Followers

Siapakah kekasih hatiku? 14

Sunday, December 25, 2011
PERISTIWA malam itu banyak meninggalkan kesan terhadapku. Aku tak lagi menghubungi Alan bertanyakan khabarnya. Aku meneruskan kehidupanku. Kerja, kerja dan kerja. Shah? Dia masih mengejarku. Memaksaku supaya berkahwin dengannya apabila aku sah bercerai dengan Alan. Namun aku ragu. Aku risau Shah juga akan memperlakukan aku seperti yang Fairuz dan Alan lakukan kepadaku.
Kepalaku berdenyut-denyut. Sakit. Aku rasakan seperti otakku sudah mengelegak. Aku membuka laci meja dan mengeluarkan panadol. Dua biji panadol kutelan bersama air mineral yang selalu kusediakan dalam bilik tidurku. Aku terpaksa biasakan diri hidup sendiri. Perlu berdikari kerana aku akan menyertai persatuan janda-janda Malaysia. Aku memejamkan mata. Ingin tidur untuk melegakan rasa sakitku. Entah bila aku tertidur pun, aku tak sedar. Yang pastinya, apabila aku terjaga, Alan sedang meletakkan tuala lembap di dahiku. Sekejap. Alan? Mungkin aku bermimpi. Aku memejamkan mata kembali dan membukanya perlahan-lahan. Masih lagi Alan di sebelahku. Aku bagaikan tak percaya. Alan? Betulkah itu dia? Atau hanya khayalanku.
“Tia dah sedar? Sakit lagi ke?”
Alan bertanya lembut kepadaku. Aku menepis tangan Alan yang menyentuh lembut dahiku. Alan tersentak. Aku mahu dia rasakan apa yang aku rasakan selama ini. Aku tak mahu lagi mengharapkan Alan. Alan menyentuh lagi dahiku. Mungkin tak percaya dengan tindakan refleksku. Sekali lagi aku menepis. Aku tak mahukan simpatinya.
“Tia okay. Alan baliklah. Mesti Riana tunggu Alan kat rumah.”
Aku menarik selimut. Panggilan ‘abang’ sudah kupadamkan buat Alan.  Aku mahu berdikari dan tak mahu lagi bergantung harap kepada Alan.  Aku tekad. Aku harus melepaskan Alan pergi. Membenarkan dia bahagia tanpaku.
“Kenapa dengan kau ni? Aku buat baik salah, aku tak endahkan kau pun salah. Aku pun tak faham dengan kau ni.”
Alan mula hilang sabar. Aku tersenyum.
“Alan baliklah. Tia tak nak Alan abaikan Riana. Lagipun Riana kan tengah pregnant. Dia lebih  perlukan perhatian Alan.”
Aku cuba memberikan alasan. Ya, Riana sedang mengandung. Mulanya aku cemburu namun aku tahu cemburuku tak berasas. Tak patut aku cemburukan pasangan yang sedang berbahagia.  Tiba-tiba ketukan di pintu mengejutkan aku. Riana masuk ke bilik sambil menatang dulang berisi segelas susu dan semangkuk bubur. Riana?
‘Aku lupa dia takkan biarkan isteri kesayangannya tinggal keseorangan di rumah.’
Aku memandang Riana. Wajah manis Riana aku tatap. Rambut hitam pekat milik Riana yang dilepaskan menampakkan keayuan wajahnya. Memang cantik. Berbeza benar denganku. Umpama langit dan bumi.
“Abang. Ni Ana buatkan air untuk abang. Bubur ni untuk Tia.” 
Riana meletakkan  dulang di atas meja berhampiran dengan katil. Satu kucupan diberikan Alan buat Riana. Aku cemburu namun aku tahu cemburu aku tak berasas. Segera aku memadamkan api cemburu yang kian marak di hatiku. Tak patut aku mencemburui pasangan suami isteri yang bahagia. Berdosa.
Riana berlalu membawa dulang kosong. Alan memegang mangkuk bubur. Sesudu bubur disuakan ke mulutku. Namun, mulutku seakan-akan sukar untuk menganga. Terasa berat untuk menerima suapan dari Alan.
“Tia, buka mulut tu. Aku nak suapkan kau ni.”
Alan cuba berlembut namun kala ini seleraku seakan tertutup untuk makan. Aku tak lalu untuk menjamah bubur itu walaupun disuap oleh lelaki yang aku sayangi. Aku menggeleng tanda tak mahu makan.
“Takpelah. Tia tak lalu. Letaklah kat tepi. Nanti Tia makan.”
Aku memberikan alasan. Aku tahu niatnya murni namun biarlah. Aku mahu berdikari. Aku tak mahu bergantung harap padanya lagi. Aku kerap kali dilukai. Deringan lagu  My All dari telefon bimbit sony ericsson memecahkan suasana hening kala itu. Aku mengamati nama yang tertera di skrin.
‘Shah. Kenapalah dia telefon aku? ‘
Perlahan aku menjawab panggilannya. Jelas kerisauannya mengenai keadaan aku membuka bicaranya.
Baby, are you okay? You tahu kan, I risau sangat.” Suara Shah yang kerisauan menyebabkan aku tersenyum sendiri. dia begitu kalut. Aku memandang Alan. Dia ingin mengetahui dengan siapa aku berbicara. Namun aku tak mengendahkannya. Seketika berbual dengan Shah. Dia banyak menenangkan aku. dan segera moodku berubah elok. Bubur yang tak sudi dijamah tadi sudah pun berada di dalam sistem penghadamanku. Ajaibnya Shah.
‘Adakah aku perlu berpaling dari Alan?’
*****
SUDAH dua hari Alan dan Riana di rumahku. Kononnya hendak menjaga aku yang sakit. Namun, tidakkah mereka ketahui, hati aku tambah sakit melihat aksi-aksi mesra mereka berdua. Naik berbulu mata aku melihatnya. Almaklumlah pasangan yang sedang berbahagia. Kala ini aku sedang melihat Riana sedang menyuapkan nasi ke mulut Alan. Alahai manjanya Alan. Kalau dengan aku, asyik nak menengking saja. Kalau dengan Riana? Amboi, bukan main miang lagi. Aku diam di rumahku sendiri. Mengharapkan Alan memandang ke arahku sekali walaupun aku tahu itu takkan berlaku. Aku menguis-nguis nasi di pingganku. Masih berbaki separuh. Manakan dapat kutelan butiran-butiran nasi di saat dadaku sangat sesak dengan drama yang sedang ditayangkan di hadapanku ini.
