Followers

Siapakah kekasih hatiku? 12

Wednesday, December 14, 2011
BAB 12
HUJUNG minggu itu, aku dihantar ke rumah mama. Sendirian. Alan ingin ke luar negeri. Ada urusan katanya. Aku malas mengambil tahu urusannya. Aku tak layak. Kakiku semakin pulih. Mungkin nanti aku sudah boleh memandu seperti biasa. Aku bersendirian di dalam bilik tidurku.  Berbaringan di atas katil yang banyak membawa memori zaman sekolahku. Inilah tempat aku membaca novel sampai tak tidur malam.
“Tia?”
 Mama memanggilku. Lembut kedengarannya di telingaku.
“Ya?”
Aku ternanti-nanti. Aku masih tertanya-tanya apa yang mama ingin sampaikan kepadaku. Aku tak mengharapkan perkara yang hendak dikatakan itu berkait dengan Alan. Aku tak mahu berbohong lagi dengan mama dan abah. Cukuplah sekali aku berbohong. Aku dah serik.
“Mama ingat nak adakan majlis kahwin Liya kat rumah juga tapi Tia kena tolong mama. Boleh tak?”
Mama membuat permintaan terhadapku.
“Nak buat bila majlisnya? Kalau nak tolong tu tak payah mintalah mama. Tia boleh je tolong. Lagipun Liya kan adik Tia. Apa salahnya tolong. Tak luak pun.”
 Aku memaniskan muka. Senang hati jika dapat turut sama membantu meringankan  beban mama dan juga Liya. Lagipun sewaktu majlis perkahwinan aku dulu, Liya dan mama juga yang tak tidur malam menyiapkan hantaran dan persiapan kahwinku. Apa salahnya, kali ini aku memberikan sedikit tenaga membantu mereka?
“Nanti mama bagi tahu Tia. Lagipun dah setuju nak buat hujung tahun ni.”
 Mama  menerangkan. Mama sudah melangkah ke muka pintu bilikku namun dia berhenti seketika. Perlahan dia berpaling kepadaku.
“Betul Tia nak drive sendiri balik nanti? Mama risaulah. Lagipun kaki Tia pun tak berapa nak baik lagi tu. Tak nak abah hantar?”
Aku menggelengkan kepala. Mama hanya menurut. Faham benar dengan sikapku yang satu. Keras kepala. Mama memang prihatin. Namun aku tetap dengan keputusanku. Aku mahu memandu sendiri. Keretaku masih boleh digunakan. Jadi aku mahu memandu sendiri. Sudah lama kereta kecilku tidak kupandu semenjak kemalangan itu.
 Aku rindu hendak memandu. Terlalu rindu. Lusa aku akan berangkat pulang ke rumahku. Rindu rasanya mahu ketemu Alan. Walaupun bicaranya banyak menghiris hatiku namun semakin hari, semakin aku menyayanginya. Pelik kan?  Kadang kala pernah juga aku terfikir untuk mengundur diri sekiranya dia berterus terang mengenai perkahwinan keduanya denganku. Namun, aku tak sanggup membayangkan kehidupan aku tanpa dirinya. Aku rasa tertipu. Kalaulah dulu aku tolak permintaan Alan, pasti aku bahagia.  Entahlah, mungkin aku patut berusaha lebih untuk hubungan ini. Ya! Aku harus sabar. Satu hari nanti, pasti dia menerimaku seadanya. Aku yakin!

