Followers

Siapakah kekasih hatiku? 9, 10

Wednesday, November 30, 2011
BAB 9

AKU menghempaskan badanku di atas katil. Sunyi. Kuperhatikan keadaan di sekeliling. Objek-objek kaku terletak elok ditempatnya. Kemudian, mataku tertancap pada bingkai gambar yang berada di atas meja berhampiran dengan katilku. Lalu aku bangun mencapai bingkai gambar itu. Gambar aku dan Alan di majlis perkahwinan kami. Segera fikiranku menerawang. Peristiwa yang berlaku petang tadi berlegar-legar di fikiranku dan tanpa disedari sedikit demi sedikit merobek hatiku. Alan. Wajah lelaki itu segera memenuhi kotak fikiranku, menyesakkan dada dan sekaligus menyakitkan hatiku. Lantas air mata yang sudah sedia bermain di tubir mata gugur juga.
‘Kenapalah aku nangis-nangis macam ni. Tak guna pun menangis sebab laki macam tu.’
 Aku cuba memujuk hati sendiri. Lantas, aku bangkit dari katil. Bingkai gambar sengaja kubiarkan di atas katil. Lalu aku ke kamar mandi. Mencari sedikit ketenangan dengan buih mandian lavender yang baruku beli tadi.
Lama juga aku berendam di dalam tab mandi. Siap buat konsert lagi. Habis semua lagu jiwang-jiwang terkeluar dari mulutku. Nyanyian ala-ala soprano juga turut kupersembahkan untuk mengurangkan kesedihan. Sudah menjadi tabiatku, jika hatiku diamuk resah, aku pasti aku menyanyi lagu-lagu jiwang dengan sepenuh jiwa raga dan sedaya- upaya menyumbangkan lagu tersebut.
Ingin aku mendapatkan khidmat Misya, namun aku takut akan membuka pekung di dada. Aku tak mahu kepincangan rumah tanggaku diketahui umum. Setelah lama berfikir, aku putuskan untuk menanggung sendiri sahaja. Orang luar tak perlu tahu.
*****
ENTAH berapa lama aku bertapa di dalam bilik air. Aku sendiri tak menyedarinya. Akhirnya aku keluar juga. Dalam kesamaran cahaya, aku dapati seketul objek seakan-akan manusia sedang berbaringan di atas katilku. Mujurlah aku sudah siap berpakaian. Sudah menjadi tabiatku untuk terus memakai pakaian di bilik mandi. Almaklumlah aku ni kan pemalu. Lama aku berdiri di muka pintu bilik air itu. Memerhatikan objek yang terdampar bak dugong kelemasan di atas katilku. Tiba-tiba objek itu bangkit dari pembaringannya. Memandang aku yang masih lagi di muka pintu.
“Sedap nyanyian soprano kau. Patutlah dua tiga hari ni ade je pinggan yang retak kat rumah kita ni.”
Alan memerli aku. Aku senyap. Lantas aku mendekati Alan. Tangannya ku salam dan kukucup. Namun segera Alan menarik tangannya dari peganganku. Tindakan refleks agaknya. Aku sudah biasa dengan tindakan refleks sebegitu.
“Abang baru sampai?”
Aku bertanya. Sengaja aku lembutkan suara, khas buat Alan kerana dia suamiku.
“Lama la jugak sampai naik bernanah telinga aku dengar kau menyanyi kat dalam tu.”
Sinis pertuturannya. Aku akur. Aku isteri yang tak dianggap. Pastinya dia tak punya hati untuk menuturkan kata-kata yang indah buatku. Aku berlalu ke arah meja solek. Rambut yang agak lembab ku sikat dengan menggunakan jari jemariku sebelum menggunakan sikat. Losyen bayi aku lumurkan di tangan, leher and juga kakiku. Bedak Carrie Junior kutempek ke muka ku yang tak seberapa ni. Aku hanya melirik ke arah  Alan. Masih berbaringan di atas katil.
‘Kenapa dia tak tidur kat rumah isteri baru dia? Biasanya lelaki ni mana nak berenggang dengan isteri dia. Lagi-lagi yang dia sayang.’
 Aku bermonolog sendirian.  Entah mengapa aku ingin sekali berbicara dengan Alan. Sekadar berborak kosong. Lagipun sudah lama aku tak berborak dengan Alan.
“Abang?”
Aku memanggil Alan. Kadang kala aku sendiri pelik akan sikapku. Aku selalu cuba mendekati Alan, cuba memikatnya meskipun aku tahu sukar untuk mendapatkan hatinya walau secebis.
Alan diam. Lantas aku berpaling dari meja solek. Mencari seraut wajah Alan. Alan senyap. Aku bangkit menuju ke arah Alan lantas aku melabuhkan punggung di birai katil. Bahunya kusentuh. Sekalilagi tindakan refleks berlaku lagi. Tanganku ditepis. Aku tersentap. Dengusan Alan memberikan aku isyarat agar tidak mengganggunya. Aku bangun dari dudukku. Saat itu,  telefon bimbit Alan mula mengalunkan lagu tanda ada yang memanggil.
Alan menjawabnya sambil mata mengerling ke arahku, mengisyaratkan agar menjauh dari dirinya. Aku akur. Aku berlalu keluar dari bilik. Sempat juga aku mendengar tawanya dengan pemanggil itu.
I love you, sayang. Bosanlah  duduk kat sini. Sayang la, suruh abang balik rumah ni. Padahal sayang tahu abang rimas duduk kat sini.”
Manjanya bunyinya. Aku sendiri tak sangka ayat-ayat romantis seperti itu boleh keluar dari kotak suara Alan.
Aku tergamam. Lututku terasa longgar mendengar kata-kata romantis itu. Tapi sayang, bukan untukku. Mudahnya bagi seorang insan bernama Riana mendapat kasih sayang seorang suami. Sedangkan aku? Ketandusan kasih sayang seorang suami. Terpaksa mencari-cari kasih sayang suami dalam bahtera rumah tangga yang hampir karam di tengah lautan. Mungkinkah aku pengemis cinta?
Tak sanggup mendengar bait-bait romantis Alan buat Riana, aku turun ke bawah.Lantas punat televisyen dibuka. Aku? Menikmati drama yang tak tahu hujung pangkalnya di televisyen. Entah bila aku tertidur pun aku tak pasti. Yang pastinya, aku cuba mencipta kenangan manis  bersama Alan di dalam mimpi.
‘Mengapa saat hati ini sudah mula menyayangi, dia bertindak menyakiti?'


