akan kotakan.
“Ray, kan aku dah cakap. Lepas ni, hidup kau aman dah. Emma takkan ganggu kau lagi.”
Selamba dia menuturkan. Rayyan hanya mengangguk, namun jauh dalam hatinya dia terasa sesuatu yang hilang.
“Betul cakap kau. Aku dah bebas dari Emma Psiko tu.”
Rayyan tersenyum sedikit.

*****

Emma mengemas pakaiannya. Dia perlu pulang. Kebelakangan ini dia rasa sedikit tidak sihat. Lagipun temu janjinya dengan doktor dijadualkan minggu hadapan. Kata papa, ada yang sudi mendermakan sumsum tulang kepadanya. Pembedahan akan dilakukan secepat mungkin. Emma sudah tidak tahan lagi menelan ubat-ubatan yang banyak.
            “Eh, Emma kau nak pergi mana? Setahu aku cuti sem lambat lagi kan.”
            Emma memandang Shima. Rakannya itu begitu risaukannya. Dia tahu Shima syak dia mahu bawa diri kerana tidak dapat memiliki Rayyan. Namun, Shima silap. Dia bukanlah perempuan yang lemah. Dia perempuan kuat. Dia masih boleh berdiri tanpa cinta Rayyan.
            “Aku nak balik kampung. Mama dan papa datang ambil nanti petang. Ada hal.”
            Shima melihat Emma yang mengemas hampir kesemua barang-barangnya. Emma tahu Shima prihatin, namun dia belum ada hati untuk memberitahu Shima. Rasanya Shima tak perlu tahu tentang sakit yang menimpa dirinya ini.
            “Aku extend sem ni. Sem depan, Insya-Allah aku masuk balik. Kau doakan ya.”
            Mata Shima terbeliak sedikit. Mungkin dia tidak menyangka bahawa Emma akan extend semester. Sangkanya Emma baik-baik sahaja.
            “Kau jangan nak fikir bukan-bukan. Aku extend bukan sebab Ray. Ada sebab lain dan aku harap kau tak panjangkan hal ni pada Ray. Aku dah tak nak ganggu dia dengan berita-berita aku tau.”
            Shima diam. Dia melihat Emma mengangkat barang-barangnya ke tingkat bawah. Dia tahu jauh di sudut hati Emma ada rasa sedih yang bermukim di situ.
“Aku doakan kau tabah Emma.”
            Namun, kata-kata itu hanya terlahir dalam hati sahaja.

*****

PERMULAAN SEMESTER BARU

Rayyan berjalan menghampiri Shima yang sedang asyik menghirup minuman di kafe. Dia kemudiannya mengambil tempat di hadapan Shima. Mujur sahaja Shima air yang diminumnya tidak tersembur apabila melihat Rayyan.
            “Shima... aku nak tanya sesuatu ni.”
            Shima memandang wajah Rayyan yang berkerut dan resah. Wajah Rayyan kala ini bagaikan dikejar seseorang. Tapi siapa? Setahunya Emma masih lagi tidak menyambung kembali semester ini. Dia pelik dengan tingkah Rayyan.
            “Tanya la.”
            “Kenapa Emma tak jawab phone dia? Aku call dia dari minggu lepas lagi tapi satu pun dia tak angkat.”
            Shima memandang Rayyan. Hatinya terdetik untuk mengetahui mengapakah Rayyan mahu mencari Emma. Setahu dia Rayyan memang tidak sukakan Emma.
            “Kenapa tiba-tiba call dia? Bukan ke kau tak suka dia ke?”
            Rayyan senyap. Dia tahu salahnya kerana mempamerkan kebencian terhadap Emma. Kini dia sengsara. Dia resah apabila Emma tidak lagi mahu menelefonnya. Dia sunyi tanpa Emma di sisi. Kini baru dia sedar bahawa dia mula sukakan gadis itu. Dia mula menyimpan rasa terhadap gadis itu. Dia mula rindu untuk dikejar gadis psiko itu.
            “Emma tak masuk lagi sem ni. Entah sampai bila dia nak extend.”
            Mata Rayyan membulat.
            “Extend? Kau tak pernah nak bagitahu aku pun. Kalau macam tu, jom kita cari dia dekat rumah.”
            Shima memandang Rayyan yang seakan gila talak itu.
            “Emma yang tak nak bagitahu yang dia extend. Kalau nak pergi rumah dia pun okay juga. Rumah dia dekat-dekat area kampus kita ni je. Dekat je. Lagipun aku pernah pergi rumah dia hari tu.”
            Rayyan mengangguk. Kalau boleh saat itu juga dia mahu terbang ke rumah Emma.

