Bab 16
AKU terpaku di hadapan pintu bilik itu. Bagaikan fantasi. Bonda menarik aku masuk ke dalam bilik. Aku menurut tanpa sepatah kata. Bonda tersenyum.
“Dulu ni bilik anak perempuan bonda. Alan mesti dah beritahu Tia kan? Pasal dia?”
Aku mengangguk sedikit. Wajah bonda kelihatan tenang. Aku meneliti gambar-gambar Alis yang tergantung di segenap sudut bilik itu. Cantik gayanya. Dari apa yang aku perhatikan Alis sangat suka bergaya dan agak aktif.
Bilik yang berwarna ungu lembut yang dihiasi dengan perabot berwarna putih menarik perhatianku untuk meneroka. Pandangan mataku dihalakan ke arah potret Alis yang digantung di atas kepala katil. Wajahnya memang seiras denganku. Bezanya cuma rambut. Rambut Alis seakan beralun dan berwarna hitam manakala rambutku lurus dan sedikit perang.
“Dah lama bonda tak masuk bilik ni, sejak Tia hadir dalam hidup bonda.”
Aku berpaling apabila bonda kembali bersuara.
“Kenapa bonda tunjuk semua ni pada Tia? Tia tak faham.”
Aku mahu pengertian dari bonda. Aku tak mahu tertanya-tanya lagi. Bonda tersenyum dan mendekati aku. Aku didudukkan di atas katil.
“Bonda nak Tia tahu, walau apa juga yang terjadi, bonda tetap sayangkan Tia. Bukan sebagai menantu tapi Tia dah bonda anggap anak bonda sendiri. Bonda tak mahu Tia sakitkan hati sendiri semata-mata nak jaga hati bonda. Jika perpisahan itu membahagiakan Tia, bonda rela jika Tia jauh dari Alan.”
Aku terkedu. Bonda begitu mengerti perasaanku. Lantas aku memeluk bonda dengan erat.
“Terima kasih bonda.”
Itu sahaja yang terluah dari bibirku. Tiada kata dapat kuungkapkan. Aku terlalu bersyukur mempunyai seorang lagi ibu yang begitu menyayangi diriku ini.
“Tapi..”
Bonda merenggangkan pelukan. Aku menyeka air mataku dengan hujung lengan baju.
‘Nangis pula aku ni. Kan dah cair mekap. Dah tak cantik dah.’
“Tapi apa bonda.”
Bonda tersenyum. Mungkin mukaku agak comot kala ini. muka baru lepas menangis. Buruk betul untuk dipandang.
“Tiap-tiap tahun kita kena bercuti bersama. Bukan sebagai mak mentua dan menantu tapi sebagai anak dan mak. Boleh?”
Bonda mencuit hidungku. Aku malu-malu.
“Ok bonda. Titah bonda akan anakanda turuti.”
Aku bercakap ala-ala bahasa istana. Dan kami berdua tertawa riang.
*****
DEHEMAN Alan di muka pintu bilik menyedarkan aku dan bonda. Alan melangkah masuk ke dalam bilik dan duduk di atas katil. Aku? Kelu. Kusangkakan Alan sedang melayani kerenah Riana di bawah. Tak sangka pula dia datang menjengah ke atas. Melihat aksi aku dan bonda. Bonda seperti ingin memberi ruang buat aku dan Alan, lalu bonda berlalu keluar dari bilik dengan alasan ingin membantu Mak Munah. Mulanya aku mahu menurut namun Alan menghalangku. Ada perkara yang perlu dibincangkan katanya. Kakiku yang mula dihayun keluar dari bilik terhenti.
‘Ada perkara yang perlu dibincang? Cerai kot?’
Lambat-lambat aku berpaling ke arah Alan. Aku yakin yang akan keluar dari mulutnya nanti adalah perihal penceraian. Aku amat yakin.
“Aku dah fikirkan masak-masak hubungan kita.”
Alan memulakan bicara. Aku senyap. Khusyuk mendengar bait-bait bicara Alan. Alan memandangku. Mungkin meneliti reaksiku. Dan lambat-lambat dia menyambung..
“Aku rasa tak boleh teruskan hubungan kita ni. Aku rasa dah banyak sakitkan hati kau. Aku...”
Kata-kata Alan terhenti di situ. Aku tersenyum. Cuba menutupi hati yang sudah dicincang lumat.
“Takpe. Alan tak perlu jelaskan. Tia faham. Lagipun keluarga Alan dah lengkap. Alan bakal jadi ayah, ada isteri yang cantik. Tia tahu Alan memang tak perlukan Tia.”
Aku cuba berlagak selamba walhal hatiku sebak. Aku rasakan seperti Alan mencampak jauh-jauh hatiku yang telah kuberikan padanya.
“Kalau boleh aku nak selesaikan semua ni sebelum Riana bersalin. Aku harap kau faham.”
Wajah Alan kutatap. Memandangnya membuat hatiku tambah sayu.
‘Jadi, sebab nilah dia buat baik dengan aku? Tapi terima kasih kerana sudi membahagiakan aku walau seketika.’
“Alan jangan risau. Tia akan pergi walaupun Alan tak cakap.”
