Followers

Siapakah kekasih hatiku? 12

Wednesday, December 14, 2011
BAB 12
HUJUNG minggu itu, aku dihantar ke rumah mama. Sendirian. Alan ingin ke luar negeri. Ada urusan katanya. Aku malas mengambil tahu urusannya. Aku tak layak. Kakiku semakin pulih. Mungkin nanti aku sudah boleh memandu seperti biasa. Aku bersendirian di dalam bilik tidurku.  Berbaringan di atas katil yang banyak membawa memori zaman sekolahku. Inilah tempat aku membaca novel sampai tak tidur malam.
“Tia?”
 Mama memanggilku. Lembut kedengarannya di telingaku.
“Ya?”
Aku ternanti-nanti. Aku masih tertanya-tanya apa yang mama ingin sampaikan kepadaku. Aku tak mengharapkan perkara yang hendak dikatakan itu berkait dengan Alan. Aku tak mahu berbohong lagi dengan mama dan abah. Cukuplah sekali aku berbohong. Aku dah serik.
“Mama ingat nak adakan majlis kahwin Liya kat rumah juga tapi Tia kena tolong mama. Boleh tak?”
Mama membuat permintaan terhadapku.
“Nak buat bila majlisnya? Kalau nak tolong tu tak payah mintalah mama. Tia boleh je tolong. Lagipun Liya kan adik Tia. Apa salahnya tolong. Tak luak pun.”
 Aku memaniskan muka. Senang hati jika dapat turut sama membantu meringankan  beban mama dan juga Liya. Lagipun sewaktu majlis perkahwinan aku dulu, Liya dan mama juga yang tak tidur malam menyiapkan hantaran dan persiapan kahwinku. Apa salahnya, kali ini aku memberikan sedikit tenaga membantu mereka?
“Nanti mama bagi tahu Tia. Lagipun dah setuju nak buat hujung tahun ni.”
 Mama  menerangkan. Mama sudah melangkah ke muka pintu bilikku namun dia berhenti seketika. Perlahan dia berpaling kepadaku.
“Betul Tia nak drive sendiri balik nanti? Mama risaulah. Lagipun kaki Tia pun tak berapa nak baik lagi tu. Tak nak abah hantar?”
Aku menggelengkan kepala. Mama hanya menurut. Faham benar dengan sikapku yang satu. Keras kepala. Mama memang prihatin. Namun aku tetap dengan keputusanku. Aku mahu memandu sendiri. Keretaku masih boleh digunakan. Jadi aku mahu memandu sendiri. Sudah lama kereta kecilku tidak kupandu semenjak kemalangan itu.
 Aku rindu hendak memandu. Terlalu rindu. Lusa aku akan berangkat pulang ke rumahku. Rindu rasanya mahu ketemu Alan. Walaupun bicaranya banyak menghiris hatiku namun semakin hari, semakin aku menyayanginya. Pelik kan?  Kadang kala pernah juga aku terfikir untuk mengundur diri sekiranya dia berterus terang mengenai perkahwinan keduanya denganku. Namun, aku tak sanggup membayangkan kehidupan aku tanpa dirinya. Aku rasa tertipu. Kalaulah dulu aku tolak permintaan Alan, pasti aku bahagia.  Entahlah, mungkin aku patut berusaha lebih untuk hubungan ini. Ya! Aku harus sabar. Satu hari nanti, pasti dia menerimaku seadanya. Aku yakin!

