Followers

Siapakah kekasih hatiku? 1 (Repost)

Wednesday, November 9, 2011
BAB 1
AKU berjalan dengan laju. Mulutku sudah memuncung dengan omelan yang tak putus-putus. Dulu sewaktu aku masih lagi di alam matrikulasi, aku sering disogokkan dengan kesenangan hidup di universiti berbanding sekolah atau matrikulasi. Namun, ternyata jangkaan aku silap. Hidup di universiti tak seindah yang aku impikan. Itu semua dusta belaka. Itu tipu. Itu tipu.
Pernah sekali, aku terasa penat sangat sampai nasi yang kubeli dari kafe tak mampu dikunyah. Mungkinkah hanya aku seorang yang berasa demikian? Lama berjalan, aku menjeling jam tangan Seiko pemberian abah pada hari lahirku yang ke-17.
“Ya Allah, dah pukul 6.15 petang! Sudahlah aku tak sembahyang lagi. Malam nanti ada kelas lagi. Boleh pengsan kalau hari-hari begini.”
Omelan aku ternyata mendapat sahutan dari temanku, Misya.
“Hah! Kau ni apa hal cakap sorang-sorang ni. Dah senget ke kepala kau?”
Misya menegurku dari belakang. Aku berpaling. Satu senyuman penat aku lemparkan kepadanya. Memang aku penat. Bukan senang menjadi seorang pelajar berdedikasi seperti aku. Aku tahu itu.
“Helo, Tia kau masih berada di bumi ke? Ataupun kau dah berlepas ke bulan?”
Misya memerliku lagi. Aku sedar aku kerap hilang fokus apabila bersama dengan Misya. Misya yang zahirnya nampak pendiam sebenarnya seorang yang agak havoc juga. Aku suka berkawan dengannya.
“Aku masih ada di bumi. Aku cuma nak cepat-cepat balik dan bersiap untuk ke kelas malam pula. Macamlah kau tak tahu.”.
Rungutan aku sedikit terganggu apabila Misya kulihat ketawa bersahaja. Entah apa yang diketawakan pun aku sendiri tak pasti. Ini sedikit mencambahkan perasaan geram yang disertakan dengan perasaan sakit hati aku terhadapnya. Hidupnya umpama tidak punya masalah. Aku tak mengerti sama sekali.
“Aku nak keluar makan malam ni. Nak ikut?”
Misya mempelawaku keluar. Baju kurung yang dipakainya dibetulkan sedikit. Tudungnya yang sedikit senget dibetulkan. Aku menggeleng perlahan tanda menolak pelawaannnya. Misya mencebik.
“Malam pun ada kelas lagi. Kelas aku paling lewat pun habis pukul enam petang.”
Misya tersenyum. Mungkin berbangga dengan jadual kelasnya yang langsung tak mengganggu waktu malamnya. Kami memang berbeza. Bahkan sejak dahulu, ramai rakan-rakan pelik bagaimana aku boleh rapat dengannya.
 “Sudah ditakdirkan aku dapat pensyarah yang prihatin dengan masa depan pelajar-pelajar dia. Aku rasa bersyukur sangat dapat pensyarah yang prihatin.”
Aku merasakan ayat yang baru aku keluarkan tadi langsung tidak mempamerkan perasaan aku kala itu. Waktu itu aku lihat Misya sudah buat muka. Seperti biasa aku tahu dia pasti memerliku. Bukan dia tak tahu aku memang anti dengan kelas malam. Sewaktu aku masih belajar di matrikulasi dulu pun, aku paling tak suka bila pensyarah hendak menggantikan kelas pada waktu malam. Alergi betul dengan kelas malam. Mataku ini asyik hendak tertutup sahaja apabila kelas bermula terutamanya pada waktu malam.
“Sudahlah Tia jangan nak tipu bahawa kau suka kelas malam. Bukan aku tak tahu kau tu memang alergi dengan kelas malam ni.”
Aku lihat Misya ketawa. Aku menjeling. Misya seakan mengerti apa yang aku rasakan. Sudahnya aku hanya membiarkan Misya dengan andaian-andaiannya yang agak betul mengenai perasaanku.
“Dari aku layan kau, baik aku balik bilik dan solat. Dah senja rembang macam ni. Solat pun dah kurang pahala aku.”
Aku mempercepatkan langkah ke kolej kediaman dan meninggalkan Misya yang berjalan melenggang di belakang. Saat itu, Misya berlari-lari anak mengejarku dari belakang.
*****
KELAS hubungan etnik yang dijalankan dalam kuliah selama dua jam itu pun berakhir dengan selamat. Penat betul aku mendengar apa yang dikuliahkan oleh Encik Harun itu. Aku berjalan pulang sendirian kerana Intan tidak hadir ke kuliah hari ini. Intan, rakan yang kukenali sewaktu minggu orientasi universiti  sehingga hari ini masih setia bersama-sama denganku. Selalunya Intan tidak akan meninggalkan kelas walaupun sakit tapi kali ini sakitnya sangat teruk sampai diberikan cuti tiga hari oleh doktor.