*****

AKU pulang semula ke rumahku .Banglo dua tingkat yang sunyi. Untuk apa punya suami yang kacak, kaya namun kurang kasih sayang. Aku melangkah masuk ke dalam rumah. Baru sahaja aku melangkah masuk ke dalam rumah, aku teringatkan sesuatu perkara. Ada barang yang dikirim oleh mama buat ibu mentuaku. Mama. Biasalah. Pasti ada sahaja yang dikirimkan buat ibu mentuaku.
Aku mengunci semula pintu. Lantas kereta yang baru kuparkir di garaj kereta kupandu menuju ke rumah mentuaku. Sesampainya di rumah mentuaku, aku terpandangkan kereta Alan. Alan?
‘Alan tidur rumah bonda rupanya.’
Barang- barang yang dikirim mama pun kuangkat sekali. Perasaan teruja menguasai diri kala ini. Teruja untuk berjumpa dengan bonda dan juga Alan. Aku ingin memberi salam namun aku terkedu. Lama aku berdiri di depan pintu. Drama televisyen swasta sedang ditayangkan secara langsung dihadapanku. Aku melihat suamiku sedang beristirehat ditemani oleh gadis yang sama aku temui dulu. Bonda dan papa juga turut gembira. Berbual-bual dengan gembiranya tanpa menyedari aku berdiri di depan pintu. Lama juga aku berdiri di situ sehinggalah Mak Munah menegurku.
“Puan muda, kenapa duduk kat depan pintu macam ni?” 
Mak Munah, pembantu rumah bonda menegur aku. Aku tersentak. Hampir sahaja barang-barang di tanganku terlepas. Nyata mereka sekeluarga turut terperanjat besar dengan kehadiranku yang tak disangka-sangka. Aku tersenyum hambar.
‘Tembelang dah pecah. Tia jangan menangis. Kau mesti kuat di hadapan dia. Kau mesti buktikan semua itu tak mencalarkan sedikit pun hati  kau.’
Aku mula memujuk diriku. Namun aku tahu semua itu tak guna. Hatiku kini kecewa.
“Tia, kenapa tak cakap nak datang.”
Bonda menyambutku di muka pintu. Plastik beg yang kubimbit kuserahkan kepada Mak Munah. Aku menyalami bonda.
“Mama kirimkan barang untuk bonda dan papa. Tu yang Tia datang tak bagi tahu dulu.”
Aku cuba menceriakan wajah. Seceria yang mungkin. Aku memandang Alan dan gadis itu. Nyata wajah mereka kelat. Tanda tidak senang dengan kehadiran aku di sini.
“Masuklah sayang. Duduk sebelah bonda.”
Bonda menarikku agar bersama-sama papa, Alan dan gadis itu di ruang rehat.Aku hanya  menurut. Aku menyalami Alan,dan kemudian berjabat tangan mesra dengan gadis itu. Papa kelihatan serba salah. Aku tahu kenapa. Mungkin dia resah memikirkan perasaan aku ketika ini. Mungkin dia takut aku akan mengapa-apakan menantunya yang cantik ini.
“Tia minumlah.”
 Bonda mempelawaku minum. Aku mengangguk kecil. Aku rasakan suasana yang bahagia tadi bertukar canggung. Kerana akukah? Wajah kelat Alan semakin menjadi-jadi. Sepanjang di ruang rehat itu, hanya bonda yang sudi berbicara denganku. Yang lain? Tak sudi.
“Bonda, papa. Tia rasa nak baliklah. Dah lambat ni. Rasa macam menganggu bonda pula.”
Aku cuba mengundur diri. Bonda serba salah. Aku tahu pasti dia bersalah kepadaku. Rasa kasihan melihat aku diduakan suami sendiri. Papa hanya menghirup kopi yang dihidangkan oleh Mak Munah. Lagaknya seperti malas untuk mencampuri urusan rumah tangga kami.
“Zatia bt Hassan, kau tak nak tahu ke? Siapa gadis ni?”
Alan mula bersuara. Aku mengangkat muka. Memandang Alan. Mengumpul segala kekuatan untuk menghadapi semua ini.
“Abang cakaplah. Tia tak nak tanya abang.” 
Aku bersuara. Perlahan namun cukup untuk didengari oleh semua yang berada di situ.
“Mari sini, aku kenalkan. Ariana Julisa. Isteri aku a.k.a madu kau.”
Terang dan jelas suaranya menyapa gegendang telingaku.  Aku tersenyum. Mencari-cari perkataan yang sesuai untuk diungkapkan kepada pengantin baru.
“Oh, tahniah abang. Semoga abang bahagia selalu dengan dia.”
Itu sahaja yang mampu aku ucapkan tika itu. Bonda? Memandangku dengan penuh simpati. Papa? Diam sahaja. Mungkin dia tak mahu mencampuri urusan kami.
“Kenapa kau tak marah?”
Alan pelik. Tika itu aku lihat bonda, papa dan juga Riana sudah berlalu ke dalam rumah. Tinggal aku dan Alan di situ.  Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku menerkam Riana saat itu. Bertanya kepadanya, mengapa sanggup menjadi perosak rumah tangga kami. Namun, aku tidak mempunyai hak itu. Alan tak pernah meletakkan aku di dalam hatinya. Mana mungkin aku melabelkan dia sebagai perampas. Riana bukan perampas sebaliknya akulah yang perampas.
Aku tak menjawab soalan Alan. Aku biarkan dia termangu-mangu sendirian. Aku mahu dia mencari sendiri jawapannya.

*****

“TIA tak marah pun. Memang abang ada hak nak buat macam tu. Tia bukan siapa-siapa nak halang abang.”
Aku bersuara. Cuba untuk menutup kekecewaan yang mula bertandang di hatiku. Alan? Legakah mendengar jawapanku? Aku tak pasti.
“Baguslah macam tu. Aku pun dah malas nak sorok-sorok dengan kau.”
Alan menghirup teh yang masih berbaki. Aku senyap.  Perlahan aku menanggalkan cincin perkahwinan yang tersarung di jari manisku. Kuletakkan di atas meja. Alan sedikit tersentak.
“Apa ni?”
Dia seakan tak percaya apa yang aku lakukan. Aku menanggalkan gelang tangan yang diberikan sebagai hantaran perkahwinanku. Kuletakkan juga di atas meja.
“Tia rasa tak layak nak pakai barang-barang ni. Tia pulangkan pada abang. Terpulanglah pada abang. Nak buang atau nak simpan. Ambillah, benda ni bukan milik Tia. Ia milik isteri abang. Tia bukan isteri abang. Tia cuma…”
Aku tak sanggup nak meneruskan kata-kataku. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Mencari kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.
“Kau simpan je la semua ni. Anggap hadiah daripada aku.”
Alan cuba berdiplomasi. Aku senyap.
“Takpelah abang. Tia tak layak nak pakai benda itu. Selama ni pun, abang pun tak pernah anggap Tia sebagai isteri abang kan. Berikan pada yang berhak.”
Aku mengambil gelang tangan dan cincin dan kuletakkan di atas telapak tangannya.  Mataku tertancap kepada jari manis suamiku. Cincin yang dipakainya, bukan cincin perkahwinan kami. Saat itu, aku semakin nekad untuk menjauh dari hidupnya. Aku sangka aku mampu menundukkan Alan namun belum aku memulakan rancanganku dia sudah membuang aku.
“Tia.”
 Alan bersuara perlahan. Aku tak tahu apa yang sedang bermain di fikirannya ketika itu. Yang pasti, aku sedih. Sepatutnya Alan berpesta. Aku takkan lagi mengganggu ketenangan hidupnya.
“Tia dah penat abang. Dah penat terhegeh-hegeh hendakkan abang tapi abang sikit pun tak pandang Tia. Tia penat tunggu abang kat rumah tapi abang tak pulang-pulang. Tia penat dengar kata-kata abang yang selalu menyakitkan hati Tia. Tia dah penat.”
Aku bangkit dari dudukku dan berjalan ke dalam rumah. Setitis air mata pun tidak kubenarkan menitis. Aku harus kuat. Aku masuk ke dalam rumah. Niatku ingin ketemu bonda. Namun aku terpandangkan Riana. Gadis manis itu sedang bersendirian di ruang tamu. Aku mendekati dia. Niatku hanya ingin menyapa namun pantas Alan menarikku.
“Kau jangan nak apa-apakan dia.”
Amaran keras dari Alan. Lenganku digenggam kuat. Aku mula merasakan sakit di lenganku. Namun aku bertahan. Bonda hanya memandang kami dari jauh.
“Tia cuma nak bercakap sebentar dengan dia. Bukan Tia nak buat apa pun.”
Aku cuba melepaskan tanganku dari pegangan kejap Alan. Alan melepaskan tanganku.
“Huh, cakap la.” Alan memerhatikan aku mendekati Riana. Riana sedikit tersentak dengan kehadiranku.