*****

AKU pulang semula ke rumahku .Banglo dua tingkat yang sunyi. Untuk apa punya suami yang kacak, kaya namun kurang kasih sayang. Aku melangkah masuk ke dalam rumah. Baru sahaja aku melangkah masuk ke dalam rumah, aku teringatkan sesuatu perkara. Ada barang yang dikirim oleh mama buat ibu mentuaku. Mama. Biasalah. Pasti ada sahaja yang dikirimkan buat ibu mentuaku.
Aku mengunci semula pintu. Lantas kereta yang baru kuparkir di garaj kereta kupandu menuju ke rumah mentuaku. Sesampainya di rumah mentuaku, aku terpandangkan kereta Alan. Alan?
‘Alan tidur rumah bonda rupanya.’
Barang- barang yang dikirim mama pun kuangkat sekali. Perasaan teruja menguasai diri kala ini. Teruja untuk berjumpa dengan bonda dan juga Alan. Aku ingin memberi salam namun aku terkedu. Lama aku berdiri di depan pintu. Drama televisyen swasta sedang ditayangkan secara langsung dihadapanku. Aku melihat suamiku sedang beristirehat ditemani oleh gadis yang sama aku temui dulu. Bonda dan papa juga turut gembira. Berbual-bual dengan gembiranya tanpa menyedari aku berdiri di depan pintu. Lama juga aku berdiri di situ sehinggalah Mak Munah menegurku.
“Puan muda, kenapa duduk kat depan pintu macam ni?” 
Mak Munah, pembantu rumah bonda menegur aku. Aku tersentak. Hampir sahaja barang-barang di tanganku terlepas. Nyata mereka sekeluarga turut terperanjat besar dengan kehadiranku yang tak disangka-sangka. Aku tersenyum hambar.
‘Tembelang dah pecah. Tia jangan menangis. Kau mesti kuat di hadapan dia. Kau mesti buktikan semua itu tak mencalarkan sedikit pun hati  kau.’
Aku mula memujuk diriku. Namun aku tahu semua itu tak guna. Hatiku kini kecewa.
“Tia, kenapa tak cakap nak datang.”
Bonda menyambutku di muka pintu. Plastik beg yang kubimbit kuserahkan kepada Mak Munah. Aku menyalami bonda.
“Mama kirimkan barang untuk bonda dan papa. Tu yang Tia datang tak bagi tahu dulu.”
Aku cuba menceriakan wajah. Seceria yang mungkin. Aku memandang Alan dan gadis itu. Nyata wajah mereka kelat. Tanda tidak senang dengan kehadiran aku di sini.
“Masuklah sayang. Duduk sebelah bonda.”
Bonda menarikku agar bersama-sama papa, Alan dan gadis itu di ruang rehat.Aku hanya  menurut. Aku menyalami Alan,dan kemudian berjabat tangan mesra dengan gadis itu. Papa kelihatan serba salah. Aku tahu kenapa. Mungkin dia resah memikirkan perasaan aku ketika ini. Mungkin dia takut aku akan mengapa-apakan menantunya yang cantik ini.
“Tia minumlah.”
 Bonda mempelawaku minum. Aku mengangguk kecil. Aku rasakan suasana yang bahagia tadi bertukar canggung. Kerana akukah? Wajah kelat Alan semakin menjadi-jadi. Sepanjang di ruang rehat itu, hanya bonda yang sudi berbicara denganku. Yang lain? Tak sudi.
“Bonda, papa. Tia rasa nak baliklah. Dah lambat ni. Rasa macam menganggu bonda pula.”
Aku cuba mengundur diri. Bonda serba salah. Aku tahu pasti dia bersalah kepadaku. Rasa kasihan melihat aku diduakan suami sendiri. Papa hanya menghirup kopi yang dihidangkan oleh Mak Munah. Lagaknya seperti malas untuk mencampuri urusan rumah tangga kami.
“Zatia bt Hassan, kau tak nak tahu ke? Siapa gadis ni?”
Alan mula bersuara. Aku mengangkat muka. Memandang Alan. Mengumpul segala kekuatan untuk menghadapi semua ini.
“Abang cakaplah. Tia tak nak tanya abang.” 
Aku bersuara. Perlahan namun cukup untuk didengari oleh semua yang berada di situ.
“Mari sini, aku kenalkan. Ariana Julisa. Isteri aku a.k.a madu kau.”
Terang dan jelas suaranya menyapa gegendang telingaku.  Aku tersenyum. Mencari-cari perkataan yang sesuai untuk diungkapkan kepada pengantin baru.
“Oh, tahniah abang. Semoga abang bahagia selalu dengan dia.”
Itu sahaja yang mampu aku ucapkan tika itu. Bonda? Memandangku dengan penuh simpati. Papa? Diam sahaja. Mungkin dia tak mahu mencampuri urusan kami.
“Kenapa kau tak marah?”
Alan pelik. Tika itu aku lihat bonda, papa dan juga Riana sudah berlalu ke dalam rumah. Tinggal aku dan Alan di situ.  Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku menerkam Riana saat itu. Bertanya kepadanya, mengapa sanggup menjadi perosak rumah tangga kami. Namun, aku tidak mempunyai hak itu. Alan tak pernah meletakkan aku di dalam hatinya. Mana mungkin aku melabelkan dia sebagai perampas. Riana bukan perampas sebaliknya akulah yang perampas.
Aku tak menjawab soalan Alan. Aku biarkan dia termangu-mangu sendirian. Aku mahu dia mencari sendiri jawapannya.