*****

Banglo dua tingkat itu direnung seketika. Rayyan dan Shima teragak-agak hendak menekan loceng. Mereka berpandangan sesama sendiri. Saling tunding-menunding sesama sendiri agar menekan loceng. Mujurlah mama Emma datang membukakan pintu pagar setelah menyedari ada yang datang bertamu di rumahnya.
            “Assalamualaikum aunty.”
            Shima menyalami tangan mama Emma. Wajah mama Emma kelihatan sayu dan seakan baru lepas menangis.
            “Waalaikumussalam, Shima. Kenapa datang ni?”
            Shima tersenyum. Rayyan sudah berdehem. Mungkin mahu mengingatkan Shima bahawa dia tidak keseorangan di situ.
            “Aunty, ni saya kenalkan Rayyan. Kawan saya.”
            Rayyan menganggukkan kepala kepada mama Emma dan tersenyum. Kemudian, mama Emma menjemputnya masuk ke dalam rumah. Rayyan dan Shima mengambil tempat di atas sofa di ruang tamu yang sederhana luasnya itu.
            “Ya, ada apa nak datang bertandang ke rumah aunty ni Shima, Rayyan?”
            Rayyan berdehem. Tidak tahu mana untuk memulakan. Rasa malu untuk menyatakan kedatangannya hanyalah untuk menjenguk Emma yang sudah lama tidak ditemui. Melihat keadaan Rayyan yang segan tak bertempat Shima memulakan bicara.
            “Aunty, sebenarnya kami datang nak jumpa Emma. Dah lama tak nampak dia. Lagipun sem baru dah buka. Jadi kami nak tahu la keadaan Emma sekarang.”
            Ucapan yang baru sahaja terlahir di bibir Shima membuatkan mama Emma menitiskan air mata. Shima kaget. Rayyan terkedu. Kemudian, mama Emma mengesat air matanya. Dia menarik nafas dalam.
            “Marilah, aunty bawa kamu pergi jumpa Emma.”

*****

            Rayyan berteleku di situ. Shima dan mama Emma sudah berangkat meninggalkannya. Dia merenung tanah yang masih lagi merah. Dia senyap. Tak sangka Emma begitu menderita selama ini. Ya, dia sudah berjumpa dengan Emma. Kalaulah dia tahu Emma sakit, takkan sanggup dia menuturkan kata-kata yang mengguris hati Emma tempoh hari. Surat yang diserahkan oleh mama Emma dibuka dan dibaca berulang-ulang kali. Ada nada sendu di dalam surat itu.
            “Maafkan Ray, sayang.”

Assalamualaikum Rayyan.
Mungkin warkah ini adalah warkah terakhir yang mampu Emma titipkan buat Ray. Maaf jika kehadiran warkah ini menganggu gugat perasaan Ray. Emma minta maaf jika ada salah silap Emma kepada Ray. Emma harap Ray dapat maafkan ketelanjuran Emma dalam mengejar cinta Ray. Ray tahu kan, Emma obses dengan Ray. Cuma apabila Ray katakan bahawa Ray sudah ada yang punya, Emma mengalah kerana Emma tahu bahawa cinta takkan terjadi kalau sebelah pihak sahaja yang beria-iya.
Ray,
Walau apapun yang terjadi, Emma dah maafkan Ray dan Emma amat berharap, Ray maafkan Emma. Lagi satu, boleh tak Ray penuhi permintaan kecil Emma ini? Emma harap Ray sudi sedekah Al- Fatihah kepada Emma setiap kali lepas solat. Itu sahaja permintaan Emma yang terakhir. Harap Ray sudi tunaikan.
Emma nak Ray tahu yang Emma sayangkan Ray. Jaga diri elok-elok dan berbahagialah selalu.
Yang tulus mencintaimu,
Emma Liliana

***** Tamat*****
P/s: Cerpen untuk memeriahkan blog. Harap terhibur. 
            

Siapakah Kekasih Hatiku? 22

Saturday, June 23, 2012

BAB 22

AKU mengenakan kebaya labuh berwarna biru muda. Sengaja kulilitkan selendang berwarna senada. Alan pula segak berbaju Melayu berwarna sedondon. Aku agak terkejut apabila Alan membelikan baju berwarna sedondon semata-mata hendak ke majlis kahwin Misya. Terharu pun ada. Kasih sayang Alan semakin menyuburi rumah tangga kami. Aku bersyukur. Perubahan Alan membahagiakan aku.

Aku membetulkan butang baju Melayu Alan. Haruman badan Alan menusuk hidungku. Segar dan wangi. Aku seakan asyik dengan harumannya. Kucupan didahiku menyedarkan aku dari terus hanyut dari menikmati haruman badannya. Aku mendongak. Alan tersenyum.

‘Aku segan betul la dalam situasi romantik-romantik ni. Aku bukanlah romantik sangat. Dulu aku mengada-ngada pun sebab nak pikat Alan.’

“Abang rasa kita tak payahlah pergi kenduri Misya. Duduk dalam bilik pun okay jugak.”