*****

 “RIANA kan? Cantik nama.”
 Aku tersenyum hambar. Riana menayangkan muka pelik terhadapku. Tanda tidak senang denganku. Mungkin takut diapa-apakan olehku.
“Tia cuma nak bersembang sekejap saja dengan Riana. Itu pun kalau sudi.”
Aku masih menanti balasan dari Riana namun dia tak menunjukkan tanda-tanda berminat untuk berbicara denganku.
“Kalau Riana tak sudi, tak pelah. Mungkin lain kali.”
Aku bangkit. Alan segera mendapatkan isteri tercintanya. Risau benar aku akan melakukan perkara-perkara yang buruk terhadap isterinya. Aku melangkah ke arah bonda.
“Bonda, Tia pulang dulu ye. Ada masa Tia datang lagi. Tu pun kalau bonda dan papa masih sudi nak tengok muka Tia ni.”
Aku tersenyum hambar. Bonda memeluk tubuhku erat. Esakan bonda jelas kedengaran di telingaku.
“Hish bonda ni, dapat menantu baru pun nak sedih-sedih macam ni.”
Aku cuba memujuk bonda. Perlahan-lahan bonda merenggangkan pelukannya. Aku melangkah keluar dari rumah banglo mewah itu dengan hati yang sebal.
‘Dapatkah aku menjejakkan kaki ke sini lagi?’

*****

SUDAH beberapa minggu peristiwa itu berlaku namun masih lagi meninggalkan kesan ke atasku. Aku nekad mencari kerja. Risau diceraikan oleh Alan. Aku perlu bersedia. Aku berjalan-jalan sekitar bandar Kuantan. Mencari kerja-kerja kosong. Akhirnya aku mendapat kerja. Dengan ijazah yang kuperoleh daripada universiti, aku kini menjawat jawatan sebagai pengurus di salah satu restoran makanan segera. Aku berkerja setiap hari. Pagi, petang , siang  dan malam. Kerjaku dan laporan-laporan yang perlu kusiapkan dengan segera. Aku semakin melupakan Alan. Namun aku tetap menjaga batasanku kerana aku masih lagi isteri Alan.
Alan? Sudah lama aku tidak ketemu dengannya sejak peristiwa itu. Aku sudah berputus asa dengan Alan. Namun Alan tetap mengirimkan nafkah buatku. Pernah sekali, aku pulang ke rumah dan kudapati peti sejuk di rumah penuh dengan bahan-bahan keperluan yang tak sempat kubeli lantaran sibuk di restoran. Ketukan pintu membawa aku ke alam nyata. Sudah terlalu banyak aku mengelamun. Aku harus berkerja. Kerja, kerja dan kerja. Aku sebolehnya ingin menamatkan hubungan yang mengikat aku dengan Alan. Namun ,bonda, papa, mama dan abah menjadi penghalang. Aku takut keputusanku akan menyakiti mereka.
“Puan tak keluar makan ke hari ni?”
Pembantuku, Hanis menegurku. Aku tersenyum.
“Tak. Saya tak lapar.”
 Aku masih lagi meneruskan kerja-kerjaku yang sedikit menimbun di di atas meja. Sesekali mataku memandang ke skrin komputer untuk meneruskan membuat laporan.
“Kalau macam tu, saya buatkan milo untuk puan?”
Hanis cuba memancingku untuk menjamah makanan. Aku tahu dia risaukan keadaanku. Aku perhatikan Hanis sebagai seorang yang sangat berdedikasi dan mengambil berat akan orang lain. Kadang kala aku rasakan dia seperti adik aku sendiri lantaran sikap mengambil beratnya yang melampau-lampau itu. Namun aku cukup senang dengan tingkahnya.
Okay. Buat pekat-pekat tau. Extra milo kurang susu.”
Aku tersenyum. Hanis berlalu dan sekali lagi ketukan di pintu menganggu konsentrasi aku.
“Hanis, kan saya dah cakap, saya tak nak makan. Buatkan milo je.”
 Ku sangkakan Hanis namun telahanku ternyata silap.
 “Zatia. Lama tak jumpa. I rindu la.”
 Aku tersentak. Wajah lelaki itu aku tatap. Lama ku perhatikan dan kutenung. Aku seakan kenal wajah itu. Ingatan terhadap wajah tersebut semakin lama semakin jelas di kotak fikiranku.
‘Mungkinkah dia...’