‘Kalaulah aku yang berada di situ kan bagus.’
Aku merungut sendiri namun hanya di dalam hati. Lantas dengan pinggan yang masih berbaki nasi aku ke ruangan dapur.  Kubuang lebihan nasi ke dalam plastik. Pinggan tadi ku cuci sebersihnya sebelum diletakkan di atas rak. Aku ke belakang rumah. Lebihan nasi tadi ku tanam ke dalam pasu bunga. Biar menjadi baja. Baja organik la katakan. Sedang asyik aku meneliti pasu bunga di  belakang rumah, aku disergah Alan.
“Woi, kau buat apa kat sini?”
Aku berpaling ke arah Alan. Rambutku yang panjang kukuak ke belakang. Agak rimas. Terlupa pula aku hendak mengikatnya sebelum mengerjakan bunga-bunga kesayanganku ini.  Sejak diduakan Alan, aku banyak menghabiskan masa melayan perasaan sedihku dengan mengerjakan pokok-pokok bunga ini. Memang menenangkan fikiranku.
“Woi, kau tak dengar ke apa yang aku cakap ni?”
Suara Alan agak meninggi. Seperti biasa aku hanya tersenyum.
“Maaf, Tia tak dengar apa yang Alan cakap tadi. Boleh ulang?”
Manakan dapat kutangkap apa yang dikatakan jika fikiranku menerawang jauh merentasi benua.
“Aku tanya, kau buat apa kat sini?”
Kali ini suara Alan sedikit mengendur. Aku tersenyum.  Kulihat dia masih menanti  jawapan dariku. Tanganku menyentuh pokok bunga. Menilik dengan teliti. Entah mengapa, aku bagaikan tiada hati untuk bercakap dengannya, apatah lagi bersembang dengannya.
“Tia tengok bunga. Dah dua hari tak siram. Kasihan kat bunga ni.”
Perlahan tutur ku. Seolah berbisik. Alan mendekati aku. Rambut yang sedikit menutupi mukaku diselit ke belakang telinga. Aku agak terkejut dengan tindakannya. Perlahan aku menepis tangannya. Hatiku sedikit tawar dengan Alan.
“Maaf, Tia tak sengaja.”
Aku bangkit dari dudukku dan menuju ke arah paip air. Tangan kucuci sebersihnya dan getah rambut yang sudah sedia ada di pergelangan tanganku kugunakan untuk mengikat rambut.
“Kenapa kau tak panggil aku dengan panggilan abang sekarang? Dulu kau yang beria-ria  nak panggil aku dengan panggilan tu.”
Alan mendekati aku. Aku pula kelu. Aku memandangnya dengan pandangan yang kosong.
‘Haruskah aku memberitahunya hatiku semakin tawar dengan sikapnya terhadapku?’
“Sebab bagi Alan, Tia cuma perosak kebahagiaan Alan kot.”
Aku tergelak semasa menuturkannya. Padahal hatiku ingin pecah. Sedih. Aku sedaya upaya cuba menyembunyikan emosiku. Aku tak mahu menangis. Aku tak mahu dikatakan lemah. Aku mahu jadi Zatia yang kuat dan tabah seperti dahulu.
“Kenapa kau cakap macam tu? Aku tak pernah anggap kau macam tu.”
Alan menafikan. Aku berjalan ke arah bangku yang sudah tersedia di laman belakang rumahku. Duduk dan melihat Alan berjalan sebelum mengambil tempat di hadapanku.
“Memang Alan tak cakap. Tapi perbuatan Alan tu menunjukkannya. Tapi takpe. Tia faham.”
Aku cuba untuk tidak memandang Alan. Aku takut aku sedih. Pandangan kuhalakan ke arah pokok-pokok bungaku yang payah benar nak berbunga.
“Tia. Boleh tak jangan cakap macam tu. Lagi satu aku nak tanya ni. Hari tu siapa yang call kau?”
Segera aku memandang Alan. Serius wajahnya. Aku membuang pandang ke arah pasu  bunga yang elok tersusun di laman. Malas hendak menjawab pertanyaannya.
‘Adakah dia cemburu? Hish takkanlah kot. Perasan betul aku ni’
“Hari tu? Bila?”
Aku berpura-pura hilang ingatan. Kononnya hendak melepaskan diri dari soalan Alan namun ianya seakan tak berjaya apabila Alan berusaha keras untuk mengingatkan aku mengenai panggilan yang aku terima.
“Alah, takkan tak ingat kot. Hari yang kau demam tu. Yang lepas orang tu call terus je semangkuk bubur kau telan. Ingat tak?” 
Kuat betul ingatan Alan ini. Agaknya dia ingat tak yang dia pernah sakitkan hati aku dengan kata-kata dan perbuatan dia tu.
“Oh, dah ingat dah. Hmm… tu Shah. Kawan sekolah dulu.”
Aku cuba mencari perubahan air muka Alan. Namun tak berjaya. Ya. Dia sedingin ais yang ditabur garam. Sangat sejuk. Sangat dingin.
“Dia nak apa?”
 Alan kelihatan teragak-agak untuk bertanya.
“Saja tanya khabar. Itu saja. Tak lebih. Tak kurang.”
Alan kulihat sedang memandang tajam ke arahku. Entah mengapa aku rasa seperti sedang berdating pula dengann Alan. Rasa sedikit bahagia namun segera kubunuh perasaan itu. Tak lama lagi perkahwinan aku genap dua tahun dan pastinya aku akan menjauh dari hidup Alan.
“Abang buat apa kat sini?”
Riana muncul tatkala Alan sudah mulai mesra denganku. Aku faham perasaannya. Pasti dia cemburu. Pasti dia risau membiarkan Alan berdua-duaan denganku di luar sebegini. Mungkin dia takut aku akan menggoda Alan. Aku tak mahu memanjangkan prasangka Riana lantas aku menuju ke dalam rumah atas alasan aku ingin berehat.
‘Alan, Riana… semoga berbahagia.’