Alan tersengih-sengih. Aku membulatkan mata tanda terkejut mendengarkan apa yang keluar dari mulutnya. Kebelakangan ini, Alan sering sahaja mencari ruang untuk bermanja-manja denganku. Bukan aku tak tahu, perancangannya berbulan madu itu. Beberapa kali dia menunjukkan beberapa jenis brochure kepadaku dan menyuruh aku memilih sama ada mahu ke dalam atau ke luar negara sebagai tempat percutian kami. Namun, aku lebih suka menyerahkan semua itu kepada Alan. Dia lebih tahu.

‘Dah mula buat perangai gatal tak habis-habis.’

Aku membetulkan selendang. Kemudian aku menuju ke pintu. Tangan Alan yang entah bila melingkari pinggang, aku leraikan. Alan, tangan kalau tak merayap, memang tak sah.

“Abang duduk la dalam bilik sorang-sorang. Tia nak pergi kenduri Misya.”

Sempai kucapai beg tangan sebelum keluar. Alan tersenyum lantas membuntutiku. Sesekali kedengaran dia merungut. Aku hanya menahan tawa. Sudah macam mak cik-mak cik sahaja suamiku ini. Bukan main lagi merungut.

“Abang nak manja-manja sikit pun tak boleh.”

 Alan merungut. Aku hanya tersenyum.

            “Abang bermanja tak kena masa.”

            Aku ketawa selesai menuturkannya. Alan memimpin tanganku dan aku hanya membiarkan. Kami berlalu menuju ke kereta. Tak sabar benar aku hendak melihat Misya bersanding.

*****

MISYA kelihatan anggun dengan busana kebaya yang diperbuat daripada songket berwarna emas. Di sampingnya, suaminya. Aku tak jelas siapa lelaki itu, namun seperti pernah kulihat. Lelaki itu sedang membelakangi aku.

‘Siapa dia?’

Aku tertanya-tanya. Aku berjalan mendekati Misya yang sedang asyik melayan tetamu. Bahunya aku cuit.

“Misya. Tahniah.”

 Aku menegur Misya. Alan setia di sebelahku. Alan hanya tersenyum melihat aku dan Misya berpelukan. Maklumlah  kami kan sudah lama tak berjumpa.  Pelukan dileraikan. Aku berpaling ke arah pengantin lelaki. Ya Allah! Hakim?

Misya melihat aku terlopong memandang Hakim. Mengapa dengan Hakim? Bukankah Hakim hangat bercinta dengan Intan? Adakah aku yang ketinggalan zaman? Pelbagai persoalan muncul di fikiranku di saat ini.

“Hakim? Kau...”

Kata-kataku terhenti di situ. Hakim tersenyum. Alan berjabat tangan dengan Hakim.

“Tia, lama tak jumpa. Makin berseri kau sekarang. Ni husband kau ek?”

 Hakim menegur aku. Aku tersenyum. Hakim menghulurkan tangannya kepada Alan. Mereka berjabat tangan. Alan tersenyum memandang Hakim.

“A’ah hakim. Ni husband aku.  Aku masih lagi dalam keadaan terkejut. Kau dan Misya?”

 Hakim tertawa. Misya pula tersipu-sipu malu. Hakim menarik Misya rapat ke arahnya.Takut benar Misya lari. Aku tahulah mereka raja sehari. Aku menyeringai. Wajah Misya sudah pun merah padam lantaran perbuatan lepas laku Hakim. Malu mungkin.

“Nantilah aku cerita. Sekarang ni kau kena kenalkan aku dengan lelaki yang boleh curi hati kau ni. Setahu aku dulu, kau bukan main lagi keras hati dengan lelaki.”

 Hakim berseloroh sambil mengimbau kembali kenangan lalu.  Diri aku yang begitu keras dengan lelaki suatu ketika dahulu. Ego yang menghalang diriku dan Fairuz bersatu dahulu. Ego itu aku runtuhkan sedikit demi sedikit buat lelaki bernama Tengku Alan Hafiz.

“Ni suami aku, Alan. Kami dah ada seorang anak pun tapi tak bawak. Mama nak main dengan cucu dia.”

 Aku memperkenalkan Alan secara rasminya kepada Hakim dan Misya. Alan tersenyum memandangku.

“Alan ye. Bertuah la dapat si Tia ni. Dulu time belajar, payah benar nak layan lelaki. Ingatkan dah tak kahwin la dia ni sampai ke tua. Alih-alih dia yang makan nasi minyak dulu, siap ada anak sorang lagi.”

Misya mula mengusik aku. Aku sudah tersipu-sipu malu. Alan pula ketawa. Dia seakan berminat mengetahui kehidupan aku ketika belajar dulu.

“Betul ke? Tak tahu pula. Sebab Tia ni nampak biasa je.”

Alan menjeling ke arahku. Aku tunduk malu. Mereka bertiga tertawa. Mesra sekali.

“Kalau nak sembang banyak lagi, tunggu kitorang habis bulan madu nanti ye. Sekarang ni, pergi makan dulu. Sedap lauk tu, mak aku dan jiran tetanggayang masak.”