Siapakah kekasih hatiku? 11

Tuesday, December 6, 2011
BAB 11

AKU kembali semula ke rumah selepas beberapa hari berada di rumah mama. Aku harus menenangkan fikiran. Kakiku melangkah masuk ke dalam banglo dua tingkat itu. Sunyi.  Aku melihat gambar perkahwinanku telah pun dialihkan. Entah mengapa, kakiku teringin untuk menjengah ke bilik stor. Pintu bilik stor aku buka. Sepi. Aku tersentap apabila melihat gambar perkahwinan kami diletakkan di dalam bilik stor.
‘Alan memang nak buang aku dari hidup dia.’
Kakiku melangkah longlai menuju ke tingkat atas. Entah mengapa hatiku berdebar-debar. Kedengaran suara perempuan bergelak ketawa diselangi dengan suara Alan. Aku sampai ke muka pintu. Ruang pintu yang sedikit terbuka membolehkan aku mengintai ke dalam bilik.  Lemah lututku melihatkan tayangan perdana Alan.
Aku memejamkan mata. Tak sanggup melihat kemesraan Alan dengan perempuan itu. Aku berlari turun dengan deraian air mata. Biarlah. Aku tak layak menghalang Alan. Dia bersama isterinya. Jika gadis itu bukan isterinya, pasti sudah kuterkam perempuan itu.
Kunci kereta yang aku letakkan di meja kopi aku capai. Kemudian aku meluru keluar ke tempat parkir kereta. Tanpa berlengah aku menghidupkan enjin kereta dan kereta kupandu laju meredah jalan raya. Aku memandu laju. Terlalu laju sehinggakan aku tak sedar apa yang berlaku padaku. Dentuman kuat, itu yang aku dengar sebelum pandanganku  gelap gelita.
*****
“Alan, rahsiakan dulu pasal Riana. Jangan beritahu Tia dulu.”
Itu perkataan pertama yang aku dengar sebelum mata kubuka perlahan-lahan. Kulihat Alan duduk di sofa. Sedang membaca surat khabar. Bonda, dan papa setia menemaniku di sisi. Bonda menyentuh lembut tanganku.
‘Bonda, usah terlalu baik dengan Tia. Tia bakal jadi bekas menantu bonda.’ 
Sayu aku memandang bonda. Dia begitu menyayangi aku. Sayangnya padaku menggunung tinggi sehinggakan aku sanggup memilih derita daripada melukakan hati wanita sebaiknya.
“Bonda.”
 Aku memangggil bonda dalam kepayahan. Bonda segera mengenggam erat tanganku. Sepenuh perhatian diberikan kepadaku.
“Ya Tia.”
 Bonda kelihatan teruja.  Papa sudah bergerak menuju ke arah Alan. Menggesa Alan agar melayaniku. Namun Alan seakan tak sudi. Aku menahan sebak.
‘Alah, memang dia tak sudi pun jenguk aku kat sini. Eh, aku ni kat mana?’
Serta-merta aku terfikirkan di manakah aku berada tika ini.
“Bonda, Tia kat mana ni? Ni bukan bilik Tia kan?”
Aku mengajukan soalan kepada bonda. Bonda tersenyum.
“Tia tak ingat apa-apa?”
Bonda bertanyakan kepadaku. Masakan aku ingat. Kala ini, kepalaku terasa berat sekali. Aku menggelengkan kepala. Bonda mengusap kepalaku.
“Tia kemalangan. Dua hari lepas. Rosak teruk juga. Nasib baik Tia tak apa-apa. Cedera sikit je.”
 Bonda menjelaskan. Aku kebingungan. Dah dua hari aku tak sedarkan diri? Tiba-tiba sedikit demi sedikit peristiwa hari itu, semakin jelas di fikiranku. Aku sedih namun aku tekad. Alan akan kumiliki walau apa pun yang terjadi.
*****
SETELAH beberapa hari menjadi penghuni setia hospital, aku pun dibenarkan keluar dari hospital. Bonda dan papa punya urusan di luar daerah. Salah seorang saudara Alan mengadakan kenduri doa selamat. Jadi, Alan dipertanggungjawabkan untuk menjaga aku sepanjang ketiadaan mereka. Aku merenung Alan. Masanya telah tiba. Mungkin aku boleh bermanja-manja dengan Alan waktu-waktu macam ni. Siapa tahu hatinya akan terbuka buatku.
Kala ini, Alan sedang membaca buku. Tak tahu buku apa yang dibacanya. Tekun dia membaca. Aku jadi bosan. Lantas aku terhencut-hencut berjalan ke arahnya. Namun aku tersadung kaki katil dan terjelepuk jatuh di depannya.
‘Aduh. Harap-harap dia tak perasan aku jatuh.’
Aku cuba bangun. Satu saat. Dua saat. Jatuh lagi. Sedang aku terkial-kial untuk bangun, aku rasakan seseorang sedang memegang aku.  Alan?
“Kau ni, tak reti duduk atas katil diam-diam ke? Kan dah jatuh.”
 Alan memapahku dan mendudukkan aku di atas katil.
“Tia nak duduk sebelah abang je. Bosan duduk sorang-sorang macam ni.”
Aku merengek manja. Kononnya hendak mendapatkan perhatian Alan. Alan berpura-pura tak mendengar apa yang kuluahkan.  Usai mendudukkan aku, dia kembali semula kerusi tempat duduknya tadi.  Sudahnya aku hanya dapat merenung wajah kacak Alan sahaja.
‘Dapat tengok muka pun bolehlah.’
Aku duduk merenung ke arah Alan. Kadang kala aku rasakan aku begitu tak tahu malu. Terhegeh-hegeh pada yang tak sudi. Tapi bila difikirkan kembali, yang tak sudi itu suami aku. Memang patutlah aku terhegeh-hegehkan suami sendiri kan.
‘Dari aku duduk tenung muka dia, baik la aku tulis blog aku. Apa khabar agaknya blog aku tu? Dah bersawang ke?’
Aku mengesot ke arah laci meja tepi katilku. Membukanya perlahan-lahan. Broadband Celcom kuambil. Laptop? Aku gagahkan diri bergerak ke arah almari. Beg laptop kuambil lantas laptop jenama Acer kubuka. Laptop usang yang sudah bertahun-tahun bersamaku sejak aku masih menuntut di universiti.

Aku membuka laptopku. Terpapar gambar pernikahanku di situ. Bahagianya. Segaknya dia ketika itu dengan baju melayu cekak musang berwarna putih sewaktu majlis akad nikah. Cuma senyumnya tak semanis yang aku lihat sewaktu dia bersama gadis di kompleks membeli-belah dulu. Lama aku merenung dekstop sebelum aku membuka internet.
Aku menaip entri terbaru. Ceritera Alan. Lebih kurang begini bunyinya.

Aku berterima kasih kepada Alan kerana masih sudi menjaga aku. Aku sangkakan dia tak sudi menjaga aku. Kiranya Alan masih berperikemanusiaan. Walaupun aku tahu dia tak mungkin menyayangi aku namun dia masih menjagaku. Aku masih teringatkan tayangan perdananya bersama gadis itu. Ya . Di sini. Di atas katil yang sama aku duduki ini.

Serta merta aku jadi sayu. Alan banyak mengajarku derita. Mencalitkan hempedu dalam kemanisan hidupku. Aku cuba mengawal perasaanku. Kalau boleh aku tak mahu Alan melihatku dalam keadaan yang lemah. Aku mahu dia tahu, aku wanita yang tabah. Lantas jari –jemariku menyambung.