Sakitnya dirahsiakan dari pengetahuanku. Aku tahu dia tidak mahu menyusahkan aku dengan sakitnya namun perlakuannya sedikit sebanyak membuatkan aku risau berganda-ganda. Aku sudah terbiasa meliaht dia mengerang kesakitan, namun apabila aku usulkan agar dia dibawa ke hospital, sepantas kilat dia akan menolak.  Kadang –kadang aku terfikir apakah penyakit yang dihidapi oleh Intan ? Namun aku tidak boleh memaksa Intan untuk memberitahuku. Rasanya tidak elok memaksa orang lain untuk memberitahu masalah mereka kepada kita sedangkan mereka tidak sudi. Sedang asyik memikirkan persoalan Intan dan penyakitnya, aku disergah Hakim.
“Chak! Kau berangan ke Tia?”
Hakim tersenyum manja di hadapanku. Bagaikan mahu lurut jantungku dek disergahnya.
 “Kau nak tanya aku pasal Intan kan. Aku tahu kau rindukan dia kan?”
Teka aku dan ternyata ia tepat apabila Hakim menggangguk. Hakim sudah tak sabar-sabar ingin mengetahui perkhabaran dari si jantung hatinya, iaitu Intan.
“Aku risau sebab semenjak dua menjak ni, muka Intan asyik pucat. Kadang-kadang tengah aku dating dengan dia pun siap boleh buat muka tahan sakit.”
Aku lihat wajah Hakim yang serius tu lama-lama. Risau betul dia pasal Intan. Bertuahlah Intan dapat teman lelaki macam dia. Tak tahu apa yang harus aku katakan kepadanya. Jadi aku memilih untuk memberikan jawapan klise. Saat itu, Hakim kulihat  mengangguk sahaja. Aku harap dia mengerti  yang aku juga tak punya jawapan bagi soalannya.
*****
AKU lihat Intan berjalan lemah ke arah aku hari ini. Sudah tiga hari dia tidak ke kelas.  Kasihan aku melihatnya. Tapi apa yang boleh aku lakukan selain menasihati dia agar  tidak mengabaikan kesihatannya. Hanya itu sahaja yang boleh aku lakukan. Selebihnya, terpulang kepada dirinya sendiri.
“ Dah ok ke hari ni?”
Aku sekadar berbasa-basi. Intan hanya mengangguk lemah. Raut wajah pucatnya sedikit tak memudarkan kecantikkan asli yang sudah sedia ada padanya. Aku kagum dengannya.
 “Hakim asyik tanya pasal kau saja. Letih aku nak menjawabnya.”
Terang aku tanpa selindung. Aku amati Intan sedikit tersenyum. Entah apa yang membuatkannya tersenyum, aku sendiri tidak pasti.
“Maaflah asyik susahkan Tia. Tak sengaja. Nanti Intan cakap dengan Hakim.” Mungkin Intan digigit rasa bersalah terhadap aku. Namun bagiku, perasaan susah itu langsung tak terbit di dalam hatiku. Malah aku amat berbangga jika Intan menceritakan perihal sakitnya kepadaku agar senang aku khabarkan kepada Hakim apabila masa memerlukannya.
It’s okay as long is not an examination questions.
Aku ingin mengurangkan rasa bersalah Intan terhadapku. Apa yang dapat aku perhatikan daripada sikap Intan, dia seringkali rasa bersalah jika terpaksa menyusahka aku. Sedangkan aku langsung tak terasa susahnya. Daripada aku biarkan dia rasa bersalah biarlah aku ambil perkara itu ringan sahaja.  Aku lihat Intan tersenyum. Lega hati aku melihat dia tersenyum. Pada dasarnya aku rasa Intan lebih memiliki ciri –ciri feminin berbanding aku. Gaya lemah lembut dia pasti akan memikat hati lelaki. Bolehlah aku katakan dia seorang perempuan Melayu terakhir dalam kuliah aku.
“Jom, makan.” pelawa Intan.
“Erm.. kau ni asyik makan je. Tak takut gemuk ke?” Usik aku.
“Badan Intan memang susah nak naik. Makanlah banyak mana pun body still maintain macam ni."
Keletah Intan yang menggoyang-goyangkan badannya mencuit hatiku. Sejurus kemudian, tawa yang cuba kutahan berderai. Intan memang pandai mengambil hatiku.
*****
AKU sendirian menelaah pelajaran di hostel.  Rakan sebilikku entah ke mana. Ke kuliah barangkali. Aku kembali menelaah pelajaran. Sudah tepu mindaku menelaah pelajaran. Sedari lapan pagi tadi sehinggalah jam menginjak ke pukul satu tengah hari, aku masih belum berhenti mengulangkaji pelajaran. Sampai satu tahap di mana tangan aku sakit kerana membuat nota ringkas. Terasa lebih letih daripada berlari di padang bola.
