Sumber: google.
SI KECIL itu memeluk lutut. Dia memerhatikan keadaan sekeliling. Bau hanyir darah dapat dihidu. Dia mengigil ketakutan. Dia tahu ada yang memerhatikannya kala ini. Ibu, ayah, kakak dan juga abangnya semuanya telah mati dibunuh dengan kejam di dalam banglo kolonial itu. Hanya dia seorang sahaja yang masih bernafas. Dia memandang sayu sekujur tubuh abangnya yang mati ditikam di perut di hujung katil tempatnya duduk.
“Mama, papa...” panggil si kecil itu perlahan.
Perlahan dia bangun ke ruang tamu. Mayat ayah dan ibunya bergelimpangan di atas sofa di ruang tamu mempamerkan satu permandangan yang ngeri untuk ditonton oleh kanak-kanak seusia dengannya. Dia berlalu ke arah dapur, sekujur badan yang kaku terlantar di atas lantai. Dia memandang sayu kakaknya. Mengapa kakaknya dibunuh? Hanya dia sahaja terselamat dalam kejadian ngeri itu. Seketika kemudian, kedengaran siren polis yang nyaring menyapa gegendang telinganya
*****
SUHANA tersedar dari tidur. Kebelakangan ini, mimpi ngeri selalu menghiasi malamnya. Matanya mengerling ke arah jam di sisi katil. Tepat pukul tiga pagi seperti biasa. Dia bangkit dari pembaringannya dan menuju ke dapur. Tekaknya begitu haus. Dia perlu minum bagi menghilangkan dahaga. Ruang rumah yang gelap menimbulkan suasana seram ditambah pula dia sendirian di banglo itu. Ibu dan ayahnya masih lagi di luar negara atas urusan penting manakala kakak dan abangnya pula masih berada di kampus. Jadi tinggallah dia sendirian di banglo kolonial itu.
Dia berjalan sendirian ke dapur. Satu persatu lampu dibuka untuk menerangi jalannya. Dapur dirasakan begitu jauh kali ini. Dia menapak perlahan-lahan. Entah mengapa dia merasa sedikit takut kali ini. Bukannya dia tidak biasa ditinggalkan sendirian di rumah. Namun kali ini, dia sedikit aneh dengan suasana rumahnya sedikit suram. Sampainya dia di dapur, dia membuka peti sejuk dan mencapai botol air mineral. Diteguk air itu dengan cepat. Sesekali matanya meliar memerhatikan keadaan sekeliling. Risau, takut dan seram bersatu di dalam hatinya.
“Siapa?”
Dia bertanya apabila terdengar bunyi derap tapak kaki di ruang tamu. Segera dia berlari menuju ke bilik tidur. Dia takut.
“Su takut mama. Su takut. Kenapa mama tak bawa Su sekali,” rengek Su sendirian.
Segera dia menarik selimutnya dan menyorok di dalamnya.
*****
PAGI itu, Suhana berjalan sendirian ke sekolah. Memandangkan sekolahnya berhampiran dengan rumahnya, Suhana selesa berjalan kaki ke sekolah. Dia ke sekolah tanpa menikmati sarapan pagi. Dia berjalan menuju ke kelas. Apabila dia sampai, semua rakan sekelas memandangnya dengan pandangan yang pelik. Dia tidak mengendahkan rakan-rakan sekelasnya. Yang dia tahu, perutnya perlu diisi lantas kakinya dihayunkan ke kantin sekolah. Lagipun, jam baru sahaja menginjak ke pukul 7 pagi. Masih lagi sempat untuk menjamah sarapan.
“Eh, aku dengar Su tu sakit. Sebab tu mak bapak dia tak bawa dia pergi luar negara. Tinggalkan dia dekat rumah berhantu tu.”
Kedengaran suara salah seorang rakan sekelasnya, Amilia sedang elok bercerita mengenainya. Suhana diam. Karipap yang dibelinya dimakan tanpa menghiraukan orang lain yang turut sama makan di kantin sekolah itu. Dia senyap. Dia yakin dia bukan ditinggalkan oleh mama dan papanya seperti yang digembar-gemburkan oleh orang lain.
Usai makan dia menonong ke kelas. Malas mahu melayan kerenah orang yang tidak tahu kisah sebenar. Tiba-tiba dia teringatkan mengenai mimpi yang seringkali mengganggu tidurnya semenjak-dua menjak ini. Dia tidak tahu apa ertinya mimpi itu. Sangat ngeri dan apabila dia terjaga pasti jam locengnya menunjukkan tepat pukul tiga pagi.