 Misya berseloroh. Aku dan Alan hanya menurut. Hakim dan Misya kemudiannya berlalu ke dalam rumah bagi menyalin persalinan baru.

*****

LAMA juga aku berada di majlis perkahwinan Misya. Beramah mesra dengan Misya dan juga Hakim membawaku kembali ke zaman belajarku dulu. Aku seakan lupa status diriku. Kini, aku berada di dalam kereta bersama Alan. Lagu-lagu dari pendriveku mengiringi perjalanan kami ke rumah.

Aku hanya melayan perasaan. Terkenang kembali setiap detik yang aku habiskan bersama Misya, Hakim dan juga Intan. Bercakap mengenai Intan, entah di manakah dia menghilang? Misya dan Hakim langsung tak bercerita mengenai Intan. Apabila ditanya, dia hanya diam atau cuba mengubah tajuk. Aku pelik. Deheman Alan menyedarkan aku dari lamunan yang panjang.

“Jauh termenung.”

Alan menegur. Aku tersenyum nipis. Aku membetulkan duduk. Sakit sudah tulang belakangku.

“Hmm.. teringat zaman belajar dulu.”

Aku memulakan. Alan seakan berminat untuk mendengar.

“ ... Misya dan Hakim selalu temankan Tia. Kitorang selalu bergurau, buat kerja sama-sama.. tak sangka pula diorang kahwin.”

Aku tergelak sedikit. Alan tersenyum sambil meneruskan pemanduannya.

“So, dulu Tia macam mana orangnya? Abang teringin nak kenal Tia. Dulu abang tak berpeluang kenal dengan Tia.”

Aku tersenyum mendengar bait bicara Alan. Tak berpeluang kenal?

“Macam yang abang dengar Hakim cakap tadi. Keras hati dengan lelaki. Maksud Tia, lelaki tu kawan saje. Tak lebih dari itu.”

Aku menjelaskan. Kulihat Alan mengerutkan kening. Seakan tak percaya dengan apa yang didengari tadi.

“Oo, tapi...”

Belum sempat Alan menghabiskan kata-kata aku sudah memintas.

“Tapi abang tak nampak Tia macam tu kan. Tia tahu. Dulu Tia dah janji dengan diri Tia, yang kalau Tia dah kahwin, Tia nak bagi hati Tia pada suami Tia.”

 Tenang aku menuturkannya. Alan hanya diam. Aku tak pasti perasaan apakah yang sedang melanda hatinya kala ini. Yang pasti, aku mahu dia tahu aku cintakan dia. Aku mengeluarkan pendrive. Kali ini aku mencari siaran radio. Bosan apabila mendengar lagu yang sama diulang-ulang di dalam kereta.

Perjalanan diteruskan dengan alunan lagu dari corong radio. Celoteh deejay radio hanya sekadar masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Keadaan itu berterusan sehingga kami tiba di rumah.

*****

PERKAHWINAN Misya dan Hakim telah berlangsung dengan meriah. Sejak balik dari majlis perkahwinan Hakim dan Misya, Alan sering bertanyakan aku perihal diriku. Apa yang aku suka, apa yang aku benci.  Aku sedia menjawab setiap soalannya sehinggakan dia sanggup mengusung album-album lamaku dari rumah mama semata-mata mahu mengenali setiap seorang rakanku. Jadi aku turutkan sahaja.

Biasanya hari sabtu, kami berdua akan duduk di depan televisyen sambil membelek album-album lama. Iza? Biasanya Iza akan aku tidurkan dulu ataupun bonda akan datang mengambilnya. Bonda kerap bermain dengan Iza. Rindu dengan cucunya seorang itu.

Sekarang aku bersama Alan di ruang tamu rumah kami. Sedang membelek album lamaku yang sudah berkurun tak dibuka. Bukan album sahaja, malah majalah sekolah pun dia angkut sekali ke rumahku ini. Pelik benar perangai suamiku ini.

“Ni siapa?” 

Jari telunjuk Alan mengarah ke arah gambar lelaki yang berada di sebelahku. Gambar yang ditangkap ketika usiaku menginjak ke tujuh belas tahun. Tahun aku menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia.

“Shahrizal Fareez Stevenson. Takkan abang tak kenal?”

Aku pelik. Shah kan sepupu dengan Alan.  Masakan Alan tidak mengenali sepupunya sendiri.

“Setahu abang, tak ada seorang pun adik beradik bonda dan papa kahwin campur.”

Jawapan Alan menyebabkan aku terkedu. Bukankah Alan dan Shah merupakan sepupu. Takkan Shah membohongi aku.

“Really? Abang tak silap ke ni?”

Aku bertanya sekali lagi. Aku mahukan kepastian  Aku sangkakan Alan bergurau namun riak wajahnya tak menampakkan dia bergurau. Aku mengerutkan kening. Tak sangka Alan langsung tak mengenali Shah. Jadi bagaimana Shah boleh mengenali Alan dengan begitu baik sekali? Sehinggakan dapat menghidu kepincangan rumah tanggaku suatu ketika dahulu? Bagaimana? Aku musykil.