*****
AKU menonton televisyen sendirian di ruang tamu. Badanku semakin sihat. Alan serta Riana sudah pulang ke rumah mereka. Aku sendirian lagi di rumah besar ini. Entah mengapa akhir-akhir ini, aku semakin redha dengan hubungan aku dengan Alan. Bagaikan aku tahu hubungan kami sudah sampai ke penghujungnya. Tak lama lagi aku akan memakai pangkat janda. Deruman enjin kereta membawa aku pulang ke dunia realiti. Aku menjenguk ke luar.  Aku agak terkejut melihat kereta Alan memasuki perkarangan rumah kami.
‘Untuk apa dia pulang? Tertinggal barang mungkin.’
Aku menyambut Alan dengan senyuman. Tangan kanannya kuraih dan kusalam seperti dulu. Cuma yang berbeza hanya penerimaannya. Kalau dahulu, pasti dia menepis namun kali ini dia tak menepis. Aku naik hairan dengan sikap Alan. Mungkin dia nak berbaik denganku sebelum kami berpisah.  Aku diam sehinggalah dia duduk di sofa dan mula berbicara denganku.
“Tengok cerita apa?”
Ramah sahaja dia menyapaku. Aku bangkit dari sofa. Hajatnya ingin ke dapur . Ingun menyediakan air buat Alan. Pasti dia haus. Namun tanganku diraih mengisyaratkan aku agar tidak ke mana-mana. Aku akur.
“Tia tengok drama korea. Sedap pulak.”
Aku teragak-agak menuturkannya. Entah mengapa perasaan kurang selesa menjengah diriku saat ini. Tak biasa berdua-duaan dengannya. Kalau dulu aku selalu mencari-cari ruang untuk berdua-duaan dengannya. Namun mengapa kini aku rasa semacam?
“Oh, macam ni ye Tia habiskan masa kalau abang takde kat rumah.”
Aku terdiam. Adakah aku tersilap dengar? Panggilan abang? Mungkin aku berhalusinasi. 
“Tia?”
 Alan mengoncang bahuku. Sah! Aku mengelamun. Mana mungkin Alan membahasakan dirinya abang denganku. Berangan betul aku ni.
“Tia rasa macam mengantuk pulak. Tia tidur dulu ye.”
Aku bangkit dari sofa. Hajatku ingin menuju ke bilik tidur. Tak sanggup berhadapan dengan Alan. Dulu aku pernah bertekad untuk menjauh dari kehidupannya. Aku takut apabila sampai waktunya, aku tak sanggup pergi dari hidup Alan.
“Awalnya tidur. Baru pukul 9.30 malam. Memang selalu tidur awal ye.”
 Alan cuba mengusikku. Aku jadi tak tentu arah. Mengapakah saat aku sudah nekad untuk menjauh dari hidupnya, dia melayani aku dengan baik? Mengapa. Tolonglah jangan seksa aku sebegini. Jangan biarkan aku jatuh cinta sekali lagi dengan Alan. Aku takut aku akan terluka.
“Tiba-tiba rasa mengantuk. Alan tengoklah tv tu. Tia naik atas dulu.”
 Alan mengangguk sedikit. Aku berlalu ke tingkat atas dengan perasaan pelik yang merajai jiwa.
‘Mungkinkah ada ruang buatku di hatinya?’
*****
AKU bergolek-golek di atas katil namun entah mengapa malam ini pergerakkan aku sedikit terbatas. Seperti ada seseorang yang tidur di sebelahku. Dengan malas kelopak mataku dibuka. Kelihatan seperti Alan. Mataku kembali ditutup. Masakan Alan boleh lena di sebelahku. Tiba-tiba kurasakan seperti ada tangan melingkari pinggangku.
‘Kenapa aku rasa macam betul-betul ada orang kat sebelah aku ni. Jangan-jangan hantu kot.’
Segera aku bangkit dari pembaringanku. Anehnya, manusia di sebelahku turut bangkit. Dia mengenyeh matanya sambil bertanya kepadaku.
“Kenapa ni Tia? Having nightmare ke?”
Alan memandangku. Aku pula seakan tak percaya yang Alan berbaringan di atas katil yang sama denganku. Aku membesarkan mata apabila mengetahui lelaki yang enak memelukku itu adalah Alan. Mana mungkin Alan mahu memelukku. Dia tidak sukakan aku. Malah dia tak pernah mahu tidur sekatil denganku. Mengapa kini dia seakan sudi merelakan dirinya berkongsi katil denganku? Mengapa? Mengapa?
‘Betul ke ni Alan?’
Tak puas hati dengan apa yang aku lihat, segera tanganku membuka lampu tidur yang berada di meja sisi katil. Jelas kelihatan wajah kacak Alan di hadapanku.
“Tia? Kenapa ni?”
 Alan seakan terkejut dengan tindakan ku. Mungkin tak menyangka reaksiku akan sebegini.
“Tak. Tia cuma terkejut Alan tidur sebelah Tia. Sebab dulu Alan tak sudi nak tidur sebelah Tia.”
Jujur aku luahkan apa yang bermain di mindaku saat itu. Aku sedikit pelik dengan sikap Alan baru-baru ini. Sangkaku Alan akan terus bermalam di rumah Riana sehinggalah usia perkahwinan kami genap dua tahun. Jadi tak perlulah Alan menatap wajahku yang tak berapa cantik ini. Ini lain pula jadinya. Aku memang tidak faham dengan hamba Allah nan satu ini.
“Tia. Tak salah kan, jika seorang suami tidur di sebelah isterinya?”
Alan mula mengeluarkan ayat- ayat yang bisa membuatkan dadaku sebak. Kenapa bukan dulu? Kalau dahulu pasti aku akan gembira. Sekarang? Dia bukan milikku seorang lagi. Ada wanita lain di hatinya. Tambah memilukan hati aku, dia bakal menjadi ayah kepada anak yang dikandung oleh wanita itu. Sekarang dia punya segalanya. Punya isteri yang cantik, dan bakal menjadi ayah. Ya. Keluarganya telah lengkap tanpa kehadiran aku. Serta-merta perasaanku menjadi sayu.
“Ya, memang tak salah pun. Takpelah. Tia nak sambung tidur. Lagipun esok Tia kerja.”
 Aku menarik selimut dan tubuh kujarakkan sedikit dari Alan. Seketika kemudian, aku terlena.
‘Adakah semua ini mimpi? Aku sendiri tak pasti.’