Tenang aku melafazkannya. Walaupun sakit aku tetap cuba mengawal ekspresi wajahku. Aku tak mahu dia terkesan dengan perubahan wajahku.
“Kalau takde apa-apa lagi, Tia turun dulu ye. Nak tolong bonda.”
Aku meminta diri untuk beredar dari situ. Aku cuba untuk mengawal perasaan aku sebaik mungkin. Mana mungkin aku akan menangis di hadapannya. Aku takkan menangis. Bagiku, menangis itu tanda kelemahan. Aku tak boleh nampak lemah di hadapan Alan. Tak boleh!
*****
AKU menikmati makan malam di rumah bonda malam ini. Ketam masak lemak cili padi hanya mampu dipandang. Bukan tak kecur air liur memandangnya namun aku berusaha tidak melayan fikiran aku untuk menjamahnya. Mungkin bonda rasa pelik, kerana aku langsung tak menjamah salah satu masakan istimewanya malam ini.
“Kenapa Tia tak makan ketam masak lemak ni? tak suka ke?”
Bonda menyuakan lauk itu kepadaku namun aku menggeleng perlahan.
“Tia bukan tak makan, tapi Tia alergi seafood. Satu pun tak boleh makan kecuali ikan. Semua kerang-kerangan tak boleh nak makan. Kalau tak, boleh masuk hospital gamaknya.”
Aku berseloroh. Bonda tersenyum. Alan hanya memandangku dengan pandangan yang tak percaya.
“Tapi takkan Tia nak makan ikan je. Biar bonda suruh Mak Munah masakkan lauk lain untuk Tia.”
Bonda berkira-kira hendak memanggil Mak Munah namun aku menghalang.
“Takpe bonda, Tia boleh makan ikan ni. Ulam pun ada. Tak payah nak susah-susahkan Mak Munah. Tia okay.”
Aku tak mahu diberi layanan istimewa oleh bonda. Tambahan pula Riana juga turut berada di sini. Kata Mak munah tadi, Riana memintanya untuk memasak ketam masak lemak cili padi. Riana teringin nak menjamahnya. Sebab itu, aku tak mahu mengada-ngada menyuruh Mak Munah memasakkan makanan lain.
“Riana pula suka benar makan ketam. Sehari tak jumpa seafood tak mahu makan nasi ya.”
Alan mencuit hidung Riana. Riana malu-malu kucing. Aku pula? Hanya mampu memandang dengan senyuman hambar. Aku sedar aku diperhatikan oleh bonda dan papa. Aku harus tabah. Tak lama lagi kesengsaraan aku akan berakhir.
“Nak buat macam mana, dah mummy dan daddy pun suka makan seafood. Lagipun sedap kan,” ngomel Riana.
Nampak bahagia mereka di meja makan. Aku hanya meneruskan suapan demi suapan tanpa menghiraukan apa yang dibualkan mereka.
*****
AKHIRNYA aku kembali berada di rumahku. Bukan. Ini rumah Alan. Ini bermakna aku harus berkemas dan menjauh dari hidup Alan. Aku membuka pintu almari bajuku. Semua bajuku kupunggah ke dalam bagasi. Barang-barang mekap ku simpan ke dalam beg. Usai mengemas baju, aku ke ruang bawah. Aku ingin memadamkan setiap jejakku di rumah ini. semua barang-barang kepunyaanku, aku pungut dan kusimpan di dalam stor. Senang bila aku hendak mengangkutnya nanti.
Jam sudah meniti ke angka tiga pagi. Baru aku sedar, sudah terlalu lewat. Lantas aku ke bilik tidur. Terlalu penat rasanya hari ini. Aku perlukan rehat. Aku berharap pagi esok bisa memberikan ceria pada diriku. Sedang elok aku hendak terlelap, telefon bimbitku berbunyi. Lantas tanganku menekan butang angkat. Senyap.
“Helo? Siapa ni?”
Aku memulakan bicara walaupun agak penat. Namun tiada balasan. Agak lama aku menunggu sehinggalah dia bersuara. Aku agak terkejut. Panggilan itu datangnya dari Riana.
“Ada apa yang boleh Tia bantu?”
Aku melembutkan suara dengan Riana. Risau akan menyakiti hatinya jika terkasar bahasa. Maklumlah perempuan mengandung ni agak sensitif. Jadi baik berlapik cakapnya.
“Tia, maaf mengganggu malam-malam ni. Boleh tak Ana nak jumpa Tia esok?”
Aku senyap. Mindaku masih memproses kata-kata yang baru dikeluarkan oleh Riana sebentar tadi.
“Ana nak jumpa Tia?”
Aku sedikit pelik dengan sikap Riana. Riana mengiyakannya. Namun yang paling pelik perjumpaan ini langsung tak diketahui oleh Alan. Rahsia katanya. Hanya untuk isteri-isteri Tengku Alan Hafiz. Aku mematikan talian setelah tempat dan masa dipersetujui. Dalam hatiku terdetik, apakah motif dia ingin menemuiku.
‘Mimpikah dia mahu berjumpaku?’
P/s: Maaf sibuk minggu ini. Sudilah membaca ya. ^^v
Harap tia x kena tipu ngan riana, dan pas ni tia ada cahaya bahagia...