‘Jadi siapakah Shah sebenarnya?’

P/s: Dah lama kan Hazel tak post SKH... Harap ada yang menunggu kisah ini. Hazel minta maaf sebab tak selalu update.. Sorry ya.. 

Miskinkah cinta itu? 13

Sunday, June 3, 2012
Bab 13
Aku memerhatikan air akar kayu yang baru diletakkan di atas meja kopi di rumahku. Baru sahaja sebentar tadi Elin dan Khairul datang memberikan aku air akar kayu untuk diminum. Mulanya aku mahu menolak, namun Elin dan Khairul menyuruh aku menerimanya agar tidak mengecilkan hati emak.
            “Mak minta kakak minum air ini untuk kesihatan kakak.”
            Masih terngiang-ngiang kata-kata Elin di cuping telingaku. Aku masih tidak mengerti dengan sikap emak yang kadangkala terlalu memaksa aku untuk menuruti kehendaknya. Aku sedikit buntu di situ. Sikap memaksa emak membuatkan aku jadi takut. Takut jika ada rancangan tersembunyi emak terhadap diriku. Atau, akukah yang terlalu berburuk sangka dengan keprihatinan emak? Aku tidak pasti soal itu.
            Aku meletakkan air akar kayu itu di dapur. Sengaja aku biarkan tanpa meneguknya. Risau jika air akar kayu itu memberikan kesan sampingan terhadapku. Aku tahu, pengambilan herba secara tidak terkawal akan menyebabkan toksik dalam badan. Aku risau jika diambil secara berterusan, toksik itu akan meracun badan dan membahayakan kesihatan.
            “Intan …”
            Kedengaran suara Izwan menjamah gegendang telingaku. Aku memandang Izwan. Segaris senyuman aku hadiahkan untuknya. Dia mengusap tanganku.
            “Fikirkan apa? Dari tadi abang tengok Intan termenung.”
            Aku menggeleng perlahan. Malas mahu menceritakan mengenai air akar kayu yang emak kirimkan kepada aku tadi. Aku tidak mahu Izwan  risau mengenai aku lagi. Cukuplah dengan penat di tempat kerja. Tidak perlulah aku membebankan dia dengan masalah-masalah yang tidak patut difikirkan sekarang.
            “Tak ada apa-apalah. Cuma biasa sahaja. Rasa tak sedap badan kot.”
            Aku tergelak sambil menuturkannya. Ya, memang aku rasa tidak sedap badan dua tiga hari ini, ditambah pula dengan mimpi-mimpi ngeri yang menganggu lenaku setiap malam.
            “Tak sedap badan? Intan demam ya?Atau baby kita nakal-nakal dalam ni?”
            Izwan mengusik. Aku sudah tergelak memandang wajah Izwan yang begitu ceria apabila berbicara mengenai anak kami. Dia memang layak menjadi ayah kepada anak ini. Aku tak perlu sangsi kerana aku tahu dia memang lelaki yang ditakdirkan buat aku. Cuma sekarang aku risau mengenai sikap emak yang tidak habis-habis cuba merosakkan mahligai yang kami bina.
            ‘Intan harap emak akan sedar dengan sikap emak terhadap kami.’
*****
Aku sendirian di tempat gelap. Kelihatan ular-ular hitam dan bersaiz besar berada di sekeliling aku. Ular-ular itu tidak mematuk namun ia bergerak di sekeliling aku. Aku ketakutan. Dalam hati aku mahu menjerit meminta pertolongan, namun aku tahu itu semua kerja sia-sia. Aku sendirian di ruang itu tanpa ditemani siapa-siapa. Ruangan gelap itu tidak memungkinkan aku untuk menemui jalan keluar dari tempat mengerikan itu. Beberapa kali aku tersadung akibat terlanggar kayu dan batu. Suara-suara seram menyelubungi tempat itu. Aku takut.
            “Kenapa lari? Takut ya?”
            Suara-suara seram itu bergema. Aku menggigil ketakutan namun kakiku masih lagi berlari. Sudah tidak aku pedulikan mengenai kaki tanganku yang luka dek kerana tersadung berkali-kali. Aku berlari dan terus berlari, sehinggalah aku menemukan satu pintu kayu yang besar. Aku mendekati pintu itu. Perlahan aku membukanya. Mungkin aku boleh mencari tempat berlindung di sebalik pintu itu. Baru sahaja aku melangkah, aku terjatuh. Badan aku terasa melayang-layang.
            “Abang! Tolong!”
            Aku tersedar dari tidur. Peluh merenik di dahiku. Izwan sedang mengurut belakangku. Mungkin cuba menenangkan aku. Aku memandang Izwan. Kasihan dia yang terjaga kerana aku. Aku memandang Izwan dengan pandangan yang berkaca. Aku tahu saat ini, bila-bila masa sahaja air mata sejernih kristal ini akan mengalir menuruni pipi.
            “Shhh... jangan takut, abang ada ni.”