Kadang kala aku terfikir untuk mengalah sahaja. Namun untuk apa aku mengalah? Dia suamiku. Aku harus setia padanya. Aku harus mendapatkan hatinya walau secebis. Namun pabila aku memandang wajah kelat yang selalu dipamerkan di hadapanku, aku jadi lemah semangat untuk menjalankan misi memikat hatinya. Pernah dia katakan padaku bahawa aku tak pernah wujud dalam hatinya. Tak pernah terfikir untuk hidup selamanya denganku. Tak pernah!

Jariku kaku di situ. Perasaan untuk terus meluahkan perasaan yang terbuku mati tiba-tiba. Aku terus menutup laptopku. Meletakkannya di sebelahku. Kulihat Alan sedang bercakap di telefon. Mesra bunyinya.
‘Daripada aku makan hati, baiklah aku tidur.’
Aku berbaringan di atas katil namun apabila aku teringatkan tayangan perdana itu, aku bangkit dan berjalan menuju ke arah sofa. Terhencut-hencut aku berjalan sambil membawa patung beruang berwarna coklat dan selimut ke arah sofa. Aku mahu lena di sofa. Alan kurasakan sedang memerhatikan aku. Pelik mungkin dengan perangai aku. aku tak ambil peduli, yang penting aku ingin melelapkan mata. Penat. Penat hati, penat minda memikirkan Alan.  Aku membaringkan diri di atas sofa yang tak berapa empuk itu.  Patung beruang  kupeluk mengharapkan tidurku lena dibuai mimpi.
‘ Mimpi, datanglah. Biarkan aku lupa seketika pada Alan.’
*****
SAYUP-SAYUP kedengaran suara Alan yang mengganggu lenaku. Aku membuka mata perlahan-lahan. Kulihat Alan masih lagi berbual di telefon bimbitnya. Nada manja dia menarik perhatianku untuk terus menguping perbualannya. Namun, semakin lama mendengarnya, semakin hatiku panas. Kata-kata lembut dan romantis buat isteri kesayangannya menaikkan api cemburuku.
“Abang bukan apa, kat sini tak best la. Tak ada sayang. Bosan. Alah, Tia? Bukan isteri abang pun. Bonda yang nak abang kahwin dengan dia. Bukan abang yang nak.”
 Bicara Alan sudah mulai mengguris hatiku. Sedih. Sayu. Semuanya bercampur-baur menjadi satu perasaan yang sukar ditafsirkan. Aku membetulkan dudukku. Tapi kenapa sofa ni empuk sangat? Luas dan sangat selesa. Setelah lama bergolek-golek baru aku sedari aku sedang berbaringan di atas katil bukan sofa.
‘Eh sejak bila aku tidur atas katil? Takkanlah dia…’
Aku bangkit dari baringanku. Mencari patung beruangku.  Tak boleh tidur aku jika patung beruang itu tak berada di pelukanku sebelum tidur. Habis selimut kutolak jatuh dari katil. Namun masih juga tidak ku temui.  Alan yang menyedari  perbuatan aku terus mematikan perbualannya di telefon. Segera dia  bergerak ke arah aku.
“Kau ni kenapa?  Sawan ke?”
Suara Alan sedikit meninggi. Aku memandang Alan namun misi mencari patung beruang  tidak kuhentikan. Alan tidak kupedulikan.
“Kau ni kenapa?”
Kali ini, nada suaranya semakin meninggi. Lenganku sudah pun dicengkam kuat. Sakit. Aku cuba melepaskan lenganku dari cengkamannya namun tak berjaya.
“Sakitlah. Tia cuma nak cari patung beruang Tia je. Bukan sawan la.”
 Aku memandang Alan. Alan menarik aku ke arah tong sampah. Dengan kaki yang terhencut-hencut aku mengikutinya. Kakiku beberapa kali tersadung dan tersepak beberapa objek di atas lantai sepanjang perjalanan ke tong sampah itu. Sakitnya bukan kepalang.
“Benda tu ke?” 
Aku memandang ke arah benda yang ditunjukkan Alan. Satu patung coklat yang sudah terkoyak menjadi tatapan aku. Kuamati dan kutilik. Memang sah itu patung beruangku. Kenapa? Aku mengambil patung beruangku. Aku memandang Alan. Banyak yang ingin aku tanyakan padanya namun tak terluah dek sebak yang cuba kutahan di dalam dada. Aku berjalan terhencut-hencut sambil memeluk patung beruang yang sudah terkoyak-rabak. Tiba-tiba aku rasakan air mataku mengalir laju.
‘Kenapa dia koyakkan patung beruang aku? ‘
“Woi, kenapa la kau nak menangis sebab benda kecil macam ni? Lagipun bukan aku sengaja. Dah benda tu dah reput. Aku buanglah.”
Alan cuba member alasan. Aku senyap. Membiarkan dia mencipta seribu alasan. Biarlah. Aku mencari benang dan jarum. Niatku hanya ingin menjahit kembali patung beruangku namun tindakan aku dihalang Alan.
“Kau dengar tak ? Nanti aku ganti yang baru.”
 Alan sudah mulai berang. Aku tidak mempedulikannya.
“Tak apalah. Bila Tia habis jahit nanti ok la ni.”
Tanganku terus menjahit patung beruang itu.
“Kenapa kau sayang sangat patung ni? Bukan cantik pun. Dah buruk.”
Alan merengus. Mungkin menyampah dengan tindakan aku. Aku memandang Alan. Aku pasti sisa air mata masih lagi terkesan di pipiku. Namun aku sudah tak peduli.  Biarkan dia tahu bahawa hati aku terguris dengan tindakannya
“Mungkin sebab patung ni saje yang sudi temankan Tia tidur setiap malam.”
Perlahan aku menuturkannya. Alan tersentak. Aku? Terus-menerus menjahit tanpa mempedulikan Alan.
*****


Peraduan Cerpen PARANORMAL- Tragis sebuah banglo misteri

Monday, December 5, 2011
Sumber: google.


