BAB 4
HAL pertunangan itu, aku simpan kedap dalam hati. Malas hendak menghebohkan lagi berita pertunangan aku. Biarlah mereka tidak tahu. Kerana aku yakin aku pertunangan ini akan berakhir juga satu hari nanti nanti. Hanya Intan dan Hakim sahaja yang mengetahui status terbaru aku. Kepada rakan-rakan yang lain, aku rahsiakan.
Aku meneliti cincin pertunangan aku. Cantik tapi entah kenapa aku merasakan ia langsung tidak memberikan apa-apa makna dalam hidup aku. Lantas aku tanggalkan dan meletakkannya ke atas telapak tanganku. Aku sarungkan cincin itu ke rantai leherku. Biarlah ia menjadi loket yang menghiasi leherku.
Mengingati Fairuz, membuatkan hati aku sebal. Kalau boleh aku tak mahu punya apa-apa perasaan terhadap lelaki itu. Lagipun, dia memang langsung tidak menunjukkan apa-apa minat terhadapku. Jadi aku sebolehnya cuba untuk mengelak daripada menghabiskan masa dengan Fairuz. Namun apa yang dirancang tak semestinya menjadi. Pagi yang hening itu menjadi hancur dan huru-hara apabila, aku terserempak dengan Fairuz di kampus. Aku terkedu.
‘Apa yang mamat ni buat kat sini?’
Aku berpaling ke arah lain. Intan yang berjalan beriringan dengan aku menghentikan langkahnya.
“Tia, tu bukan ke kau punya tunang?”
Mulutnya dijuihkan ke arah Fairuz. Aku buat tak tahu.
“Bukanlah, kau silap orang tu. Jomlah kita balik hostel. Aku nak sambung tidur. Aku tidur lewat malam tadi,” rungut aku.
Tanpa aku sedari Fairuz berjalan ke arah aku. Aku memandang ke belakang. Kelihatan beberapa orang rakan sekuliah aku sedang berjalan. Mungkin hendak pulang ke hostel ataupun hendak membeli makanan tengah hari mungkin.
“Helo. Kau buat apa kat sini?”
Aku sekadar berbasa basi. Pada awalnya aku memang ingin menggunakan kata ganti nama ‘saya’ dan ‘awak’ namun ditegah oleh Fairuz. Dia lebih selesa dengan bahasa ‘aku’ dan ‘kau’. Aku pula menurutinya tanpa banyak soal.
“Ada hal sedikit pasal projek fakulti tu.kau dah makan ke? Kalau belum, jom makan. Aku belanja,” pelawanya.
Aku terkejut. Fairuz mempelawaku makan? Aku memandang Intan yang tersengih-sengih bak kerang busuk.
‘Biar betul mamat ni. Baik gila nak belanja aku makan. Rezeki jangan ditolak. Baik aku ajak si intan ni sekali. Jimat sedikit duit makan aku hari ni.’
Aku tersengih-sengih. Intan pula sudah menapak jauh dari aku. Kononnya hendak memberi aku privasi untuk berbual dengan Fairuz lebih lama. Pandailah kau Intan.
“Tia, aku balik dulu. Aku ada date dengan Hakim.”
Intan tersenyum-senyum sambil melambai-lambai ke arahku. Aku memandang Fairuz. Dia tersenyum sumbing.
“Ok. Jadi, apa yang kita tunggu lagi?”
Fairuz berjalan beriringan dengan aku ke arah keretanya. Kereta pacuan empat roda miliknya dipandu dan meluncur laju di jalan raya. Setahu aku, Pak Cik Kassim ni tak adalah kaya sangat. Tapi gaya anak dia ni macam anak datuk. Hari itu, aku rasa dia pandu Honda civic berwarna hitam tapi kali ini kereta Hilux hitam menjadi panduannya. Aku pun tak pasti. Kereta syarikat mungkin.
*****
AKU menyedut air oren. Memang terasa nikmatnya. Cuaca yang panas ditambah pula dengan air oren yang sejuk membuatkan rasa dahaga yang berkampung di tekak aku serta-merta lega. Aku memerhatikan Fairuz. Nasi di pinggannya masih berbaki separuh. Sementara aku pula sebaliknya. Licin. Sememangnya aku ini kuat makan. Rasa malu mula menerjah. Dia hanya tersenyum melihat aku yang sudah habis menelan makanan tengah hari aku.
