Followers

Miskinkah Cinta Itu? 10ii

Tuesday, February 28, 2012
AKU memerhatikan alat ujian kehamilan itu. Lama aku tenung untuk memastikan apa yang aku lihat adalah benar dan bukan halusinasi semata. Ketukan di pintu menyedarkan aku dari lamunan. Suara Izwan yang kedengaran risau sudah mula mencuri perhatianku.
            “Sayang … ok tak ni? Kenapa lama sangat kat dalam tu?” laung Izwan dari luar.
            Perlahan pintu bilik mandi aku buka. Wajah Izwan menyambutku di hadapan pintu. Aku tersenyum sumbing. Dia mengerutkan kening. Alat ujian kehamilan aku yang pegang sudahpun berada dalam genggaman Izwan.
            “Sayang… betul ke yang abang nampak ni?”
            Aku tersenyum seraya mengangguk sedikit.Segera Izwan memeluk dan mengucup pipiku bertalu-talu.
            “Dah lama abang tunggu saat ini. Esok kita ke klinik ya, abang rasa kita perlu buat check up untuk sahkan berita gembira ini.”
            Izwan sungguh gembira sehinggakan dia tidak boleh duduk diam sahaja. Aku tersenyum  melihat telatahnya.
            “Nanti, kalau sayang ada terasa nak makan apa-apa sayang bagitahu abang tau. Abang sanggup carikan untuk sayang.”
            Dia mula mengusap-ngusap perutku yang masih kempis itu. Aku memandang Izwan yang ralit bercakap dengan bakal bayi kami yang kononnya sedang menghuni rahim aku. Namun, aku risau jika keputusan pemeriksaan esok tidak seperti yang kami harapkan. Aku amat berharap keputusan ujian esok adalah sama dengan keputusan ujian pada malam ini.
            “Sudahlah abang. Intan rasa kita ni tak solat Isyak lagi. Jom kita solat berjemaah.”
            Aku mengajaknya untuk solat berjemaah.
            “Jom sayang. Abang pergi ambil wudu’ dulu ya.”
            Aku  duduk di birai katil sambil memerhatikan Izwan yang sudahpun melangkah ke bilik mandi untuk mengambil wudu’.
            ‘Intan sayangkan abang dan bakal anak kita.’