SI KECIL itu memeluk lutut. Dia memerhatikan keadaan sekeliling. Bau hanyir darah dapat dihidu. Dia mengigil ketakutan. Dia tahu ada yang memerhatikannya kala ini. Ibu, ayah, kakak dan juga abangnya semuanya telah mati dibunuh dengan kejam di dalam banglo kolonial itu. Hanya dia seorang sahaja yang masih bernafas. Dia memandang sayu sekujur tubuh abangnya yang mati ditikam di perut di hujung katil tempatnya duduk.
            “Mama, papa...” panggil si kecil itu perlahan.
Perlahan dia bangun ke ruang tamu. Mayat ayah dan ibunya bergelimpangan di atas sofa di ruang tamu mempamerkan satu permandangan yang ngeri untuk ditonton oleh kanak-kanak seusia dengannya. Dia berlalu ke arah dapur, sekujur badan yang kaku terlantar di atas lantai. Dia memandang sayu kakaknya. Mengapa kakaknya dibunuh? Hanya dia sahaja terselamat dalam kejadian ngeri itu. Seketika kemudian, kedengaran siren polis yang nyaring menyapa gegendang telinganya
*****
SUHANA tersedar dari tidur. Kebelakangan ini, mimpi ngeri selalu menghiasi malamnya. Matanya mengerling ke arah jam di sisi katil. Tepat pukul tiga pagi seperti biasa. Dia bangkit dari pembaringannya dan menuju ke dapur. Tekaknya begitu haus. Dia perlu minum bagi menghilangkan dahaga. Ruang rumah yang gelap menimbulkan suasana seram ditambah pula dia sendirian di banglo itu. Ibu dan ayahnya masih lagi di luar negara atas urusan penting manakala kakak dan abangnya pula masih berada di kampus. Jadi tinggallah dia sendirian di banglo kolonial itu.
            Dia berjalan sendirian ke dapur. Satu persatu lampu dibuka untuk menerangi jalannya. Dapur dirasakan begitu jauh kali ini. Dia menapak perlahan-lahan. Entah mengapa dia merasa sedikit takut kali ini. Bukannya dia tidak biasa ditinggalkan sendirian di rumah. Namun kali ini, dia sedikit aneh dengan suasana rumahnya sedikit suram. Sampainya dia di dapur, dia membuka peti sejuk dan mencapai botol air mineral. Diteguk air itu dengan cepat. Sesekali matanya meliar memerhatikan keadaan sekeliling. Risau, takut dan seram bersatu di dalam hatinya.
            “Siapa?”
            Dia bertanya apabila terdengar bunyi derap tapak kaki di ruang tamu. Segera dia berlari menuju ke bilik tidur. Dia takut.
            “Su takut mama. Su takut. Kenapa mama tak bawa Su sekali,” rengek Su sendirian.
            Segera dia menarik selimutnya dan menyorok di dalamnya.
*****
PAGI itu, Suhana berjalan sendirian ke sekolah. Memandangkan sekolahnya berhampiran dengan rumahnya, Suhana selesa berjalan kaki ke sekolah. Dia ke sekolah tanpa menikmati sarapan pagi. Dia berjalan menuju ke kelas. Apabila dia sampai, semua rakan sekelas memandangnya dengan pandangan yang pelik. Dia tidak mengendahkan rakan-rakan sekelasnya. Yang dia tahu, perutnya perlu diisi lantas kakinya dihayunkan ke kantin sekolah. Lagipun, jam baru sahaja menginjak ke pukul 7 pagi. Masih lagi sempat untuk menjamah sarapan.
            “Eh, aku dengar Su tu sakit. Sebab tu mak bapak dia tak bawa dia pergi luar negara. Tinggalkan dia dekat rumah berhantu tu.”
            Kedengaran suara salah seorang rakan sekelasnya, Amilia sedang elok bercerita mengenainya. Suhana diam. Karipap yang dibelinya dimakan tanpa menghiraukan orang lain yang turut sama makan di kantin sekolah itu. Dia senyap. Dia yakin dia bukan ditinggalkan oleh mama dan papanya seperti yang digembar-gemburkan oleh orang lain.
            Usai makan dia menonong ke kelas. Malas mahu melayan kerenah orang yang tidak tahu kisah sebenar. Tiba-tiba dia teringatkan mengenai mimpi yang seringkali mengganggu tidurnya semenjak-dua menjak ini. Dia tidak tahu apa ertinya mimpi itu. Sangat ngeri dan apabila dia terjaga pasti jam locengnya menunjukkan tepat pukul tiga pagi.
            “Kenapa harus aku bermimpi sampai macam tu sekali?”
            Lamunannya terhenti. Cikgu Alia sudahpun masuk ke dalam kelas.
            “Bangun...”
           Ketua kelasnya mengarahkan mereka bangun dan salam diberikan kepada Cikgu Alia. Kelas pun bermula seperti biasa.
*****
SUHANA kembali dari sekolah. Kelihatan kereta mama dan papa terparkir garaj kereta. Dia meluru masuk ke dalam rumah. Dia segera berlari ke dapur. Tiada sesiapapun di situ. Lantas dia berlari ke tingkat atas rumah. Pintu bilik mama dan papa dibuka. Kosong. Yang ada hanyalah perabot-perabot kaku yang diselimuti dengan kain putih. Dia terduduk di hadapan pintu bilik itu. Persoalan demi persoalan bermain di mindanya. Betulkah dia sakit sehinggakan mama dan papa meninggalkannya? Dia sendiri tak pasti.
            Kedengaran bunyi gelas pecah di ruang bawah rumah. Segera Suhana bergerak menuju ke bawah. Dia cuba mencari di mana bunyi itu datang. Dia bergerak menghampiri dapur. Terdapat kesan kaca bertaburan di atas lantai di dapur. Masalahnya siapakah yang berani memasuki rumahnya?
            “Siapa? Cepat keluar. Kalau tak saya panggil polis.”