BAB 10

SAYUP-SAYUP kedengaran azan subuh menyedarkan aku dari lena yang panjang. Aku bangkit dari sofa dan berlalu ke arah bilik tidur utama. Perlahan kakiku mendaki satu persatu anak tangga. Akhirnya aku sampai di hadapan bilikku. Lama aku berfikir sebelum melangkah masuk. Risau aku akan mengganggu lena Alan. Lama juga aku mundar- mandir di hadapan pintu dan akhirnya..
‘Alah, masuk je lah. Bukan aku nak kejutkan dia pun kan.’
Aku berkira-kira untuk masuk ke bilik dan akhirnya tanganku memulas tombol pintu bilik. Perlahan. Sayup-sayup kedengaran alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran menyapa telingaku. Aku terkaku di situ. Alan memandang aku. Aku membetul-betulkan rambut aku yang sedikit kusut lantaran baru bangkit dari tidur. Aku terus berlalu ke bilik mandi. Ingin mengambil wudu’ dan segera menunaikan solat subuh.  Apabila aku usai mengambil wudu’, kulihat Alan masih berteleku di sejadah. Saat itu, aku rasakan dialah lelaki yang terbaik untukku. Alan memandang aku. Senyuman manis cuba ku hadiahkan namun hambar kurasakan.
“Hurm, jom jemaah sama-sama.”
 Perlahan Alan menuturkan itu kepadaku. Aku seakan tak percaya apa yang kudengari. Terharu, gembira, sebak semuanya bercampur menjadi satu perasaan yang sukar di gambarkan dengan kata-kata. Aku menyarung telekung dengan segera dan pagi yang hening itu menjadi saksi aku solat berimamkan suamiku sendiri, Alan.
Bacaan doa selesai dibaca oleh Alan dan aku mengaminkan doa itu. Tiba-tiba seakan ada satu perasaan halus yang mengusik hati dan perasaanku.
‘Perlukah aku merebut dia dari Riana?’
Soalan itu kerap berlegar-legar di fikiranku tika ini. Alan menghulurkan tangannya kepadaku, tanda ingin aku menyalaminya. Aku menyalaminya dan mengucup tangannya. Kuharapkan ada kucupan singgah di dahiku seperti yang kusaksikan di dalam drama televisyen swasta namun hampa. Aku hampir terlupa yang dia hanya memakai pangkat suami di atas surat nikah.
*****