Siapakah kekasih hatiku? 13

Thursday, December 22, 2011
NAMA aku dipanggil. Lelaki itu sudah memulakan bicara. Aku kaget. Tak sangka setelah sekian lama, aku ketemu lagi dengan dia. Shahrizal Fareez Stevenson. Bagaimana hendak kulupakan dia. Dia lelaki yang pertama berjaya mencuit hatiku. Serba tak kena aku dibuatnya. Kejap duduk, kejap berdiri.
“Shah?” Shah tersenyum.Senyuman dialah yang buat aku serba tak kena. Manis seperti selalu. Shah sudah mengambil tempat di depanku. Aku kehilangan bicara. Sudah lama tak bertemu sehinggakan aku tak tahu bagaimana harus memulakan.
“Tia, kenapa senyap? I rindukan you. Suara you. Diri you. Everything about you.”
Shah memulakan ayat-ayat kasanova yang senantiasa meniti di bibirnya. Aku sudah masak dengan sikapnya.
I‘m just shocked. Why are you heading back to Malaysia? You should be in America right now, isn’t?
 Ya. Memang aku terkejut dengan kehadirannya di sini. Kalaulah dia sampai lebih awal, pasti aku akan melamarnya dan aku akan terselamat daripada disakiti sedemikian rupa.
Oh dear, even though American girl are hot but I’m looking for a cute Malay girl. So, that’s why I’m here, to grab my girl’s hand from her cruel husband.”
 Kenyataan yang keluar dari mulut Shah membuatkan aku terkedu. Bagaimana dia boleh mengetahui kisah rumah tanggaku. Misya yang sangat rapat denganku langsung tak dapat menghidu kepincangan rumah tanggaku.
“Shah, Tia ni isteri orang. Tak baik tau cakap macam ni. Berdosa tau.”
 Aku cuba meneutralkan keadaan. Shah mengeluarkan sampul surat dan meletakkannya di atas mejaku. Beberapa saat kemudian, Hanis datang dan menghidangkan milo panas kepadaku. Shah mengenyit mata dan Hanis tersipu-sipu malu.
“Hanis, buatkan air untuk Encik ni ye. Kopi pekat dengan 2 sudu gula.”
Aku mengarahkan Hanis. Hanis hanya mengangguk. Shah tersenyum.
“I thought you already forget everything about me when you married to Alan.”
 Shah mula bermain dengan kata-kata. Aku mengangkat kening. Shah tersenyum.
“Mana Tia boleh lupakan Shah. Kita kan teman tapi mesra.”
Aku tersenyum. Tanganku mencapai sampul surat yang diletakkan Shah. Membukanya dengan cermat. Ternyata isinya membuatkan aku terkejut. Semuanya gambar aku dan juga Alan. Aku memandang Shah. Dia tersenyum.
Can you explain this to me?”
Aku cuba meminta penjelasan. Shah menjungkit bahu. Berpura-pura tak tahu. Senyuman masih lagi menghiasi bibirnya.
“Kalau nak tahu, jom temankan I lunch. I’ll tell you everything. From A to Z.”
Lama aku berfikir. Haruskah aku menurut? Jauh di sudut hati aku, aku risau Shah juga mempunyai agenda tersendiri. Mengapa dia mengambil gambar aku dan juga Alan? Adakah dia ingin aku lebih merana? Setelah menimbang baik dan buruk, aku mengangguk dalam ke keterpaksaan.
*****
AKU berada di sini lagi. Mulanya aku tak mahu menjejakkan kaki ke restoran ini. Namun, Shah memaksa. Katanya teringin benar hendak menjamah stik lembu di sini. Setelah penat berdolak- dalih, akhirnya aku turuti juga kemahuan Shah. Kami duduk di meja yang paling tersorok. Bimbang aku akan ketemu dengan Alan di sini. Ini kan restoran bapa mentua aku. Aku memang  mencari nahas.
Sudah setengah jam kami di sini namun Shah masih tak mahu memulakan cerita. Aku ternanti-nanti. Shah sedang enak menikmati hidangan stik lembu yang diidam-idamkannya. Aku hanya mampu memandangnya.
‘Tolonglah Shah. Jangan buat aku merana begini.’
“Tia, I tahu you tak cintakan dia kan. You boleh minta cerai dengan dia. And we’ll get married. Full stop.”  Shah memulakan cerita.
“Shah, just tell me. I nak tahu sangat ni. Mana you dapat gambar-gambar tu.”
Aku mula mendesak. Shah meletakkan garpu dan pisau di pinggannya. Hujung napkin digunakan untuk mengelap hujung bibirnya. Matanya tajam merenung aku.
“Sebenarnya, I dah lama balik Malaysia. Tia, you tak perasan ke, yang I ada kat majlis perkahwinan you and Alan.”
Terbuntang mataku apabila mendengarkan kata-kata Shah. Kehilangan kata-kata untuk membalas lantas aku memilih untuk teruskan mendengar sahaja.
“Waktu tu, I perhatikan you tak gembira dengan perkahwinan ni. I kenal you lama, Tia. Walaupun you tersenyum waktu tu, I tahu you tak bahagia. Lagipun Alan cousin I , I know he have another girl. Dia cinta mati dengan perempuan tu. Sekarang ni pun, dia dah kahwin lagi kan.”
 Shah sudah mula bercerita. Shah dan Alan adalah sepupu? Biar betul. Shah meneruskan kata-katanya sebelum sempat aku menyampuk.
“Alan pernah beritahu I, dia nak ceraikan you tapi tak boleh sebab aunt tak bagi. Tapi jika you yang minta cerai, barulah dia boleh ceraikan you. You faham tak? Dia nak ceraikan you. He doesn’t want you at all. Sebab tu, I selalu ikut you. I nak pastikan you okay.  Dulu I selalu ingatkan diri I yang you ni isteri cousin I but I can’t stand it anymore. He’s too much. “
 Kata-kata Shah buat aku terharu. Seumur hidup aku tak pernah ada lelaki yang sudi menerima aku seadanya dan betul-betul mahukan aku.
“Shah,thanks.
Aku mencari-cari perkataan yang sesuai untuk diucapkan kepada Shah namun yang terluah hanyalah ucapan terima kasih. Untuk apa ucapan itu, aku sendiri tak pasti. Mungkin aku berterima kasih kepada Shah kerana memberitahu kedudukan aku di hati Alan. Ya, dia tak mahukan aku. Sanggup menduakan aku. Mungkinkah aku harus pergi dari hidupnya? Shah tersenyum. Aku juga tersenyum namun kelat sahaja rasanya.
‘Shah betulkah apa yang kau khabarkan itu?’
Aku semakin keliru.
*****