*****

“TIA tak marah pun. Memang abang ada hak nak buat macam tu. Tia bukan siapa-siapa nak halang abang.”
Aku bersuara. Cuba untuk menutup kekecewaan yang mula bertandang di hatiku. Alan? Legakah mendengar jawapanku? Aku tak pasti.
“Baguslah macam tu. Aku pun dah malas nak sorok-sorok dengan kau.”
Alan menghirup teh yang masih berbaki. Aku senyap.  Perlahan aku menanggalkan cincin perkahwinan yang tersarung di jari manisku. Kuletakkan di atas meja. Alan sedikit tersentak.
“Apa ni?”
Dia seakan tak percaya apa yang aku lakukan. Aku menanggalkan gelang tangan yang diberikan sebagai hantaran perkahwinanku. Kuletakkan juga di atas meja.
“Tia rasa tak layak nak pakai barang-barang ni. Tia pulangkan pada abang. Terpulanglah pada abang. Nak buang atau nak simpan. Ambillah, benda ni bukan milik Tia. Ia milik isteri abang. Tia bukan isteri abang. Tia cuma…”
Aku tak sanggup nak meneruskan kata-kataku. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Mencari kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.
“Kau simpan je la semua ni. Anggap hadiah daripada aku.”
Alan cuba berdiplomasi. Aku senyap.
“Takpelah abang. Tia tak layak nak pakai benda itu. Selama ni pun, abang pun tak pernah anggap Tia sebagai isteri abang kan. Berikan pada yang berhak.”
Aku mengambil gelang tangan dan cincin dan kuletakkan di atas telapak tangannya.  Mataku tertancap kepada jari manis suamiku. Cincin yang dipakainya, bukan cincin perkahwinan kami. Saat itu, aku semakin nekad untuk menjauh dari hidupnya. Aku sangka aku mampu menundukkan Alan namun belum aku memulakan rancanganku dia sudah membuang aku.
“Tia.”
 Alan bersuara perlahan. Aku tak tahu apa yang sedang bermain di fikirannya ketika itu. Yang pasti, aku sedih. Sepatutnya Alan berpesta. Aku takkan lagi mengganggu ketenangan hidupnya.
“Tia dah penat abang. Dah penat terhegeh-hegeh hendakkan abang tapi abang sikit pun tak pandang Tia. Tia penat tunggu abang kat rumah tapi abang tak pulang-pulang. Tia penat dengar kata-kata abang yang selalu menyakitkan hati Tia. Tia dah penat.”
Aku bangkit dari dudukku dan berjalan ke dalam rumah. Setitis air mata pun tidak kubenarkan menitis. Aku harus kuat. Aku masuk ke dalam rumah. Niatku ingin ketemu bonda. Namun aku terpandangkan Riana. Gadis manis itu sedang bersendirian di ruang tamu. Aku mendekati dia. Niatku hanya ingin menyapa namun pantas Alan menarikku.
“Kau jangan nak apa-apakan dia.”
Amaran keras dari Alan. Lenganku digenggam kuat. Aku mula merasakan sakit di lenganku. Namun aku bertahan. Bonda hanya memandang kami dari jauh.
“Tia cuma nak bercakap sebentar dengan dia. Bukan Tia nak buat apa pun.”
Aku cuba melepaskan tanganku dari pegangan kejap Alan. Alan melepaskan tanganku.
“Huh, cakap la.” Alan memerhatikan aku mendekati Riana. Riana sedikit tersentak dengan kehadiranku.