“Kau ni memang kuat makan ke? Tengok tu, nasib baik tak ditelan sekali dengan pinggan tu. Kalau tak mati aku nak membayar harga pinggan mangkuk serta makanan yang kau telan tu.”
Fairuz tergelak-gelak. Aku pula dah mula buat muka.
“Biasalah tu. Budak yang duduk kat hostel memang jarang makan. Lagipun aku makan sekali sehari je. Sebab tu boleh telan dengan meja ni sekali.”
Aku membalas. Sudah lama aku menghentikan aktiviti bertekak dengan insan yang berlawanan jantina dengan aku. Bukan apa, aku cuma hendak mengelakkan dari menjadi bahan gosip. Fairuz tergelak. Kelakar agaknya. Aku hanya melayani perasaan tanpa menghiraukan gelakan Fairuz yang kukira agak melampau itu. Tawa Fairuz reda. Aku agak musykil dengan Fairuz. Dia seorang yang susah dijangka perlakuannya. Sekejap baik sekejap tidak.
“Julie, sihat tak?” tanyaku setelah tawa Fairuz reda.
Fairuz mengangkat kening dan merenungku. melihat aku yang cuba mengelak daripada renungannya, dia tersenyum.
“Dia okay je. Baik and still cantik macam biasa,” ujarnya sambil menyedut air teh limau ais.
Baru kini aku perasan bahawa Fairuz memiliki sepasang anak mata yang cantik. Berwarna hijau. Pelik. Biasanya anak mata orang Asia berwarna coklat atau hitam, namun dia memiliki anak mata berwarna hijau. Kacukankah Fairuz?
“Eh, kau ni kacukan ke? Mata kau warna hijau.”
Bola mata Fairuz membuntang memandang aku.
‘Alamak, kenapalah aku ni straight forward sangat. Kan mamat tu dah tercenggang. Mesti dia perasan handsome nanti.’
“A’ah. Mama orang Sepanyol. Sebab tu aku ni handsome. Kenapa? Kau dah terpikat ke?”
Fairuz sudah mula menjual minyaknya yang ternyata tidak laku itu. Aku membiarkan sahaja andaian-andaian yang dicipta oleh Fairuz. Dah tak kuasa hendak melayannya.
“ Perasan.”
Malas aku hendak melayan kerenah Fairuz lantas aku mengajaknya pulang.
*****
MASA berlalu dengan begitu pantas sekali sehinggakan aku tidak sedar yang aku kini sudah melangkah ke alam pekerjaan. Jika mengikut perjanjian aku dengan Fairuz, kami seharusnya memutuskan pertunangan selepas aku bergraduat. Namun, sehingga kini aku masih lagi menunggu kata putus dari Fairuz. Mengenai hubungan Fairuz dengan Julie, aku sendiri pun tidak pasti sejauh manakah hubungan mereka. Kadangkala terbit juga kerisauan di benak fikiran aku perihal pertunangan aku dengan Fairuz. Bagaimana harus aku jawab jika orang tuaku meminta aku berkahwin dengan Fairuz secepat mungkin? Aku tak boleh mengatakan tidak kerana aku telah bertunang dengan Fairuz secara rasminya. Pening kepalaku memikirkan masalah jodoh ini. Sedang aku berkira-kira untuk menelefon Fairuz, telefon bimbitku berbunyi. Lantas kuambil dan jelas terpapar di skrin nama Fairuz. Tanpa berlengah aku menjawabnya.
“Assalamualaikum.”
Ayat biasa untuk memulakan kata kedengaran di hujung talian. Suara Fairuz agak serak. Demamkah dia? Sudah lama aku tidak bertemu dengannya.
“Waalaikumussalam. Apa khabar?” balasku bersahaja.
Perasaan gementar di hatiku cuba disembunyikan. Malu.
“Tia, pasal pertunangan kita tu, aku dah batalkan. Esok family aku datang untuk uruskan hal tu.”