*****
IZWAN menemani aku pagi ini. Katanya dia ingin senantiasa menemani aku untuk menjalani rawatan di klinik untuk mengetahui setiap perkembangan yang bakal aku lalui sepanjang kehamilan. Wajah tenang Izwan yang aku kagumi selama ini hilang apabila melibatkan aku dan bakal anak kami. Sibuk pula dia mengingati segala pesan doktor mengenai pemakanan untuk wanita hamil. Malah, banyak yang ditanyanya mengenai kehamilan dan cara penjagaan wanita hamil. Aku sekadar tersenyum melihat telatah suami aku yang kurasakan begitu obses mengenai kehamilan pertama aku.
            “Sayang nanti kena makan banyak sayur hijau tau. Baik untuk sayang.”
            Aku sekadar mengangguk.  Kemudian Izwan menyambung lagi celotehnya mengenai pemakanan untuk ibu mengandung. Dia kelihatan begitu teruja dengan kandungan pertama ini. Tadi, baru sahaja dia selesai menjelaskan kepentingan asid folik untuk ibu-ibu mengandung. Tak lama selepas itu, kereta yang dipandu oleh Izwan sudahpun berhenti di hadapan sebuah kedai buku. Aku memandang Izwan dengan perasaan hairan.
            “Abang?”
            “Sekejap ya sayang. Abang nak ke kedai buku.”
            Lantas dia terus berlalu keluar dari kereta dan ke kedai buku yang berhampiran. Beberapa ketika dia keluar dari kedai sambil menjinjit satu plastik beg yang aku rasakan mengandungi buku. Dia menghulurkan beg plastik itu kepadaku.
            “Apa ni abang?”
            Izwan sudahpun memegang stereng dan bersedia untuk memandu kereta. Aku membelek-belek buku yang baru sahaja dibeli oleh Izwan. Majalah Pa & Ma dan beberapa buku motivasi serta buku agama. Aku memandang Izwan.
            “Abang rasa sayang perlukan maklumat-maklumat tambahan ni. Penting untuk anak dalam perut dan sayang. Abang nak kita jadi ibu bapa yang lengkap. Kita kena jadi ibu bapa yang berilmu. Dan untuk capai ke arah itu, tak salah kalau kita mulakan sekarang. Perlahan-lahan.”
            Izwan memandang ke arahku yang sibuk membelek buku-buku yang baru sahaja dibelinya tadi.  Dia kembali meneruskan pemanduan. Aku khusyuk menyelak helaian demi helaian majalah Pa & Ma.
            “Sayang ada terasa nak makan apa-apa tak?”
            Aku memandang wajah Izwan. Pelik dengan pertanyaannya. Aku cuba hitung kembali, apa yang aku ingin makan. Namu, perasaan untuk menjamah makanan rasanya tidak ada dalam hatiku kala itu. Sebentar kemudian, kereta Izwan diparkir di tempat parkir kereta berhampiran dengan kedai makan. Restoran Selera Kampung.
            “Abang nak makan masak lemak cili padi daging salai kat sini. Sedap. Sayang nak cuba?”
            Aku memandang Izwan. Takkanlah dia mengidam pula. Aku tersenyum sambil mengikuti langkah Izwan. Ternyata dia memang sedang lapar. Aku mengerling jam di tangan. Sudah melewati pukul dua petang. Patutlah aku rasa lapar.
            ‘Masa untuk makan.’
*****
Kami melangkah masuk ke dalam kedai itu. Wajah Izwan tenang memilih lauk –pauk yang tersedia di dalam buffet line. Aku memerhatikan kalau-kalau ada lauk yang teringin dijamah.  Ketam masak lemak cili api, kailan ikan masin, ayam goreng berempah, ikan cencaru bakar dan pelbagai lauk-pauk terhidang di atas buffet line. Kecur air liurku apabila terpandang lauk-pauk yang tersusun cantik di atas buffet line. Izwan sudahpun mendahului aku. Lauk daging salai masak lemak cili api sudahpun disenduk masuk ke dalam mangkuk berasingan.
            “Intan nak makan apa? Mari sini abang ambilkan.”
            Aku rambang mata. Akhirnya aku memilih untuk menikmati ikan cencaru bakar yang disumbat sambal serta beberapa jenis ulam-ulaman bersama sambal belacan. Dan kami sedang bergerak ke meja di hujung kedai makan itu.
            “Sayang nak minum air apa? No ice please.”
            Aku menjeling ke arah Izwan. Dia seakan mengetahui yang aku amat sukakan ais. Baru sahaja aku ingin memesan milo ais, Izwan sudah memotong.
            “Abang?”
            “No ice please. Minum milo suam atau panas sahaja. Ais tak baik untuk badan. Boleh lambatkan proses penghadaman tau.”
            Aku mencebik. Baru sahaja teringin hendak menikmati milo ais di tengah-tengah hari buta namun kehendakku sudahpun terhalang oleh Izwan. Aku ingatkan kalau aku mengandung semua permintaan aku akan ditunaikan. Nampaknya aku akan dikawal ketat oleh Izwan. Alahai nasib badan.
            ‘Demi anak kita, Intan sanggup berpantang. Terima kasih abang.’
*****
P/s: Dah lama tak post MCI kan, lupakan sekejap kisah Tia dengan Alan.. kita selami pula kisah Izwan dan Intan. Selamat membaca. ^^v

3 comments:

  1. Anonymous said...:

    Bila nk smbung... dah lama tunggu smbungan... :(

  1. Anonymous said...:

    Bila nk smbung... dah lama tunggu smbungan... :(

  1. hurm.. sedang dalam mood mencari idea.. Maaf ya..