“Kenapa harus aku bermimpi sampai macam tu sekali?”
Lamunannya terhenti. Cikgu Alia sudahpun masuk ke dalam kelas.
“Bangun...”
Ketua kelasnya mengarahkan mereka bangun dan salam diberikan kepada Cikgu Alia. Kelas pun bermula seperti biasa.
*****
SUHANA kembali dari sekolah. Kelihatan kereta mama dan papa terparkir garaj kereta. Dia meluru masuk ke dalam rumah. Dia segera berlari ke dapur. Tiada sesiapapun di situ. Lantas dia berlari ke tingkat atas rumah. Pintu bilik mama dan papa dibuka. Kosong. Yang ada hanyalah perabot-perabot kaku yang diselimuti dengan kain putih. Dia terduduk di hadapan pintu bilik itu. Persoalan demi persoalan bermain di mindanya. Betulkah dia sakit sehinggakan mama dan papa meninggalkannya? Dia sendiri tak pasti.
Kedengaran bunyi gelas pecah di ruang bawah rumah. Segera Suhana bergerak menuju ke bawah. Dia cuba mencari di mana bunyi itu datang. Dia bergerak menghampiri dapur. Terdapat kesan kaca bertaburan di atas lantai di dapur. Masalahnya siapakah yang berani memasuki rumahnya?
“Siapa? Cepat keluar. Kalau tak saya panggil polis.”
Suhana cuba memberanikan diri memanggil gerangan yang memecahkan gelas. Dia memanggil dan terus memanggil namun hampa. Penat berkeadaan demikian, dia meneruskan kerja-kerja lain. Bukannya dia tidak biasa ditinggalkan keseorangan. Dia senyap. Kemudian dia terasa seperti seseorang di belakangnya. Dia menoleh. Seorang perempuan berbaju putih sedang memandangnya. Dia tersenyum ke arah Suhana. Bulu roma Suhana tegak berdiri dan tak semena-mena dia pengsan.
*****
ENCIK SHAHRUL dan Puan Sarimah pulang ke banglo kolonial milik mereka. Mereka memasuki rumah yang sunyi itu. Rasanya sudah dua minggu rumah ini ditinggalkan. Mereka melangkah ke dalam rumah. Encik Shahrul meletakkan bagasinya di tingkat atas rumah manakala Puan Sarimah ingin menuju ke dapur untuk menyediakan air untuk dihidangkan kepada suaminya. Sempat juga dia melaungkan nama Suhana supaya anak gadisnya perasan akan kepulangan mereka. Dia begitu rindu dengan anak bongsunya itu. Saat kakinya melangkah ke dapur, dia terkedu apabila melihat sekujur tubuh sedang terbaring lemah di atas lantai dapur.
“Abang!” jerit Puan Sarimah.
Dia terduduk di situ. Encik Shahrul yang mendengar jeritan isterinya terus berlari menuruni tangga. Dia memeluk isterinya yang pucat melihat sekujur tubuh itu. Encik Shahrul mendekati tubuh itu. Dia menyentuh wajah itu. Wajah anaknya Suhana. Segera dia memeriksa nadi anaknya. Masih berdenyut namun lemah. Lantas anaknya didukung dan dibawa menuju ke kereta.
“Imah, ambilkan kunci dan wallet abang. Kita ke hospital sekarang.”
Puan Sarimah segera menurut. Kunci kereta Myvi hitam dan dompet suaminya diambil dan mereka berdua berlalu ke hospital. Suhana perlu diselamatkan.
*****
DOKTOR memeriksa Suhana. Kemudian dia memandang ke arah Puan Sarimah dan Encik Shahrul. Dia mengerutkan kening.
“Bagaimana dengan anak saya doktor?”
Encik Shahrul bertanya apabila melihat doktor sudah selesai memeriksa keadaan anaknya. Puan Sarimah hanya diam. Setia menanti tiap-tiap patah perkataan yang bakal disampaikan oleh doktor itu.
“Badan anak encik cuma sedikit lemah. Mungkin disebabkan tak makan. Biarkan dia berehat secukupnya.”
Doktor itu kemudiannya berlalu. Encik Shahrul sedikit lega apabila mendengar penjelasan daripada doktor. Namun, terbit penyesalan dalam dirinya apabila meninggalkan anaknya sendirian di banglo kolonial yang baru dibeli setahun yang lalu.
“Abang, jom kita jenguk Su.”
Puan Sarimah mengajak Encik Shahrul menjenguk anak mereka. Encik Shahrul hanya menurut.
“Abang rasa macam kita ni tak bertanggungjawab. Tinggalkan Su sendirian di rumah. Kalau kita sampai lewat, abang sendiri tak tahu apa yang akan berlaku pada anak kita.”