AKU bersendirian di sofa. Masih menanti kepulangan Alan walaupun jam sudah menginjak ke angka dua pagi. Entah mengapa, kata-kata Shah masih berlegar-legar di kotak fikiranku.Aku masih ragu-ragu untuk mempercayainya.
‘Alan tak mahukan aku. Dia akan ceraikan aku jika aku minta cerai?’
Aku bersandar di sofa. Seketika kemudian Alan pulang ke rumah. Aku menyambut kepulangannya. Ternyata dia terkejut. Mungkin dia menyangka aku sudah dibuai mimpi pada jam sebegini. Namun sangkaannya meleset. Aku memandang Alan. Wajahnya yang kacak kutatap sepuas-puasnya. Aku takut aku takkan dapat menatap wajahnya sebegini lagi. Aku tahu dia tak selesa ditatap sebegitu namun aku tak peduli.
“Kau ni kenapa? Dah buang  tabiat ke?”
 Alan mendaki anak tangga ke bilik tidur utama. Aku mengekori Alan. Aku dapat rasakan Alan sedang marah kala ini. Mungkin tak selesa diekori oleh aku.
“Abang, boleh kita berbincang?”
Aku memulakan bicara, Alan yang baru melangkah masuk ke dalam bilik air berpaling ke arahku.
“Hah, kau nak bincang apa? Nak minta cerai dengan aku ke?”
 Sinis Alan bersuara. Perlahan namun cukup tajam. Aku terkedu. Betulkah apa yang aku dengar daripada Shah? Bahawasanya Alan menunggu ungkapan cerai terlafaz di bibirku? Alan ada hak untuk menjatuhkan talak kepadaku. Dia tak perlu mematuhi arahan bonda jika dia mahu. Malah jika dia benar-benar membenci diriku ini, dia boleh meletakkan talak tiga ke atasku dan selepas itu peluang untuk bersama semula semakin tipis. Mengapa harus dia membiarkan aku begini? Jika benar dia tak menyukai aku, mengapa tidak dinyatakan awal-awal lagi? Mengapa tidak memberitahu yang hatinya sudah ada pemiliknya? Mengapa tak membantah perkahwinan ini? Mengapa?
“Tia cuma nak tanya mengenai hubungan kita?”
Tergagap-gagap aku bertanya. Wajah bengis Alan aku tatap. Alan membiarkan aku terkulat-kulat berdiri di situ. Lantas dia terus menuju ke bilik air tanpa mempedulikan aku.
‘Cerai? Betul cakap Shah. Alan memang tak mahukan aku.’

P/s: Maaf sebab lambat post. Baru siapkan hantar tesis pada supervisor semalam. Ni baru ada masa online. hehe

Miskinkah cinta itu? Part 10i

Saturday, December 17, 2011

AKU menatang dulang yang berisi makanan untuk diberikan kepada Izwan. Tidak sabar rasanya untuk melihat Izwan makan. Aku pasti dia lapar kerana perutnya tidak berisi apa-apa sepanjang dia tidak sedarkan diri. Aku harap dia betul-betul sembuh. Akhirnya dia sedar juga. Aku amat bersyukur. Doa aku termakbul juga.
Kakiku terus mendaki satu persatu anak tangga menuju ke kamar peraduan kami. Perlahan aku memulas tombol pintu dan menatang dulang berisi makanan itu sebaik mungkin. Aku memandang mama dan Izwan sedang berbicara di satu sudut. Wajah Izwan agak serius namun apabila terpandangkan wajahku, terus wajah yang serius itu diganti dengan wajah tenang miliknya. Aku bergerak menghampirinya. Dulang berisi makanan aku letakkan di atas meja sisi katil. Izwan tersenyum.
            “Izwan makanlah dulu. Mama turun nak tengok bibik buat kerja ke tak kat bawah tu.”
           Segera mama berlalu. Mungkin ingin memberikan aku ruang untuk berdua-duaan dengan Izwan.
            “Abang nak makan?” ujarku apabila mama berlalu dari kamar peraduan kami.
            “Ya. Abang nak makan. Intan masak apa untuk abang?”
            Aku mengambil dulang yang berisi makanan dan lauk-pauk tadi dan memperkenalkan satu persatu lauk yang aku bawa untuknya.
            “Sedapnya. Intan yang masak?”
            Aku tersenyum apabila Izwan bertanyakan soalan itu kepadaku.
            “Bukan Intan yang masak tapi bibik. Maaf abang. Nanti esok Intan masakkan untuk abang ya.”
            Aku berterus-terang. Manakan ada masa buatku untuk memasak apabila suami yang aku cintai ini tidak sedarkan diri dek kerana perbuatan manusia yang cemburu akan kebahagiaan kami.
            “Tak apa. Abang faham keadaan Intan. Masih ada banyak masa lagi kan sayang?”
            Aku memandang Izwan. Dia memang seorang lelaki yang baik. Aku menghulurkan pinggan nasi ke arah Izwan. Dia tersenyum. Huluran pinggan nasi masih tidak disambut oleh dia. Dia hanya memandang aku sambil tersenyum.
            “Nak suap.”
            Izwan menyuarakan kehendaknya. Aku faham. Segera aku mengambil sudu dan menyuapkan sedikit nasi ke dalam mulutnya. Bersungguh-sungguh dia memakan nasi yang aku suapkan.
            “Abang, kunyah betul-betul. Jangan laju-laju sangat. Nanti tercekik.”
            Aku menasihatinya. Dia tersenyum. Aku kembali menyuapnya sehingga habis sepinggan nasi.
            “Terima kasih sayang.”
            Aku memandang Izwan.
            “Untuk apa?”
            Aku meminta penjelasan di sebalik ucapan terima kasihnya itu.
            “Untuk segala-galanya yang sayang sudah lakukan untuk abang.”
            Aku memandang wajah tenang Izwan. Senyumannya memang menenangkan hati. Senyuman inilah yang aku rindui buat beberapa hari ini. Tidak dapat aku bayangkan jika senyuman ini dia ukirkan kepada wanita lain. Sungguh aku cemburu.
            “Tanggungjawab Intan adalah di sisi abang dan membahagiakan abang. Intan pun nak ucapkan terima kasih kerana abang masih di sisi Intan. Terima kasih abang.”
            Aku tersenyum kala menuturkan kata-kata itu. Izwan menggamit aku agar mendekatinya.
            “Abang pun sayangkan Intan.”
*****
IZWAN sudah menuruni tangga ke tingkat bawah. Katanya ingin mengambil udara segar di halaman rumah. Aku juga turut serta menemaninya. Rasa sayangku semakin mendalam akhir-akhir ini. Aku sentiasa mahu bersamanya. Entah mengapa, kebelakangan ini aku ingin selalu berkepit dengannya. Izwan memimpin tanganku. Kami bergerak ke bangku yang terletak di halaman rumah. Sudah lama aku tidak meluangkan masa sebegini santai bersama Izwan. Izwan memandangku. Lama. Aku sudah tersipu-sipu. Segan.
            “Abang perasan sayang semakin chubby. Sayang makan banyak ya.”
            Izwan mencubit pipiku yang sedikit tembam. Sakit. Aku pasti pipiku sedikit memerah angkara cubitannya itu. Aku menilik lenganku dan kemudian kakiku. Betulkah badan aku sedikit tembam?
            “Mana ada. Abang ni  saja nak suruh Intan diet kan? Betul kan?”
            Aku meneka. Izwan sudah tergelak kecil. Dia mencuit hidungku.
            “Betul. Abang nampak sayang chubby sikit dari hari tu. Sayang tak perasan ke?”
            Sekali lagi aku menilik badanku. Betul juga kata Izwan. Seluar slack yang selalu aku pakai sudah sedikit ketat di bahagian pinggang. Mungkinkah berat badanku naik kerana sudah lama tidak bersenam?
            “Kalau macam ni, Intan nak jogging-lah. Abang kena teman Intan jogging pagi esok.”
            Aku memerhatikan Izwan. Dia tidak memberikan respon kepadaku. Aku kaget.
            “Abang?”
            Izwan memandangku. Dapat kukesan wajahnya sedikit risau tadi. Perlahan dia bangun. Dia menggamit aku untuk masuk ke dalam. Aku sedikit hairan dengan sikapnya.
            “Kenapa abang?’
            Izwan tidak menjawab pertanyaanku. Dia terus meluru ke tingkat atas. Sapaan mama juga tidak diendahkan.
            “Abang, mama bercakap dengan abang tadi.”
            Izwan tidak mengendahkan kata-kataku tadi. Dia terus ke meja solek dan membuka laci di situ. Apabila terjumpa  dengan apa yang dicarinya, dia terus memberikannya kepadaku. Aku mengambilnya. Alat ujian kehamilan?
            “Abang?”
            Aku memandang ke arah Izwan. Wajah Izwan serius.
           “Abang syak, sayang mengandung. Apa kata sayang test dulu? Kalau positif kita pergi klinik esok. Buat double check.”
            Aku menilik alat ujian kehamilan. Betulkah aku mengandung? Aku tidak merasakan apa-apa perubahan kepada diriku. Tidaklah pula aku menghadapi loya-loya dan pening-pening kepala.
            “Sayang…”
            Izwan memaut bahuku dan membawa aku ke hadapan pintu bilik mandi. Dia memandang wajahku dengan penuh harapan. Perlahan aku masuk ke dalam bilik mandi dan menutup pintu serapat-rapatnya.
            “Sayang, jangan lama-lama sangat,” jerit Izwan dari luar bilik mandi.
            Alat ujian kehamilan itu aku tenung. Keluhan kulepaskan. Aku berharap keputusan yang bakal aku terima tidak menghampakan Izwan.

