Followers

Siapakah kekasih hatiku? 9, 10

Wednesday, November 30, 2011
BAB 9

AKU menghempaskan badanku di atas katil. Sunyi. Kuperhatikan keadaan di sekeliling. Objek-objek kaku terletak elok ditempatnya. Kemudian, mataku tertancap pada bingkai gambar yang berada di atas meja berhampiran dengan katilku. Lalu aku bangun mencapai bingkai gambar itu. Gambar aku dan Alan di majlis perkahwinan kami. Segera fikiranku menerawang. Peristiwa yang berlaku petang tadi berlegar-legar di fikiranku dan tanpa disedari sedikit demi sedikit merobek hatiku. Alan. Wajah lelaki itu segera memenuhi kotak fikiranku, menyesakkan dada dan sekaligus menyakitkan hatiku. Lantas air mata yang sudah sedia bermain di tubir mata gugur juga.
‘Kenapalah aku nangis-nangis macam ni. Tak guna pun menangis sebab laki macam tu.’
 Aku cuba memujuk hati sendiri. Lantas, aku bangkit dari katil. Bingkai gambar sengaja kubiarkan di atas katil. Lalu aku ke kamar mandi. Mencari sedikit ketenangan dengan buih mandian lavender yang baruku beli tadi.
Lama juga aku berendam di dalam tab mandi. Siap buat konsert lagi. Habis semua lagu jiwang-jiwang terkeluar dari mulutku. Nyanyian ala-ala soprano juga turut kupersembahkan untuk mengurangkan kesedihan. Sudah menjadi tabiatku, jika hatiku diamuk resah, aku pasti aku menyanyi lagu-lagu jiwang dengan sepenuh jiwa raga dan sedaya- upaya menyumbangkan lagu tersebut.
Ingin aku mendapatkan khidmat Misya, namun aku takut akan membuka pekung di dada. Aku tak mahu kepincangan rumah tanggaku diketahui umum. Setelah lama berfikir, aku putuskan untuk menanggung sendiri sahaja. Orang luar tak perlu tahu.
*****
ENTAH berapa lama aku bertapa di dalam bilik air. Aku sendiri tak menyedarinya. Akhirnya aku keluar juga. Dalam kesamaran cahaya, aku dapati seketul objek seakan-akan manusia sedang berbaringan di atas katilku. Mujurlah aku sudah siap berpakaian. Sudah menjadi tabiatku untuk terus memakai pakaian di bilik mandi. Almaklumlah aku ni kan pemalu. Lama aku berdiri di muka pintu bilik air itu. Memerhatikan objek yang terdampar bak dugong kelemasan di atas katilku. Tiba-tiba objek itu bangkit dari pembaringannya. Memandang aku yang masih lagi di muka pintu.
“Sedap nyanyian soprano kau. Patutlah dua tiga hari ni ade je pinggan yang retak kat rumah kita ni.”
Alan memerli aku. Aku senyap. Lantas aku mendekati Alan. Tangannya ku salam dan kukucup. Namun segera Alan menarik tangannya dari peganganku. Tindakan refleks agaknya. Aku sudah biasa dengan tindakan refleks sebegitu.
“Abang baru sampai?”
Aku bertanya. Sengaja aku lembutkan suara, khas buat Alan kerana dia suamiku.
“Lama la jugak sampai naik bernanah telinga aku dengar kau menyanyi kat dalam tu.”
Sinis pertuturannya. Aku akur. Aku isteri yang tak dianggap. Pastinya dia tak punya hati untuk menuturkan kata-kata yang indah buatku. Aku berlalu ke arah meja solek. Rambut yang agak lembab ku sikat dengan menggunakan jari jemariku sebelum menggunakan sikat. Losyen bayi aku lumurkan di tangan, leher and juga kakiku. Bedak Carrie Junior kutempek ke muka ku yang tak seberapa ni. Aku hanya melirik ke arah  Alan. Masih berbaringan di atas katil.
‘Kenapa dia tak tidur kat rumah isteri baru dia? Biasanya lelaki ni mana nak berenggang dengan isteri dia. Lagi-lagi yang dia sayang.’
 Aku bermonolog sendirian.  Entah mengapa aku ingin sekali berbicara dengan Alan. Sekadar berborak kosong. Lagipun sudah lama aku tak berborak dengan Alan.
“Abang?”
Aku memanggil Alan. Kadang kala aku sendiri pelik akan sikapku. Aku selalu cuba mendekati Alan, cuba memikatnya meskipun aku tahu sukar untuk mendapatkan hatinya walau secebis.
Alan diam. Lantas aku berpaling dari meja solek. Mencari seraut wajah Alan. Alan senyap. Aku bangkit menuju ke arah Alan lantas aku melabuhkan punggung di birai katil. Bahunya kusentuh. Sekalilagi tindakan refleks berlaku lagi. Tanganku ditepis. Aku tersentap. Dengusan Alan memberikan aku isyarat agar tidak mengganggunya. Aku bangun dari dudukku. Saat itu,  telefon bimbit Alan mula mengalunkan lagu tanda ada yang memanggil.
Alan menjawabnya sambil mata mengerling ke arahku, mengisyaratkan agar menjauh dari dirinya. Aku akur. Aku berlalu keluar dari bilik. Sempat juga aku mendengar tawanya dengan pemanggil itu.
I love you, sayang. Bosanlah  duduk kat sini. Sayang la, suruh abang balik rumah ni. Padahal sayang tahu abang rimas duduk kat sini.”
Manjanya bunyinya. Aku sendiri tak sangka ayat-ayat romantis seperti itu boleh keluar dari kotak suara Alan.
Aku tergamam. Lututku terasa longgar mendengar kata-kata romantis itu. Tapi sayang, bukan untukku. Mudahnya bagi seorang insan bernama Riana mendapat kasih sayang seorang suami. Sedangkan aku? Ketandusan kasih sayang seorang suami. Terpaksa mencari-cari kasih sayang suami dalam bahtera rumah tangga yang hampir karam di tengah lautan. Mungkinkah aku pengemis cinta?