        Suhana cuba memberanikan diri memanggil gerangan yang memecahkan gelas. Dia memanggil dan terus memanggil namun hampa. Penat berkeadaan demikian, dia meneruskan kerja-kerja lain. Bukannya dia tidak biasa ditinggalkan keseorangan. Dia senyap. Kemudian dia terasa seperti seseorang di belakangnya. Dia menoleh. Seorang perempuan berbaju putih sedang memandangnya. Dia tersenyum ke arah Suhana. Bulu roma Suhana tegak berdiri dan tak semena-mena dia pengsan.
*****
ENCIK SHAHRUL dan Puan Sarimah pulang ke banglo kolonial milik mereka. Mereka memasuki rumah yang sunyi itu. Rasanya sudah dua minggu rumah ini ditinggalkan. Mereka melangkah ke dalam rumah.  Encik Shahrul meletakkan bagasinya di tingkat atas rumah manakala Puan Sarimah ingin menuju ke dapur untuk menyediakan air untuk dihidangkan kepada suaminya. Sempat juga dia melaungkan nama Suhana supaya anak gadisnya perasan akan kepulangan mereka. Dia begitu rindu dengan anak bongsunya itu. Saat kakinya melangkah ke dapur, dia terkedu apabila melihat sekujur tubuh sedang terbaring lemah di atas lantai dapur.
            “Abang!” jerit Puan Sarimah.
          Dia terduduk di situ. Encik Shahrul yang mendengar jeritan isterinya terus berlari menuruni tangga. Dia memeluk isterinya yang pucat melihat sekujur tubuh itu. Encik Shahrul mendekati tubuh itu. Dia menyentuh wajah itu. Wajah anaknya Suhana. Segera dia memeriksa nadi anaknya. Masih berdenyut namun lemah. Lantas anaknya didukung dan dibawa menuju ke kereta.
            “Imah, ambilkan kunci dan wallet abang. Kita ke hospital sekarang.”
            Puan Sarimah segera menurut. Kunci kereta Myvi hitam dan dompet suaminya diambil dan mereka berdua berlalu ke hospital. Suhana perlu diselamatkan.
*****
DOKTOR memeriksa Suhana. Kemudian dia memandang ke arah Puan Sarimah dan Encik Shahrul. Dia mengerutkan kening.
            “Bagaimana dengan anak saya doktor?”
Encik Shahrul bertanya apabila melihat doktor sudah selesai memeriksa keadaan anaknya. Puan Sarimah hanya diam. Setia menanti tiap-tiap patah perkataan yang bakal disampaikan oleh doktor itu.
“Badan anak encik cuma sedikit lemah. Mungkin disebabkan tak makan. Biarkan dia berehat secukupnya.”
Doktor itu kemudiannya berlalu. Encik Shahrul sedikit lega apabila mendengar penjelasan daripada doktor. Namun, terbit penyesalan dalam dirinya apabila meninggalkan anaknya sendirian di banglo kolonial yang baru dibeli setahun yang lalu.
“Abang, jom kita jenguk Su.”
Puan Sarimah mengajak Encik Shahrul menjenguk anak mereka. Encik Shahrul hanya menurut.
“Abang rasa macam kita ni tak bertanggungjawab. Tinggalkan Su sendirian di rumah. Kalau kita sampai lewat, abang sendiri tak tahu apa yang akan berlaku pada anak kita.”
Encik Shahrul menyesal. Teramat-amat menyesal. Puan Sarimah memegang lengan suaminya. Dia juga kesal dengan apa yang berlaku kepada anaknya. Tak sangka begini jadinya.
“Sudahlah tu abang. Menyesal pun dah tak guna. Benda dah jadi. Yang penting selepas ni, kita cuba lakukan yang terbaik buat Su.”
Puan Sarimah cuba memujuk suaminya. Kemudian mereka masuk ke wad yang menempatkan anak mereka. Suhana memerlukan sokongan moral dari mereka.
*****
SUHANA membuka matanya. Wajah mama dan papanya dapat dilihat apabila mereka membuka mata. Dia tersenyum. Puan Sarimah mengusap tangannya. Dia tersenyum.
            “Mama...” panggil Suhana.
            Puan Sarimah tersenyum.
            “Ya sayang. Mama takkan tinggalkan sayang sendirian di rumah lagi.”
            “Su takut mama. Mama jangan tinggalkan Su lagi ya.”
Puan Sarimah mengusap rambut anaknya dengan penuh kasih. Hari ini anaknya sudah boleh dibawa pulang ke rumah. Dia membantu anaknya menyalin pakaian hospital dengan pakaian yang dibawanya dari rumah.
“Hari ni, kita balik rumah ya sayang. Mama beli banyak hadiah dari Jepun untuk Su. Along dan Angah pun dah ada di rumah.”
Suhana mengukir senyuman. Kali ini dia tidak sendirian lagi. Mama, papa, Along dan Angah akan berada di rumah. Bersama-sama memenuhi banglo kolonial itu yang sentiasa sunyi.
“Owh. Nanti bolehlah kita makan sama-sama kan mama. Macam dulu-dulu.”
Suhana sedikit teruja. Dia mahu bersama-sama dengan keluarganya seperti dahulu. Seperti sewaktu mereka masih tinggal di kawasan rumah teres dulu. Dia rindukan kenangan itu.
*****
PUAN SARIMAH memerhatikan tingkah laku Suhana yang sedikit pelik hari demi hari. Suhana dilihatnya selalu mengenakan pakaian yang berwarna putih sepanjang masa dan setiap hari. Rambut anaknya yang panjang dibiar lepas tanpa mengikatnya. Puan Sarimah pelik. Seingatnya, Suhana amat gemar mengikat mendandan rambutnya setiap hari. Dia sedikit hairan dengan tingkah laku Suhana. Bukan dia sahaja yang perasan mengenai tingkah laku Suhana yang pelik, malah ahli keluarga lain turut bertanyakan mengenai anaknya Suhana yang berperangai pelik sejak akhir-akhir ini.
            “Su, kenapa tak ikat rambut? Mari sini mama ikatkan.”
            Mata Suhana mencerlung ke arah Puan Sarimah. Puan Sarimah terkedu. Ini pertama kali Suhana berperangai sedemikian rupa.
            “Kenapa sibuk-sibuk nak ikatkan rambut aku? Kau dengki dengan rambut aku kan?”
