Bab 14
Aku memandang ke Izwan
yang serius berbicara dengan mama. Sesekali dia memandang aku yang sedang
menonton televisyen di ruang tamu. Pada mulanya aku mahu turut serta bersembang
apa yang patut dengan mama dan Izwan, namun apabila aku lihat perbualan antara
mama dan Izwan berbau serius, tidak jadi pula untuk turut serta bersembang.
“Intan, mama nak bawa Intan jumpa dengan Ustaz petang ni.
Kita pergi berubat ya.”
Entah bila mama berada di sisiku pun tidak aku sedari.
Aku begitu asyik melayan cerita yang disiarkan di televisyen. Aku memandang ke
arah mama. Mama nampaknya sedikit serius dengan apa yang dicakapnya.
“Jumpa ustaz? Mama nak Intan belajar agama semula ke
mama?” Aku memandang mama dengan pandangan yang berkerut. Sebenarnya aku tahu
apa yang dimaksudkan mama. Mama dan Izwan syak bahawa aku terkena buatan orang.
Tapi jika difikirkan semula, siapakah yang sanggup menujukan sesuatu yang tidak
baik kepadaku?
“Bukan sayang. Mama nak suruh ustaz tolong tengok-tengok
kan Intan. Mama tak sedap hati pasal mimpi Intan semalam.”
Mama menyentuh lembut tanganku. Aku tersenyum. Aku tahu
mama begitu risaukan keadaan aku tika ini. Tambahan pula, aku kini sedang berbadan
dua. Jadi, semua yang berkisar mengenai aku pasti akan mengundang perhatian
dari mama dan juga Izwan.
“Kalau dah mama cakap macam tu, Intan ikut sahaja.”
Jawapan yang aku berikan mengundang senyuman di wajah
mama. Namun, terdetik dalam hati aku untuk bertanya, mengapakah mama dan Izwan rasa aku telah
terkena buatan orang? Adakah kerana mimpi aku semalam? Aku amat berharap
telahan mama dan Izwan itu tidak benar sama sekali. Amat berharap.
*****
Aku meneliti rumah papan
itu. Ya, kata mama inilah rumah ustaz yang dimaksudkan mama. Aku ditemani Izwan
dan mama. Wajah tenang Ustaz Hassan dan isterinya, Kak Salmah yang berada di
muka pintu menyakinkan aku untuk masuk ke dalam rumah. Izwan membantuku mendaki
satu persatu anak tangga untuk ke ruang tamu rumah ustaz tersebut.
“Jemputlah
masuk.”
Pelawa
Ustaz Hassan sambil melabuhkan punggung di
kerusi kayu di ruang tamu. Aku hanya
menurut. Mama dan Izwan sudahpun mengambil tempat di atas kerusi. Izwan
meraihku agar duduk di sebelahannya. Aku tersenyum kepada Ustaz Hassan dan Kak
Salmah. Seketika kemudian, si isteri sudah ke dapur untuk menyediakan minuman.
“Hmm,
ada apa-apa yang saya boleh tolong?”
Ustaz
Hassan memulakan bicara. Matanya tajam memandang ke arah aku. Aku memegang
lengan Izwan. Izwan menenangkan aku dengan mengenggam tanganku.
“Begini
ustaz, akak rasa menantu akak ni macam dah terkena buatan orang. Boleh tak
ustaz tolong tengokkan menantu akak?”
Ustaz
Hassan tersenyum. Mungkin sudah biasa dengan kes-kes sebegini. Izwan kelihatan
serius.
“Ada
mimpi pelik-pelik ke?” Tanya Ustaz Hassan.
“Hmm,
semalam adalah mimpi ngeri sedikit. Mimpi ular dan jatuh dari tempat tinggi.”
Aku
menerangkan secara ringkas mimpi itu. Rasanya tidak perlulah terlalu terperinci
penerangan mengenai mimpi itu. Yang penting isi kandungannya. Aku lihat Ustaz
Hassan mengangguk-angguk sedikit apabila selesai aku bercerita.
“Hmm,
berdasarkan apa yang anak cerita, memang ada tanda-tanda terkena buatan orang
tapi kita sendiri tak pasti sama ada itu sekadar mimpi biasa atau tidak.
Sebelum ni, memang selalu mimpi macam ni ke?” Tanya Ustaz Hassan.
Semua
pandangan tertumpu kepadaku. Sedikit gugup aku kala itu. Perlahan aku
mengangguk. Sempat telingaku menangkap suara Ustaz Hassan yang berisytifar
kerana terkejut mendengar pengakuanku.
“Kalau
begitu, kita berusaha sahaja untuk pulihkan Intan. Saya rasa masih belum
terlambat untuk pulihkan Intan. Saya risau kalau dibiarkan lama-lama, akan
melarat dan beri kesan pada kandungan Intan pula,” terang Ustaz Hassan.
Mama
dan Izwan bersetuju dengan pandangan Ustaz Hassan. Dalam hati aku masih tidak
percaya bahawa aku telah terkena buatan orang. Salah apakah aku pada mereka sehingga
tegar melakukan perbuatan yang dilaknat oleh Allah itu? Adakah aku yang terlalu
alpa sehingga membiarkan diriku menjadi mangsa kepada perbuatan yang terkutuk
itu?