*****

 “RIANA kan? Cantik nama.”
 Aku tersenyum hambar. Riana menayangkan muka pelik terhadapku. Tanda tidak senang denganku. Mungkin takut diapa-apakan olehku.
“Tia cuma nak bersembang sekejap saja dengan Riana. Itu pun kalau sudi.”
Aku masih menanti balasan dari Riana namun dia tak menunjukkan tanda-tanda berminat untuk berbicara denganku.
“Kalau Riana tak sudi, tak pelah. Mungkin lain kali.”
Aku bangkit. Alan segera mendapatkan isteri tercintanya. Risau benar aku akan melakukan perkara-perkara yang buruk terhadap isterinya. Aku melangkah ke arah bonda.
“Bonda, Tia pulang dulu ye. Ada masa Tia datang lagi. Tu pun kalau bonda dan papa masih sudi nak tengok muka Tia ni.”
Aku tersenyum hambar. Bonda memeluk tubuhku erat. Esakan bonda jelas kedengaran di telingaku.
“Hish bonda ni, dapat menantu baru pun nak sedih-sedih macam ni.”
Aku cuba memujuk bonda. Perlahan-lahan bonda merenggangkan pelukannya. Aku melangkah keluar dari rumah banglo mewah itu dengan hati yang sebal.
‘Dapatkah aku menjejakkan kaki ke sini lagi?’

*****

SUDAH beberapa minggu peristiwa itu berlaku namun masih lagi meninggalkan kesan ke atasku. Aku nekad mencari kerja. Risau diceraikan oleh Alan. Aku perlu bersedia. Aku berjalan-jalan sekitar bandar Kuantan. Mencari kerja-kerja kosong. Akhirnya aku mendapat kerja. Dengan ijazah yang kuperoleh daripada universiti, aku kini menjawat jawatan sebagai pengurus di salah satu restoran makanan segera. Aku berkerja setiap hari. Pagi, petang , siang  dan malam. Kerjaku dan laporan-laporan yang perlu kusiapkan dengan segera. Aku semakin melupakan Alan. Namun aku tetap menjaga batasanku kerana aku masih lagi isteri Alan.
Alan? Sudah lama aku tidak ketemu dengannya sejak peristiwa itu. Aku sudah berputus asa dengan Alan. Namun Alan tetap mengirimkan nafkah buatku. Pernah sekali, aku pulang ke rumah dan kudapati peti sejuk di rumah penuh dengan bahan-bahan keperluan yang tak sempat kubeli lantaran sibuk di restoran. Ketukan pintu membawa aku ke alam nyata. Sudah terlalu banyak aku mengelamun. Aku harus berkerja. Kerja, kerja dan kerja. Aku sebolehnya ingin menamatkan hubungan yang mengikat aku dengan Alan. Namun ,bonda, papa, mama dan abah menjadi penghalang. Aku takut keputusanku akan menyakiti mereka.
“Puan tak keluar makan ke hari ni?”
Pembantuku, Hanis menegurku. Aku tersenyum.
“Tak. Saya tak lapar.”
 Aku masih lagi meneruskan kerja-kerjaku yang sedikit menimbun di di atas meja. Sesekali mataku memandang ke skrin komputer untuk meneruskan membuat laporan.
“Kalau macam tu, saya buatkan milo untuk puan?”
Hanis cuba memancingku untuk menjamah makanan. Aku tahu dia risaukan keadaanku. Aku perhatikan Hanis sebagai seorang yang sangat berdedikasi dan mengambil berat akan orang lain. Kadang kala aku rasakan dia seperti adik aku sendiri lantaran sikap mengambil beratnya yang melampau-lampau itu. Namun aku cukup senang dengan tingkahnya.
Okay. Buat pekat-pekat tau. Extra milo kurang susu.”
Aku tersenyum. Hanis berlalu dan sekali lagi ketukan di pintu menganggu konsentrasi aku.
“Hanis, kan saya dah cakap, saya tak nak makan. Buatkan milo je.”
 Ku sangkakan Hanis namun telahanku ternyata silap.
 “Zatia. Lama tak jumpa. I rindu la.”
 Aku tersentak. Wajah lelaki itu aku tatap. Lama ku perhatikan dan kutenung. Aku seakan kenal wajah itu. Ingatan terhadap wajah tersebut semakin lama semakin jelas di kotak fikiranku.
‘Mungkinkah dia...’