            Suara Suhana sudah mulai berubah. Puan Sarimah terkedu. Dia cuba menenangkan Suhana namun tangan Suhana sudah mulai mencengkam tangannya kuat.
            “Sayang, sedar tak ini mama? Tak baik sayang buat macam ni dekat mama.”
            Suara Puan Sarimah sudah mulai mengigil. Kekuatan Suhana luar biasa bagi gadis yang seusia dengannya. Tak mampu dia meloloskan diri dari cengkaman Suhana.
            “Mama? Siapa mama aku? Mama aku dah lama mati. Aku dah bunuh dia. Kau jangan nak tipu aku.”
            Suara Suhana semakin kuat bertempik dan dia mulai ketawa mengilai. Puan Sarimah ketakutan. Dia amat berharap suaminya akan pulang ke rumah  segera. Segera Puan Sarimah mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran yang terlintas difikirannya kala itu. Suhana menjadi sedikit berang apabila Puan Sarimah mula mengalunkan ayat Kursi.
            “Diam! Aku kata diam.”
         Serta-merta cengkaman tangan Suhana yang kuat pada lengan Puan Sarimah dilepaskan. Suhana kemudiannya menutup kedua-dua belah telinganya dan jatuh pengsan. Segera Puan Sarimah mencapai telefon bimbit dan mendail nombor telefon suaminya. Dia memangku Suhana yang sudah terbaring lesu di atas lantai di tengah rumah.
*****
SUHANA tersedar. Keadaan bilik itu suram sekali. Dia seakan mengenali tempat ini. Namun dia tidak dapat mengingati apakah tempat ini. Suasana gelap menyelubungi tempat ini. Dia bangkit dari katil menuju ke arah pintu apabila dia menyedari bahawa dia masih di dalam banglo kolonial milik keluarganya. Bunyi bising di luar bilik menyebabkan dia tergerak hati untuk keluar dari bilik tidur itu. Dia mengintai dari celah pintu. Kedengaran seorang lelaki sedang bergaduh dengan budak kecil. Ya, dia kenal budak kecil itu. Budak yang selalu muncul dalam mimpinya.
            “Abang jahat! Lia tak suka abang! Abang patut mati!.”
            Serentak dengan itu, sebilah belati sudahpun tertusuk di perut lelaki itu. Suhana terkedu. Dia menyorok di belakang pintu bilik. Apabila lelaki itu tidak lagi bergerak, si kecil itu sedaya upaya menarik mayat lelaki itu ke dalam bilik itu. Suhana mengigil ketakutan. Kemudian si kecil itu turun ke bawah. Mata Suhana memandang tingkah si kecil itu. Satu persatu anak tangga dituruninya.
            Tak lama selepas itu, kedengaran jeritan lelaki dan perempuan di bawah. Suhana mengigil ketakutan. Adakah nasib mereka juga sama dengan lelaki itu? Perlahan Suhana menuruni tangga. Dia mahu melihat apa yang berlaku. Kakinya tak mampu berdiri apabila melihat seorang lelaki dan perempuan pertengahan usia kaku berlumuran darah di atas sofa empuk di ruang tamu.
            Sekali lagi kedengaran jeritan di dapur. Suhana tersentak. Segera dia mencari tempat untuk menyorok. Dia takut dia juga akan menjadi mangsa si kecil itu. Dari kejauhan dia memandang si kecil itu di sebalik pasu bunga. Jam berdenting tiga kali menandakan pukul tiga pagi. Pakaian si kecil itu yang berwarna putih sudahpun disimbah dengan warna merah pekat. Bau hanyir darah menyelubungi satu banglo itu. Si kecil itu berjalan sambil membawa sebilah pisau chef di tangannya. Dia melintasi tempat Suhana menyorok. Suhana sedikit lega. Namun, belum puas dia menarik nafas lega, si kecil itu sudahpun berada di hadapannya.
            “Ada lagi yang masih hidup?”
            Si kecil itu mengilai. Pisau chef itu kemudian ditusuk ke perut Suhana. Tepat.
*****
“Mama!”
Suhana menjerit. Dia memeluk Puan Sarimah. Badannya berpeluh. Puan Sarimah cuba menenangkan Suhana. Encik Shahrul juga berada di situ. Suhana memerhatikan keadaan sekeliling. Mama, papa, abang dan kakaknya turut berada di ruangan itu. Dia memandang ke arah lelaki berjubah putih. Lelaki itu memegang tasbih. Puan Sarimah mengusap kepalanya. Dia bersyukur Suhana sudah sedar.
“Alhamdullilah. Su sedar juga sayang.”
Suhana mengerutkan kening. Papanya sedang mengucapkan terima kasih kepada lelaki berjubah putih itu. Dia meminta pengertian daripada Puan Sarimah.
“Mama, tadi Su mimpi, ada kisah bunuh dalam rumah ni.”
“Shhh... Su jangan fikir apa-apa. Mama dan papa janji takkan tinggalkan Su seorang lagi. Kita pindah rumah. Mama tak nak duduk dalam rumah yang membahayakan anak-anak mama.”
Puan Sarimah menenangkan Suhana. Dia juga baru tahu bahawa dahulunya rumah ini pernah dihuni oleh sebuah keluarga kenamaan yang berakhir dengan kisah pembunuhan yang tragis. Dikatakan juga anak bongsu keluarga itu dilaporkan hilang dan tidak ditemui sehingga kini. Tidak siapa yang mengetahui kisah anak bongsu keluarga itu. Ada yang mengatakan dia dihantar ke pusat pemulihan akhlak dan ada juga mengatakan bahawa dia membunuh diri sendiri di dalam bilik tidurnya. Tak siapa yang tahu.
*****
DI SATU SUDUT, seorang gadis bergaun putih sedang memerhatikan banglo kolonial itu dari jauh. Dia tersenyum. Rambutnya yang panjang dilepaskan. Dia menari-nari dan kemudian menghilang dalam kabus putih.
TAMAT

P/s: Cerpen pertama yang guna genre seram. Harap suka.