Encik Shahrul menyesal. Teramat-amat menyesal. Puan Sarimah memegang lengan suaminya. Dia juga kesal dengan apa yang berlaku kepada anaknya. Tak sangka begini jadinya.
“Sudahlah tu abang. Menyesal pun dah tak guna. Benda dah jadi. Yang penting selepas ni, kita cuba lakukan yang terbaik buat Su.”
Puan Sarimah cuba memujuk suaminya. Kemudian mereka masuk ke wad yang menempatkan anak mereka. Suhana memerlukan sokongan moral dari mereka.
*****
SUHANA membuka matanya. Wajah mama dan papanya dapat dilihat apabila mereka membuka mata. Dia tersenyum. Puan Sarimah mengusap tangannya. Dia tersenyum.
“Mama...” panggil Suhana.
Puan Sarimah tersenyum.
“Ya sayang. Mama takkan tinggalkan sayang sendirian di rumah lagi.”
“Su takut mama. Mama jangan tinggalkan Su lagi ya.”
Puan Sarimah mengusap rambut anaknya dengan penuh kasih. Hari ini anaknya sudah boleh dibawa pulang ke rumah. Dia membantu anaknya menyalin pakaian hospital dengan pakaian yang dibawanya dari rumah.
“Hari ni, kita balik rumah ya sayang. Mama beli banyak hadiah dari Jepun untuk Su. Along dan Angah pun dah ada di rumah.”
Suhana mengukir senyuman. Kali ini dia tidak sendirian lagi. Mama, papa, Along dan Angah akan berada di rumah. Bersama-sama memenuhi banglo kolonial itu yang sentiasa sunyi.
“Owh. Nanti bolehlah kita makan sama-sama kan mama. Macam dulu-dulu.”
Suhana sedikit teruja. Dia mahu bersama-sama dengan keluarganya seperti dahulu. Seperti sewaktu mereka masih tinggal di kawasan rumah teres dulu. Dia rindukan kenangan itu.
*****
PUAN SARIMAH memerhatikan tingkah laku Suhana yang sedikit pelik hari demi hari. Suhana dilihatnya selalu mengenakan pakaian yang berwarna putih sepanjang masa dan setiap hari. Rambut anaknya yang panjang dibiar lepas tanpa mengikatnya. Puan Sarimah pelik. Seingatnya, Suhana amat gemar mengikat mendandan rambutnya setiap hari. Dia sedikit hairan dengan tingkah laku Suhana. Bukan dia sahaja yang perasan mengenai tingkah laku Suhana yang pelik, malah ahli keluarga lain turut bertanyakan mengenai anaknya Suhana yang berperangai pelik sejak akhir-akhir ini.
“Su, kenapa tak ikat rambut? Mari sini mama ikatkan.”
Mata Suhana mencerlung ke arah Puan Sarimah. Puan Sarimah terkedu. Ini pertama kali Suhana berperangai sedemikian rupa.
“Kenapa sibuk-sibuk nak ikatkan rambut aku? Kau dengki dengan rambut aku kan?”
Suara Suhana sudah mulai berubah. Puan Sarimah terkedu. Dia cuba menenangkan Suhana namun tangan Suhana sudah mulai mencengkam tangannya kuat.
“Sayang, sedar tak ini mama? Tak baik sayang buat macam ni dekat mama.”
Suara Puan Sarimah sudah mulai mengigil. Kekuatan Suhana luar biasa bagi gadis yang seusia dengannya. Tak mampu dia meloloskan diri dari cengkaman Suhana.
“Mama? Siapa mama aku? Mama aku dah lama mati. Aku dah bunuh dia. Kau jangan nak tipu aku.”
Suara Suhana semakin kuat bertempik dan dia mulai ketawa mengilai. Puan Sarimah ketakutan. Dia amat berharap suaminya akan pulang ke rumah segera. Segera Puan Sarimah mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran yang terlintas difikirannya kala itu. Suhana menjadi sedikit berang apabila Puan Sarimah mula mengalunkan ayat Kursi.
“Diam! Aku kata diam.”
Serta-merta cengkaman tangan Suhana yang kuat pada lengan Puan Sarimah dilepaskan. Suhana kemudiannya menutup kedua-dua belah telinganya dan jatuh pengsan. Segera Puan Sarimah mencapai telefon bimbit dan mendail nombor telefon suaminya. Dia memangku Suhana yang sudah terbaring lesu di atas lantai di tengah rumah.