SARAPAN pagi aku sediakan dengan penuh kasih sayang. Almaklumlah, aku baru mendapat suntikan semangat dari suamiku tadi. Kisah rumah tanggaku semakin menunjukkan tanda-tanda positif walaupun dengan kehadiran Riana. Sehingga kini aku masih mendiamkan kisah isteri kedua Alan. Malas hendak menyibukkan diri dengan kisah rumah tangga Alan dan maduku. Bukan aku tak mahu bertanyakan mengenai Riana, namun aku khuatir nanti Alan akan memberikan jawapan yang bisa mengugah kesabaran yang kuhimpunkan selama ini. Biarlah masa yang menentukan.
Telur mata kerbau separuh masak bersama nasi goreng cina serta kopi kusediakan sebagai sarapan pagi ini. Kelibat Alan yang sedang menuruni tangga melekakan aku seketika. Menatap betapa kacaknya suamiku yang aku kongsi dengan seorang wanita lain yang bernama Riana.  Alan melabuhkan punggung di kerusi. Segera aku mencedukkan nasi goreng ke dalam pinggannya. Secawan kopi aku sediakan untuknya.
“Abang, makan.”
Aku mempelawa Alan menjamu selera. Alan hanya mengangguk sedikit dan menyuap makanan ke dalam mulut untuk dikunyah.
“Mungkin aku tak balik malam ni. ada hal.”
Alan memulakan bicara. Suapanku terhenti seketika. Namun aku terus tersedar, lumrah insan berkongsi suami memang begini. Harus ada giliran bagi mengelakkan ketidakadilan.
“Hurm, kalau macam tu Tia nak minta izin balik rumah mama boleh tak? Dah rindu.”
Aku menguis-nguis nasi yang masih berbaki di pinggan. Menanti bicara seterusnya dari Alan. Mengharapkan keizinan Alan untuk pulang ke rumah mama.
“Mulai hari ini, aku izinkan semua aktiviti yang kau lakukan kecuali yang menjatuhkan maruah aku sebagai suami kau dan mencalarkan maruah kau sebagai isteri aku,”  tutur Alan.
Aku menghirup kopi namun kelat rasanya. Terasa tersekat di kerongkongku. Memandang Alan yang begitu selamba menyuap nasi sedikit demi sedikit ke mulutnya. Apakah dia sedar yang aku amat terguris dengan kata-katanya? Membunuh rasa bahagia yang baru aku kecapi hari ini. Kadang kala aku terfikir, siapakah aku di matanya.
“Terima kasih abang.”
Aku bangkit dari kerusiku apabila Alan mula melangkah ke muka pintu. Tangan Alan ku tarik. Ternyata Alan sedikit terkejut. Lembut tangannya, lantas aku menyalaminya. Biarlah apa yang hendak difikirkannya, aku perlu lebih agresif. Aku sudah penat berendam air mata dengan sikapnya. Aku akan dapatkannya walau apa jua sekalipun.
‘Riana, maafkan aku jika selepas ni aku terpaksa menyakitkan dirimu.’
*****
AKU pulang ke rumah mama. Rindu rasanya hendak ketemu dengan mama dan juga abah. Melihat mesranya mama dan abah menyambutku di muka pintu menambahkan lagi bahagia di hatiku. Jika Alan tak sudi menyayangi aku, mama dan abah masih sudi menghulurkan kasih sayang kepadaku.  Kisah rumah tangga kami, ku simpan kedap dalam hati. Tak baik membuka pekung di dada. Aku pasti akan dipersalahkan kerana tak pandai jaga suami. Jadi lebih baik aku diamkan sahaja.
“Mama sihat?”
Aku memeluk mama. Kemudian beralih kepada abah. Tangan abah kukucup tanda hormat.
“Sihat. Marilah masuk. Mama dah masakkan nasi ayam untuk Tia. Eh, Alan tak ikut Tia ke?”
Mama sudah mula menyoal perihal menantu bertuahnya itu. Aku hanya mampu tersengih. Nasib baik semua soalan-soalan itu sudah kusediakan skema jawapannya. Senang nanti. Aku tak mahu mama menghidu bau-bau kepincangan dalam rumah tangga kami.
“Alan ada hal mama.”
Mama mengangguk sedikit. Abah? Sudah berlalu ke meja makan.  Pasti mereka tak menjamah makanan lagi. Aku menyendukkan nasi ke pinggan abah, mama dan akhirnya buat diriku sendiri. Sunyinya rumah ini tanpa adik-adikku, Liya dan Arsyad. Abangku? Sudah lama berada di rantau orang, mencari rezeki.