Tak sanggup mendengar bait-bait romantis Alan buat Riana, aku turun ke bawah.Lantas punat televisyen dibuka. Aku? Menikmati drama yang tak tahu hujung pangkalnya di televisyen. Entah bila aku tertidur pun aku tak pasti. Yang pastinya, aku cuba mencipta kenangan manis  bersama Alan di dalam mimpi.
‘Mengapa saat hati ini sudah mula menyayangi, dia bertindak menyakiti?'


BAB 10

SAYUP-SAYUP kedengaran azan subuh menyedarkan aku dari lena yang panjang. Aku bangkit dari sofa dan berlalu ke arah bilik tidur utama. Perlahan kakiku mendaki satu persatu anak tangga. Akhirnya aku sampai di hadapan bilikku. Lama aku berfikir sebelum melangkah masuk. Risau aku akan mengganggu lena Alan. Lama juga aku mundar- mandir di hadapan pintu dan akhirnya..
‘Alah, masuk je lah. Bukan aku nak kejutkan dia pun kan.’
Aku berkira-kira untuk masuk ke bilik dan akhirnya tanganku memulas tombol pintu bilik. Perlahan. Sayup-sayup kedengaran alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran menyapa telingaku. Aku terkaku di situ. Alan memandang aku. Aku membetul-betulkan rambut aku yang sedikit kusut lantaran baru bangkit dari tidur. Aku terus berlalu ke bilik mandi. Ingin mengambil wudu’ dan segera menunaikan solat subuh.  Apabila aku usai mengambil wudu’, kulihat Alan masih berteleku di sejadah. Saat itu, aku rasakan dialah lelaki yang terbaik untukku. Alan memandang aku. Senyuman manis cuba ku hadiahkan namun hambar kurasakan.
“Hurm, jom jemaah sama-sama.”
 Perlahan Alan menuturkan itu kepadaku. Aku seakan tak percaya apa yang kudengari. Terharu, gembira, sebak semuanya bercampur menjadi satu perasaan yang sukar di gambarkan dengan kata-kata. Aku menyarung telekung dengan segera dan pagi yang hening itu menjadi saksi aku solat berimamkan suamiku sendiri, Alan.
Bacaan doa selesai dibaca oleh Alan dan aku mengaminkan doa itu. Tiba-tiba seakan ada satu perasaan halus yang mengusik hati dan perasaanku.
‘Perlukah aku merebut dia dari Riana?’
Soalan itu kerap berlegar-legar di fikiranku tika ini. Alan menghulurkan tangannya kepadaku, tanda ingin aku menyalaminya. Aku menyalaminya dan mengucup tangannya. Kuharapkan ada kucupan singgah di dahiku seperti yang kusaksikan di dalam drama televisyen swasta namun hampa. Aku hampir terlupa yang dia hanya memakai pangkat suami di atas surat nikah.
*****

SARAPAN pagi aku sediakan dengan penuh kasih sayang. Almaklumlah, aku baru mendapat suntikan semangat dari suamiku tadi. Kisah rumah tanggaku semakin menunjukkan tanda-tanda positif walaupun dengan kehadiran Riana. Sehingga kini aku masih mendiamkan kisah isteri kedua Alan. Malas hendak menyibukkan diri dengan kisah rumah tangga Alan dan maduku. Bukan aku tak mahu bertanyakan mengenai Riana, namun aku khuatir nanti Alan akan memberikan jawapan yang bisa mengugah kesabaran yang kuhimpunkan selama ini. Biarlah masa yang menentukan.
Telur mata kerbau separuh masak bersama nasi goreng cina serta kopi kusediakan sebagai sarapan pagi ini. Kelibat Alan yang sedang menuruni tangga melekakan aku seketika. Menatap betapa kacaknya suamiku yang aku kongsi dengan seorang wanita lain yang bernama Riana.  Alan melabuhkan punggung di kerusi. Segera aku mencedukkan nasi goreng ke dalam pinggannya. Secawan kopi aku sediakan untuknya.
“Abang, makan.”
Aku mempelawa Alan menjamu selera. Alan hanya mengangguk sedikit dan menyuap makanan ke dalam mulut untuk dikunyah.
“Mungkin aku tak balik malam ni. ada hal.”
Alan memulakan bicara. Suapanku terhenti seketika. Namun aku terus tersedar, lumrah insan berkongsi suami memang begini. Harus ada giliran bagi mengelakkan ketidakadilan.
“Hurm, kalau macam tu Tia nak minta izin balik rumah mama boleh tak? Dah rindu.”
Aku menguis-nguis nasi yang masih berbaki di pinggan. Menanti bicara seterusnya dari Alan. Mengharapkan keizinan Alan untuk pulang ke rumah mama.
“Mulai hari ini, aku izinkan semua aktiviti yang kau lakukan kecuali yang menjatuhkan maruah aku sebagai suami kau dan mencalarkan maruah kau sebagai isteri aku,”  tutur Alan.
Aku menghirup kopi namun kelat rasanya. Terasa tersekat di kerongkongku. Memandang Alan yang begitu selamba menyuap nasi sedikit demi sedikit ke mulutnya. Apakah dia sedar yang aku amat terguris dengan kata-katanya? Membunuh rasa bahagia yang baru aku kecapi hari ini. Kadang kala aku terfikir, siapakah aku di matanya.
“Terima kasih abang.”
Aku bangkit dari kerusiku apabila Alan mula melangkah ke muka pintu. Tangan Alan ku tarik. Ternyata Alan sedikit terkejut. Lembut tangannya, lantas aku menyalaminya. Biarlah apa yang hendak difikirkannya, aku perlu lebih agresif. Aku sudah penat berendam air mata dengan sikapnya. Aku akan dapatkannya walau apa jua sekalipun.
