AKU menatang dulang yang berisi makanan untuk diberikan kepada Izwan. Tidak sabar rasanya untuk melihat Izwan makan. Aku pasti dia lapar kerana perutnya tidak berisi apa-apa sepanjang dia tidak sedarkan diri. Aku harap dia betul-betul sembuh. Akhirnya dia sedar juga. Aku amat bersyukur. Doa aku termakbul juga.
Kakiku terus mendaki satu persatu anak tangga menuju ke kamar peraduan kami. Perlahan aku memulas tombol pintu dan menatang dulang berisi makanan itu sebaik mungkin. Aku memandang mama dan Izwan sedang berbicara di satu sudut. Wajah Izwan agak serius namun apabila terpandangkan wajahku, terus wajah yang serius itu diganti dengan wajah tenang miliknya. Aku bergerak menghampirinya. Dulang berisi makanan aku letakkan di atas meja sisi katil. Izwan tersenyum.
“Izwan makanlah dulu. Mama turun nak tengok bibik buat kerja ke tak kat bawah tu.”
Segera mama berlalu. Mungkin ingin memberikan aku ruang untuk berdua-duaan dengan Izwan.
“Abang nak makan?” ujarku apabila mama berlalu dari kamar peraduan kami.
“Ya. Abang nak makan. Intan masak apa untuk abang?”
Aku mengambil dulang yang berisi makanan dan lauk-pauk tadi dan memperkenalkan satu persatu lauk yang aku bawa untuknya.
“Sedapnya. Intan yang masak?”
Aku tersenyum apabila Izwan bertanyakan soalan itu kepadaku.
“Bukan Intan yang masak tapi bibik. Maaf abang. Nanti esok Intan masakkan untuk abang ya.”
Aku berterus-terang. Manakan ada masa buatku untuk memasak apabila suami yang aku cintai ini tidak sedarkan diri dek kerana perbuatan manusia yang cemburu akan kebahagiaan kami.
“Tak apa. Abang faham keadaan Intan. Masih ada banyak masa lagi kan sayang?”
Aku memandang Izwan. Dia memang seorang lelaki yang baik. Aku menghulurkan pinggan nasi ke arah Izwan. Dia tersenyum. Huluran pinggan nasi masih tidak disambut oleh dia. Dia hanya memandang aku sambil tersenyum.
“Nak suap.”
Izwan menyuarakan kehendaknya. Aku faham. Segera aku mengambil sudu dan menyuapkan sedikit nasi ke dalam mulutnya. Bersungguh-sungguh dia memakan nasi yang aku suapkan.
“Abang, kunyah betul-betul. Jangan laju-laju sangat. Nanti tercekik.”
Aku menasihatinya. Dia tersenyum. Aku kembali menyuapnya sehingga habis sepinggan nasi.
“Terima kasih sayang.”
Aku memandang Izwan.
“Untuk apa?”
Aku meminta penjelasan di sebalik ucapan terima kasihnya itu.
“Untuk segala-galanya yang sayang sudah lakukan untuk abang.”
Aku memandang wajah tenang Izwan. Senyumannya memang menenangkan hati. Senyuman inilah yang aku rindui buat beberapa hari ini. Tidak dapat aku bayangkan jika senyuman ini dia ukirkan kepada wanita lain. Sungguh aku cemburu.
“Tanggungjawab Intan adalah di sisi abang dan membahagiakan abang. Intan pun nak ucapkan terima kasih kerana abang masih di sisi Intan. Terima kasih abang.”
Aku tersenyum kala menuturkan kata-kata itu. Izwan menggamit aku agar mendekatinya.
“Abang pun sayangkan Intan.”
*****
IZWAN sudah menuruni tangga ke tingkat bawah. Katanya ingin mengambil udara segar di halaman rumah. Aku juga turut serta menemaninya. Rasa sayangku semakin mendalam akhir-akhir ini. Aku sentiasa mahu bersamanya. Entah mengapa, kebelakangan ini aku ingin selalu berkepit dengannya. Izwan memimpin tanganku. Kami bergerak ke bangku yang terletak di halaman rumah. Sudah lama aku tidak meluangkan masa sebegini santai bersama Izwan. Izwan memandangku. Lama. Aku sudah tersipu-sipu. Segan.
“Abang perasan sayang semakin chubby. Sayang makan banyak ya.”
Izwan mencubit pipiku yang sedikit tembam. Sakit. Aku pasti pipiku sedikit memerah angkara cubitannya itu. Aku menilik lenganku dan kemudian kakiku. Betulkah badan aku sedikit tembam?
“Mana ada. Abang ni saja nak suruh Intan diet kan? Betul kan?”
Aku meneka. Izwan sudah tergelak kecil. Dia mencuit hidungku.
“Betul. Abang nampak sayang chubby sikit dari hari tu. Sayang tak perasan ke?”
Sekali lagi aku menilik badanku. Betul juga kata Izwan. Seluar slack yang selalu aku pakai sudah sedikit ketat di bahagian pinggang. Mungkinkah berat badanku naik kerana sudah lama tidak bersenam?
“Kalau macam ni, Intan nak jogging-lah. Abang kena teman Intan jogging pagi esok.”
Aku memerhatikan Izwan. Dia tidak memberikan respon kepadaku. Aku kaget.
“Abang?”
Izwan memandangku. Dapat kukesan wajahnya sedikit risau tadi. Perlahan dia bangun. Dia menggamit aku untuk masuk ke dalam. Aku sedikit hairan dengan sikapnya.
“Kenapa abang?’
Izwan tidak menjawab pertanyaanku. Dia terus meluru ke tingkat atas. Sapaan mama juga tidak diendahkan.
“Abang, mama bercakap dengan abang tadi.”
Izwan tidak mengendahkan kata-kataku tadi. Dia terus ke meja solek dan membuka laci di situ. Apabila terjumpa dengan apa yang dicarinya, dia terus memberikannya kepadaku. Aku mengambilnya. Alat ujian kehamilan?
“Abang?”
Aku memandang ke arah Izwan. Wajah Izwan serius.
“Abang syak, sayang mengandung. Apa kata sayang test dulu? Kalau positif kita pergi klinik esok. Buat double check.”
Aku menilik alat ujian kehamilan. Betulkah aku mengandung? Aku tidak merasakan apa-apa perubahan kepada diriku. Tidaklah pula aku menghadapi loya-loya dan pening-pening kepala.
“Sayang…”
Izwan memaut bahuku dan membawa aku ke hadapan pintu bilik mandi. Dia memandang wajahku dengan penuh harapan. Perlahan aku masuk ke dalam bilik mandi dan menutup pintu serapat-rapatnya.
“Sayang, jangan lama-lama sangat,” jerit Izwan dari luar bilik mandi.
Alat ujian kehamilan itu aku tenung. Keluhan kulepaskan. Aku berharap keputusan yang bakal aku terima tidak menghampakan Izwan.
******
waaaa...ada gak entry bru...xpe2 wat je thesis tu...tp x lupe update trus sdah....