“Arsyad dan Liya bila balik?”
Sengaja aku mengutarakan soalan itu. Aku cuba mengelak sebelum aku menjadi topik utama perbincangan di meja makan.
“Liya balik bulan depan, Arsyad pun sama. Kamu, Tia. Bahagia tak dengan Alan? Abah tengok Alan macam tak selalu je balik rumah ni.”
Abah menceduk sup ayam ke pinggan nasinya. Aku sedikit terkedu. Segera aku memaniskan muka. Walhal dalam hati penat mencari jawapan bagi soalan abah.
“Alan? Sibuk sikit la abah. Bukan Tia tak ajak dia balik tapi dia memang selalu sibuk. Tia tak sampai hati nak peningkan kepala dia.”
Satu pembohongan telah aku cipta. Semuanya kerana Alan. Abah tak lagi bertanya mengenai menantu kesayangannya. Kami kembali berbicara mengenai hal-hal lain sehingga selesai makan.
‘Tapi, betul apa aku cakap. Alan memang sibuk. Sibuk dengan isteri kedua dia. Mana ada masa dengan aku.’
Usai makan, aku membantu mama mengemaskan meja makan. Dalam hati aku berdoa agar mama dan abah tak lagi bertanyakan mengenai Alan. Hatiku perit apabila mengenangkan Alan dan tingkahnya. Kadangkala aku terfikir, haruskah aku akhiri semua ini dengan sebuah penceraian? Aku akan cuba selesaikan, walaupun aku terpaksa beralah.
******
AKU menjejakkan kaki melangkah masuk ke dalam bilik yang dahulunya pernah aku gunakan untuk belajar, tidur dan juga berangan. Buku-buku masih tersusun elok di tempatnya. Aku mengambil buku Hikayat Malim Deman.  Buku yang hampir dibakar oleh mak cikku sewaktu mengemas  rumah tinggalan arwah datukku. Aku pencinta buku. Begitu menyukai sastera namun aku berkecimpung dalam bidang sains.  Lantas mataku tertancap ke arah koleksi albumku. Aku mengambil dan menyelak sehelai demi sehelai. Lama mataku tertancap pada seseorang yang pernah menambat hatiku dulu.
‘Alah, cinta monyet. Manakan sampai ke jinjang pelamin.’
Album kututup dan aku berbaringan di atas katil. Aku mencapai telefon bimbitku.  Menekan-nekan punat telefon mencari daftar nama Alan. Aku bertekad, Alan akan ku miliki walaupun aku terpaksa memisahkan  dia dari Riana.
“Helo.”
Panggilan aku disambut oleh suara garau Alan.
“Abang. Tia ni. Abang sihat? Abang kat mana ni?”
Sengaja ku ceriakan suaraku. Dengusan Alan kedengaran di hujung talian. Nyata dia tak senang menerima panggilan dariku.
“Kau ni kenapa? Tiba-tiba tanyakan pasal aku. Aku sihat bila tak nampak muka kau.”
  Talian segera dimatikan. Sebak. Itu sahaja yang aku rasakan kini. Aku mengharapkan kata-kata manis yang keluar dari bibirnya namun hampa belaka. Aku tersenyum sendirian. Alan. Sejak bila dia menuturkan kata-kata manis buatku.
‘Aku akan pastikan kau tersungkur di depanku. Jagalah kau Alan.’

8 comments:

  1. Anonymous said...:

    Hahaha.. Alan, siaplah you !! sambungan yang menarik cik Hazel.. anyway,, teruskan berkarya ye, I setia menunggu sambungan SKH yang seterusnya.. =)

    -Dynaz-

  1. Anonymous said...:

    Hahaha.. Alan, siaplah you !! sambungan yang menarik cik Hazel.. anyway,, teruskan berkarya ye, I setia menunggu sambungan SKH yang seterusnya.. =)

    -Dynaz-

  1. Anonymous said...:

    jhatnye Alan..smbg lagi ye ;)

  1. wannIza said...:

    kau akan tersungkur dikakiku alan! hahaha,sambung lagi cik hazel!biar padan muka alan sikit!ego,menyampah!

  1. eija said...:

    alahai..nie yg xsuka nie.. Hmm sruh jer lah alan 2 lpskn tia.. N tia cr pganti.. Org xigin nape nk thegeh2 kn.. Heeeehe

  1. Semua macam suka je bila Tia jadi jahat. hehe

  1. Anonymous said...:

    sedang 2nggu new n3 -
    yessss Tia let Alan fall for u - but do it in a loving way jgn kejam yeee -

    ~jiwa mesra