*****
SUHANA tersedar. Keadaan bilik itu suram sekali. Dia seakan mengenali tempat ini. Namun dia tidak dapat mengingati apakah tempat ini. Suasana gelap menyelubungi tempat ini. Dia bangkit dari katil menuju ke arah pintu apabila dia menyedari bahawa dia masih di dalam banglo kolonial milik keluarganya. Bunyi bising di luar bilik menyebabkan dia tergerak hati untuk keluar dari bilik tidur itu. Dia mengintai dari celah pintu. Kedengaran seorang lelaki sedang bergaduh dengan budak kecil. Ya, dia kenal budak kecil itu. Budak yang selalu muncul dalam mimpinya.
“Abang jahat! Lia tak suka abang! Abang patut mati!.”
Serentak dengan itu, sebilah belati sudahpun tertusuk di perut lelaki itu. Suhana terkedu. Dia menyorok di belakang pintu bilik. Apabila lelaki itu tidak lagi bergerak, si kecil itu sedaya upaya menarik mayat lelaki itu ke dalam bilik itu. Suhana mengigil ketakutan. Kemudian si kecil itu turun ke bawah. Mata Suhana memandang tingkah si kecil itu. Satu persatu anak tangga dituruninya.
Tak lama selepas itu, kedengaran jeritan lelaki dan perempuan di bawah. Suhana mengigil ketakutan. Adakah nasib mereka juga sama dengan lelaki itu? Perlahan Suhana menuruni tangga. Dia mahu melihat apa yang berlaku. Kakinya tak mampu berdiri apabila melihat seorang lelaki dan perempuan pertengahan usia kaku berlumuran darah di atas sofa empuk di ruang tamu.
Sekali lagi kedengaran jeritan di dapur. Suhana tersentak. Segera dia mencari tempat untuk menyorok. Dia takut dia juga akan menjadi mangsa si kecil itu. Dari kejauhan dia memandang si kecil itu di sebalik pasu bunga. Jam berdenting tiga kali menandakan pukul tiga pagi. Pakaian si kecil itu yang berwarna putih sudahpun disimbah dengan warna merah pekat. Bau hanyir darah menyelubungi satu banglo itu. Si kecil itu berjalan sambil membawa sebilah pisau chef di tangannya. Dia melintasi tempat Suhana menyorok. Suhana sedikit lega. Namun, belum puas dia menarik nafas lega, si kecil itu sudahpun berada di hadapannya.
“Ada lagi yang masih hidup?”
Si kecil itu mengilai. Pisau chef itu kemudian ditusuk ke perut Suhana. Tepat.
*****
“Mama!”
Suhana menjerit. Dia memeluk Puan Sarimah. Badannya berpeluh. Puan Sarimah cuba menenangkan Suhana. Encik Shahrul juga berada di situ. Suhana memerhatikan keadaan sekeliling. Mama, papa, abang dan kakaknya turut berada di ruangan itu. Dia memandang ke arah lelaki berjubah putih. Lelaki itu memegang tasbih. Puan Sarimah mengusap kepalanya. Dia bersyukur Suhana sudah sedar.
“Alhamdullilah. Su sedar juga sayang.”
Suhana mengerutkan kening. Papanya sedang mengucapkan terima kasih kepada lelaki berjubah putih itu. Dia meminta pengertian daripada Puan Sarimah.
“Mama, tadi Su mimpi, ada kisah bunuh dalam rumah ni.”
“Shhh... Su jangan fikir apa-apa. Mama dan papa janji takkan tinggalkan Su seorang lagi. Kita pindah rumah. Mama tak nak duduk dalam rumah yang membahayakan anak-anak mama.”
Puan Sarimah menenangkan Suhana. Dia juga baru tahu bahawa dahulunya rumah ini pernah dihuni oleh sebuah keluarga kenamaan yang berakhir dengan kisah pembunuhan yang tragis. Dikatakan juga anak bongsu keluarga itu dilaporkan hilang dan tidak ditemui sehingga kini. Tidak siapa yang mengetahui kisah anak bongsu keluarga itu. Ada yang mengatakan dia dihantar ke pusat pemulihan akhlak dan ada juga mengatakan bahawa dia membunuh diri sendiri di dalam bilik tidurnya. Tak siapa yang tahu.
*****
DI SATU SUDUT, seorang gadis bergaun putih sedang memerhatikan banglo kolonial itu dari jauh. Dia tersenyum. Rambutnya yang panjang dilepaskan. Dia menari-nari dan kemudian menghilang dalam kabus putih.
TAMAT
P/s: Cerpen pertama yang guna genre seram. Harap suka.
0 comments:
Post a Comment