Aku terkedu. Entah mengapa dada aku berasa sebak. Air mataku sudah mulai bergenang dan bila-bila masa empangan air mata bisa pecah mengalirkan air mata ini. Aku bagaikan tak rela pertunangan ini diputuskan. Sebenarnya aku mengharapkan Fairuz akan melupakan perjanjian itu dan berkahwin dengan aku. Namun, sangkaan aku meleset. Fairuz mengotakan janjinya. Mungkin dia tidak mahu digelar munafik.
“Tia?”
Aku tersedar. Kulihat mama di belakangku. Telefon bimbitku masih di tanganku. Sebentar tadi Fairuz menelefonku untuk memberitahu aku mengenai hal pemutusan pertunangan kami. Kukira pasti mama telah mengetahuinya. Air muka mama keruh.
“Mama. Ada apa mama kat sini?” tanyaku perlahan.
Mama duduk di sampingku. Diam. Mungkin mencari kata-kata untuk menjelaskan keadaan yang sebenarnya kepadaku. Dapat aku lihat mama resah.
“Mama? Kalau mama nak bagitahu Tia pasal hal pertunangan tu, Tia dah tahu. Fairuz dah bagitahu Tia tadi.”
Aku bersuara. Aku cuba menceriakan suara agar tiada kesan sendu yang dapat dikesan oleh mama. Mungkin mama berasa bersalah kerana memintaku untuk bertunang dengan Fairuz dahulu.
“Maafkan mama. Mama tak sangka Fairuz akan putuskan pertunangan kamu berdua.” Mama bersuara. Kesal. Aku cuba tersenyum walaupun hambar.
“It’s okay mama. Kalau Fairuz tak nak, ramai lagi yang berduyun-duyun nak kat anak mama ni. Tia tinggal pilih saja.” Aku berjenaka. Biarlah aku simpan kesedihan aku ini sendirian. Selamat tinggal, Fairuz.
*****
BEBERAPA minggu selepas peristiwa yang menyedihkan itu, aku kembali bersemangat. Segala kesedihan aku tukarkan menjadi tenaga untuk berkerja. Tambahan pula, aku kini bertugas sebagai pengurus restoran di Kuantan. Restoran itu bolehlah aku kelaskan sebagai sebuah restoran elit. Berkonsepkan ala barat dan layanan penuh diberikan kepada pelanggan. Harga makanannya memang mahal dan hanya mereka yang berkemampuan sahaja boleh menjejakkan kaki ke dalam restoran itu.
Walaupun aku merupakan pengurus restoran itu, aku cukup tidak menggemari suasana restoran mewah. Mungkin kerana aku datang dari keluarga yang sederhana dan aku sudah terbiasa dengan suasana restoran mamak yang menjadi pilihanku sekeluarga setiap kali menjamu selera di luar. Makanan ala barat memang tak menjadi pilihan aku. Tak kenyang!
“Selamat pagi, cik Zatia.”
Wirna penyambut tetamu menyambutku dengan senyuman. Aku mengangguk kecil dan tersenyum. Aku mengenakan kebaya labuh berwarna keladi hari ini. Sengaja mencari kelainan. Biasanya aku mengenakan sut dan berseluar tapi entah mengapa aku mengenakan kebaya di badanku hari ini. Pelik kan. Aku melangkah ke pejabatku. Masih seperti selalu. Secawan nescafe sudah tersedia di atas mejaku. Masih panas. Kak Bibah pasti dapat mengagak pukul berapa aku akan sampai ke restoran. Aku tersenyum sendirian. Tanganku pantas mencapai dokumen meneliti senarai barang yang harus dibeli untuk bulan ini. Kontrak dengan pembekal daging kambing sudah hampir tamat. Mungkin aku patut usulkan untuk membuka tender kepada pembekal-pembekal daging yang lain. Terlalu asyik dengan meneliti dokumen-dokumen itu, aku hampir terlupa waktu makan tengah hari sudah hampir tamat. Pasti keadaan restoran agak sibuk pada waktu ini. Waktu puncaklah katakan.
“Cik, ada pelanggan tak puas hati. Dia nak jumpa dengan cik.”
Awin tercungap-cungap di hadapanku.
“Awak dah cakap dengan dia?”