            Izwan cuba menenangkan aku. Air mata yang sudah meleleh di pipi diseka oleh Izwan. Aku sudah teresak-esak. Kebelakangan ini mimpi-mimpi ngeri selalu menjadi penghias malam aku. Mujurlah malam ini Izwan tidak ada urusan kerja di luar, jika tidak pasti aku akan ketakutan sendirian di kamar beradu kami ini.
            “Dah... dah... Jom tidur ya. Jangan takut, abang temankan Intan. Abang takkan ke mana-mana.”
            Aku tahu Izwan mahu bertanyakan mengenai mimpi itu kepadaku, namun dia takut jika pertanyaannya itu akan membuatkan keadaanku semakin kronik. Jadi perasaan ingin tahu dia simpan dalam hati. Lama-kelamaan pandangan mataku semakin layu dan entah bila aku tertidur dalam pangkuan Izwan.
*****
Dapat aku rasakan bebola mata Izwan mengikut sahaja ke mana sahaja aku melangkah. Aku rasa tidak selesa. Aku tahu Izwan mahu mengetahui apa mimpiku semalam sehingga menyebabkan aku terjaga dari tidur. Aku sedikit tak selesa dengan tingkah laku Izwan yang agak senyap. Ya, salah satu sifat Izwan yang aku rasa tidak selesa adalah dia akan senyap dan memerhatikan aku jika dia mahu tahu sesuatu yang aku rahsiakan. Ya, dia tidak akan memaksa. Cuma dia akan mendera aku dengan pandangan yang tajam.
            “Abang, kenapa tengok Intan macam tu?”
            Sengaja aku bertanya kepada Izwan. Izwan mengalihkan pandangan matanya ke arah surat khabar yang dipegangnya tadi. Surat khabar itu kemudian dilipat dan diletakkan di atas meja kopi di hadapan televisyen. Kopi pekat yang baru sahaja aku letakkan di atas meja itu diambil dan disisip sedikit. Dengan cermat dia meletakkan cawan di atas meja. Aku sekadar memerhatikan apa yang dilakukan oleh Izwan.
            “Intan tahu kan apa yang abang nak tahu.”
            Aku senyap apabila Izwan mula berbicara seserius itu. Dia memang ingin tahu mengenai mimpi ngeri itu dan dia benar-benar maksudkannya. Aku memandang ke arah lain. Tidak mampu untuk memandang matanya. Kalau ikutkan hati, aku tidak mahu dia risau akan diriku ini.
            “Intan, abang masih menunggu ni.”
          Aku tersenyum pahit. Entah mengapa aku seakan berat hati hendak memberitahu akan mimpi itu? Pandangan mata Izwan seakan memaksa aku membuka mulut. Aku melepaskan keluhan. Perlahan namun kukira dapat didengar oleh Izwan. Mataku memandang tepat ke arah Izwan.
            “Intan mimpi ngeri malam tadi.”
            Aku menghela nafas. Cuba untuk merangka-rangka ayat agar ceritaku tidak tersangkut-sangkut. Dia masih mendengar. Sesekali dia menyisip kopi yang kukira semakin sejuk di atas meja. Kemudian aku menyambung.
            “Intan mimpi banyak ular dan Intan jatuh dari tempat tinggi,” terang aku secara ringkas.
            Mata Izwan membulat. Izwan memandang aku dengan pandangan yang tidak percaya.  Jelas terpancar kerisauan di wajahnya dan aku tahu aku akan disoal siasat selepas ini.
            “Dah lama ke Intan dapat mimpi macam ni?”
            Perlahan aku mengangguk.  Izwan menghela nafas. Mungkin berkecil hati dengan sikapku yang tidak berterus-terang dengannya.
            “Abang, Intan minta maaf. Mula-mula Intan ingat ini semua mimpi biasa, tapi kebelakangan ini mimpi ngeri tu makin kerap Intan dapat.”
            Izwan bangkit dan duduk di sebelahku. Dia mengusap kepalaku.  Dia senyap dan ini membuatkan aku sedikit resah. Aku tahu ada benda yang direncanakan dalam pemikirannya itu. Aku pasti.
            “Abang rasa Intan kena pergi berubat. Mesti ada yang tak kena dengan Intan ni. Abang tahu mungkin Intan akan sangka abang berfikir yang bukan-bukan, tapi abang rasa macam ada orang yang nak runtuhkan rumah tangga kita ni dengan cara halus.”
            Aku tersentak. Betulkah apa yang Izwan fikirkan itu? Dalam hati aku cuba memikirkan siapakah orang-orang yang mungkin berniat jahat terhadap kami berdua. Namun, fikiran aku asyik menghala ke arah emak.
            ‘Takkanlah emak sanggup nak bomohkan anak sendiri. Aku takkan percaya!’
*****

P/s: Entri untuk minggu ini. Insya-Allah akan mula mengupdate dengan aktif hujung bulan ni. Apapun selamat membaca ya! ^^v