‘Aku
harap semua ini ada hikmahnya.’
*****
Sudah beberapa kali aku
berjumpa dengan Ustaz Hassan untuk berubat. Alhamdullilah, keadaan aku makin
menunjukkan tanda-tanda positif. Izwan tersenyum apabila malamku tidak lagi
dihiasi dengan mimpi-mimpi ngeri. Badanku juga terasa lebih ringan dan sihat.
“Intan dah baca Al-Quran ke belum hari ni?”
Spontan Izwan bertanya kepadaku usai aku solat magrib
berjemaah bersamanya. Aku mengangguk tanda sudah. Kulihat wajah Izwan tersenyum
ceria. Kemudian, dia membuka Al-Quran dan mengalunkan bacaan surah Al-Mulk. Aku
mendengarnya dengan tenang. Surah ini sudah menjadi salah satu surah amalan
harianku. Aku juga turut membacanya sekali.
Usai membaca Al-Quran, aku melipat telekung dan sejadah.
Izwan sudah menghadap televisyen di ruang tamu. Tinggal aku sendirian di dalam
bilik. Deringan telefon bimbit mengganggu
tumpuanku untuk membaca. Aku meneliti skrin telefon bimbit. Emak. Aku senyap.
Kaku. Tidak tahu hendak melakukan apa. Separuh daripada fikiran menyuruhku
menjawabnya dan separuh lagi menegah dengan pelbagai alasan.
Lambat-lambat aku mengangkatnya. Dan ternyata suara
lantang emak menyapa telingaku tatkala salam diberi. Aku sedikit maklum dengan
sikap emak.
“Hah! Baru nak angkat telefon. Mak call kakak dari tadi
lagi, tak reti-reti ke nak angkat?” Suara emak seperti biasa lantang dan
kedengaran garang bagiku.
Aku sedikit terasa dengan sikap emak. Seharusnya emak
berlembut denganku. Tambahan pula aku kini berbadan dua. Sejak aku hamil, aku
seringkali cepat terasa dengan kata-kata yang dituturkan. Ya, aku semakin
sensitif.
“Maaf mak. Kakak janji takkan buat lagi. Mak apa khabar?”
Aku cuba memulakan perbualan dengan baik. Malas hendak
melayan perasaan sensitifku dengan sikap emak yang memang sudah aku maklum
sejak dahulu. Aku mengetap bibir menahan sedih yang mula bertandang di hati.
“Ah! Sekarang baru nak tanya mak baik ke tak? Kalau tak
kakak asyik sibuk dengan keluarga mentua kakak tu. Jangan ingat mak tak tahu,
kakak pergi jumpa bomoh.”
Aku tersentak. Tak sangka emak sanggup menuduhku berjumpa
dengan bomoh. Aku sekadar berikhtiar untuk mencari penawar bagi penyakit buatan
orang ini. Aku bukanlah buta hati untuk bertemu bomoh atau pawang. Itu syirik
namanya. Aku tak mahu menyekutukan Allah dengan bertemu dan percaya pada
perkara-perkara yang boleh membuatkan-Nya murka.
“Emak, kakak bukan jumpa bomoh. Kakak jumpa ustaz. Kakak
berubat.”
Aku cuba menerangkan kepada emak. Aku tidak mahu emak
memandang aku sebagai kaki bomoh. Aku tidak mahu dilabelkan dengan
perkataan-perkataan yang tidak baik. Namun, aku tahu, emak tidak pernah
memandang aku sebagai seorang yang baik di matanya. Baginya aku hanyalah anak
perempuan yang merampas suaminya suatu ketika dahulu.
“Pandailah kakak nak pusing cerita. Mesti kakak nak
bomohkan Elin. Mak tahu kakak cemburukan Elin sebab Elin kahwin dengan Khairul.
Kakak ingat Khairul tu suka sangat ke dengan kakak? Dia hanya gunakan kakak
untuk dekat dengan Elin sahaja. Mak harap kakak ingat tu.”
Aku menekup mulutku. Air mataku sudah meleleh ke pipi.
Tegarnya emak mencampakkan tuduhan sebegitu kepadaku. Aku terduduk di atas lantai.
Perlahan panggilan telefon aku matikan. Tidak sanggup rasanya untuk menerima
semua tuduhan demi tuduhan tiadka berasas dari emak. Suara emak yang
menjerit-jerit di hujung talian tidak aku pedulikan. Entah bila tubuh Izwan
sudah berada di hadapanku. Perlahan dia mengusap kepalaku.
“Jangan menangis, abang akan sentiasa ada untuk Intan.”
Usai Izwan menuturkan kata-kata itu, air mataku mengalir
deras. Aku memeluk Izwan. Baju Izwan kubiarkan lencun dengan air mataku.
‘Ya Allah, kuatkan dan tabahkanlah hati hamba-Mu yang
lemah ini agar aku bisa reda dengan ujian dan dugaan yang Kau hadiahkan
kepadaku ini. Amin.’
*****
P/s: Hazel postkan MCI pula. Harap semua suka dengan entri kali ini.
Alahai Intan dah tahu mak dia suara macam petir masih lagi nak dengar... Cubalah menjadi manusia yang tegas dan berani mempertahankan diri...