******
 P/s: Ini sahaja yang sempat Hazel hidangkan minggu ini. Maaf, sedang sibuk menaip tesis. Doakan hazel dapat menyiapkan draf tesis secepat mungkin. ^^v

Siapakah kekasih hatiku? 12

Wednesday, December 14, 2011
BAB 12
HUJUNG minggu itu, aku dihantar ke rumah mama. Sendirian. Alan ingin ke luar negeri. Ada urusan katanya. Aku malas mengambil tahu urusannya. Aku tak layak. Kakiku semakin pulih. Mungkin nanti aku sudah boleh memandu seperti biasa. Aku bersendirian di dalam bilik tidurku.  Berbaringan di atas katil yang banyak membawa memori zaman sekolahku. Inilah tempat aku membaca novel sampai tak tidur malam.
“Tia?”
 Mama memanggilku. Lembut kedengarannya di telingaku.
“Ya?”
Aku ternanti-nanti. Aku masih tertanya-tanya apa yang mama ingin sampaikan kepadaku. Aku tak mengharapkan perkara yang hendak dikatakan itu berkait dengan Alan. Aku tak mahu berbohong lagi dengan mama dan abah. Cukuplah sekali aku berbohong. Aku dah serik.
“Mama ingat nak adakan majlis kahwin Liya kat rumah juga tapi Tia kena tolong mama. Boleh tak?”
Mama membuat permintaan terhadapku.
“Nak buat bila majlisnya? Kalau nak tolong tu tak payah mintalah mama. Tia boleh je tolong. Lagipun Liya kan adik Tia. Apa salahnya tolong. Tak luak pun.”
 Aku memaniskan muka. Senang hati jika dapat turut sama membantu meringankan  beban mama dan juga Liya. Lagipun sewaktu majlis perkahwinan aku dulu, Liya dan mama juga yang tak tidur malam menyiapkan hantaran dan persiapan kahwinku. Apa salahnya, kali ini aku memberikan sedikit tenaga membantu mereka?
“Nanti mama bagi tahu Tia. Lagipun dah setuju nak buat hujung tahun ni.”
 Mama  menerangkan. Mama sudah melangkah ke muka pintu bilikku namun dia berhenti seketika. Perlahan dia berpaling kepadaku.
“Betul Tia nak drive sendiri balik nanti? Mama risaulah. Lagipun kaki Tia pun tak berapa nak baik lagi tu. Tak nak abah hantar?”
Aku menggelengkan kepala. Mama hanya menurut. Faham benar dengan sikapku yang satu. Keras kepala. Mama memang prihatin. Namun aku tetap dengan keputusanku. Aku mahu memandu sendiri. Keretaku masih boleh digunakan. Jadi aku mahu memandu sendiri. Sudah lama kereta kecilku tidak kupandu semenjak kemalangan itu.
 Aku rindu hendak memandu. Terlalu rindu. Lusa aku akan berangkat pulang ke rumahku. Rindu rasanya mahu ketemu Alan. Walaupun bicaranya banyak menghiris hatiku namun semakin hari, semakin aku menyayanginya. Pelik kan?  Kadang kala pernah juga aku terfikir untuk mengundur diri sekiranya dia berterus terang mengenai perkahwinan keduanya denganku. Namun, aku tak sanggup membayangkan kehidupan aku tanpa dirinya. Aku rasa tertipu. Kalaulah dulu aku tolak permintaan Alan, pasti aku bahagia.  Entahlah, mungkin aku patut berusaha lebih untuk hubungan ini. Ya! Aku harus sabar. Satu hari nanti, pasti dia menerimaku seadanya. Aku yakin!