Aku ingin mendapatkan kepastian. Awin merupakan supervisor di restoran. Biasanya jika ada masalah berkaitan dengan pelanggan .pasti mudah diselesaikan oleh Awin. Jika masalah tidak dapat diselesaikan barulah akan dirujuk kepadaku.
“Dah tapi dia tetap tak puas hati.Err.. cik dia orang kenamaan la cik.”
Awin memberitahu aku. Aku mengangguk kecil.
“Saya cuba selesaikan masalah ni, tapi awak tengokkan pelanggan kita yang lain. Jangan biar mereka berasa terganggu dengan masalah ni.”
Aku memberi arahan. Awin hanya menurut. Aku berjalan menuju ke meja yang ditunjukkan oleh Awin. Pelanggan itu ternyata marah. Terdapat dua orang pelanggan di meja itu. Seorang lelaki yang berusia lewat dua puluhan dan seorang wanita yang dalam lingkungan awal dua puluhan.
“Ya, encik. Boleh saya bantu?”
Aku memaniskan muka memandang ke arah pelanggan lelaki dan perempuan itu bersilih ganti.
“Ok, I tak puas hati dengan you all punya stik daging ni. I told the waiter not to add black pepper on my steak and look what he had done. I can’t even eat this steak.”
Pelanggan wanita itu merungut. Pelanggan lelaki itu hanya diam.
‘Dah tahu tak nak black pepper dalam stik tu, kenapalah nak order juga steak with black pepper sauce? Pelik betul perempuan ni.’
“Maaf. Saya akan gantikan dengan stik yang baru. Ada apa-apa yang saya boleh bantu lagi?” tanyaku.
“Itu sahaja. You boleh pergi sekarang,” ujar pelanggan itu.
Agak sombong pelanggan perempuan itu. Pelanggan lelaki itu sedikit pun tidak menyampuk atau memarahi aku. Mujurlah mereka tak membuat kecoh di restoran. Kalau tidak, aku tak pastilah apa yang akan terjadi kepada nama baik restoran. Mungkin akan menghilangkan kepercayaan pelanggan kepada pengurusan restoran. Dalam pada itu, aku sempat mengarahkan Awin supaya memastikan semua pelanggan selesa dengan suasana restoran. Nama baik restoran harus dijaga.
*****
PERISTIWA seminggu lalu sedikit sebanyak mencalarkan nama baik restoran. Iktibar dari kejadian tersebut, aku mengarahkan semua pekerja supaya lebih peka dengan pelanggan. Aku tak sanggup menanggung kerugian. Wanita itu memang menjengkelkan. Aku menghirup nescafe. Enak rasanya. Kak Bibah mengambil cuti tanpa gaji hari ini. Katanya anaknya sakit. Aku menyelak planner. Meneliti apa yang harus aku lakukan hari ini.
‘ Alamak! Malam ni ada reunion la. Macam mana aku boleh lupa ni. Nak pakai baju apa ya? Habislah aku,’ bisik hati aku.
Deringan telefon membuatkan tersentak. Lalu tanpa berfikir panjang aku menjawabnya.
“Helo, kawan. Misya ni.”
Suara ceria Misya kedengaran di hujung talian. Aku dapat meneka tujuan Misya menelefon. Pastinya kerana majlis reunion itu.
“Kau memang. Mimpi apa kau hari ni call aku?”
Aku memberikan soalan trivia kepada Misya. Kedengaran Misya ketawa di hujung talian. Bukan aku tak tahu yang Misya menelefonku atas alasan reunion.
“Memang buruk anak dara ni kalau ketawa,” getus aku.
“Pasal reunion malam ni. Aku nak ingatkan kau je. Kau datang kan?”
Misya meminta kepastian. Aku mencari alasan yang relevan untuk mengelak daripada menghadirkan diri ke majlis itu.
“Tengoklah dulu. Petang nanti aku confirmkan balik okay. Tata.”
Aku meletakkan ganggang telefon. Keluhan kecil aku lepaskan. Lantas aku mencapai tas tanganku dan berlalu keluar dari pejabatku.
*****
laaaa nape rsa mcm pdek jer ar.. Ish xsbr nk bca n3 nya lg..