‘Riana, maafkan aku jika selepas ni aku terpaksa menyakitkan dirimu.’
*****
AKU pulang ke rumah mama. Rindu rasanya hendak ketemu dengan mama dan juga abah. Melihat mesranya mama dan abah menyambutku di muka pintu menambahkan lagi bahagia di hatiku. Jika Alan tak sudi menyayangi aku, mama dan abah masih sudi menghulurkan kasih sayang kepadaku.  Kisah rumah tangga kami, ku simpan kedap dalam hati. Tak baik membuka pekung di dada. Aku pasti akan dipersalahkan kerana tak pandai jaga suami. Jadi lebih baik aku diamkan sahaja.
“Mama sihat?”
Aku memeluk mama. Kemudian beralih kepada abah. Tangan abah kukucup tanda hormat.
“Sihat. Marilah masuk. Mama dah masakkan nasi ayam untuk Tia. Eh, Alan tak ikut Tia ke?”
Mama sudah mula menyoal perihal menantu bertuahnya itu. Aku hanya mampu tersengih. Nasib baik semua soalan-soalan itu sudah kusediakan skema jawapannya. Senang nanti. Aku tak mahu mama menghidu bau-bau kepincangan dalam rumah tangga kami.
“Alan ada hal mama.”
Mama mengangguk sedikit. Abah? Sudah berlalu ke meja makan.  Pasti mereka tak menjamah makanan lagi. Aku menyendukkan nasi ke pinggan abah, mama dan akhirnya buat diriku sendiri. Sunyinya rumah ini tanpa adik-adikku, Liya dan Arsyad. Abangku? Sudah lama berada di rantau orang, mencari rezeki.
“Arsyad dan Liya bila balik?”
Sengaja aku mengutarakan soalan itu. Aku cuba mengelak sebelum aku menjadi topik utama perbincangan di meja makan.
“Liya balik bulan depan, Arsyad pun sama. Kamu, Tia. Bahagia tak dengan Alan? Abah tengok Alan macam tak selalu je balik rumah ni.”
Abah menceduk sup ayam ke pinggan nasinya. Aku sedikit terkedu. Segera aku memaniskan muka. Walhal dalam hati penat mencari jawapan bagi soalan abah.
“Alan? Sibuk sikit la abah. Bukan Tia tak ajak dia balik tapi dia memang selalu sibuk. Tia tak sampai hati nak peningkan kepala dia.”
Satu pembohongan telah aku cipta. Semuanya kerana Alan. Abah tak lagi bertanya mengenai menantu kesayangannya. Kami kembali berbicara mengenai hal-hal lain sehingga selesai makan.
‘Tapi, betul apa aku cakap. Alan memang sibuk. Sibuk dengan isteri kedua dia. Mana ada masa dengan aku.’
Usai makan, aku membantu mama mengemaskan meja makan. Dalam hati aku berdoa agar mama dan abah tak lagi bertanyakan mengenai Alan. Hatiku perit apabila mengenangkan Alan dan tingkahnya. Kadangkala aku terfikir, haruskah aku akhiri semua ini dengan sebuah penceraian? Aku akan cuba selesaikan, walaupun aku terpaksa beralah.
******
AKU menjejakkan kaki melangkah masuk ke dalam bilik yang dahulunya pernah aku gunakan untuk belajar, tidur dan juga berangan. Buku-buku masih tersusun elok di tempatnya. Aku mengambil buku Hikayat Malim Deman.  Buku yang hampir dibakar oleh mak cikku sewaktu mengemas  rumah tinggalan arwah datukku. Aku pencinta buku. Begitu menyukai sastera namun aku berkecimpung dalam bidang sains.  Lantas mataku tertancap ke arah koleksi albumku. Aku mengambil dan menyelak sehelai demi sehelai. Lama mataku tertancap pada seseorang yang pernah menambat hatiku dulu.
‘Alah, cinta monyet. Manakan sampai ke jinjang pelamin.’
Album kututup dan aku berbaringan di atas katil. Aku mencapai telefon bimbitku.  Menekan-nekan punat telefon mencari daftar nama Alan. Aku bertekad, Alan akan ku miliki walaupun aku terpaksa memisahkan  dia dari Riana.
“Helo.”
Panggilan aku disambut oleh suara garau Alan.
“Abang. Tia ni. Abang sihat? Abang kat mana ni?”
Sengaja ku ceriakan suaraku. Dengusan Alan kedengaran di hujung talian. Nyata dia tak senang menerima panggilan dariku.
“Kau ni kenapa? Tiba-tiba tanyakan pasal aku. Aku sihat bila tak nampak muka kau.”
  Talian segera dimatikan. Sebak. Itu sahaja yang aku rasakan kini. Aku mengharapkan kata-kata manis yang keluar dari bibirnya namun hampa belaka. Aku tersenyum sendirian. Alan. Sejak bila dia menuturkan kata-kata manis buatku.
‘Aku akan pastikan kau tersungkur di depanku. Jagalah kau Alan.’

Siapakah kekasih hatiku? 8

Monday, November 28, 2011
SEHARIAN aku di rumah. Mengemas dan membasmi habuk-habuk yang bertaburan menghiasi lantai dan dinding rumahku. Habis sawang-sawang aku kerjakan secukupnya. Tanganku segera mengambil penyapu dan menyapu debu-debu nakal yang berani mengotori lantai rumahku. Tak cukup dengan ruang tamu, aku beralih ke atas. Ke kamar tidur aku dan semestinya Alan juga. Aku menuju ke meja kerjanya. Bersepah! Geram benar aku dengan suamiku ini. Sesedap rasa sahaja menyepahkan bilik. Buku-bukunya aku susun di atas rak. Fail-fail aku susun rapi di atas meja. Tiba-tiba aku terpandangkan satu objek aneh yang terselit di celahan buku.
‘Eeh…ada diari’
 Otak aku lambat menafsirkan apa yang harus aku lakukan dengan diari itu. Lantas aku mendapat akal. Idea jahat bermain-main di minda aku.  Kala itu, aku ketawa berdekah-dekah kerana hatiku waktu itu dipenuhi dengan idea jahat.
‘Balas dendam sebab dia baca blog aku dulu. Abang, maafkan Tia ye.’
Aku mengucup diari Alan. Lantas ketawa versi Cruela De vil dalam animasi 101 dalmations berlaku.
Aku beralih ke mencari tempat yang selesa. Entah ke mana penyapu telah aku campaknya. Ini semua angkara terlalu seronok hendak membaca diari Alan. Apakah yang sebenarnya terbuku di hatinya? Sehingga kini aku tak dapat meneka. Dengan rakus aku menyelak helaian diari milik Alan.  Lantas helaian pertama aku tatap.
Tiada wanita secantik kamu
Tiada lelaki sekacak aku
Aku ingin kau tahu
Kau memang tercipta untukku
Hati aku berbunga-bunga pabila membaca bait-bait ayat yang tersusun indah di dalam diarinya. Lantas helaian seterusnya kuselak.
12 Julai 2007
Aku menikahi gadis bernama Zatia. Orangnya taklah secantik mana. Ada mata dan lubang hidung seperti gadis-gadis yang pernah kukenali dulu. Dia baik namun terus-terang aku katakan hati aku bukan untuknya. Mungkin kerana aku menikahinya kerana  bonda. Semua benda untuk majlis perkahwinan kami dibuat sendiri. Pandai dia menjimatkan duit aku. Macam tahu-tahu je aku tak sukakan dia. Sebenarnya aku tak rela nak kahwin dengan dia namun kasih sayang bonda mengatasi segalanya. Hati aku masih lagi untuk Riana.
Aku terduduk. Entah mengapa hatiku terasa pedih. Seperti ada sesuatu menyesakkan dada. Mengigil tanganku menyelak helaian seterusnya. Aku meneruskan bacaan dan akhirnya aku terhenti pada helaian yang menghancur leburkan hati aku sebagai seorang wanita.
20 Disember 2007
Hari ini aku sah menjadi suami kepada Riana. Perasaan berbeza yang dapat aku huraikan di sini. Perasaan bahagia menyelubungi diriku. Aku sangat bahagia di samping Riana. Tak seperti waktu aku melafazkan akad buat Zatia. Waktu itu terasa duniaku tak bermakna. Aku seharusnya berterima kasih kepada Zatia kerana menandatangani borang itu tanpa membacanya terlebih dahulu. Namun, aku rahsiakan semua itu daripada keluarga Zatia. Bonda tak banyak bicara. Dia tahu aku terseksa kerana mengahwini Zatia. Jadi dia merelakannya dengan syarat aku tak boleh menceraikan Zatia. Aku turuti sahaja. Yang pastinya aku dapat bersama buah hatiku Riana.
Air mata yang kutahan jatuh jua. Aku tak sedih namun aku terasa hati apabila Alan tidak meminta izin dariku untuk berkahwin lagi.  Diari itu aku tutup. Tak sanggup membaca episod kebahagiaan Alan. Pastinya dia gembira bersama insan yang dicintai. Aku? Mungkin menunggu masa untuk menjadi janda.
Sayup-sayup kedengaran bunyi kereta Alan masuk ke porch kereta. Lantas aku menyimpan kembali diari itu di tempat asal dan aku mengesat sisa air mata yang mencemari wajahku. Aku melihat Alan baru melangkah ke kamar. Aku memaniskan muka. Alan meletakkan briefcasenya di atas meja kerjanya dan berlalu ke kamar mandi. Aku pula memanjangkan kaki ke dapur. Makan malam siapkan petang tadi aku panaskan dan hidang di atas meja. Kulihat Alan menuruni tangga.
“Abang, mari makan.”
Lembut tutur bicaraku. Namun hanya dijawab oleh gelengan dari Alan. Tahulah aku bahawa aku akan menikmati makan malam sendirian lagi malam ini. Deruan enjin kereta yang semakin menjauh menambahkan lagi sayu di hatiku. Lantas lauk ayam masak lemak cili padi ku gigit sepenuh hati.
*****
SEMINGGU sudah Alan tidak menampakkan dirinya semenjak peristiwa diari itu. Kalau dahulu aku akan menelefonnya, bertanyakan ke mana dia menghilang. Sekarang aku rasa itu semua tak perlu lagi. Mungkin, jika aku menelefonnya aku akan mengganggu rumah tangga Alan yang bahagia.
 Aku berjalan-jalan di sekitar Kuantan. Sengaja aku lakukan kerana tiada apa yang hendak di buat di rumah. Aku berjalan tanpa arah tujuan sekejap ke kedai cenderahati, sekejap ke kedai buku. Banyak juga novel yang kuborong sepanjang meninjau-ninjau kedai buku di Kuantan Parade.
Tiba- tiba langkahku terhenti di suatu sudut yang menempatkan kedai barangan berjenama. Aku seakan kenal susuk badan lelaki itu. Di sisinya seorang gadis yang anggun. Lama aku perhatikan. Namun aku seakan ingin menidakkan kebenaran yang jelas di depan mataku.
‘Patutlah dia tak pandang aku. Isteri baru dia lagi cantik dari aku. Nasib badan la Tia.  ’
 Masakan aku tak kenal suamiku sendiri dan pastinya gadis itu isterinya. Aku ingin berlalu dari situ namun kakiku bagaikan digam di lantai marmar itu. Aku hanya memerhatikan gelagat suamiku dan gadis itu. Mesra dan tergambar kebahagiaan di wajah mereka berdua. Senyuman ikhlas yang tak pernah diberikan kepadaku. Lalu aku cuba melangkah pergi dari terus menonton aksi-aksi bahagia pengantin baru. Aku melangkah longlai dan dalam hati aku terdetik…
‘Perasankah dia aku di sini?’

Siapakah kekasih hatiku? 7

Sunday, November 27, 2011
BAB 7

AKU duduk menghadap Alan. Wajahnya sedikit sugul. Kemudian, dia mengeluarkan sekeping gambar dan diunjukkan kepadaku. Aku menyambut gambar tersebut dan mengamatinya. Aku memandangnya dengan riak wajah yang bagaikan tak percaya dengan apa yang aku lihat. Betulkah ini?
Aku memerhatikan gambar gadis itu sekali lagi. Ya, sangat seiras denganku. Namun sudah tiada di dunia. Aku memerhatikan riak Alan. Lain benar wajahnya. Kelu lidahku untuk berbicara.
“Ni Alis. Adik aku.”
Aku masih memandangnya. Menanti bait-bait kata yang masih tersekat dikerongkongnya. Alan meneguk sedikit air. Mungkin ingin melancarkan kata-kata supaya keluar dari kotak suaranya.
“Dia meninggal  tiga tahun lepas.”
Alan tersenyum. Namun dapat aku rasakan senyumannya itu agak tawar. Tak manis. Senyuman yang hanya sekadar untuk menutup kesedihan yang bermukim di hati.
“Oh...”
Hanya itu sahaja yang dikeluarkan dari kotak suara aku. Alan mengumpul kekuatan. Aku menanti bait-bait ayat seterusnya dengan sabar.
“Dia meninggal sebab accident. Lepas tu bonda jadi murung. Jadi aku harap kau boleh jadi isteri aku. Aku nak gantikan kehilangan adik aku dengan kau. Aku harap kau faham.”
Alan menyambung bicaranya. Dia tunduk. Aku lihat air matanya hampir menitis.
“Ganti? Kenapa tak ambil saya jadi adik angkat je. Lebih mudah.”
Aku cuba memberikan cadangan. Alan menggeleng tanda tak setuju.
            “Papa nak adakan hubungan keluarga dengan kau. Bukan hubungan yang sementara macam tu.”
Alan menambah. Aku makin bingung. Entah mengapa aku rasakan alasannya sangat tak logik. Tak boleh diterima dek akal. Aku rasakan idea menjadikan aku sebagai isterinya kerana aku seiras dengan adiknya adalah sangat tak logik. Adakah ini semua satu propaganda?  Tiba-tiba lintasan jahat dalam hati aku bergema.
“Kalau saya jadi isteri awak,awak akan layan saya macam isteri atau adik?”
 Soalan yang bermain-main di mindaku diluahkan. Dapat kulihat Alan terkedu. Keadaan sepi seketika. Dia seakan-akan mencari apakah jawapan yang terbaik kepadaku.
“Pasal tu kita bincang lepas kahwin. Setakat ni aku tak boleh nak cakap apa lagi. Biar masa menentukan.”
Alan tidak memberikan aku alasan yang kuat untuk menerimanya sebagai suami. Berulang kali aku solat istikharah untuk meminta petunjuk, dan aku nampak dia dalam mimpiku. Namun mengapakah saat dia mula berbicara mengenai arwah adiknya, hati aku menjadi tak tetap untuk menerimanya. Adakah lelaki itu bukan dia?
            ‘Tia, tak pasti apa akan berlaku antara kita selepas kahwin, tapi Tia harap Alan akan melayan Tia baik. Bukan sebagai adik, tapi sebagai isteri.’
*****
CEPAT benar tiga minggu berlalu. Majlis perkahwinanku berlangsung dengan meriah. Walaupun tak dilangsungkan di hotel-hotel mewah namun tetap meriah. Aku mengenakan syarat kepada Alan bahawa aku mahu majlisnya dibuat di rumah dan bukan menggunakan khidmat katering. Cara kampung la katakan.
Namun, untuk majlis menyambut menantu, pihak keluarga Alan ingin mengadakan majlis secara besar-besaran di hotel. Aku hanya bersetuju. Selebihnya aku serahkan kepada mama dan abah untuk berbincang dengan keluarga Alan.
Usai majlis, aku masuk ke bilik tidur yang dihias indah khas buat pengantin baru. Cantik. Hasil kerja tanganku. Aku bersengkang mata menyiapkan semua persiapan majlis kahwin. Tambahan pula, dengan status penganggur terhormat. Aku menjadi sangat bosan jika tidak melakukan apa-apa kerja di ruamh.
Aku melihat beg pakaian Alan yang diletakkan di hujung katil. Aku mendekati beg itu. Aku mengangkatnya menuju ke almari pakaian lalu aku membukanya. Niatku hanya ingin mengemaskan beg itu. Namun lain pula yang difikirkan Alan. Alan menepis tanganku yang sedang memegang zip beg itu. Aku tersentak. Entah bila dia masuk ke kamar pun aku tak perasa . Yang aku tahu wajahnya berubah. Tanda tak suka akan perbuatan aku itu.
“Kenapa abang?”
Aku bertanya lembut. Hairan dengan sikapnya. Tak sampai satu hari aku menjadi isterinya, dia sudah pun menunjukkan belang. Terasa menyesal bersuamikan lelaki seperti dia. Wajah bengisnya memandangku. Kulit mukanya sudah merah menahan marah. Aku hanya membiarkan. Jangan dilawan kerana aku yakin Alan bukanlah suka jika cakapnya dilawan.
“Aku tak suka kau sentuh barang aku.”
Alan menjawab. Aku menjauhkan diri dari begnya.
“Okay,” jawabku pendek.
Malas hendak bertekak. Aku segan dengan mama dan abah. Risau jika mereka mendengar. Aku tak mahu mama dan abah rasa bersalah jika mengetahui aku dan Alan telah pun bergaduh selepas beberapa jam sah menjadi suami isteri. Malu. Jadi aku putuskan untuk membiarkan perkara itu berlalu begitu sahaja. Mengalah tak semestinya lemah.
Aku berjalan ke arah katil. Badanku agak lenguh. Ingin sekali aku berbaringan di atas katil. Tidur. Alan mengambil bantal dan selimut. Diletakkannya di atas lantai. Aku hairan.
“ Kenapa nak tidur atas lantai?”
 Aku bertanya.  Hairan dengan sikapnya. Wajahnya mencuka.
“Siapa cakap aku nak tidur atas lantai?”
Alan menjawab soalanku dengan soalan. Aku memandangnya dengan wajah yang pelik dan ditambah pula dengan kerutan di dahi.
“Bukan abang ke nak tidur atas lantai?”
Aku bertanyakan soalan lagi. Pelik dengan sikapnya.
“Kaulah yang tidur kat bawah ni. Kan kau sakit belakang.  Aku nak tidur atas katil.”
 Alan menolak aku jatuh daripada katil. Gedebuk. Persis nangka busuk aku jatuh dari katil. Aku bangkit dan mengutip bantal dan selimut yang berada di lantai. Dan dengan tanpa rasa bersalahnya aku baring di sebelahnya.
‘Jangan fikir aku akan ikut je idea mengarut tu.’
Aku menarik selimut dan mengerak-gerakan badanku untuk mencari kedudukan yang selesa. Alan menoleh.  Melihat kelibat aku yang sedang enak berbaringan di sebelahnya. Aku dengar dia menrengus. Tanda tak puas hati. Aku tersenyum tanda kemenangan.
Lantak kau la. Janji jangan kacau aku tidur. Selamat malam sayang.’
*****
SUDAH sebulan aku dengan rasminya menjadi isteri kepada Tengku Alan Hafiz. Selepas majlis menyambut menantu dijalankan di hotel, aku dibawa tinggal bersama Alan di sebuah rumah banglo dua tingkat yang agak jauh dari rumah mama dan abah. Kata Alan, aku harus berdikari. Aku sepatutnya menguruskan semua keperluan dalam rumah. Tak boleh lagi bergantung kepada sesiapa.
Jariku lincah bermain di atas papan kekunci komputer ribaku. Menyempurnakan coretan hatiku yang kupamerkan di blog peribadiku. Kebelakangan ini, selalu aku dibiarkan sendirian. Jadi aku punya masa melayari internet. Alan? Seperti biasa dia akan keluar rumah selepas subuh dan kelibatnya hanya kelihatan pada waktu malam. Sudah puas aku menasihatinya namun hampa. Biarlah. Aku sudah tak kuasa melayan kerenahnya. Tekakku terasa haus. Lantas aku meninggalkan komputer ribaku dan turun ke bawah. Air milo kubancuh dan kuteguk penuh nikmat.
 “Aaargh”
Aku menjerit. Terkejut melihat kelibat Alan yang sedang berada di hadapan komputer ribaku.
‘Dah la aku tak tutup lagi blog aku. Macam mana kalau dia baca?’
Aku mula resah. Namun kulihat Alan hanya tersenyum. senyuman yang sukar dimengertikan. Senyuman nakal barangkali?
‘Jarang benar dia senyum. Dia dah baca ke? Gawat macam ni.’
Aku mula melangkah ke komputer ribaku dan terus keluar dari blog peribadiku.
“Abang, tak baca apa-apakan?”
Aku bertanya soalan yang kukira agak lurus. Dia tersenyum nakal. Mukaku terasa panas. Merahkah wajahku kala ini? Aku harap tidak.
“Bacalah. Lagipun macam menarik untuk dibaca. Apa salahnya baca.”
Muka Alan selamba menuturkan kata- kata tersebut. Aku senyap. Aku menutup komputer ribaku dan membawa ia jauh dari Alan.  Sempat juga aku bertanya kepada Alan. Perihal kepulangannya. Namun tiada respon. Sekali lagi aku bertanya. Aku mengharapkan adanya respon daripadanya.
“Bila abang balik?”
Kali ketiga aku bertanya kepadanya namun Alan tidak mempedulikan aku. Dia bergerak ke arah almari. Selamba sahaja Alan menukar baju di hadapanku. Lantas tuala ditarik dan kakinya melangkah menuju ke bilik air. Aku terduduk di birai katil.
‘Dinginnya dia.’ 

Siapakah Kekasih Hatiku? 6

Tuesday, November 22, 2011
BAB 6
SEJAK peristiwa aku dipecat, aku menjadi semakin sibuk. Sibuk mencari pekerjaan untuk menampung kehidupanku. Aku masih terfikirkan mengenai permintaan mama tadi. Mama seakan tak mengerti akan perasaanku. Aku tak mahu pisang berbuah dua kali. Permintaan yang memaksa aku untuk menolak. Aku penat dengan jodoh yang ditentukan. Kalau boleh aku ingin bebas. Kenangan dengan Fairuz sudah cukup menyakitkan. Aku tahu mama risaukan mengenai jodohku namun aku masih lagi belum bersedia. Belum bersedia untuk disakiti sekali lagi.
“Kak Tia okay ke?”
Liya menanyakan keadaanku. Aku senyap. Mogok. Tak mahu bercakap.
“Kak, janganlah macam ni. Sudahlah Liya jarang-jarang dapat balik.”
Liya mula memancing. Kononnya aku akan termakan pujukkannya.
Aku senyap.masih lagi merenung skrin komputer ribaku walaupun tiada yang menarik di situ.
Alah, kak Tia ni. Dengar la Liya nak cakap ni.”
 Liya mengoyang-goyangkan tangannya di hadapan mukaku dengan harapan aku akan berhenti merenung skrin komputer ribaku.
“Apa?”
Aku menyoal Liya. Agak serabut dengan tingkahnya yang ingin meraih perhatianku. Aku lihat Liya tersenyum. Mungkin berjaya membuatkan aku berhenti merenung komputer riba.  Ditangannya terdapat satu sampul surat sebesar kertas A4. Aku tertanya-tanya apakah yang ada di dalamnya. Lantas Liya mengunjukkan sampul surat itu kepadaku. Perlahan-lahan aku membukanya. Mataku membulat tatkala menangkap gambar seorang lelaki dia di dalamnya dan aku  sangat mengenali lelaki ini. Siapa lagi kalau bukan  lelaki yang memecatku daripada kerja.
Handsome kan kak? Bertuah kak dapat bakal suami yang handsome macam ni. Dahlah handsome, kaya pula tu.”
Liya sudah mula memuji-muji lelaki itu. Dia pasti tidak tahu betapa kejamnya lelaki itu. Lelaki yang telah memecatku sewenang-wenangnya. Hish benci! Lantas aku melempar gambar itu. Liya ternyata terkejut dengan tindakanku. Aku terus ke ruang tamu. Ada perkara yang perlu dibincangkan dengan mama dan abah.
*****
“Abah, mama. Tia nak cakap sikit.”
Mama dan abah nyata terkejut dengan sikapku. Wajah aku pastinya nampak tegang kala ini.
“Tia?”
Mama menyoalku. Aku menunjukkan muka tidak puas hati. Ya, aku memang tak puas hati. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku berguling-guling di atas lantai agar mama dan abah tahu betapa tak relanya aku berkaahwin dengan lelaki kejam itu. Tidak rela!
“Tia minta mama dan abah tolak pinangan tu. Tia tak sedia lagi.Tia nak kerja puas-puas dulu baru kahwin.”
Aku memprotes. Cuba memberikan alasan yang terbaik untuk mengelakkan diri dari berkahwin.
            “Abah tak setuju. Lagipun abah dah tetapkan tarikh kahwin. Dua bulan lagi Tia akan kahwin.”
Aku membuntangkan mata saat abah memberitahu bahawa aku akan berkahwin dua bulan lagi. Mengapa begitu cepat? Tidakkah abah tahu yang hati aku ini masih terluka dek kerana perbuatan Fairuz?  Mengapa abah tegar membiarkan aku berkahwin dengan anak kenalannya?
“Abah tak boleh buat macam ni. Abah tak kesian kat Tia ke?”
Aku cuba merayu untuk melembutkan hati abah namun nampaknya rancanganku tak berjaya.
“Tia buat solat istikharah ya sayang. Minta petunjuk. Nanti bagi tahu mama ya sayang.”
 Mama cuba memujuk aku. Aku mengangguk sedikit. Lemah apabila menyedari hakikatnya abah takkan berubah pendirian walaupun aku mengugut untuk melarikan diri. Aku kenal abah. Lelaki yang berpegang pada janji.
*****
AKU merenung cincin yang tersarung di jariku. Cantik. Walaupun tak semahal yang Fairuz pernah sarungkan dijariku. Lelaki itu menyarungkannya. Lantas dia mengucup dahiku. Aku melihat mama, abah, Liya dan sanak saudaraku tersenyum gembira melihat majlis membatalkan air sembahyang. Aku terkedu.
‘Eh macam mana aku boleh kahwin dengan mamat ni? Bila aku buat persiapan ni?’
Aku membebel dalam hati. Lelaki itu tersenyum apabila melihatkan aku yang berkerut-kerut. Sedang aku cuba bangun dari dudukku. Kakiku terpelecok dan aku terjatuh. Gedebuk.
‘Sakitnya. Patahlah kaki aku.’
 Aku membuka mata. Aku masih lagi di dalam bilik tidurku.
“La mimpi rupanya. Nasib baik tak betul-betul.”
Aku bangkit dan mengambil jam locengku yang turut jatuh bersama-samaku. Jarum jam baru menginjak ke angka empat. Lantas aku menyambung kembali tidurku yang terganggu. Seminit. Dua minit aku cuba melelapkan mata namun tak berjaya. Ada sesuatu yang menganggu fikiranku.
‘Ahh! lelaki tu. Apa namanya ek? Mama ada bagi tahu hari tu. Dah tak ingat dah.’
Aku masih terfikirkannya sehinggakan terbawa-bawa dalam mimpi.
“Masa nak tunang dengan Fairuz dulu taklah macam ni.”
Aku merungut sendirian. Lantas bantal pelukku diraih dan dipeluk. Seketika kemudian aku sudah berada di alam mimpi.
*****
SETELAH berkali-kali mengerjakan solat istikharah akhirnya aku menerima semuanya dengan hati yang redha. Pernah juga aku menelefon Misya bertanyakan pendapatnya dan Misya memberikan kata-kata yang menyedarkanku.
“Dalam perkahwinan ni, kau tak perlukan cinta sebelum kahwin. Tapi kau perlukan keikhlasan. Hati tu perlu ikhlas terima dia sebagai suami dan cinta akan datang kalau kau terima dia seikhlasnya.”
 Misya memberikan aku ceramah pada suatu hari. Kerjayanya sebagai kaunselor banyak memberikannya pengalaman dalam hal-hal yang berkait soal hati dan perasaan. Sejak mendengarkan ceramahnya selama dua jam tanpa henti aku membuat keputusan untuk terima lelaki itu seadanya.
‘Betulkah apa yang aku buat ni? Macam mana kalau dia pun macam Fairuz?’
Syaitan mula menanamkan keraguan di dalam hatiku.
Akhirnya aku buat tak mengendahkan perasaan ragu-ragu itu. Aku hanya fokus diriku ke arah mencari peluang pekerjaan baru. Aku membawa ijazah yang aku peroleh setelah empat tahun bertungkus-lumus di alam universiti.
Namun, akhirnya aku pulang ke rumah tanpa pekerjaan baru. Aku menjejakkan kaki ke ruang tamu rumah yang kelihatan sedikit semak dengan barang-barang hantaran. Aku lihat barang hantaran yang sudah separuh disiapkan oleh mama. Paling tak kusangka abah turut menyumbang tenaga dalam hal membuat hantaran. Abah memang kreatif.
 Kebelakangan ini aku perhatikan abah sangat gembira. Kad undangan ke majlis perkahwinanku sudah disiapkan dan diedarkan kepada sanak saudara dan sahabat-handai yang terdekat. Baju pengantinku masih lagi dalam proses. Mama berkeras supaya aku menjahitnya sendiri setelah melihatkan rekaan baju pengantin yang aku reka di dalam komputer ribaku. Sebetulnya rekaan itu khas buat perkahwinan aku dengan Fairuz. Namun ia hanya tinggal kenangan. Memandangkan sekarang aku penganggur yang bertauliah, aku mengambil keputusan untuk turut sama membanting tulang untuk menyiapkan persiapan perkahwinan aku.
‘Mungkin dah sampai jodohku. Aku terima sahaja andai dia sudah tersurat dia tercipta untukku.’
*****
ENTAH mengapa aku berada di sini. Aku berada di restoran yang dulunya pernah menggaji aku sebagai salah seorang pekerjanya. Jus mangga aku sedut keluar dari gelas. Sejuk. Memang sesuai dengan cuaca hari ini yang panas. Aku masih menunggu lelaki itu. Kelihatan kelibat lelaki itu berjalan menuju ke arahku. Aku senyap.
‘Cara dia berjalan pun dah buat aku rasa menyampah.’
 Aku meneliti cara dia berjalan. Entah sejak bila dia sudah pun mengambil tempatnya berhadapan denganku. Wajahnya serius. Aku menjeling ke arahnya. Mampukah aku hidup bahagia setelah berkahwin dengannya? Itu aku tak pasti.
Sorry. Aku lambat,” tuturnya.
‘Huh, tahu pun minta maaf. Ingat tak tahu tadi.’
Aku memberikan jelingan maut kepadanya. Dia hanya beraksi selamba. Sedari tadi aku perhatikan Awin dan Wirna mengintai-ngintai aku dan bos baru mereka ini. Pasti mereka memikirkan tujuan aku datang ke restoran ini.
Well, aku nak kenalkan diri aku, Tengku Alan Hafiz Tengku Ismail.”
 Aku mencebik. Dia menghulurkan kad nama kepadaku. Namun aku hanya membiarkan kad nama itu di tangannya sehinggalah dia meletakkan kad namanya di atas meja.
‘Mengada-ngada betul. Nak juga sebut nama Tengku tu.’
Aku mengomel dalam hati. Pasti dia juga perasan.
“Saya Zatia. Panggil saja Tia.”
Aku memperkenalkan diri. Dia mengangguk.
“Kau boleh panggil aku, Hafiz.”
Aku memandang dia. Aku rasakan nama Hafiz amatlah tak bersesuaian dengannya. Seeloknya dia dipanggil Alan. Lebih moden dengan cara pemakaiannya dan tingkahnya. Aku menggelengkan kepala tanda tak setuju. Dia sedikit pelik apabila melihat aku mengeleng-gelengkan kepala.
“Panggil Alan boleh? Nama tu macam sesuai sikit dengan awak.” Aku tersengih.
“Kenapa pula? Tak suka?”
Dia seakan-akan tak  berpuas hati dengan aku.
“Taklah. Cuma awak ni macam mat salleh sikit. Tak sesuai panggil Hafiz. Alan lebih okay.”
Aku memberikan alasan yang aku rasa sangat relevan. Dia mengerutkan kening. Mungkin tak berpuas hati dengan panggilan yang mahu aku berikan.
“Kalau macam tu aku panggil kau Zety boleh?”
Alan cuba menguji kesabaranku. Aku tersenyum.
‘Zety? Dia ingat aku ni heroin cerita sembilu kasih ke?’
 Pantas aku menggelengkan kepala. Dia senyum. Lagaknya umpama menyindir aku.
“Tak nak!” tegas aku.
 Dia juga bertegas mahu dipanggil Hafiz. Pelik kan kami ni. Boleh pula bergaduh mengenai nama panggilan. Lama juga kami berkeadaan begitu. Apabila aku sedari ada mata-mata yang memandang, aku menenangkan diri. Aku mahu mencari jalan penyelesaian bukan perkelahian.
Okay, back to the point. Dalam tiga minggu lagi kita akan kahwin. So, kita nak buat macam mana ni?”
Aku bertanya kepada Alan. Namun aku hampa apabila melihatkan dia memberikan respon yang negatif kepada soalan yang baru sahaja aku lemparkan tadi. Dia seakan tak menganggap perkahwinan kami itu satu masalah.
“Nak buat macam mana? Kita kahwin sajalah. Senang cerita. Family awak gembira, family saya pun sama dan kita pun gembira.”
Alan tersenyum memandangku. Aku senyap. Geram pun ada.
“Awak nak ke kahwin dengan saya?”
 Aku cuba mengujinya dengan soalan cepu emas. Alan diam seketika. Mungkin mencari kata-kata yang sesuai.
“Nak tak nak, kena kahwin juga. Mungkin dah jodoh.”
Jawapan yang diberikan Alan agak mencurigakan aku. Bunyinya seakan dia juga terpaksa menurut kata keluarganya. Atau dia telah pun diugut oleh kedua orang tuanya? Ah, semua itu drama semata. Manakann wujud dalam dunia nyata.
“Awak takkan menyesal kan?”
 Sengaja aku melemparkan soalan itu kepadanya. Alan hanya mengangguk kecil. Ragu-ragu. Itu sahaja yang aku dapat simpulkan mengenai perasaan dia terhadap perkahwinan kami yang bakal berlagsung tiga minggu lagi.
“Dah tak ada apa-apa kan? Kalau macam tu saya berangkat dulu.”
Kataku dengan yakinnya sambil mengangkat punggung dari tempat dudukku.
“Tunggu!”
Panggilan Alan memaksa aku duduk semula. Aku memandangnya. Lama. Dia kelihatan serba-salah untuk bercerita. Aku semakin berminat.
“Ya?”
*****