*****

AKU pulang semula ke rumahku .Banglo dua tingkat yang sunyi. Untuk apa punya suami yang kacak, kaya namun kurang kasih sayang. Aku melangkah masuk ke dalam rumah. Baru sahaja aku melangkah masuk ke dalam rumah, aku teringatkan sesuatu perkara. Ada barang yang dikirim oleh mama buat ibu mentuaku. Mama. Biasalah. Pasti ada sahaja yang dikirimkan buat ibu mentuaku.
Aku mengunci semula pintu. Lantas kereta yang baru kuparkir di garaj kereta kupandu menuju ke rumah mentuaku. Sesampainya di rumah mentuaku, aku terpandangkan kereta Alan. Alan?
‘Alan tidur rumah bonda rupanya.’
Barang- barang yang dikirim mama pun kuangkat sekali. Perasaan teruja menguasai diri kala ini. Teruja untuk berjumpa dengan bonda dan juga Alan. Aku ingin memberi salam namun aku terkedu. Lama aku berdiri di depan pintu. Drama televisyen swasta sedang ditayangkan secara langsung dihadapanku. Aku melihat suamiku sedang beristirehat ditemani oleh gadis yang sama aku temui dulu. Bonda dan papa juga turut gembira. Berbual-bual dengan gembiranya tanpa menyedari aku berdiri di depan pintu. Lama juga aku berdiri di situ sehinggalah Mak Munah menegurku.
“Puan muda, kenapa duduk kat depan pintu macam ni?” 
Mak Munah, pembantu rumah bonda menegur aku. Aku tersentak. Hampir sahaja barang-barang di tanganku terlepas. Nyata mereka sekeluarga turut terperanjat besar dengan kehadiranku yang tak disangka-sangka. Aku tersenyum hambar.
‘Tembelang dah pecah. Tia jangan menangis. Kau mesti kuat di hadapan dia. Kau mesti buktikan semua itu tak mencalarkan sedikit pun hati  kau.’
Aku mula memujuk diriku. Namun aku tahu semua itu tak guna. Hatiku kini kecewa.
“Tia, kenapa tak cakap nak datang.”
Bonda menyambutku di muka pintu. Plastik beg yang kubimbit kuserahkan kepada Mak Munah. Aku menyalami bonda.
“Mama kirimkan barang untuk bonda dan papa. Tu yang Tia datang tak bagi tahu dulu.”
Aku cuba menceriakan wajah. Seceria yang mungkin. Aku memandang Alan dan gadis itu. Nyata wajah mereka kelat. Tanda tidak senang dengan kehadiran aku di sini.
“Masuklah sayang. Duduk sebelah bonda.”
Bonda menarikku agar bersama-sama papa, Alan dan gadis itu di ruang rehat.Aku hanya  menurut. Aku menyalami Alan,dan kemudian berjabat tangan mesra dengan gadis itu. Papa kelihatan serba salah. Aku tahu kenapa. Mungkin dia resah memikirkan perasaan aku ketika ini. Mungkin dia takut aku akan mengapa-apakan menantunya yang cantik ini.
“Tia minumlah.”
 Bonda mempelawaku minum. Aku mengangguk kecil. Aku rasakan suasana yang bahagia tadi bertukar canggung. Kerana akukah? Wajah kelat Alan semakin menjadi-jadi. Sepanjang di ruang rehat itu, hanya bonda yang sudi berbicara denganku. Yang lain? Tak sudi.
“Bonda, papa. Tia rasa nak baliklah. Dah lambat ni. Rasa macam menganggu bonda pula.”
Aku cuba mengundur diri. Bonda serba salah. Aku tahu pasti dia bersalah kepadaku. Rasa kasihan melihat aku diduakan suami sendiri. Papa hanya menghirup kopi yang dihidangkan oleh Mak Munah. Lagaknya seperti malas untuk mencampuri urusan rumah tangga kami.
“Zatia bt Hassan, kau tak nak tahu ke? Siapa gadis ni?”
Alan mula bersuara. Aku mengangkat muka. Memandang Alan. Mengumpul segala kekuatan untuk menghadapi semua ini.
“Abang cakaplah. Tia tak nak tanya abang.” 
Aku bersuara. Perlahan namun cukup untuk didengari oleh semua yang berada di situ.
“Mari sini, aku kenalkan. Ariana Julisa. Isteri aku a.k.a madu kau.”
Terang dan jelas suaranya menyapa gegendang telingaku.  Aku tersenyum. Mencari-cari perkataan yang sesuai untuk diungkapkan kepada pengantin baru.
“Oh, tahniah abang. Semoga abang bahagia selalu dengan dia.”
Itu sahaja yang mampu aku ucapkan tika itu. Bonda? Memandangku dengan penuh simpati. Papa? Diam sahaja. Mungkin dia tak mahu mencampuri urusan kami.
“Kenapa kau tak marah?”
Alan pelik. Tika itu aku lihat bonda, papa dan juga Riana sudah berlalu ke dalam rumah. Tinggal aku dan Alan di situ.  Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku menerkam Riana saat itu. Bertanya kepadanya, mengapa sanggup menjadi perosak rumah tangga kami. Namun, aku tidak mempunyai hak itu. Alan tak pernah meletakkan aku di dalam hatinya. Mana mungkin aku melabelkan dia sebagai perampas. Riana bukan perampas sebaliknya akulah yang perampas.
Aku tak menjawab soalan Alan. Aku biarkan dia termangu-mangu sendirian. Aku mahu dia mencari sendiri jawapannya.

