Followers

Siapakah Kekasih Hatiku? 3

Sunday, November 13, 2011
BAB 3
AKU mengambil tempat untuk duduk di food court di depan Mydin Mall sendirian. Aku mahu bertemu dengan lelaki yang menggelarkan dirinya anak pak cik Kassim.Aku mengerling jam tangan Seiko yang sudah banyak berjasa kepadaku. Jam sudah melewati empat petang dan yang pastinya dia masih belum tiba. Adakah aku dipermainkan? Aku sendiri pun tak pasti. Aku melihat jam tanganku berulang kali. Jika dia masih lagi tidak sampai dalam seminit, aku nekad akan pulang sahaja ke hostel. Masih banyak kerja yang perlu aku bereskan.

Aku memandang dengan curiga seorang lelaki yang sedari tadi duduk di hujung  food court asyik memandang ke arahku. Hendak dikatakan aku secantik  bidadari,  aku rasa perkara itu mustahil lantaran aku tak pernah mendapat anugerah prom queen atau ladies of the night. Jadi, adalah mustahil jika lelaki itu memandang ke arahku dek kerana terpukau dengan kecantikkan aku. Tak mungkin... Tak mungkin... Dan kesilapan aku yang terbesar adalah apabila aku tidak menyimpan nombor telefon lelaki itu. Setelah aku yakin dan pasti lelaki itu tidak akan memunculkan diri, aku mengangkat punggungku dari kerusi yang menjadi tempat aku menunggu selama lebih sejam.

Baru sahaja aku mengangkat punggung untuk beredar dari tempat itu, lelaki yang asyik memandang aku tadi berjalan ke arahku dan tersenyum. Aku langsung tak membalas senyumannya. Aku menghayunkan langkah untuk keluar dari tempat itu, namun langkahku terhenti apabila dia memulakan perbualan.

“Awak Zatia?” tanya lelaki tadi dengan penuh keyakinan.
 Senyuman terukir di bibirrnya. Aku memandangnya dengan penuh tanda tanya. Adakah dia Fairuz? Anak pak cik Kassim ataupun merangkap bakal tunang aku? Aku sedikit tak mempercayainya. Lelaki sekarang pandai memperdayakan perempuan naif dan polos sepertiku. Eh, naifkah aku?

“Ya. Awak siapa?”
Teragak-agak aku menjawabnya. Aku sedikit hairan. Bagaimana dia boleh mengetahui namaku?
“Saya Fairuz, anak pak cik Kassim.”

Aku senyap. Dalam hati aku ligat mengumpat mengata akan ketidak pandaian dirinya. “Dia ni bodoh atau tolol? Kata nak jumpa tapi dah nampak aku buat tak tahu. Sudahlah  aku duduk sampai satu jam lebih tunggu dia macam tunggul kayu reput. Dia pula boleh senyum dengan yakin lagi. Tak faham aku,” ngomel aku sendirian.
Aku harap butirannya tak didengari oleh lelaki itu. Dia tersenyum melihat tingkahku.
“Saya tak berapa cam awak tadi. Dalam gambar awak nampak lain,” terang Fairuz.

 Nampak lain? Tiba-tiba aku teringatkan gambar ketika aku masih menuntut di sekolah menengah. Gambar yang agak gempal dengan kulit yang hangus akibat terdedah kepada cahaya matahari selalu. Sebagai pelajar aktif berkawad, aku terpaksa merelakan diri berhujan dan berpanas untuk menang dalam setiap pertandingan yang disertai sekolah.

“Sudahlah saya nak balik. Saya dah penat tunggu awak hari ni. Ada banyak kerja lagi yang saya nak buat.”

Aku terus berlalu namun langkahku ditahan oleh lelaki ini. Aku memandang ke arah lelaki itu. Memang kacak sayangnya kurang budi bahasa. Aku sudah malas hendak melayan lelaki ini. Sengaja hendak mempermainkan aku. Walaupun kacak, hati aku terasa sakit memandangnya.
“Err... Janganlah balik lagi. Lagipun saya cuma nak pastikan awak Zatia,” Jelasnya kepadaku.
 Aku menghadiahkan jelingan maut kepadanya. Biar dia tahu bahawa aku bukanlah gadis yang boleh diperlakukan sesuka hati.Namun apabila melihat air wajahnya yang begitu mengharap, aku menjadi serba salah sama ada hendak teruskan atau terus sahaja pulang ke kampus. Tapi bila difikirkan semula, lebih baik aku pulang kerana aku masih banyak kerja yang masih belum dibereskan.

“Dah tak ada maknanya awak nak suruh saya duduk dan bercakap dengan awak. Awak tahu tak yang saya ni banyak kerja nak buat. Sudahlah tu, suruh datang lepas tu boleh pula awak buat saya tunggu macam tiang telefon depan asrama saya. Saya penat tau.”

Dia hanya tersenyum dengan ketawa yang ditahan-tahan.Apabila tak dapat menahan tawa, dia menghamburkan tawanya di hadapanku. Buruk betul cara dia ketawa. Tapi sebab mengapa dia ketawa,  aku pun tak pasti. Kata-kata aku mungkin?

“Cik Zatia, awak memang pandai buat lawak. Kelakarlah awak ni. Ok kalau awak tak nak duduk kat sini bincang dengan saya tentang pertunangan kita, saya tak kisah. Tapi mungkin saya boleh hantar awak pulang ke kampus.”
Dia cuba bersikap gentlemen dengan idea menghantar aku pulang ke hostel. Namun , aku bukan perempuan yang bisa dia perkotak-katikkan. Aku cuba mendapatkan kepastian, adakah dia ini adalah anak pak cik Kassim yang original.

 “Erm... saya rasa kan tak payahlah encik nak susah-susahkan diri encik untuk hantar saya. Lagipun saya ingat lebih mudah kalau saya balik sendiri. Abah saya cakapkan, tak baik susahkan orang lain tau.”

Aku cuba mengelak. Entah lelaki dari ceruk mana menawarkan diri untuk aku pulang ke kampus. Aku sendiri tak pasti adakah dia ini betul-betul anak Pak cik Kassim.
“Tapi, awak pasti ke? Sebab sekarang pun dah lewat petang. Awak takut dengan saya ke?”
Aku lihat dia tersengih. Entah kenapa aku rasakan sengihan yang ditunjukkan itu sangat menyakitkan hati. Aku kehilangan kata-kata. Aku mencebik.

“Macam mana saya nak tahu awak ni anak pak cik Kassim atau tidak? Boleh tunjukkan i/c atau lesen memandu awak.?”

Sepantas kilat dia menarik keluar dompetnya dari kocek seluarnya, mengeluarkan kad pengenalan dan lesen memandu. Lantas diunjukkan kepadaku. Perlahan aku menyambutnya dan meneliti satu persatu. Aku perasan riak wajahnya yang bangga itu.
So? Awak percaya?” soal lelaki itu.
Aku mengangguk sedikit dan dapat kulihat senyumannya yang kian melebar itu. Menyampah!
*****
AKU diam membisu. Sesekali aku mengerling jam tanganku. Jam sudah menunjukkan enam petang. Aku menjeling melihat Fairuz. Kacak jugak bakal tunang aku ni! Tapi perangai hampeh betul. Satu sen pun tak boleh pakai.

“Dah puas awak tengok saya, cik Zatia?”
Teguran Fairuz membuatkan aku tersentak. Malunya. Aku mencari-cari idea di mana harus aku letakkan muka yang sudah merah menyala menahan malu.
“Mana ada saya tengok awak. Perasan.”

Aku membuang pandang ke luar tingkap. Aku memeluk tubuh. Sengaja aku bersikap demikian. Malas hendak melayan karenahnya yang aku rasa agak menyakitkan hati.
“Hmm, mengenai pertunangan kita tu. Kalau boleh saya nak batalkan.”

Fairuz  bersuara setelah terdiam seketika. Serta-merta mataku terbuntang. Tak percaya dengan apa yang baru didengari tadi.
“Ooo...awak dah ada calon ke encik Fairuz?”
Aku cuba mengawal kembali riak wajahku yang ternyata agak terkejut dengan apa yang  baru sahaja aku dengari tadi. Aku memandangnya dengan rasa tak percaya.

 “Lebih kurang macam tu la. Nanti kalau keluarga saya datang meminang awak tolak tau. Cakaplah awak dah ada pakwe. Mesti ayah saya tak marah,” jelas Fairuz bersahaja.
“Tapi.. saya dah terima.”

Perlahan aku bersuara. Wajahnya yang tenang tadi berubah riak. Dapat aku rasakan yang Fairuz dalam keadaan marah. Stereng kereta dihentak-hentak. Saat itu, kakinya menekan pedal minyak. Aku ketakutan melihat gaya Fairuz memandu. Macam nak bunuh orang lagaknya.

“Err..awak. Saya belum nak mati lagi.Saya ada tiga tahun lagi sebelum tamat degree. Kalau boleh saya nak la grad dulu.”
 Tergagap-gagap aku menegurnya.
“Dah tahu nak belajar lagi, yang kau ni gatal-gatal nak terima pinangan keluarga aku tu kenapa?”
Aku terdiam. Fikiranku ligat mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang baru sahaja aku timbulkan ini. Sepatutnya aku tegas menolak permintaan abah. Kalau aku tegas, mungkin sekarang aku tak berada dalam situasi yang rumit ini.

“Saya akan cuba minta abah tolak balik boleh tak? Tak pun kita tunang dulu nanti lepas saya grad kita putus. Ok tak?”
Aku memberikan cadangan yang kurasakan boleh diterima akal. Fairuz menjeling aku. Tajam jelingannya itu. Aku terdiam. Takut.
“Kau ni dah overdose baca novel ke? Teruk betul idea kau tu. Kalau kita dah tunang, lepas kau grad nanti terus je kita selamat tau,” ujar Fairuz.
“Er..selamat apa? Saya tak berapa faham.”
Teragak-agak aku bertanya kepadanya. Maklumlah aku sememangnya lambat tangkap kalau ayat tergantung-gantung macam ini.

“Selamat apa kau tanya? Selamatlah kita jadi laki bini. Lembab betul kau ni. Macam ni  nak jadi tunang aku.Patutlah tak ada yang nak.”
 Aku senyap. Bebelannya yang seterusnya aku sudah tak ambil peduli. Aku terasa dengan kata-kata yang baru sahaja yang meniti dibibir lelaki itu tadi.

‘Tak ada orang yang nak? Betul ke? Mungkin betul kot. Sebab aku tak pernah ada pakwe. Mungkin aku tak cantik dan perangai aku yang agak kasar ni membuatkan lelaki menjauhi aku. Kalau ada pun semuanya mengganggap aku sebagai kawan sahaja. Tak lebih dari itu.
“Woi... kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” tengking Fairuz.
Aku tersentak. Aku menghalakan pandangan ke arah Fairuz. Wajahnya sedikit bengis. Kecut perut aku apabila melihat wajahnya yang bengis umpama harimau lapar.
“Maaf. Saya tak dengar tadi.”
Aku tunduk. Takut melihat Fairuz. Fairuz menepuk dahinya. Pelbagai andaian bermain di fikiranku kala ini.
“Dengar baik-baik. Aku cakap tadi, kita tunang tapi lepas kau grad kita putus tau.”
Fairuz mengulang kembali apa yang dicakapkannya kepadaku. Idea mengenai di mana letak duduk hubungan kami ini.
 ‘Aku seperti pernah dengar cadangan tu tapi di mana ya? Hah! cadangan aku tadi tu. Tadi kata tak relevan tapi balik-balik pakai jugak idea aku. Dasar lelaki ego.’
“Ok,” balasku pendek.
*****
TEH bunga krisanthemum kusedut keluar dari kotak. Aku memang dahaga. Nikmat betul dapat minum air kotak ni. Intan melihat aku yang begitu asyik menikmati keenakkan air kotak. Dia tersenyum.
“Tia, kau ni memang pelik.”
Intan memulakan perbualan denganku di satu petang yang hening di pantai Tok Jembal. Aku memandang ke arah Intan.
“Kenapa kau kata aku pelik? Aku tak paham.”
Aku terpinga-pinga menanti ayat yang seterusnya dari Intan.
“Dalam banyak-banyak air kenapa la kau suka air teh tawar macam tu. Pelik la kau ni.”
Aku tersenyum mendengar pertanyaan Intan itu.
“Kurang gula. Bagus untuk elakkan kencing manis.”
Aku ketawa. Intan mencebik tanda tidak berpuas hati dengan jawapan aku. Malas aku hendak cerita lebih-lebih pasal teh bunga tu. Ada sejarah di sebaliknya. Tanpa aku sedari aku tersenyum sendirian. Intan yang melihat aku yang agaknya nampak kurang siuman itu, terus menampar lenganku. Aku menjerit.
“Sakit la. Jangan la pukul macam ni. Sudahlah aku kurang kalsium. Kalau patah tulang  aku , kau nak tanggung ke?”
Aku mengerutkan keningku. Intan sudah terkulat-kulat sambil menguis-nguis pasir pantai dengan jarinya.
‘Ha...tahu  takut. Mula la tu nak buat muka kesian. Muka yang kalau jual kat Pasar Payang satu sen pun tak laku.’
            Aku mendekati Intan yang menjauhi aku.
“Sudahlah, jangan merajuk. Nanti susah pulak Hakim nak pujuk.”
Intan tersenyum. Sifat Intan yang paling aku suka. Senang dipujuk. Patutlah Hakim sukakan Intan. Dia tak banyak kerenah. Senang diuruskan.
“Jom balik. Dah senja ni.”
Aku bangkit dari duduk. Menyapu-nyapu pasir pantai yang melekat di seluarku. Intan menghulurkan tangannya. Isyarat untuk aku membantunya untuk bangun. Aku menarik tangannya. Huh berat betul minah ni. Badan kurus tapi berat betul. Tulang keluli kot.
“Beratlah kau sekarang,” komenku.
Intan hanya tersenyum. Dan kami berjalan pulang ke hostel.
*****
CUTI semester bermula. Aku melangkah keluar dari rumah hari ini. Kalau boleh memang aku malas hendak keluar. Bila mengingatkan majlis pertunangan aku yang akan berlangsung dua minggu lagi, aku jadi takut. Takut untuk menghadapi realiti yang aku secara rasminya akan bergelar tunang orang. Benci aku mengingatkan lelaki yang bernama Fairuz itu. Aku ke Megamall Kuantan untuk membeli kelengkapan untuk majlis pertunangan. Bosan. Aku mengerling jam tangan Seiko aku. Pukul dua petang. Aku ternanti-nanti Fairuz namun kelibatnya masih belum kelihatan. Penat berdiri menunggu Fairuz, aku duduk di bangku. Aku termenung. Entah bila Fairuz terpacak di hadapan aku pun aku tak sedar.

“Dah lama sampai?” ujarnya perlahan.
Aku mendongak. Kulihat Fairuz tersenyum. Dia tidak bersendirian. Di sampingnya ada seorang perempuan yang bolehlah aku  golongkan dalam golongan cantik.
“Hmm..agak la. Siapa tu?” tanyaku terus terang.
 Malas aku hendak berkias-kias.
“Julie. Err..girlfriend aku,” terang Fairuz.
Julie menghulurkan tangan kepadaku. Pantas aku menyambutnya. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Cantik dan manis. Aku membalasnya.
You tak cakap pun yang Zatia ni manis orangnya,” puji Julie.
 Aku yang sedang menyedut air kotak hampir tersedak. Aku lihat Fairuz ketawa terdekah-dekah. Merah padam muka aku apabila dipuji sebegitu oleh Julie.
‘Ya Allah buruknya cara dia ketawa. Hish memang tak boleh nak dibuat laki langsung!’
“Err..  Julie tak marah ke pasal pertunangan tu.”
Satu lagi soalan cepu emas yang kutanyakan secara langsung kepada Julie. Julie tergelak mendengar pertanyaan aku itu.
It’s okay. I tak kisah pun. Janji you buat macam yang dah dirancangkan. I takkan cemburu.”

Julie memeluk pinggang Fairuz dan melentokkan kepalanya di bahu lelaki itu. Manja sekali. Aku hanya memandang dengan perasaan meluat. Bukan meluat meliaht kemanjaan Julie, tapi aku meluat melihat Fairuz yang tersengih-sengih mengambil kesempatan atas kemanjaan Julie. Dasar lelaki gatal.
“Ok.. Jom kita selesaikan apa yang patut. Aku pun ada hal sikit lepas ni.”
Fairuz yang hanya memerhati bersuara setelah lama membisu. Kami bertiga menjelajah Megamall Kuantan. Fairuz dan Julie. Dua orang asing yang baru muncul dalam hidup aku. Aku senang dengan kehadiran mereka. Namun aku sendiri tidak pasti sampai bilakah keadaan ini akan berterusan.
*****
MAJLIS pertunangan aku berjalan lancar. Aku melihat cincin yang baru disarungkan ke jari aku tadi. Cantik. Hasil pilihan Julie dan aku. Kenangan dua minggu lepas berputar di ruang fikiranku.
You, tengok la cincin ni. Cantik kan.”
 Julie menunjukkan cincin emas putih bertahtakan jed kepadaku. Cantik. Fairuz menggelengkan kepalanya melihat aksi aku dan Julie.
“Cantik tapi harga dia mahal sangat.”
Aku melihat harga cincin itu. Aku kerja setahun pun belum tentu mampu membeli cincin itu.
You suruhlah Fairuz belikan. Well, sebagai cincin tunang. Betul kan baby.”
Julie memberi cadangan. Fairuz mengangkat kening.
“Kopak la I macam ni. Tapi kalau you yang suruh  I ok je. Tapi you tak jealous ke?”
Fairuz mencuit hidung Julie. Julie tersenyum.
“Nanti, bila kita kahwin nanti. You belikan I  cincin yang lebih mahal lagi.”
Julie tersenyum. Julie memang murah dengan senyuman. Aku hanya melihat aksi merpati dua sejoli itu. Pelik kan, bakal tunang bermesra dengan orang lain pun aku masih lagi selamba. Buat dek je.
*****