10 comments:

  1. danishatul said...:

    kecian tia ...alan nie eeee geram btul la ase nk penyet2 je...sape plak gerangan yg rindukan tia ye ...adesss suspen2

  1. Naja said...:

    adoila tia, sian nya kat awak, lupakan lah alan 2,bg tia lak kawan ngan org 2, biar alan jeles tahap tak hengat.... padan muka,hu..hu

  1. eija said...:

    wah ada watak br npk nya.. Mkin mnarik..
    Cian kt tia, kalo lah jd tia cfrm dh blah.. Xde mkna nk tgu2.. Nape lah tia xnk mx plepasan kn snag..tlpas dr beban......

  1. bagus tia,just lupakan alan tuh!x sedar diri punye laki,huh!tp sape pulak watak baru tu ye cik hazel? cepat sambung pliss?

  1. nursya said...:

    writer...
    rewrite blk ke citer nie...
    ari tu rs mcm da bc jer part nie..
    tp mmg last2 ari tu nk tau sgt saper yg dtg jmpa tia tu...
    huk huk huk...

  1. nursya: memang cerita ni ditulis semula tapi ada sedikit perubahan.

    Kepada pembaca lain,terima kasih kerana sudi membaca. ^^v

  1. Anonymous said...:

    best...leh tak cepat sket msokan new entry

  1. Anonymous said...:

    sadisss betul ngan tia --- apa pun tia msih isteri alan - hope tia tetap akan jaga status dia - klau nak ada hubungan wit d new hero yg baru muncul tu - sbaiknya tia minta lepas kn sja dari alan - *wlaupun s kadar novel jgn lupa nilai islam tdk boleh d ambil remih*

    so far i like tia character - cukup penyabar!
    -jazmeen-

  1. Anonymous said...:

    bila nk sambung ni...

  1. Hanim69 said...:

    salam...
    dulu penah baca cerita ni... rasanya cerita ni dh diolah semula... suka watak Tia yg terlalu penyabar dan x menyerah kalah walaupan ingin berundur diri dr Alan.... Amat2 mnyampah dgn sikap dayus Alan... berpoligami yg berat sebelah... pentingkan diri sendiri... kejam pd isteri dr segi mental... tp bila difikirkan semula... harga sebuiah kebahgiaan memang sgt3x mahal.... harap Tia dpt mncari kebahgiaan sendiri... x semestinya Tia bahagia bersama Alan.. tp mungkin dgn org lain..
    Rania pula.... x ke berasa bersalah mnjadi org ketiga dlm perkahwinan Alan dan Tia? Sekurang2nya ada perasaan bertimbangrasa? Tidakkah Rania berasa takut akn balasan tuhan kerana mmbiarkan suaminya bersikap berat sebelah dan mnjadi suami yg x adil?