Usai mengulangkaji buat kali terakhir, aku ke bilik mandi, membersihkan diri dan bersiap untuk menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Esa. Terasa lebih tenang dan saat ini aku hanya berserah kepada-Nya kerana aku sudah berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk ujian petang ini. Namun jika sudah aku ditakdirkan untuk mendapatkan keputusan yang baik, aku kira itu adalah ketentuan-Nya yang telah ditetapkan kepadaku.
Usai solat, aku bersiap sedia untuk menghadapi ujian bagi subjek kimia gabungan I. Subjek ini agak berat bagi aku. Walaupun aku amat sukakan subjek ini, namun aku masih lagi meragui keupayaan aku untuk mengingati semua tindak balas yang ada di dalam subjek ini. Aku menapak keluar dari bilik dengan hati yang resah dan gelisah. Entah kenapa, aku rasakan otak aku bagaikan kosong dan seperti tidak berfungsi. Mungkin ini akibatnya belajar lima jam berterusan tanpa rehat. Aku amat berharap fikiranku akan dapat mengingati semuanya. Aku terlihat kelibat Misya yang sedang menuju ke arahku. Dapat aku agak sesuatu yang membelenggu fikirannya saat itu. Namun aku tak pasti apakah yang membelenggunya saat itu.
“Tia, kau tahu tak Intan masuk wad?”
Nota-nota ringkas yang aku pegang jatuh dari peganganku. Aku seakan tak percaya dengan apa yang baru sahaja aku dengari. Betulkah? Adakah ini realiti?
“Aku tak tahu pun. Bila dia masuk wad?”
Entah kenapa aku rasakan semangat untuk menjawab ujian pada petang itu luntur  sama sekali.
“Pagi tadi, lepas solat subuh. Dia pengsan kat dalam bilik. Aku cuba telefon kau dari pagi tadi tapi tak dapat. Kau matikan telefon kau ke?”
Misya meneka. Aku sekadar mengangguk perlahan. Terasa lemah kakiku. Aku bagaikan tak mampu berdiri dengan betul.
 “Eh, Tia aku rasa baik kau pergi jawab test kau dulu lepas tu kita pergi ziarah Intan kat hospital. Jangan lupa bawa si Hakim sekali. Aku rasa dia pun mesti risau pasal buah hati dia.”
Misya mengingatkan aku agar memberitahu Hakim mengenai keadaan Intan.
“Misya, aku tak rasa macam nak jawab test. Aku rasa bersalah sangat kat Intan. Kalaulah aku tak matikan telefon mesti kau dapat telefon aku, lepas tu...”
Air mata sudah mula bergenang  dikelopak mata aku. Serius, aku memang dihantui rasa bersalah kepada Intan. Aku amat risaukan keadaan Intan sekarang. Saat itu, aku hayunkan kaki perlahan-lahan menuju ke dewan untuk mengambil ujian. Setibanya aku di dewan, aku lihat Hakim sedang bergurau senda dengan rakan-rakannya sebelum menanti untuk masuk ke dewan. Apabila dibenarkan masuk, aku melangkah ke dewan dengan fikiran yang bercelaru.
*****

AKU keluar dari dewan dalam keadaan yang tergesa-gesa. Hakim pula mengekori aku dari belakang. Aku tahu dia pun sangat risau akan kesihatan Intan. Sudahlah mereka bercinta sewaktu di matrikulasi lagi. Aku pasti dia sangat risau. Beberapa meter aku berjalan aku melihat Misya melambaikan tangannya ke arahku.Tanpa disuruh aku meloloskan diriku ke dalam keretanya dan Hakim juga turut berbuat demikian. Misya membawa aku ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Sesampainya di sana, Intan kulihat hanya terbaring lesu di atas katil itu. Aku perhatikan tangannya terdapat wayar yang disalurkan air ke badannya. Aku terasa sedih dan sebak. Lantas aku menarik kerusi dan duduk di sebelahnya.
“Intan, Tia datang ni.”
Perlahan aku bisikkan kepadanya. Intan tidak memberikan respon pada awalnya. Namun selepas beberapa minit dia mula membuka kelopak matanya. Dia tersenyum. Aku berpaling kepada Hakim. Kulihat Hakim tersenyum kelat.
“Tia dah datang? Intan risau kat Tia.”
Perlahan dan lemah sahaja Intan mengucapkan kepadaku. Aku memegang tangan Intan. Wajah pucat miliknya aku tenung. Rasa kasihan terus menular ke dalam hatiku. Besarnya dugaan yang dihadapi oleh Intan.
“Tia yang sepatutnya risau pada Intan. Intan sakit apa? Tia bawa Hakim sekali.”
Saat itu Hakim sudah berjalan ke arah kami. Intan tersenyum. Senyumannya tetap manis walaupun mukanya pucat lesi tak berdarah. Hakim mengambil tempatku dan aku berlalu keluar dari wad. Aku ingin memberikan ruang kepada mereka berdua. Pasti banyak perkara  yang ingin dibincangkan.
*****

0 comments: