BAB 2
“Assalamualaikum, Tia dah tidur ke?”
Kedengaran suara mama dihujung talian. Rasa rindu yang bersisa tiba-tiba membuak. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku menggalas beg sandang dan pulang ke rumah saat ini namun hasrat itu hanya kusimpan dalam hati sahaja.
“Belum lagi ma, baru sudah buat kerja sikit. Mama apa khabar?”
Seperti biasa aku memulakan perbualan dengan ayat-ayat manis. Such a sweet talker. Entah kenapa di dalam hati aku bagaikan terasa sesuatu yang aneh dengan sikap mama pada malam ini. Ada sesuatu yang ingin disampaikan namun tak tersampai olehnya. Aku tahu itu.
“Hujung minggu ni, Tia balik tau. Mama dengan abah nak bincang sesuatu perkara dengan Tia.” Jelas mama tanpa selindung.
“Tapi mama, Tia macam malas je nak balik minggu ni. Banyak kerja la nak buat. Minggu depan lagi sibuk ma.”
Aku cuba mengelak dari pulang ke rumah pada hujung minggu ini. Entah apa yang mahu mama dan abah bincangkan denganku. Namun mama seakan mengharap agar aku pulang ke rumah. Sebagai seorang anak, aku rasa patutlah aku memenuhi permintaan mama yang tak seberapa itu.
“Tapi mama harap sangat Tia dapat balik minggu ini. Perkara ini penting sangat. Mama bukan nak paksa Tia tapi Tia tak kasihan ke tengok mama dengan abah duduk seorang je dekat rumah. Lagipun kalau tak ada perkara penting mama takkan suruh Tia balik.”
Mama seakan sudah merajuk. Aku takut betul dengan perangai mama yang satu ini. Nanti silap-silap hari bulan teruk aku nak pujuk mama. Tak tahulah macam mana abah boleh tahan kahwin dngan mama selama dua puluh lima tahun. Tapi aku akui mama memang baik dan penyayang cuma perangai dia yang suka merajuk itu yang buat aku tak tahan. Patutnya aku yang bersikap macam tu. Ini terbalik pula. Kelakar bila aku fikirkan mengenai mamaku itu.
“Hmm..kalau macam tu,Tia balik rumah minggu ni.”
Aku sudah mengalah dengan mamaku itu.
“Nak mama ambilkan ke?” tanya mama kepadaku.
“Takpe lah mama Tia balik naik bas ekspress je. Jimat minyak sikit. Lagipun sekarang ni minyak mahal,” jelasku.
Dapat kukesan ketawa mama di hujung telefon. Gembira sekali mama apabila permintaannya aku turuti. Tawanya memang mendamaikan hatiku dan aku mahu mama sentiasa tertawa dan ceria. Aku mahu jadi anak yang membahagiakan kedua orang tuanya.
“Mama tunggu Tia kat rumah. Assalamualaikum.”
Salam mama hanya dapat kujawab dalam hati. Dapat aku rasakan sesuatu yang kurang elok disorokkan daripada pengetahuanku. Namun aku tak pasti apakah itu. Aku harap semua yang berlaku ini ada hikmahnya
Aku tekad untuk pulang hujung minggu ini. Namun aku tak sangka keputusan aku untuk balik telah memberikan aku satu dimensi hidup yang baru dan tidak pernah aku fikirkan selama ini.
*****
AKU sampai akhirnya ke rumah aku yang terletak di Kuantan iaitu lebih kurang empat jam perjalanan dari Kuala Terengganu. Perasaan penat dan letih menular ke tulang-temulang aku. Dari jauh aku lihat mama tersenyum ke arahku. Aku letakkan beg ke atas lantai dan menyalami tangan mama dan begitu juga abah yang berada di sebelah mama.
“Dah makan? Mama dah masak makanan kesukaan Tia. Mama masak nasi ayam hari ni.”
Mama memang mengetahui yang aku memang suka akan nasi ayam.Jika sampai di tempat baru atau restoran yang tidak pernah aku kunjungi, makanan yang selalu aku pesan ialah nasi ayam. Sudah menjadi kebiasaan aku untuk mencuba pelbagai resipi nasi ayam dan membandingkan dengan masakan mama. Namun ternyata aku lebih sukakan nasi ayam hasil air tangan mama. Mungkin kerana masakan mama lebih memikat daripada masakan orang lain. Sebagai anak, masakan ibu lebih sedap berbanding masakan orang lain kerana masakan ibu ini mempunyai kasih sayang. Aku percaya, masakan merupakan salah satu cara untuk menunjukkan kasih sayang kepada orang lain.
“Belum lagi. Tadi nak naik bas, Tia takut nak makan. Nanti muntah.”
Balasku pendek. Aku lihat abah ketawa. Bukannya abah tak tahu yang aku akan pening dan mabuk kalau berada dalam bas yang berhawa dingin. Yang peliknya jika berada di atas bot di tengah laut, aku takkan mabuk pun. Terbalik pula.
“Dah besar-besar pun mabuk naik bas lagi. Abah pun tak tahu nak buat macam mana dengan Tia ni.”
Abah berseloroh.
“Tia dah cuba dah tapi nak buat macam mana abah. Orang yang duduk sebelah Tia tadi tu, makan kat sebelah Tia. Tia tak suka orang makan kat atas bas. Bau dia buat Tia nak muntah.”
Aku memberikan alasan kepada abah yang aku rasakan sangat relevan buatku. Dapat kulihat abah menggeleng-gelengkan kepala mendengar rungutanku.
“Tia nak makan atau mandi dulu?” tanya mama.
“Tia nak mandi dulu, lepas ni Tia turun makan,” balas aku pendek.
Aku berlalu ke dalam kamar tidurku yang sudah sebulan aku tinggalkan. Masih seperti yang biasa,tiada apa yang diusik. Sebenarnya aku memang pantang jika ada orang yang mengusik barang-barang di dalam bilikku. Mungkin kerana aku membelinya sendiri tanpa bantuan abah dan mama kecuali perabot di dalam bilik aku sahaja yang ditaja oleh abah dan mama. Penatnya memang menusuk ke sendi-sendi dan tulang-temulangku. Entahlah apa yang aku fikirkan pada saat itu, yang pastinya aku terus menuju ke kamar mandi dan terus bersiap untuk menjamah hidangan makan tengah hari yang sudah sedia terhidang di atas meja.
“Tia, dah siap ke belum? Abah dah tunggu Tia kat meja makan ni.”
“Sekejap, Tia keluar kejap lagi,” sahutku dari bilik.
Pakaian segera kusarung ke badanku. Lantas aku keluar ke ruang makan dengan tergesa-gesa. Malas hendak membuat ayahku ternanti-nanti di meja makan. Badanku masih terasa penat tapi aku suapkan juga nasi yang sudah menjadi kegemaranku ke mulut. Sebenarnya aku ingin mengambil hati mama yang susah payah memasak makanan kegemaranku itu. Dalam masa sepuluh minit aku sudah menghabiskan nasi di dalam pingganku.
“Tia, nak tambah nasi lagi?”
Mama mempelawaku apabila melihatku nasi di pingganku yang sudah licin. Pantas aku menggeleng. Air limau suam aku teguk dengan rakus.
“Mama, tengok Tia sekarang ni makin kurus. Tak cukup makan ke kat kampus?” tanya mama lagi.
Aku sekadar tersenyum sahaja. Kalaulah mama tahu betapa susahnya hendak makan sayur di negeri Terengganu ni. Kalau ada sayur pun belum tentu sayur itu yang aku makan. Sudahlah tu makanan pula agak mahal berbanding Pahang. Betullah apa yang dikatakan oleh kawanku sewaktu di matrikulasi dahulu bahawa di mana adanya institut pengajian tinggi, harga makanan, sewa rumah, dan juga harga barang keperluan akan melambung naik daripada harga asal. Peniaga-peniaga akan cenderung untuk mengambil kesempatan ke atas pelajar. Mungkin mereka beranggapan pelajar mewah dengan duit daripada pinjaman tabung pendidikan tinggi nasional (ptptn). Ada sesetengah pelajar mendapat biasiswa JPA dan sebagainya.
“Tia jimat duit mama. Makanan kat kampus mahal sangat. Jadi Tia makan sekali sahaja. Makan waktu pagi dengan biskut, petang dalam pukul enam tu, baru Tia makan nasi,” jelas aku.
Sebetulnya, aku tak mahu menyusahkan mama dan abah. Sudah cukuplah mama dan abah menanggungku sehingga dapat menjejakkan kaki ke universiti. Aku rasa biarlah aku berdikari dan berjimat cermat dengan duit pinjaman yang tak seberapa itu.
“Kenapa tak cakap dengan abah yang Tia tak cukup duit? Kalau pasal makan tak payahlah nak berkira sangat. Nanti sakit perut ke, kena sakit gastrik ke kan mama dengan abah juga yang susah. Nak ubat penyakit tu lagi banyak pakai duit tau,” nasihat abah panjang lebar.
Aku hanya mengangguk sahaja. Malas hendak membantah cakap orang tua. Aku tahu mereka mampu menyara kehidupan aku di universiti. Bagi aku berdikari lebih menyeronokkan. Lebih nikmat rasa hidup jika dapat sesuatu yang kita idamkan dengan hasil titik peluh sendiri berbanding dengan duit yang dapat dengan mudah hasil bantuan orang lain.
*****
MALAM itu, aku sendirian di ruang tamu rumahku. Aku asyik menonton televisyen sehinggakan tidak sedar masa berlalu dengan pantas. Abah yang mungkin sedari tadi memerhatikan tingkah lakuku mendekati aku.
“Abah nak cakap sikit dengan Tia boleh?”
Abahku mula bersuara sehingga aku yang asyik menonton televisyen tersentak.
“Boleh. Cakaplah. Dah lama Tia tunggu apa yang penting tu tapi abah dengan mama tak nak cakap lagi.”
“Tia dah ada boyfriend ke kat kampus? Saje abah nak tahu.”
Pertanyaan abahku itu membuatkan aku tersentak dan ketawa tidak berhenti.
“Abah...Abah... anak abah ni mana la ada orang nak abah. Nak dekat pun takut. Inikan pula nak jadi boyfriend. Kenapa abah tanya macam tu?”
Aku sedikit hairan dengan sikap abah. Kalau dulu, abah selalu menasihatkan aku agar tidak melibatkan diri dalam urusan yang melibatkan hati dan perasaan ini. Baginya aku masih mentah untuk perkara seumpamanya. Oleh kerana itu, aku tidak berani hendak melibatkan diri dengan aktivti yang melibatkan perasaan cinta, kasih dan sayang ini.
“Kalau macam tu senang la sikit abah nak cakap dengan Tia ni.”
“Abah ni menakutkan Tia je. Macam penting sangat.”
“Kalau abah suruh Tia bertunang dengan anak pak cik Kassim tu, Tia setuju tak?”
Bulat mataku memandang abah. Adakah betul perkara yang baru aku dengar ini? Aku memandang abah dengan pandangan yang pelik. Otakku masih lagi memikirkan jalan terbaik untuk tidak memenuhi permintaan abah yang kukira agak berat itu. Aku diam seketika. Abah memandangku dengan penuh harapan.
“Abah, Tia rasa macam tak sedia lagi la nak tunang. Lagipun Tia tak kenal pun dengan anak pakcik Kassim tu. Entah nama apa pun,Tia tak tahu.”
Sebolehnya, aku cuba untuk mengelak daripada bertunang dengan anak pak cik Kassim tu.
“Abah, kalau boleh tak nak paksa Tia tapi ini melibatkan perjanjian abah dengan pak cik Kassim kamu tu. Tia tahukan betapa baiknya pak cik Kassim kamu tu. Dia nak sangat Tia jadi menantu dia. Lagipun, Tia tahukan pak cik Kassim tu sakit sekarang. Kalau boleh, abah tak nak Tia hampakan harapan kami berdua.”
Abah seakan memujuk aku. Tapi aku tak bersedia untuk bertunang demi kesejahteraan orang lain. Namun apabila aku melihat muka abah yang begitu mengharap, aku terus sahaja menggangguk kecil tanda bersetuju. Tak sanggup pula hendak menghampakan harapan abah. Lagipun apa salahnya jika aku bertunang. Aku pun bukannya milik sesiapa lagi. Aku masih lagi bujang dan tiada teman lelaki. Apa salahnya jika aku menggembirakan hati orang tuaku.
Aku akhirnya bersetuju setelah berbincang dengan hati dan akalku. Apabila aku menyatakan persetujuanku, saat itu aku lihat abah tersenyum lebar. Aku sedar abah sangat gembira dan itu membuatkan aku pasti mungkin ini adalah jodohku. Namun, jauh di sudut hatiku, ada sedikit perasaan ragu-ragu dengan keputusan yang aku ambil ini. Harap aku tidak tersilap langkah.
Hari semakin lewat, dan aku lihat abah sudah berlalu ke kamar peraduannya. Tinggal aku yang masih lagi di ruang tamu. Termenung. Fikiran kosong tiba-tiba. Tiada yang dapat menggambarkan perasaanku ketika itu. Berkecamuk pun ada. Daripada aku termenung tak tentu pasal, baik aku tidur sahaja. Lagi senang, esok baru fikirkan masalah itu. Aku berlalu ke dalam bilik dan sambil berbaring di atas katil aku menarik patung kura-kura yang aku panggil kuma-kuma ke dalam pelukanku. Lembut betul patung pemberian rakan sebilikku semasa di matrikulasi ini. Kalaulah rakanku itu tahu yang aku akan bertunang, pasti dia akan ketawa. Dia memang suka kalau aku kahwin dulu daripadanya. Aku sendiri tak faham dengan perangai dia. Letih aku berfikir, entah bila la aku terlelap akhirnya. Bila aku sedar keesokkan harinya azan subuh sudah berkumandang. Lantas aku bangun menuju ke kamar mandi.
*****
AKU kembali akhirnya ke kampus. Rindu benar dengan asramaku yang sudah dua hari aku tinggalkan. Tiba-tiba fikiranku melayang dengan permintaan abah yang telah aku persetujui itu. Agak terkejut dengan diriku sendiri. Entahlah, apa yang sudah merasuk fikiranku pada waktu itu. Boleh sahaja aku terima permintaan ayahku tanpa berfikir panjang. Lantas aku terfikirkan, bagaimanakah rupa paras anak pak cik Kassim itu. Adakah sekacak bintang filem Korea? Ataupun sebaik pak cik Kassim sendiri. Aku tak berapa pasti. Namun, jauh di sudut hati aku mengharapkan dia seorang lelaki yang baik dan sudi menerima aku dalam hidupnya.
Deringan telefon bimbitku meleraikan lamunan aku tika itu. Aku melihat skrin telefon bimbitku dan mendapati ianya nombor asing. Entah dari mana nombor ini asalnya. Aku masih lagi teragak-agak untuk menyambut panggilan itu. Serta-merta aku teringatkan pesan Misya mengenai panggilan dari pemanggil yang tak dikenali.
“Kalau ada nombor yang pelik masuk dalam telefon kita, jangan sesekali angkat. Sebab sekarang ini banyak kes pukau, santau melalui talian telefon,’ pesan Misya kepadaku pada suatu hari.
“Ish tapi takkan tak nak angkat pula, kalau panggilan penting macam mana? Tawakallah, Allah itu maha besar. Takkan jadi apa-apa tanpa izin-Nya,” bisik hatiku lagi.
“Helo, boleh saya berbicara dengan Zatia?”
Suara seorang lelaki kedengaran di hujung telefon. Aku terdiam seketika.
“Helo?”
“Ya, saya Zatia bercakap. Ada apa yang saya boleh bantu?”
“Jadi, awaklah Zatia. Saya Fairuz, anak pak cik Kassim. Erm, boleh saya katakan sebagai bakal tunang awak.”
Kedengaran ketawa di hujung talian. Kenapa pula dia ketawa? Aku sendiri tak pasti.
“Err.. maaf ya encik Fairuz. Saya buat keputusan itu atas permintaan...”
Belum sempat aku menyudahkan kata dia sudah memotong. Sungguh tidak sopan.
“Apa-apa hal kita bincang bila kita jumpa nanti. Awak jumpa saya di Starbucks kat Kuantan hari sabtu ni. Keputusan saya muktamad.”
“Eh, saya ada di Terengganu sekarang. Consider la sikit. Takkan saya nak kena turun Kuantan pulak. Awak ni biar betul.”
Kesabaran aku sudah tahap maksimum. Ikutkan kata hati ingin saja aku matikan telefon bimbitku. Biar padan muka dia. Tapi aku tidak berbuat demikian. Mungkin kerana aku diajar untuk bersopan dengan sesiapa sahaja.
“Saya dah buat keputusan dan awak mesti ikut.”
Tegas lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Fairuz itu bersuara.
“Macam ni ke bakal tunang aku? Kalau macam tu baik aku tak tunang je. Mesti merana kalau jadi tunang dia. Jadi isteri lagilah merana,” bisik aku dalam hati.
Aku tekad, aku tak boleh tunduk sahaja pada permintaan lelaki yang mengaku Fairuz itu.
“Awak tak boleh buat saya macam ni. Saya masih belajar lagi. Takkan saya nak tinggalkan kuliah.”
Aku amat berharap dia memahami situasi aku.
“Dah tahu masih belajar kenapa gatal sangat nak bertunang hah! Dah tu buat alasan atas permintaan orang tua. Kalau dah gatal sangat nak kahwin, kahwinlah dengan orang lain. Atau awak memang tak laku? Awak dah sebabkan saya dan awek saya bergaduh besar tau.”
Sinis bunyi patah-patah perkataan yang dikeluarkan oleh lelaki itu. Aku hanya mampu mendengar patah-patah perkataan yang keluar dari bibirnya. Harus aku akui memang silap aku kerana bersetuju dengan cadangan abah. Tapi aku tak sangka dia tak bersetuju. Sangkaku dia juga bersetuju. Telahan aku ternyata silap.
“Maaf. Saya dah sebabkan awak bergaduh dengan si dia.”
“Dah. Sekarang maaf pun dah tak guna. Baik awak cari jalan untuk hentikan semua benda mengarut yang dirancang oleh mak bapak kita ni. Saya tak kira awak mesti selesaikan semua ini.”
Aku senyap. Terkedu. Aku sedar dia memang tak sukakan aku. Jika pertunangan ini diteruskan, aku pasti aku merana.
“Helo, cik Zatia ingat sedikit yang awak tu masih belajar. Jangan ingat saya akan simpati dengan awak. Tapi saya perlu jumpa awak. Bila awak balik Kuantan lagi?”
“Err... mungkin dalam bulan depan. Sebab saya cuti sem.”
Aku bersuara. Perlahan. Biarlah yang dia tahu yang aku sangat terasa dengan apa yang telah diakatakan sebentar tadi.
“Kalau macam tu, kita jumpa di Terengganu saja. Awak free hari sabtu ni? Saya ada hal kat Terengganu. Jumpa kat food court kat depan Mydin Mall. Saya akan telefon awak bila sampai kat sana nanti. Awak datang dalam pukul tiga.”
Aku dengar dia mengarah.
“Amboi-amboi sedapnya dia mengarah aku. Nasib baik la dia tak sukakan aku. Kalau aku kena kahwin dengan dia pasti mati aku nak tahan perangai dia yang suka mengarah tu,” ngomel aku sendirian.
Namun ngomelan itu hanya dapat didengari oleh telingaku sahaja. Mana mungkin aku suarakan kepadanya. Aku tak mahu menjadi seorang yang tidak sopan.
“Baik.”
Aku menjawab perlahan. Cukup untuk didengari oleh diriku sendiri. Malas betul aku nak melayan perangainya yang banyak songeh itu. Dan akhirnya telefon dimatikan. Dia sememangya tidak sopan. Tak mahu aku hidup dengan lelaki macam tu.
*****
0 comments:
Post a Comment