*****

“TIA tak marah pun. Memang abang ada hak nak buat macam tu. Tia bukan siapa-siapa nak halang abang.”
Aku bersuara. Cuba untuk menutup kekecewaan yang mula bertandang di hatiku. Alan? Legakah mendengar jawapanku? Aku tak pasti.
“Baguslah macam tu. Aku pun dah malas nak sorok-sorok dengan kau.”
Alan menghirup teh yang masih berbaki. Aku senyap.  Perlahan aku menanggalkan cincin perkahwinan yang tersarung di jari manisku. Kuletakkan di atas meja. Alan sedikit tersentak.
“Apa ni?”
Dia seakan tak percaya apa yang aku lakukan. Aku menanggalkan gelang tangan yang diberikan sebagai hantaran perkahwinanku. Kuletakkan juga di atas meja.
“Tia rasa tak layak nak pakai barang-barang ni. Tia pulangkan pada abang. Terpulanglah pada abang. Nak buang atau nak simpan. Ambillah, benda ni bukan milik Tia. Ia milik isteri abang. Tia bukan isteri abang. Tia cuma…”
Aku tak sanggup nak meneruskan kata-kataku. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Mencari kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.
“Kau simpan je la semua ni. Anggap hadiah daripada aku.”
Alan cuba berdiplomasi. Aku senyap.
“Takpelah abang. Tia tak layak nak pakai benda itu. Selama ni pun, abang pun tak pernah anggap Tia sebagai isteri abang kan. Berikan pada yang berhak.”
Aku mengambil gelang tangan dan cincin dan kuletakkan di atas telapak tangannya.  Mataku tertancap kepada jari manis suamiku. Cincin yang dipakainya, bukan cincin perkahwinan kami. Saat itu, aku semakin nekad untuk menjauh dari hidupnya. Aku sangka aku mampu menundukkan Alan namun belum aku memulakan rancanganku dia sudah membuang aku.
“Tia.”
 Alan bersuara perlahan. Aku tak tahu apa yang sedang bermain di fikirannya ketika itu. Yang pasti, aku sedih. Sepatutnya Alan berpesta. Aku takkan lagi mengganggu ketenangan hidupnya.
“Tia dah penat abang. Dah penat terhegeh-hegeh hendakkan abang tapi abang sikit pun tak pandang Tia. Tia penat tunggu abang kat rumah tapi abang tak pulang-pulang. Tia penat dengar kata-kata abang yang selalu menyakitkan hati Tia. Tia dah penat.”
Aku bangkit dari dudukku dan berjalan ke dalam rumah. Setitis air mata pun tidak kubenarkan menitis. Aku harus kuat. Aku masuk ke dalam rumah. Niatku ingin ketemu bonda. Namun aku terpandangkan Riana. Gadis manis itu sedang bersendirian di ruang tamu. Aku mendekati dia. Niatku hanya ingin menyapa namun pantas Alan menarikku.
“Kau jangan nak apa-apakan dia.”
Amaran keras dari Alan. Lenganku digenggam kuat. Aku mula merasakan sakit di lenganku. Namun aku bertahan. Bonda hanya memandang kami dari jauh.
“Tia cuma nak bercakap sebentar dengan dia. Bukan Tia nak buat apa pun.”
Aku cuba melepaskan tanganku dari pegangan kejap Alan. Alan melepaskan tanganku.
“Huh, cakap la.” Alan memerhatikan aku mendekati Riana. Riana sedikit tersentak dengan kehadiranku.

*****

 “RIANA kan? Cantik nama.”
 Aku tersenyum hambar. Riana menayangkan muka pelik terhadapku. Tanda tidak senang denganku. Mungkin takut diapa-apakan olehku.
“Tia cuma nak bersembang sekejap saja dengan Riana. Itu pun kalau sudi.”
Aku masih menanti balasan dari Riana namun dia tak menunjukkan tanda-tanda berminat untuk berbicara denganku.
“Kalau Riana tak sudi, tak pelah. Mungkin lain kali.”
Aku bangkit. Alan segera mendapatkan isteri tercintanya. Risau benar aku akan melakukan perkara-perkara yang buruk terhadap isterinya. Aku melangkah ke arah bonda.
“Bonda, Tia pulang dulu ye. Ada masa Tia datang lagi. Tu pun kalau bonda dan papa masih sudi nak tengok muka Tia ni.”
Aku tersenyum hambar. Bonda memeluk tubuhku erat. Esakan bonda jelas kedengaran di telingaku.
“Hish bonda ni, dapat menantu baru pun nak sedih-sedih macam ni.”
Aku cuba memujuk bonda. Perlahan-lahan bonda merenggangkan pelukannya. Aku melangkah keluar dari rumah banglo mewah itu dengan hati yang sebal.
‘Dapatkah aku menjejakkan kaki ke sini lagi?’

*****

SUDAH beberapa minggu peristiwa itu berlaku namun masih lagi meninggalkan kesan ke atasku. Aku nekad mencari kerja. Risau diceraikan oleh Alan. Aku perlu bersedia. Aku berjalan-jalan sekitar bandar Kuantan. Mencari kerja-kerja kosong. Akhirnya aku mendapat kerja. Dengan ijazah yang kuperoleh daripada universiti, aku kini menjawat jawatan sebagai pengurus di salah satu restoran makanan segera. Aku berkerja setiap hari. Pagi, petang , siang  dan malam. Kerjaku dan laporan-laporan yang perlu kusiapkan dengan segera. Aku semakin melupakan Alan. Namun aku tetap menjaga batasanku kerana aku masih lagi isteri Alan.
Alan? Sudah lama aku tidak ketemu dengannya sejak peristiwa itu. Aku sudah berputus asa dengan Alan. Namun Alan tetap mengirimkan nafkah buatku. Pernah sekali, aku pulang ke rumah dan kudapati peti sejuk di rumah penuh dengan bahan-bahan keperluan yang tak sempat kubeli lantaran sibuk di restoran. Ketukan pintu membawa aku ke alam nyata. Sudah terlalu banyak aku mengelamun. Aku harus berkerja. Kerja, kerja dan kerja. Aku sebolehnya ingin menamatkan hubungan yang mengikat aku dengan Alan. Namun ,bonda, papa, mama dan abah menjadi penghalang. Aku takut keputusanku akan menyakiti mereka.
“Puan tak keluar makan ke hari ni?”
Pembantuku, Hanis menegurku. Aku tersenyum.
“Tak. Saya tak lapar.”
 Aku masih lagi meneruskan kerja-kerjaku yang sedikit menimbun di di atas meja. Sesekali mataku memandang ke skrin komputer untuk meneruskan membuat laporan.
“Kalau macam tu, saya buatkan milo untuk puan?”
Hanis cuba memancingku untuk menjamah makanan. Aku tahu dia risaukan keadaanku. Aku perhatikan Hanis sebagai seorang yang sangat berdedikasi dan mengambil berat akan orang lain. Kadang kala aku rasakan dia seperti adik aku sendiri lantaran sikap mengambil beratnya yang melampau-lampau itu. Namun aku cukup senang dengan tingkahnya.
Okay. Buat pekat-pekat tau. Extra milo kurang susu.”
Aku tersenyum. Hanis berlalu dan sekali lagi ketukan di pintu menganggu konsentrasi aku.
“Hanis, kan saya dah cakap, saya tak nak makan. Buatkan milo je.”
 Ku sangkakan Hanis namun telahanku ternyata silap.
 “Zatia. Lama tak jumpa. I rindu la.”
 Aku tersentak. Wajah lelaki itu aku tatap. Lama ku perhatikan dan kutenung. Aku seakan kenal wajah itu. Ingatan terhadap wajah tersebut semakin lama semakin jelas di kotak fikiranku.
‘Mungkinkah dia...’