Miskinkah cinta itu? 12

Wednesday, May 23, 2012

BAB 12

Seminggu sudah berlalu selepas peristiwa itu. Izwan agak kecewa dengan sikap emak yang bertindak untuk mengapa-apakan aku dan bayi dalam kandunganku ini. Hati aku pedih kala itu. Izwan sudah berputus asa dengan sikap emak yang langsung tidak mahu berkompromi dengan kami. Emak masih ego dengan sikapnya. Sebetulnya Izwan ingin membuat laporan polis atas tindakan emak yang agak melampaui batasan kemanusiaan. Namun, tidak sampai hati pula aku untuk membiarkan emak terlibat dalam hal ini. Walaupun apa yang emak lakukan itu agak melampaui batasan, aku seharusnya lebih bersabar. Aku yakin, doa orang-orang teraniaya adalah lebih mustajab. Aku harap emak akan sedar akan tindakannya yang melampau itu.
            “Abang rasa Intan tak perlulah jumpa dengan emak lagi sampai selamat lahirkan anak tu.”
            Aku tersentak. Hatiku tertanya-tanya. Mengapakah Izwan membuat keputusan yang drastik itu. Adakah tindakan emak tempoh hari melukakan hati lelakinya? Aku mendekati Izwan yang sedang berdiri menghadap balkoni di kamar kami. Buku yang sedang dipegang aku letakkan di atas katil. Aku menyentuh lengan Izwan. Wajahnya sedikit berkerut.
            “Abang? Kenapa abang buat keputusan macam ni? Kan kita dah janji akan sabar dengan kerenah emak.”
            Aku memandang wajah Izwan yang tidak beriak. Nampaknya Izwan semakin tekad. Izwan yang berdiri di hadapan aku ini bukanlah Izwan yang aku kenali dulu. Dia nampak tegas dan tidak akan berubah pendiriannya apabila dia membuat sesuatu keputusan.
            “Ya, memang abang dah janji dahulu tapi itu sebelum emak buat Intan macam tu. Intan sedar tak yang emak cuba bahayakan Intan dan anak kita?”
            Aku terdiam. Ya, memang betul apa yang dikatakan oleh Izwan. Memang emak cuba mencederakan aku tapi mungkin emak tidak sengaja. Aku cuba berfikiran positif, tapi hati aku tidak menolak bahawa emak memang berniat untuk mencederakan aku.
            “Abang takkan maafkan emak jika ada sesuatu yang tidak elok berlaku pada Intan.”
            Aku senyap. Izwan memang terlalu risaukan aku. Sejak menjadi isteri Izwan, aku sentiasa gembira. Dia sentiasa ada untuk aku dan selalu melindungi aku dari terluka. Patutkah aku berterima kasih dengan emak kerana memaksa aku berkahwin dengannya dahulu? Ya, aku patut berterima kasih dengan emak kerana menjodohkan aku dengannya.
            “Tapi abang, kalau emak tak terima pinangan abang dulu, mesti abang tak kahwin dengan Intan kan?”
            Mata Izwan mencerlung ke arahku. Aku tahu dia tidak sukakan apabila aku berbicara mengenai awal perkahwinan kami. Segera aku meminta maaf padanya.
            “Nampaknya banyak yang Intan tak tahu mengenai mak,” tutur Izwan perlahan.
            Serta-merta aku mendongak memandang Izwan.
            “Apa maksud abang sebenarnya?”
*****
Aku terduduk. Sama sekali tidak menyangka bahawa emak sanggup memperlakukan aku sedemikian rupa. Izwan memelukku. Aku sudah menangis teresak-esak. Aku memang terluka saat ini. Sangat terluka apabila harga diri aku murah pada pandangan emak.
            “Intan tak sangka emak akan buat Intan macam tu.”
            Izwan sudah mengusap ubun-ubunku. Mungkin itu salah satu cara untuk menenangkan hati aku yang sudah remuk ini.
            “Abang dah selamatkan Intan. Intan jangan risau lagi.”
            Jari Izwan mengelus pipiku dan mengesat air mata yang mengalir di pipiku. Aku tersedu-sedan menangis. Izwan masih lagi berusaha menenangkan aku.
            “Abang, kalaulah rancangan emak tu berjaya, agak-agaknya apa yang jadi pada Intan sekarang ya abang?”
            Mulutku mula menuturkan apa yang bermain di fikiranku kala itu. Izwan menutup mulutku dengan telapak tangannya. Aku tahu, itu tandanya dia tidak mahu mendengar kemungkinan-kemungkinan yang tidak baik daripadaku. Jauh di dasar hati, aku bersyukur kerana Izwan menjadi hero dalam kisah hidup aku. Aku sangat bersyukur.
            “Rancangan emak takkan berjaya selagi abang ada di sisi Intan. Intan akan selamat. Kita akan hidup bahagia dengan anak yang bakal lahir ini nanti.”
            Aku mengangguk perlahan. Tangan Izwan masih berada di pipiku. Aku tersenyum tawar. Izwan benar-benar terasa dengan tindakan emak terhadap aku. Namun, jauh di sudut hatiku, tindakan emak seolah-olah menjangkaui batasan kemanusiaan.
            “Abang, jom pergi makan.”
            Wajah Izwan berkerut. Dia memandang tepat ke arah wajahku.
            “Kan tadi sayang dah makan piza? Takkan lapar lagi?”
            Aku memuncungkan mulut. Izwan menarik muncungku. Aku mengaduh kesakitan. Kemudian Izwan sudah mengelabah apabila ekspresi wajahku yang menahan kesakitan.
            “Sorry.. Sorry. Abang tak sengaja.”
            Aku mencebik. Izwan sudah menyentuh bibirku yang ditarik tadi. Aku tersenyum nakal. Berjaya juga aku mengenakan Izwan. Izwan mencubit pipiku yang semakin tembam ini. Kemudian dia menarik tanganku.
            “Nak pergi mana?”
            Aku bertanya hairan. Dia tersenyum
            “Nak pergi makan. Tadi Intan kata lapar kan. Jom makan. Abang rasa nak masakkan sayang spagetti.”
            Aku menuruti langkah Izwan menuju ke dapur. Sungguh saat ini perasaan bahagia itu meresap dalam jiwa menggantikan perasaan sedih tadi.
            ‘Intan sayang abang selamanya.’
*****
SEDARI tadi, telefon bimbitku tidak berhenti berdering. Panggilan telefon daripada emak tidak kuangkat lantaran terasa hati dengan perbuatan emak yang lalu. Namun, lama-kelamaan kuangkat juga telefon bimbit itu. Panggilan emak aku sambut. Suara emak sudah meninggi. Aku tahu emak tidak suka dilayan sebegitu. Aku tahankan sahaja semua perasaan sakit dalam hati.
            “Hah! Baru berangkat telefon kamu ni. Mak ingat dah masuk laut telefon kamu ni. Tak reti-reti ke nak angkat telefon.”
            Aku tersentap. Emak masih lagi membebel di hujung telefon. Aku tahu, tidak wajar untuk aku meperlakukannya sedemikian rupa. Namun, sikap emak semakin menjadi-jadi semenjak mengetahui bahawa aku tidak meminum minuman akar kayu yang diberinya tempoh hari.
            “Buat penat je mak minta air akar kayu tu dari bidan kampung, kamu senang-senang saja buang air akar tu. Yalah, mak tahu kamu dah dapat laki kaya, buat apa lagi nak minum minuman akar kayu tu kan. Baik cari ubat moden. Lagi bagus kan?”
            Aku sedar ada sedikit perlian di situ, namun aku hanya menadah telinga mendengarnya. Izwan tidak membenarkan aku berjumpa dengan emak sendirian. Dia risau jika aku diapa-apakan oleh emak.
            “Abang Izwan tak buang air tu mak. Abang simpan sebab kalau kakak minum air tu, badan kakak jadi lemah. Sebab tu abang Izwan tak bagi kakak minum air tu.”
            Aku mempertahankan Izwan. Emak dari dahulu lagi tidak menyukai Izwan. Aku tidak pasti mengapa. Padahal dulu, emak yang beria-ria mahu aku menjadi isteri Izwan, namun sekarang lain pula jadinya. Setelah aku berbahagia dengan Izwan, emak seakan-akan tidak suka aku berbahagia dengan Izwan. Terlalu buruk sangkakah aku?
            “Mak, jangan buat kakak macam ni. Kakak bukan tak nak minum air tu, cuma kakak rasa badan kakak masih lagi kuat walaupun tak minum air akar tu.”
            Aku cuba berdalih. Emak seakan-akan cuba memaksa aku untuk meminum air akar kayu itu. Aku sedikit hairan dengan sikap emak yang terlalu memaksa aku atas alasan demi kebaikan aku.
            “Mak tak kira! Sekarang ni, emak nak kakak ambil dan minum air akar kayu itu. Cuba hargai sedikit apa yang emak dah buat ni.”
            Telefon dimatikan usai emak menuturkan kata-kata berbaur amaran. Sehingga kini, aku masih lagi tidak mengerti mengapa emak beria-ria menyuruh aku meminum air akar kayu itu. Emak bagaikan memaksa. Sudahnya aku mati kutu di situ. Mahu mengikut kata emak, Izwan sudah melarang. Takkan aku mahu menderhaka pada suami? Bukankah taat pada suami adalah satu kewajipan pada suami?
            ‘Maafkan kakak, mak. Kakak perlu ketepikan permintaan emak yang kecil itu kerana Izwan.’
*****

P/s; Dah lama tak postkan entri di sini. Harap masih ada yang sudi membaca. Sebarang komen dan kritikan membina amatlah dihargai agar Hazel tak syok sendiri menulis. Ha-Ha